KES GADIS HILANG – ANTARA LARI DAN DILARIKAN

00 GADIS HING MENGHILANGKES GADIS HILANG – ANTARA LARI DAN DILARIKAN

Program MHI TV3 pagi semalam memaparkan kisah penyanyi remaja yang hilang dari rumah selama 6 hari. Diberitakan yang beliau dilarikan oleh dua lelaki dengan kaedah pukau ketika menyidai kain di luar rumah. Selepas 6 hari, seorang wanita membuat panggilan kepada ibu mangsa menggunakan telefon awam memberitahu anaknya berada di kaki lima kedai di Seri Kembangan dan meminta ibu mengambilnya.

Dalam wawancara panjang lebar di tv, kami memerhatikan bahasa badan dan butir bicara anak, ibu dan bapa. Si anak mengatakan tidak ingat apa yang berlaku dan tidak cam wajah ‘penculik’. Beliau juga tidak ingat apa yang berlaku walaupun sudah 6 hari berada ‘di tangan penculik’. Antara yang menarik juga untuk diperhatikan ialah apabila si bapa mengatakan kita tidak boleh percaya apa kata si anak, hanya Allah yang tahu kebenarannya.

Tindakan bapa sejak kehilangan anak hanya membuat lapuran polis dan duduk bertawakkal kepada Allah dengan solat hajat dan berdoa. Si bapa yakin semua yang berlaku adalah dengan kehendak dan kuasa Allah semata-mata. Dari kes-kes yang dirujuk kepada kami, didapati bentuk tindakan bapa seperti ini sudah menjadi trend. Selain bertawakkal, ada juga yang berusaha lebih sedikit dengan menggunakan khidmat bomoh. Ada kes bapa yang tahu lelaki india yang melarikan anaknya, namun hanya menunggu sahaja anak pulang sendiri sehingga lebih 2 bulan tanpa membuat lapuran polis pun.

Sepanjang wawancara semalam juga tidak menampakkan sedikitpun kesedihan pada anak gadis pasangan ini. Pengacara dengan bangga menceritakan bahawa penyanyi kecil ini sudah mula menyanyi sejak umur 8 tahun. Gambar-gambar yang dipaparkan turut memperlihatkan aksi seksi dan mengiurkan sewaktu anak ini menyanyi sejak kecil lagi. Di hujung wawancara, anak ini menyanyi dengan penuh ‘bergaya’ dan ‘memukau’ sekali. Semua lirik dapat diingat dengan baik.

Anda yang telah menonton wawancara semalam mungkin boleh turut memberikan ulasan yang bernas untuk sama sama kita fikirkan apakah pertimbangan dan langkah yang wajar selaku ibubapa.

STATISTIK KEHILANGAN GADIS REMAJA

Sukar untuk kami kongsikan satu fenomena dengan hanya melihat pada satu dua kes terpencil. Lalu kami buat carian merujuk kepada kes yang sama. MasyaAllah, terlalu banyak sekali kes anak gadis sunti hilang sebegini. Ada juga kes yang polis sendiri sahkan bahawa lapuran palsu sengaja dibuat untuk melindungi maruah keluarga. Anda google saja ‘gadis hilang atau lari rumah” dan kita akan dapati deretan berita mengenainya.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes remaja lari dari rumah dengan 6,270 kes dicatatkan sejak 2004 hingga Mei tahun 2007. Ia meningkat di mana pada tahun 2010 sahaja angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan remaja seawal usia 10 hingga 17 tahun. Majoritinya gadis dalam lingkungan 13-16 tahun.

Ikut kekasih, pengaruh kawan dan ingin bebas adalah tiga sebab utama yang dikenal pasti polis sebagai punca utama remaja lari dari rumah. Selebihnya adalah kerana pergeseran atau krisis dalam keluarga. Statistik yang 16-20 kes sehari yang diumumkan 2010 dahulu sudah tidak tepat lagi. Adakalanya ia melebihi 150 kes sehari. Lebih mengelirukan ialah kebanyakkan kes tidak dilapurkan kepada pihak pilis sama sekali. Itulah hasil kajian dari kes yang dirujuk kepada kami.

