Minda Jumaat – Rahsia Al-Kahfi 9

00 KAHFI 9

Minda Jumaat – Rahsia Al-Kahfi 9

Baru sehari lalu kita sama-sama bercuti untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w.. Banyak ceramah Maulidurrasul di sana sini. Ramai juga penceramah yang sudah berani menyedarkan kepincangan kita mengenai amalan ritual dalam isu sambutan ini. Oleh itu, sempena bulan Maulidurrasul ini kami ingin mengambil peluang untuk kongsikan ciri ‘rasul’ yang terdapat dalam ayat terakhir surah al-Kahfi, ayat 110 ini.

Dalam siri yang lalu ada kami jelaskan bahawa surah al-Kahfi adalah penjelasan Allah tentang pembahagian dua zaman. Akhirat dan kiamat ada tanda dan semboyannya. Setelah kegemilangan agama yang telah dibangunkan oleh orang terdahulu itu berakhir, ia akan dilihat tidur dalam pertapaan dan tidak kelihatan aktual praktisnya dipermukaan masyarakat.

Antara teguran yang harus kita ambil berat ialah tanda-tanda berakhirnya zaman kegemilangan itu. Telitilah hadis-hadis tanda akhir zaman yang begitu banyak berlegar di pasaran. Antara yang terkait dengan isu Maulidurrasul ini ialah kebimbangan tentang kekeliruan akidah, antara menyembah Allah dengan menyembah rasul.

NABI MUHAMMAD MANUSIA BIASA, BUKANNYA ANAK ALLAH

Allah adalah AL-ILAH, SATU-SATUNYA sembahan. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. Oleh itu tidak boleh sama sekali kita memperuntukkan apa-apa bahagian sembahan atau pengabdian kita selain kepada Nya sahaja. Nabi Muhammad telah disebut dengan nama AHMAD dalam SURAH 61. Ash Shaff ayat 6.

Dan ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang NAMANYA AHMAD.” Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata.”

Menyentuh isu Maulidurrasul ini, kami bersetuju dengan pandangan beberapa ulamak yang menyentuh tahap pengagungan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh masyarakat sekarang yang agak keterlaluan. Banyak tanda-tanda yang kita sudah masuk ke tahap menyembah Nabi. Bahkan isu ini sudah menular kepada menyembah orang alim, imam, ustaz dan pemimpin.

Gejala ini telah berlaku pada umat-umat terdahulu. Allah sangat cemburu dengan sebarang unsur menduakan sesembahan terhadap Nya. Ini jelas dinukilkan dalam quran. Antaranya dalam Surah 9. At Taubah, ayat 31.

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada ILAH selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.”

Ramai ilmuan yang mula sedar dan menyarankan agar kita tidak meneruskan amalan sambutan Maulidurrasul kerana ia adalah satu bidaah katanya. Bagi kami janganlah pula kita menjadi terlalu jumud pula, tidak salah kita sambut kelahiran baginda s.a.w. seperti saranan sebahagian penceramah dan ilmuan agama yang agak rigid. Bahkan takwim sambutan ini jauh lebih baik daripada kita menganjurkan malam maksiat ambang merdeka, ambang tahun baru, valentine day dan sebagainya.

Yang penting kita isikan program itu dengan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk menyambung perjuangan Baginda s.a.w.. Isikanlah program itu dengan ilmu dan kobaran semangat agar kelalaian pada generasi baru khususnya dapat disedarkan. Menyingkap semula sirah nabi, jejak langkah nabi yang penuh dengan strategi, yang dipenuhi dengan perit getir sepanjang perjuangan dakwah baginda akan menjadi sangat membina semangat generasi muda InsyaAllah.

Kami setuju dengan beberapa penceramah yang menegur ummat zaman ini yang marah dengan karikatur Nabi, tapi mereka sendiri memijak-mijak sunnah melalui tindak tanduk serta prinsip hidup seharian mereka yang sangat durhaka. Kita sangat marah dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang lain, namun kita sendiri tidak menjaga imej Allah melalui tindak tanduk hidup kita. Bahkan kita tidak kenal pun Allah secara hakikatnya. Kami juga boleh menerima saranan bahawa pembaziran dari perbelanjaan yang besar untuk perarakan seperti kos pakaian, sepanduk dan banyak lagi pembaziran dana dan masa. Mungkin ada rasionalnya untuk dihentikan.

