Nilai Sekuntum Senyuman : Berbuka Puasa Di Kediaman Perdana Menteri
Sedari awal penubuhan RPWP, kami tidak pernah mengimpikan penghargaan dan penghormatan setinggi ini (bagi kami lah, bagi orang lain mungkin biasa-biasa saja).
Beberapa minggu sebelum puasa, kami dijemput secara peribadi untuk mengadap orang nombor satu negara ini, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk saling mengenal di bilik peribadi beliau di Pejabat Perdana Menteri. Itu terjadi sebaik sahaja beliau dimaklumkan tentang keberadaan kami oleh Setiausaha Politik beliau Y.bhg Dato’ Jailani Ngah, melalui saudara Lutfi, rakan Facebook Saiful Nang hanya beberapa hari selepas Lutfi melawat kami yang sedang bergotong-royong ketika jam 11.00 mlm itu.
Bagi kami itu adalah bilik berdaulat yang hanya biasa kami lihat di TV apabila ada diplomat atau perwakilan luar negara berkunjung untuk menemui YAB PM. Boleh anda bayangkan perasaan kami ketika diiringi oleh Setiausaha Politik beliau sendiri, Y.Bhg Dato’ Jailani masuk berjumpa YAB PM di bilik peribadi beliau itu?.
Pertemuan yang seharusnya berlansung sekitar 5-10 minit, berlanjutan menjadi lebih setengah jam. Pelbagai pertanyaan beliau kami jawab satu persatu dan ternyata maklumat itu amat menyenangkan beliau. Kami hanya membaca dari body language, bagaimana eratnya genggaman tangan beliau dan sukar dilepaskan sewaktu bersalam, cara beliau mengiringi kami pulang hingga ke muka pintu, cara lontaran soalan dan senyuman manis sepanjang perbualan dan banyak lagi.
Besar hati kami melihat beliau sendiri memanggil salah seorang anak kami bernama Ali Imran untuk datang dekat dengan beliau, memeluk dan mengusap kepala anak comel itu sewaktu pertemuan di Pejabat dulu. Ali kemudiannya sama-sama YAB PM mengaminkan doa sambil berdiri di sebelah beliau ketika doa khusyuk dibacakan oleh 2 orang anak kami (lihat posting ‘DOA BUAT PEMIMPIN’ sebelum ini).
Selepas berpusing-pusing melalui laluan yang berbelit-belit untuk keluar dari pejabat beliau, kami yang terkesima dari pertemuan itu memandu pulang.
Rupanya tekaan kami tadi tepat. Belum pun kereta kami keluar dari perkarangan pejabat PMO, satu panggilan dari PMO meminta nombor telefon peribadi Pengasas RPWP. Selang beberapa minit, kami terima pula panggilan dari Setiausaha Sulit YAB PM, YBhg Dato’ Mohd Po’ad Jelani yang menyatakan PM nak hadiahkan 6 unit komputer untuk RPWP. Selang beberapa minit, terima pula panggilan dari En. Mohd Rafiq Shariff, Pengarah Projek Yayasan 1Malaysia yang mengatakan YAB PM nak hadiahkan sebuah van baru untuk RPWP.
SEMUA KEJUTAN ITU BERLAKU KETIKA KAMI MASIH LAGI BERADA DI PUTRAJAYA, DALAM PERJALANAN PULANG. SUBHANALLAH.
Esoknya kami didatangi para Sukarelawan PMO untuk meninjau keadaan makmal komputer dan memasang 6 unit komputer baru di RPWP. Selang sehari selepas itu kami didatangi sendiri oleh Y.Bhg Dato’ Mohd Po’ad Jelani untuk mengujiguna dan melakukan ‘penyerahan rasmi’ kesemua komputer itu. Alhamdulillah syukur yang teramat sangat.
Seminggu sebelum Ramadhan pula, van Hiace sumbangan YAB PM kami terima dari Yayasan Rakyat 1Malaysia dengan perasaan yang tidak lagi mampu kami gambarkan.