Sebelum ini telah banyak kami kongsikan ulasan mengenai kes dan gejala ini. Kali ini ada sedikit bingkisan paparan yang kami sediakan untuk renungan bersama. Sila klik link berikut,

http://prihatin.net.my/web2/2014/02/05/kisah-benar-yang-menggemparkan-jenayah-seksual-kanak-kanak-berleluasa/
http://prihatin.net.my/web2/2014/02/06/jenayah-bunuh-dan-rogol-kanak-kanak-semakin-menjadi-jadi/

http://prihatin.net.my/web2/2013/10/15/tid-bit-parenting-28-zina-anak-sekolah-satu-bencana/

http://prihatin.net.my/web2/2014/02/06/ibu-penaja-syurga-dan-neraka-anak-anak/

http://prihatin.net.my/web2/2013/12/18/kita-masih-ego-menyalahkan-takdir-dalam-kes-jenayah-juvana/

http://prihatin.net.my/web2/2013/12/18/biar-gambar-dan-firman-berbicara/

MENELITI KRONOLOGI DAN KAEDAH MENANGANI REMAJA HILANG

Selain dari apa yang disebutkan di atas, punca kehilangan remaja dari rumah adalah dalam bentuk pekej. Untuk menanganinya, kita harus meneliti secara komprehensif. Ini bukan masa kita hanya menuding ibu bapa, pihak sekolah, kerajaan, rakan sebaya, pengaruh media, internet malah anak kita sendiri. Kesemua faktor penyebab ini harus diteliti dan ditangani satu persatu secara kaffah.

Sejak lahir, anak yang diibaratkan seperti sehelai kain putih perlu dididik dengan nilai agama. Anak perlu diasuh. Pada usia tujuh tahun dilatih sembahyang dan jika usia 10 tahun mereka tidak lakukan amalan itu, boleh dirotan. Begitu juga dengan rukun Islam yang lainnya seperti syahadah dan puasa. Disinilah letaknya perbezaan antara mendidik anak atau menternak anak.

BAGAIMANA SOLAT YANG BERKESAN UNTUK MENDISIPLINKAN ANAK?

Kami melihat kegagalan kaedah mendidik anak menurut kaedah ritual solat ini. Memang ramai ibubapa yang sudah tidak menekankan soal ritual solat pada anak-anak kerana takut memakan masa pembelajaran. Malah begitu ramai anak-anak yang tidak bersekolah agama dan tidak tahu solatpun. Lebih parah lagi kerana ibubapa sendiri tidak menekankan soal solat.

Yang ingin kami tekankan di sini ialah satu lagi bentuk kegagalan bagi yang telah berjaya menekankan soal ritual ini. Maksudnya ialah, ramai ibubapa yang tidak memahami hakikat solat dan bagaimana ia harus ditanamkan ke minda anak-anak agar disiplin Ritual solat harus dibawa ke luar solat secara Aktualnya. Bagaimana aura (aurat) anak gadis di luar solat adalah sama dengan dalam solat. Bagaimana disiplin melaksanakan ikrar dalam iftitah, amalan kepatuhan, pengabdian terhadap murobbi, mengikuti prinsip fatihah dalam solat itu harus diamalkan di luar solat.

Ramai juga pembaca yang bertanyakan pendapat kami dengan trend ibubapa yang bersusah payah, sibuk berusaha menghantar anak memasukki pertandingan realiti tv, idola kecil itu dan ini. Apakah kesan jangka panjang trend ibubapa sebegini terhadap sahsiah dan akidah anak-anak.

Inilah satu perkara yang ingin kami tekankan. Jika kita asah minda anak kita dengan minat terhadap cara hidup Islam, maka itulah yang menjadi amalan dan perjuangan anak-anak kita. Jika sejak kecil sudah kita tanamkan minat terhadap hiburan, kelucahan dan seksi siksa, maka itu jugalah yang bakal mereka teruskan dan besarkan sampai bila-bila. Akhirnya kita juga yang kewalahan apabila habit sudah menjadi habitat.

Dalam paparan kes semalam, isu ini juga mungkin terkait. Ramai ibubapa yang menganggap remeh soal menutup aurat dan gaya hidup anak-anak. Sebahagian dari kami juga beranggapan begitu sebelum ini. Sebahagian ibubapa malah berbangga jika anak gadis mereka sudah kelihatan seksi sejak berumur 8 tahun lagi. Mereka lupa rentetan kes anak seumur 2 – 5 tahun sudah ramai yang diperkosa. Inikan pula anak yang sudah remaja.

Sukar untuk kami menerima hakikat ibubapa yang bertudung lingkup boleh dengan bangga membiarkan anak mereka yang bertudung ketika di sekolah, tapi berpakaian seksi seksa, menghurai rambut ketika keluar sendiri atau bersama keluarga. Sering kita lihat anak gadis seksi keluar rumah bertemu posmen, menyidai kain, mangambil surat khabar di pagar dengan pakaian tidur, berkemban dengan tuala mandi dan sebagainya.

Mustahil kita tidak tahu batas aurat yang wajar saranan agama kita. Yang pasti hanyalah sifat degil dan mencabar cara hidup selamat yang telah Allah berikan selaku pencipta kita. Ironinya, bila bencana yang terkait dengan itu menimpa, kita suka-suka sahaja berkata itu semua kehendak Allah, kemudian duduk bertawakkal kepada Allah.

Apakah maksud sebenar yang kita bertawakkal? Apa yang kita wakilkan kepada Allah? Ia adalah bila kita bertawakkal, berwakilkan kepada sistem hidup yang telah Allah sarankan. Itu hakikat bertawakkal dengan hudud/batas kehidupan saranan Allah.

