Kufurkah apabila pertikai hudud PAS, soal bapa wartawan BFM
Profesor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi berkata, anaknya bukan mempertikaikan undang-undang Tuhan, tetapi undang-undang yang digubal PAS dan akan dikuatkuasakan parti Islam itu.
“Kelakar pula apabila mereka boleh menyiasatnya atas tuduhan melakukan kekufuran apabila hudud yang diulasnya adalah hudud sepertimana ditafsirkan oleh PAS,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Ditemui pada satu forum berkenaan kebebasan beragama, Tajuddin berkata beliau sepatutnya bertindak tanpa memihak kepada mana-mana parti politik.
“Saya sangka polis dan pihak berkuasa tidak memihak mana-mana parti. Tetapi, sebaliknya mereka bertindak berdasarkan tafsiran satu parti politik mengenai hudud,” katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar terdahulu hari ini dilaporkan berkata, polis akan memanggil penerbit stesen radio perniagaan itu dan Aisyah atas dakwaan melakukan kesalahan atas alasan agama mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis menerima sekurang-kurangnya 5 laporan selepas klip video itu diterbitkan pada Khamis, daripada pengadu yang merasakan ia mempermainkan kepercayaan agama.
Beliau juga memberi jaminan yang polis pada masa sama sedang mengesan mereka yang mengancam Aisyah dengan rogol dan bunuh.
Stesen radio itu sejak Jumaat menarik balik klip video itu, yang merupakan kerjasama antara BFM Media dan Projek Dialog di laman YouTube BFM Kupas, dan menerima sekurang-kurangnya 6,000 pandangan dan beratus-ratus komen menghina Aisyah.
Tajuddin berkata hari ini, jika polis mendakwa anaknya melakukan kekufuran, sesuatu yang “tidak masuk akal” apabila pengkritik hudud PAS lain, seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengarah Islamic Renaissance Front Dr Farouk Musa, tidak dikenakan tuduhan yang sama.
Tajuddin berkata Dr Mahathir sebelum ini mengatakan hudud PAS tidak adil kerana ia mewujudkan dua set undang-undang untuk jenayah yang sama, manakala Farouk terang-terangan menolak tafsiran PAS mengenai undang-undang itu.
“Saya sudah tentu tidak melihat apa yang Dr Mahathir atau Farouk katakan itu sebagai menghina. Tetapi jika apa yang Aisyah katakan dianggap satu kekufuran, kenapa apa yang mereka katakan tidak dianggap satu kekufuran juga?
“Jika anda mendakwa perempuan saya, saya rasa tidak masuk akal kalau Dr Mahathir juga tidak kena.”
Katanya, tidak seperti Dr Mahathir dan Farouk, Aisyah tidak pun mengkritik undang-undang itu, tetapi semata-mata mempersoalkan masa penguatkuasaannya dan keutamaan kerajaan Kelantan.
Ditanya sama ada beliau percaya Aisyah sepatutnya boleh mempersembahkan video itu dengan cara yang berbeza, Tajuddin menjawab anaknya melakukannya sama seperti semangat asal video itu.
“Itulah gaya Kupas – hebat dan mengesankan, provokatif dan bersifat sindiran. Dia diberi skrip dan dia melakukannya seperti yang dikehendaki. Dia sebenarnya hanya menggantikan pengacara asal.
“Dan mereka yang tersinggung dengan gayanya sebenarnya bukan penonton tetap Kupas, mereka tidak faham falsafahnya, yang ia satu satira,” kata Tajuddin.
Tetapi, beliau berkata, anaknya masih trauma disebabkan ancaman bunuh yang diterimanya, dan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil cuti.
“Saya tidak fikir dia akan buat video lagi untuk BFM pada masa akan datang. Mungkin BFM boleh tawarkan dia kerja lain. Tetapi, pastinya, pilihan terletak di tangannya,” katanya. – 22 Mac, 2015.