RUMAH AMAL YANG MANDIRI,
Satu keunikan dari banyak soalan YAB PM ialah ada tidak menerima apa-apa geran dari dana kebajikan kerajaan?. Apabila kami katakan tidak, beliau kelihatan terkejut lalu bertanya dari mana dapat dana. Sepertimana biasa kami jawab projek ini kami, 20 co-founders usahakan secara berkumpulan sejak 8 tahun dulu. Ia bermula dari wakaf total berupa WAKAF DIRI Pengasas kami Dr Hj Masjuki bersama isteri (bekas guru Sains) selaku Sukarelawan sepenuhmasa, juga wakaf semua wang simpanan, hartanah, isirumah, kenderaan dan 2 minimarket & rangkaian perniagaan Event Management, Restoran dan pembekalan beliau yang lain. Dana selenggaraan dan pembangunan selanjutnya adalah melalui 10% infak bulanan 10 Co-Founders yang bekerja atau berniaga di luar, diJIMAT belanjakan atas konsep BERPUASA. Baki 10 lagi co-founders turut MEWAKAF DIRI menjadi sukarelawan sepenuh masa tanpa gaji yang bertugas melaksanakan kerja pembinaan rumah ini dan bersama-sama Dr Masjuki mengurus hal ehwal harian anak-anak. Keluarga sukarelawan turut berstatus asnaf fakir RPWP sekarang ini.
YAB PM nampak tertarik dengan konsep itu dan meminta S/U Politik beliau mencari lagi seberapa banyak rumah Amal yang semacam RPWP, namun ternyata tidak menemuinya hingga kini.
SAMBUTAN KHAS,
YAB PM pernah menyatakan hasrat untuk “mencuri-curi” masa untuk datang bersahur bersama anak-anak, namun hajat itu tidak kesampaian akibat kesibukan yang teramat sangat. Anak-anak RPWP pula terlalu ingin untuk melihat wajah beliau dan harap beliau dapat ‘menepung tawar’ atau tolong `koyak plastik’ van sebagai tanda perasmian sebagai pemberi. Akhirnya hajat beliau itu terpaksa dilakukan secara simbolik sahaja di majlis iftar semalam.
Sewaktu anak-anak menerima ‘duit raya’ dalam majlis iftar semalam, kami serahkan cenderahati berupa sebuah foto frame berbingkai putih yang mengandungi isi doa yang dibacakan anak-anak dalam tahlil khas, juga foto-foto kenangan sewaktu bertemu beliau di Pejabat beliau, gambar komputer sumbangan beliau serta van Toyota Hiace putih (yang sedang ditunjuk oleh jari YAB PM dalam foto ini).
Dapat anda lihat betapa mesranya beliau sehingga tergelak ketawa terbahak-bahak di atas pentas lalu mengejutkan semua hadirin dan para pemberita ketika beliau melihat gambar dan penjelasan oleh Dr Hj Masjuki sendiri.
Kami tidak tahu apa lagi nak dikatakan. “IHDINAS SIROOT ALMUSTAQIIM, SIROOT ALLAZINA AN’AMTA ALAIHIM”. Benarlah janji Allah, jika kita laksanakan setiap hidayahNya dengan Istiqomah, akan ada satu NIKMAT yang sangat sukar digambarkan dan dinilai dengan wang ringgit. Iaitu nikmat MARDHOTILLAH, yang terzahir dari senyuman orang yang melaksanakan, dan orang yang melihat perlaksanaan itu.
ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA
Sejak kebelakangan ini, kami banyak menceritakan tentang sudut baik pemimpin-pemimpin Negara. Beberapa hari lepas kita menceritakan tentang pengkisahan oleh anak-anak kami tentang apresiasi mereka kepada Tokoh Negarawan Malaysia, Tun Dr. Mahathir dalam kebijaksanaan beliau merekabentuk dan menjadi “jurutera” Ketamadunan Malaysia semasa iftar sambil belayar dengan Cruise Tasik Putrajaya. Hari ini kami bercerita tentang orang nombor 1 Negara pula.
Janganlah ingat kami ini orang yang partisan, juga janganlah ingat kami kaki kipas pula. Orang berbudi kita berbahasa dan bukannya membalasnya dengan bahasa-bahasa yang kesat di dalam facebook dan lain-lain. Sejak awal penubuhan lagi kami TIDAK PERNAH ikut rentak kutukan terhadap mana-mana pemimpin tidak kira dari parti mana mereka datang. Mereka juga manusia yang ada melakukan kesilapan dan apabila mereka berbudi, wajarnya kita balas dengan “bunga” dan bukannya “najis”.
Dalam hidup kita ini sekalipun, apabila orang melihat kita ini sudah “Baik” bukanlah bermakna kita sudah baik sangat, hanya kerana “keburukan kita tidak dibukakan”, itu prinsip hidup kami dan itu yang kami ajarkan kepada semua anak-anak kami.
