LUAHAN YANG MELAMPAU
LUAHAN YANG TERLAMPAU
Sekian lama memerhatikan rentak reaksi rakyat yang menghambur caci cerca dengan berbagai gaya bahasa yang sukar untuk diterima di page YAB Perdana Menteri.
Kadang-kadang terasa pelik juga mengapa admin page PM membiarkan sahaja semua kutukan itu tanpa berusaha menyaring dan memadamkannya.
Apa yang terjadi sejak 28 Julai amat mengejutkan sekali. Tidak menyangka reaksi pembaca di Facebook YAB Perdana Menteri selepas pengumuman rombakan kabinet jadi sedahsyat itu.
Sukar dibayangkan kutukan sebegitu boleh berlaku terhadap laman sosial seorang individu yang bergelar YANG AMAT BERHORMAT. Situasi itu turut dilapurkan secara meluas di media.
Ada kalanya jumlah komen itu mencecah sekitar 40,000. Ternyata jumlah itu masih sukar dikurangkan walaupun kami yakin admin page berusaha memadamkannya. Hingga saat artikel ini ditulis pun jumlah yang tertera masih sekitar 24,000.
Tidak dapat dibayangkan apakah persepsi Perdana Menteri UK yang sedang melawat Malaysia terhadap negara kita. Beliau pastinya turut melayari page Perdana Menteri kerana turut di ‘TAG’ oleh PM dalam satu mesej khas yang mengaitkan lawatannya.
Yang nyata ada unsur kebejatan akhlak yang amat berat dalam scenario ini.
Pertamanya fenomena di mana rakyat tidak lagi mampu berakhlak dalam menyuarakan ketidakpuasan hati. Dari media sosial, poster, ceramah bahkan sanggup berdemonstrasi untuk meluahkan isi hati dan rasa benci.
Keduanya fenomena di mana Para Pemimpin kita sudah hilang pertimbangan dan sensitiviti. Rintihan dan suara hati rakyat yang semakin membenci seperti tidak diendahkan sama sekali.
Terlalu tabah dan kebal sekali perasaan mereka ini. Sebagai rakyat kami tidak TERGAMAK mencaci seteruk ini dan terasa malu membiarkan anak cucu melihat dan memerhati.
Jika kami jadi pemimpin juga pasti kami akan segera angkat kaki. Tidak sanggup untuk terus memimpin rakyat yang keterlaluan membenci seperti ini. Apalah guna kuasa dan harta jika rakyat dan orang yang dipimpin bukan sahaja tidak hormat pada kita, malah terus-terusan mencaci dan menghina.
KITA SALUTE. SESUNGGUHNYA PEMIMPIN KITA MEMANG TERLALU “TABAH DAN CEKAL” SEKALI.
Warga Prihatin