LUPUS KERETA 12 TAHUN MEMBAWA DERITA DARI GEMBIRA – DARI SUDUT PANDANG WARGA PRIHATIN.
LUPUS KERETA 12 TAHUN MEMBAWA DERITA DARI GEMBIRA – DARI SUDUT PANDANG WARGA PRIHATIN.
ALHAMDULILLAH .. kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas pembatalan cadangan perintah lupus terhadap kenderaan berumur 12 tahun ke atas oleh pihak kerajaan. Sekurang-kurangnya rakyat yang dhaif tidak tersiksa menanggung beban kewangan dan dosa riba yang berterusan. Ia digantikan dengan pemeriksaan kawalselia pada tahun ke 12 untuk menentukan samaada kereta itu masih selamat atau sudah tidak selamat lagi. Kami masih khuatir tentang itu juga dan kami juga harap ia dapat dilakukan secara telus dan memberi kelebihan kepada pengguna kereta melebihi 12 tahun.
Kekecewaan dari janji agar minyak tidak naik selepas pilihan raya masih belum reda. Harga gula yang baru naik dan pengumuman perlaksanaan GST juga masih berdarah lukanya. Janganlah ditambah lagi beban rakyat dengan arahan melupus kereta pula. Kami marhaen yang kais pagi makan pagi dan ingin membersihkan diri dari dosa riba ini tiada pilihan, terpaksa menggunakan kereta lama untuk keperluan keluarga. Negara kita kaya, tetapi masih ada ramai marhaen yang masih belum mampu untuk hidup pada perlaksanaan polisi seperti sebuah Negara maju.
Kerana kekangan kewangan, kami jaga kereta lama kami. Yang rosak kami baiki. Biar terpaksa berulang alik ke PUSPAKOM berkali-kali, namun kami tetap sabar dan memujuk hati. Biarlah si kaya asyik tukar kereta dan menambah harta, kami redha dengan rumah sewa dan kereta lama. Semata-mata kerana kami tidak mahu menambah hutang dan menanggung dosa riba.
Kemalangan yang diwar-warkan kerana kereta lama itu tidak selamat dan merbahaya harus dikaji semula. Kemalangan maut biasanya melibatkan kelajuan yang tinggi. Kelajuan terlampau biasanya hanya berlaku pada kereta baru dan mahal. Kemalangan yang berlaku pada kereta lama kurang membunuh. Ini kerana kelajuan terbatas. Kami harap pelupusan itu dicadangkan bukan atas dasar memberi laluan kepada pihak tertentu membuat lebih banyak keuntungan dalam penjualan kereta baru, atau mengayakan peniaga besi buruk yang tidak mengira halal haram sejak dahulu.
Pemandu dan pemilik kereta lama juga sering saja mengalah terutama bila berhadapan dengan kereta orang kaya yang mahal. Lihatlah di lebuhraya bagaimana kereta lama dihalau ketepi oleh panahan lampu kereta baru yang sangat laju. Si Miskin mengalah kerana sedar yang diri miskin dan tidak ada wang untuk membaikpulih jika bergesel dengan kereta baru, jauh sekali dari mampu membayar saman trafik dek kerana kelajuan.
Apapun, terima kasih sekali lagi kita ucapkan kepada kerajaan kerana sudi mendengar rintihan rakyat miskin yang kais pagi makan pagi. Mereka hanya mampu memilikki kereta lama yang sudah tidak dipandang oleh orang kaya yang mampu dan penuh berselera dengan model-model baru. Lihatlah gambar hiasan yang memaparkan umur dan jenis kereta yang harus dilupus. Masih cantik dan kukuh bukan? Cuma model lama itu adalah bekas-bekas tinggalan orang kaya. Berilah peluang Si Miskin merasa. Jika tidak kami terpaksa turun naik bas dan keretapi lah jawabnya.
BANTULAH RAKYAT MISKIN MENGELAK RIBA
Apabila kami paparkan artikel yang mengingatkan pembaca tentang wasiat terakhir nabi SAW mengenai bahaya dan dosa riba, ramai yang merintih. Rata-rata menyatakan kita semua bakal mati dalam ribaan riba. Kita semua bakal mati dalam keadaan melanggar larangan Allah. Tidak kurang yang hilang kelayakan wali nikah kerana riba. Ironinya, majoriti merintih kerana dosa riba dari kos pengajian dan pinjaman perkahwinan, perkara wajib yang melibatkan riba, namun tiada pilihan bagi mereka.