AHMADUN HADI MUHAMMAD

Individu yang bernama AHMAD itu adalah penghulu nabi-nabi. Baginda s.a.w. adalah penunjuk jalan atau contoh uswah terbaik dalam seruan agama hingga ke peringkat paling sempurna. Baginda s.a.w. adalah penerima al-Quran, kitab Samawi yang terakhir. Kitab itulah berita besar (an-Naba’) yang telah menyempurnakan Nubuwwah dan kenabian baginda, selaku penutup nabi-nabi.

MUHAMMAD pula adalah GOLONGAN INSAN-INSAN TERPUJI, yang telah menjadi utusan Allah untuk sekalian manusia sejak zaman Adam a.s. hingga akhir nanti. Golongan ini adalah yang berjaya menampilkan akhlak terpuji dan menjadi contoh kepada manusia. Mereka wujud dan berfungsi silih berganti untuk terus menyebar risalah Allah hingga akhir hayat dunia. Kerana itu, Syahadah mereka semuanya telah bersandarkan kepada ‘Wasyhadu anna Muhammadan Rasulullah”.

Tidaklah nabi itu bertindak atas nama peribadi, melainkan atas dasar Nahniah (KAMI) bukan Ananiah (AKU). Kerana itu baginda Rasulullah saw sendiri bersyahadah dengan NAMA MUHAMMAD yang sama. Tidaklah baginda meletakkan penyaksian baginda pada diri sendiri. Yang wajib menjadi akidah kita ialah bahawa baginda lah insan mulia terakhir yang menerima alquran, kitab paling sempurna. Baginda s.a.w. juga yang telah berjaya menunjukkan uswah terbaik dan paling sempurna sehingga manusia lain zaman berzaman tidak lagi memerlukan contoh lebih baik dari baginda.

Berdasarkan ayat terakhir surah al-Kahfi yang kami paparkan di gambar hiasan itu, yang membezakan Rasulullah dengan orang awam, munafik dan musyrik ialah bimbingan wahyu dan tahap pengabdiannya.

33. Al Ahzab

38. Tidak ada suatu keberatanpun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. Sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

39. orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

40. MUHAMMAD itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

KESIMPULAN

Mari kita kembali menghayati fungsi rasul untuk kita warisi, kita sambung perjuangannya dengan ilmu yang hak, bukan dengan sentimen yang berbentuk gosip dan politik. Mari kita perhatikan dalam-dalam maksud ayat terakhir surah al-Kahfi ini.

Allah sendiri jelaskan bahawa para Nabi adalah manusia biasa seperti kita. Stigma MAKSUM yang kita fahami bahawa nabi itu terpelihara dari kesilapan telah nabi tunjukkan uswahnya. Allah sendiri nukilkan dalam banyak ayat bahawa para nabi, dari Adam a.s. hingga Muhammad s.a.w. juga telah melakukan kesilapan. Banyak Allah nukilkan teguran yang dapat kita baca kisahnya dalam quran sendiri. Allah nukilkan kesilapan Adam a.s. dengan isu KHULDInya, juga Musa a.s. yang tidak sabar dengan gurunya, bagaimana kesilapan nabi Muhammad sa.w. melayan sibuta, yang terpengaruh dengan fitnah terhadap isteri baginda dan sebagainya.

Yang menjadikan mereka MAKSUM itu ialah mereka mampu muhasabah diri, mereka ditegur oleh Allah sendiri dan mereka segera menyedari serta bertaubat tanpa tangguh. Tidak seperti kita yang mengalami kesilapan dan mengulanginya secara berterusan. Kita juga sering sukar untuk mengakui kesilapan dan beristighfar. Itu sahaja bezanya.

Janganlah kita merasa rendah diri sehingga menjejaskan kemampuan kita memikul amanah yang telah diwariskan oleh baginda kepada umat selepas ketiadaan baginda. Yakinlah dengan kualiti kemanusiaan yang telah Allah jadikan pada diri kita untuk memikul amanah ini. Susun takwim diri dan masyarakat kita dengan takwim yang baik, InsyaAllah kita akan mampu menunjukkan kepada dunia akan kebaikan Islam dan Muslim. Semuga dengan itu ISLAMOFOBIA akan dapat kita padam dari kamus dunia.

Minda Jumaat – iqra’ al-Kahfi
WARGA PRIHATIN.