Atas sebab itu juga, semalam menjadi `satu kelainan’ apabila PM terkejut dengan cenderahati kami kepada beliau yang tidak seberapa itu. Hanya sekadar frame gambar bersama nukilan DOA ditengahnya. Menurut salah seorang pegawainya, biasanya mereka akan `kawal’ apa yang mahu diberikan kepada YAB PM kerana ramai yang menyelitkan surat-surat `projek’ untuk ditandatangani oleh PM. Itu tidak terjadi kepada kami walaupun jalan telah dibuka bagi mempermudahkan sebarang urusan-urusan kami melalui pegawai-pegawai tertinggi di PMO. Kami menilai perjumpaan itu satu rahmat PERSAUDARAAN dan bukan melihat YAB PM sebagai seorang “Santa Claus” yang kita dambakan hadiah yang keluar dari karung-karungnya.
Yang ingat kami ini partisan, kami juga pernah menceritakan tentang YB ADUN Bangi, Dr. Hj Shafie, Puan Zaitun Pegawai Khas EXCO Kebajikan Kerajaan Selangor, Ketua Kampung dan lain-lain peribadi pemimpin dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebelum ini kerana keprihatinan mereka terhadap kami di sini. YB Dr Hj Shafie contohnya, pernah menjadi seorang wakil rakyat yang sangat prihatin sehingga tiba hampir sama cepatnya dengan Anggota Bomba & Penyelamat semasa bilik buku anak-anak kita dijilat api sebelum ini.
Kami selesa dengan cara ini dan kami mampu menyatakan KEBAIKAN mereka ini tanpa mengira parti dan ideologi politik mereka sebagai tauladan kepada masyarakat umumnya. Sekiranya ada saranan dalam bentuk kritikan pula, kami memilih untuk tidak melalui pengumuman di facebook atau internet yang boleh menjatuhkan airmuka mereka. Kami akan lakukannya dengan telus secara tertutup sekiranya kami diberi peluang. Kami pernah menyatakan bahawa melontarkan kata-kata kesat kepada pemimpin atas apa jua sebab kesalahan mereka bukanlah cara Islam, rujuk posting sebelum ini (Budaya Mengutuk Pemimpin). Ada juga yang tidak setuju tetapi kami KEKAL memilih mengikuti cara Allah & Rasulnya berbanding menurutkan amarah yang membakar.
PENGHARGAAN KHAS
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah menghidayahkan hamba-hambanya dalam isu ini.
Terima kasih tak terhingga kepada Y.Bhg Dato’ Jailani Ngah, Dato’ Mohd. Po’ad Jelani, En. Mohd Rafiq Shariff dari Yayasan 1Malaysia, Dato’ Rozilan Salleh, Saudara Lutfi, warga PMO Volunteers – Wari, Shakirin, Asrul Ependi dan semua warga PMO yang telah menjadikan asbab atas apa yang kami terima ini. Syukur atas segala perkongsian kasihsayang dan sokongan yang telah diberikan kepada kami.
Sempena Ramadhan yang semakin di penghujung dan Syawal yang bakal menjelma ini, kami mengajak sekalian hamba rakyat berdoa agar diterima Allah akan taubat hambanya YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak. Semuga diterima amal beliau dan diberi hidayah untuk beliau memimpin negara ini dengan bijaksana dan adil. Jika kita berbuat baik, Allah akan kembalikan kebaikan itu kepada diri kita juga. Doa yang sama juga akan kembali kepada `pendoa kebaikan’ untuk insan lain.
Marilah kita bersihkan diri dari sebarang pertelingkahan dan dendam kesumat, kembalikan fitrah berkasih sayang sebagai saudara seISLAM menurut apa yang telah “Allah tetapkan fitrahNya”, sempana Ramadhan dan Syawal, Hari Raya Aidilfitri ini (Eid =kembali, Fitri=Fitrah).
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir batin
Alhamdulillah
Catitan Kesyukuran oleh,
WARGA PRIHATIN
RUJUKAN:
Surah (9) At-Taubah:
20. orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.
102. Dan ada yang lain mengakui kesalahan-kesalahan mereka; mereka telah mencampuradukkan amalan yang baik dengan yang lain, yang jahat/buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih.
103. Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoa (selawat)lah untuk mereka. Sesungguhnya doa/selawat kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
104. Tidakkah mereka mengetahui, bahwasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahwasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?
105. Katakanlah, “Beramal (bekerja)lah, dan Allah pasti akan melihat amalan kamu, dan rasul-Nya, dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada-Nya, yang tahu yang ghaib dan yang nyata, dan Dia memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
111. Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan syurga; mereka berjuang di jalan Allah, (samada) mereka membunuh dan mereka dibunuh; itu ialah satu janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan al-Qur’an; dan siapakah yang lebih menepati perjanjiannya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli kamu yang kamu memperjualbelikan dengan-Nya; itulah kemenangan yang besar.