HUTANG PTPTN
Antara keluhan yang sangat banyak ialah mengenai hutang PTPTN. Diringkaskan cerita, kami sedih mengenang pelajar yang tidak berupaya terpaksa menanggung hutang riba tanpa rela. Sebahagiannya tidak mampu bayar kerana gagal mendapat kerja. Itu tidak termasuk anak fakir miskin yang terpaksa segera menanggung orang tua dan adik beradiknya lalu mereka disenaraihitamkan sehingga mungkin yang diishtihar bengkrap dan putus peluang untuk berikhtihar.
Menuntut ilmu itu wajib untuk setiap individu. Ia satu jihad. Orang yang sedang musafir dan menuntut ilmu itu adalah ibnu sabil yang menjadi asnaf. Oleh itu, kami berdoa dan merayu agar kerajaan menimbangkan untuk kembali menyediakan biasiswa. Jika tidak mampu sekalipun, jadikanlah pinjaman PTPTN itu sebagai pinjaman bebas faedah / riba, agar anak-anak kita dapat menamatkan pengajian dengan tenang dan redha.
Memang menjadi kewajipan ibu-bapa untuk membiayai pengajian anak-anak. Namun nasib kita tidak sama. Ada yang mampu ada yang tidak. Jadi kami harap sekali agar kerajaan menimbangkan dengan serius untuk membiayai kos pengajian percuma khususnya kepada golongan asnaf. Kami rasa fungsi Baitulmal juga boleh diperkemas.
KOS PERKAHWINAN
Antara sebab berleluasanya gejala sosial, zina, rogol dan buang bayi adalah kerana mahal dan sulitnya urusan perkahwinan. Selari dengan seruan ini kami berdoa agar pihak kerajaan khususnya melalui jabatan agama dan pembangunan keluarga dapat memperuntukan dana untuk membantu golongan muda yang ingin mendirikan rumahtangga.
Respon pembaca menunjukkan ramai sekali dari kalangan mereka yang masih menanggung hutang perkahwinan dari bank yang melibatkan riba walaupun sudah beranak dua. Malah ada yang kelihatan tertekan, tidak lalu makan sampai tubuh kurus kering, semasa datang bercerita sambil menitiskan air mata. Tidak kurang kes perceraian kerana perbalahan membayar balik pinjaman perkahwinan.
Dosa riba lebih berat dari dosa zina. Demikian wasiat Baginda SAW. Malangnya anak-anak muda yang berkahwin untuk mengelakkan zina berada dalam dilema. Melibatkan dosa lebih besar untuk mengelak zina. Rata-rata terpaksa berhutang dan melibatkan diri dengan riba untuk urusan itu.
Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk menyeru para ibu bapa untuk kembali membesarkan Allah. Jadikanlah urusan perkahwinan anak-anak kita atas dasar Basmallah. Janganlah lagi terlalu memberatkan pasangan dengan segala macam karenah dunia. Ingatlah wasiat Nabi. Perkahwinan yang paling baik adalah yang paling rendah maharnya.
Kita seharusnya sedih melihat nafsu ibu bapa yang suka membebankan anak mereka. Pertunangan yang tidak seharusnya diwar-warkan menjadi sama besar dengan majlis perkahwinan dengan belanja yang terlalu bermegah-megah. Ada pula yang bertunang sehari sebelum majlis kenduri pernikahan, hanya semata-mata kerana menjaga adat. Inilah akibat dari wali yang kurang kefahaman dalam urusan keluarga pada sudut agama.
RUMAH BEBAS RIBA
Ramai di kalangan kita yang hidup dengan penuh keterpaksaan dalam isu rumah. Namun terlalu ramai juga yang ghairah untuk bermewah-mewah. Sudah ada sebuah rumah, mahu tambah lagi dan lagi untuk mengumpul harta yang kononnya satu pelaburan. Itu penyebab utama kenaikan harga rumah yang lalu menyebabkan orang yang kemampuannya “paras hidung” terus lemas dalam ketidakmampuan memiliki hartanah untuk mereka sendiri. Sudahlah yang membeli itu buat riba, lalu yang membeli dari pemilik pertama juga membuat riba. Segalanya kerana kemudahan pinjaman yang menambah riba, menaikkan permintaan dan menyebabkan rumah naik harga.