Jika ramai yang mengikut hududullah, maka suasana akan jadi aman. Jika tidak, maka kita tiada pilihan, memanglah semua bencana ini telah menjadi ketetapan, ketentuan, qada’ dan qadar Allah belaka. Ini kerana jelas telah Allah katakan, “bencana dan kecelakaan yang menimpa adalah hasil perbuatan tangan kamu sendiri” dan “Allah tidak akan mengubah nasib melainkan kita berusaha mengubahnya”, iaitu dengan mengikut caraNya.

Kajian oleh Pensyarah Jabatan Bahasa dan al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa, Zahazan Mohamad, tidak sampai 10 peratus ibu bapa menadah tangan berdoa untuk anak mereka, sebaliknya bergantung kepada doa imam atau alim ulama,” katanya. Bagaimana hakikat doa? Mengapa jika ada yang berdoapun, doa kita tidak menjadi? Ini satu hal yang perlu juga kita fahami aktual di sebalik ritual doa itu sendiri. Silalah rujuk sains doa dalam artikel kami yang lalu.

HUDUDKAN PENGARUH LUARAN

Pengaruh media elektronik seperti TV, internet dan laman sosial tidak boleh dinafikan lagi. Nasihat kami, jangan belikan tablet, smartfone, laptop untuk anak yang belum kita yakini tahap kematangan dan ketaatannya. Sebaliknya jika ada keperluanpun, belikan sahaja PC dan letakkan di ruang tamu agar mudah kita memantau.

Selaku ibubapa yang bertanggungjawab, kita harus ada rasa curiga dengan apa yang dilayari oleh anak-anak kita. Pelajari kaedah apa sahaja untuk kita memantau kegiatan mereka seperti menggunakan kaedah cctv, kaedah IT Inteligence dan sebagainya. InsyaAllah ada masa nanti akan kami kongsikan semua kaedah itu melalui satu bengkel khas secara talaqqi agar dapat kita kongsikan bersama manafaatnya.

Pemilihan saluran tv dan astro, pemilihan lagu-lagu hiburan, majalah dan novel bacaan juga harus dipantau dan dihududkan biar apapun keadaannya. Gadis atau remaja masih rapuh jiwanya. Mereka sangat mudah terpengaruh dan setelah terjebak, sukar untuk akal mereka memujuk nafsu. Ingatlah, kerosakan yang berlaku adalah bersifat KEKAL dan tidak boleh dipulihkan.

Apabila anak-anak remaja telah terlanjur menanam minat yang mendalam terhadap maksiat dan hawa nafsu, maka kita akan kesukaran mengawal atau mengembalikan semula akidah / ikatan mereka terhadap Allah. Ketika inilah ramai yang akan menyalahkan ibubapa. Pemantauan ketat oleh ibubapa tatkala anak sudah terlanjur meminati kemungkaran malah menjadi penyebab mereka memberontak dan lari rumah untuk mencari kebebasan. Apa yang mampu hanyalah mengapit gerakan mereka melalui individu yang bersifat malaikat sepanjang masa.

KESIMPULAN

Tidak mampu kami ceritakan semuanya kerana ia akan menjadi terlalu panjang. Yang penting ialah pencegahan awal melalui pembentukan minat dan pendidikan. Coraklah pemikiran dan gayahidup anak-anak yang ibarat kain putih itu mengikut corak agama kita. Didiklah anak sejak lahirnya.

Didik sensitiviti pendengaran dan pengelihatan anak melalui respon pendengaran dan pengelihatan kita terhadap mereka sewaktu dalam buaian lagi. Sahut panggilan mereka melalui tindakan pantas, sebolehnya kurang dari 10 saat apabila ia menangis. InsyaAllah dia akan mendengari kita sepantas itu apabila dewasa. Itulah balasan syurga bagi ibu bapa.

Jadilah ibubapa yang sensitif apabila melihat anak. Sering berinteraksi, lontarkan senyuman, menyapa dengan soalan apabila terlihat anak. Jangan melihat sesuatu yang tidak kena pada bahasa tubuh, gaya tutur atau pakaian anak kita dengan sebelah mata sahaja. InsyaAllah besar nanti mereka juga akan jadi sensitif, pastas melontar senyum dan menyapa kita dengan baik apabila melihat kita. Bahkan mereka akan mampu membantu mendidik adik-adik dan rakan sebaya.

Banyak sekali Allah nyatakan keperluan kita mengenal anak-anak sendiri. Akibat kurangnya interaksi, maka hari ini ramai ibubapa yang tidak kenal dengan anak sendiri. Akibatnya kita gagal mengenal tanda samada mereka berkata benar atau berdusta.

Iqra parenting
WARGA PRIHATIN