Mabuk, Rogol, Bunuh – Satu Mata Rantai Jenayah Remaja
Pelajar Tingkatan 4 Mati Dirogol & Dibunuh Kejam
February 26th, 2012 Ali
Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut, dipercayai dirogol sebelum kepalanya dibenam di dalam kolah di bilik air rumahnya di Taiping, petang kelmarin.
Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi (SMKDWAR) itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.
Dalam kejadian jam 4.30 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, mangsa dikenali sebagai Nurul Aien Mohd Saimon ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung jam 4.30 petang.
Kes bunuh Nurul Aien selesai
March 3rd, 2012
Polis yakin kes pembunuhan kejam Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang ditemui mati dengan kepala dan separuh badan terendam dalam air kolah dipenuhi air di bilik mandi rumahnya, pada 24 Februari lalu, selesai susulan penahanan seorang remaja di Pulau Pinang, semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Tasik Gelugor, Seberang Prai, kira-kira jam 4 pagi.
Katanya, suspek yang membantu perniagaan keluarganya tinggal berhampiran rumah mangsa dan mengenali remaja wanita terbabit.
“Polis menemui telefon bimbit mangsa pada suspek sebaik dia ditangkap. Suspek juga pernah terbabit dengan kes jenayah lampau mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mendatangkan kecederaan kepada orang lain, kira-kira satu setengah tahun lalu.
“Berikutan tangkapan ini, kita percaya kes bunuh ini dapat diselesaikan walaupun kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif sebenar pembunuhan itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Suspek terbabit dipercayai lari dan menyembunyikan diri di Pulau Pinang selepas kejadian pembunuhan itu.
Yusuf berkata, polis mempunyai keterangan cukup bahawa suspek terbabit dalam kes bunuh berkenaan.
Katanya, suspek direman selama seminggu dan disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Dua lagi remaja yang ditahan sebelum ini tiada kaitan dengan kes berkenaan dan sudah dibebaskan,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam, dipercayai cuba dirogol dan dicabul di rumah mereka di Kampung Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering.
Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat Nurul Aien yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.