Lebih menyedihkan lagi adalah tabiat gelojoh dan bermegah-megah sebahagian dari kita, khususnya pasangan muda yang berpelajaran tinggi namun rendah kefahaman agama. Ekonomi keluarga belum kukuh, rumah yang sedia ada pun masih berhutang namun tergamak ambil loan baru untuk renovasi yang berganda-ganda kosnya dari harga asal rumah itu sendiri. Itu tidak masuk berbagai-bagai peralatan canggih isi rumah yang juga dibeli atas dasar pinjaman dan riba. Mereka hidup dalam keadaan tertekan, tiada keberkatan dan akhirnya kesemuanya tergadai.
Sepanjang perjalanan melalui jalan desa, kita dapat lihat terlalu banyak rumah lama yang terbiar reput. Kebun menjadi belukar. Pohon kelapa dan pinang, rambutan dan durian tidak terbela. Lebih malang lagi, sesetengah rumah lama itu ada penghuninya, warga emas yang turut terbiar merana sendirian. Banyak juga kes rumah terbakar dan warga emas rentung bersama rumahnya.
Alangkah baiknya kita fikir-fikir semula untuk kembali hidup dengan cara lama. Kita buru keberkatan hidup melalui cara desa. Kita pakat-pakat keluarkan peluh bercucuk tanam, menternak dan memelihara ikan, agar dapat kita beri makan keluarga dari hasil bumi yang bebas kimia. Kita baiki rumah lama tanpa libatkan riba, sambil membahagiakan orang tua yang telah lama berkorban untuk kita. Kita didik keluarga kita hidup bermasyarakat yang saling berkasih sayang, tolong menolong bersama jiran tetangga. Ya… kita kini sudah terlalu jauh dari tanah, asal usul kita. mungkin kerana itu banyak asas kemanusiaan sudah dilupa. Pernahkah sebahagian kita fikirkan sudah berapa lama kaki kita tidak jejak tanah?
KESIMPULAN
Semuga cetusan ini mampu menyedarkan kita. Tidak begitu susah untuk Nabi mengajak umat meninggalkan arak dan zina, mengajak solat dan berpuasa. Namun memperbaiki sistem perekonomian bebas riba ini terlalu sulit dan panjang prosesnya. Ia hanya berjaya di hujung usia dalam usaha dakwah baginda. Kerana itu kita juga harus sabar, tenang dan bersungguh-sungguh memujuk jiwa agar ikut berusaha mengikuti sunnah baginda.
Kepada ibu bapa, ketua keluarga dan pemimpin amnya. Ingatlah akan tanggung jawab kita semua. MENUNTUT ILMU ITU WAJIB BAGI ANAK-ANAK KITA. Memberi pendidikan kepada anak dan rakyat itu menjadi tanggungan kita selaku ibubapa dan pemimpin yang memegang amanah negara. Janganlah paksa anak-anak yang tidak berupaya menanggung dosa riba sedangkan pengajian mereka adalah tanggungan kita.
Perkahwinan itu menjadi kaedah agama untuk mengelakkan zina. Mengahwinkan anak sebaik saja mencapai usia akil baligh mereka adalah menjadi kewajipan kita para ibu bapa. Janganlah terlalu menyembah pangkat dan harta. Janganlah terlalu mengejar nama dan puji puja manusia sehingga kita sanggup menanggung dosa dan menganiaya anak cucu kita, hanya mahu bermegah mengatur perkahwinan mereka.
Kepada pasangan keluarga muda, janganlah diturut kehendak nafsu yang menggoda. Belajarlah hidup bersederhana. Situasi kehidupan sekarang panas dan meruncing sekali. Itulah ramadhan namanya. Belajarlah berpuasa kerana kecukupan itu adalah keberkatan yang hanya datang dengan kaedah puasa. Dapatkan keberkatan, kecukupan mengharung hidup di akhir zaman yang panas ini dengan berpuasa. Fahamilah falsafah RAMADHAN AL-MUBARRAKH.
Selaku pemimpin negara dan ibu bapa, kita harus menyediakan apa yang perlu untuk anak-anak sebagai menjalankan kewajipan kita. Janganlah sampai kita membebani anak-anak kita dengn hutang untuk mebalas jasa kita. Jika ada kemampuan mereka biarlah mereka hadiahkan mengikut kesedaran dan kemampuan mereka buka kerana kita memaksa.
QS 52. Ath Thuur 40 dan Surah 68. Al Qalam 46. Apakah kamu meminta upah kepada mereka, lalu mereka diberati dengan hutang?
CETUSAN MINDA