FORMULA PERPADUAN DARI SUDUT SAINS AL-QURAN

Ada pelbagai kaedah yang Allah telah ajarkan untuk menuju ke arah perpaduan. Allah Maha Adil apabila Allah mahukan kita bersatu, pasti Allah berikan kaedahnya kepada kita semua. Adakah dengan harta sepenuh bumi yang dilabur ditabur dan lebur dalam pelbagai bentuk dan istilah akan membantu proses penyatuan.? Jawapannya telah dinyatakan dalam Al-Quran:

“Dan (Allah) menyatukan hati-hati mereka. Andai kamu belanjakan SEMUA HARTA SEPENUH BUMI, niscaya kamu tak akan dapat menyatukan hati-hati mereka. Akan tetapi Allah-lah yang menyatukan mereka, sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS. Al Anfaal: 63).

Siapakah yang menyatukan hati manusia berdasarkan ayat itu? Tiada lain HANYA ALLAH dan bukannya HARTA SEPENUH BUMI. Prototaipnya telah kami jalaninya dan buktikan bagaimana Rumah Pengasih Warga Prihatin yang ditunjangi oleh pengasas-pengasasnya yang terdiri dari golongan saintis, professional dan sebahagiannya adalah asnaf tidak langsung menggunakan HARTA untuk disatukan hatinya. Hatta, penulisan artikel ini juga adalah idea berkelompok 20 orang pengasas RPWP bukannya dari lidah karangan seorang pengarang sahaja. Itu juga satu penyatuan.

Bagaimana seorang saintis yang mampu mendapat lebih RM20k sebulan, usahawan bergelar jutawan, pensyarah kanan dari lepasan Ph.D dari Universiti Cambridge (Universiti terbaik dunia), kontraktor, guru-guru, pemandu lori, juruelektrik, pengurus di syarikan MNC (Multinational Company), jurutera lepasan Pennsylvania University, pelayan hospitaliti (Al-Fatihah buat Allayarham Khairi), doktor dan ramai lagi ini MAMPU DISATUKAN dalam tempoh 8 tahun ini. Ya, ia bukan kerja mudah dan penyatuan tidak berlaku dalam 1 penggal seorang pemimpin memimpin sebuah Negara. Tetapi jika mulanya didasari kapital wang ringgit, pastinya ia tidak membawa kepada kejayaan (Al-Anfaal, 63).

Kami berkongsi atas hasil penyatuan prototaip komuniti yang kami ada. 20 orang pengasas ini kami satukan dahulu dengan cara meletakkan kepentingan individu di tepi dahulu. Maka ia mudah untuk disatukan kemudiannya dengan jalan Al-Quran & Sunnah yang kami kaji dalam sudut sainsnya. Kami bukannya ustaz-ustaz dan alimin tetapi kami adalah saintis yang berpegang kepada wahyu dan fakta yang bukan bersandar pada sandaran magik. TETAPI LOGIK. Islam boleh diterima dengan indah oelh bukan Islam jika disandarkan pada platform sains dan bukan sesuatu yang tak tercapai dek akal.

Berbalik kepada formula penyatuan tadi, bolehlah kami ringkaskan ia berlaku melalui langkah-langkah berikut;
1. Meletakkan ke tepi kepentingan dan fahaman peribadi
2. Disatukan hati-hati mereka dengan 1 FAHAMAN
3. Fahaman yang satu itu ialah fahaman Allah melalui Al-Quran
4. Fahaman itu diperjelaskan dengan cara praktis RasulAllah melalui SUNNAH-nya.
5. Bekerja bersama-sama atas 1 kefahaman dan SATU PRAKTIK itu
6. Dalam bekerja itu kami menyatu kerana dalam kerja pasti ada masalah dan penyelesaian masalah itu ada dalam 1SUMBER iaitu 1Kitab dan 1Sunnah
7. Barulah jadi 1Malaysia
8. Barulah jadi 1Islam, 1Dunia akan sejahtera (as-Salam).

Walaubagaimanapun, itu hanya peringkat prototaip. Mungkin sukar digambarkan bagaimanakah penyatuan RPWP selain anda sendiri datang pada waktu malam selepas jam 9.30pm setiap hari dan anda akan lihat seluruh golongan yang disebutkan di atas tidak mengira saintis, doktor, jutawan, taukey ataupun tidak bersama-sama asnaf, pemandu lori dan lain-lain itu sama-sama berganding tenaga bahu membahu bekerja untuk membina sarana fizikal Rumah Pengasih Warga Prihatin dengan tangan kami sendiri.

Bukan tidak mahu upah kontraktor, mulanya kerana nak di upah pun kami tak berduit sangat tetapi bila mampu guna khidmat kontraktor, kami pula jadi ralat kerana dah mula sayang dengan kerja.
Kerja itulah sarana penyatuan kami di sini (step no.6 di atas). Walaupun ia kelihatan seperti bermain “pondok-pondok” tetapi ia menyatukan pelbagai falsafah penyatuan. Kami juga tidak menghalang orang luar yang bukan pengasas untuk menyumbang tenaga bersama dan ada juga yang memberikan khidmat kontraktor mereka untuk pembinaan di RPWP ini untuk sebahagian cluster pembinaan.

Penyatuan itu sangat indah sehinggakan sesama warga sudah jadi 1 warna. Dahulunya masing-masing datang dengan pelbagai warna dan belang tetapi dengan konsep yang kami praktik dari surah Al-Alaq kami mampu menjadikan semuanya SEWARNA. Seperti beberapa jenis tanahliat berlainan warna tetapi disiram air dan digumpal dan kisarnya sehingga semuanya menyatu menjadi 1 warna, 1 faham, 1 keluarga, 1 tujuan. Ia memang bukan mudah tetapi ia akan terus jadi mustahil jika kita tidak sudi menelek semula lembaran kitab usang Al-Quran yang hanya dibuka pada bulan Ramadhan atau pada malam Jumaat sahaja.

METHOD TANAH KERING HITAM (AQ)

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Al-Hijr :28)

Kita lihat di sini satu lagi kaedah yang Allah tunjukkan TANPA MENGGUNAKAN HARTA untuk penyatuan manusia. Apakah itu lumpur hitam yang boleh diberi bentuk? Cuba kita bayangkan simen / konkrit basah yang berwarna hitam. Ada beberapa pecahan “premis” dalam ayat ini untuk kita berfikir dari sudut sainsnya.

1. Manusia dicipta dari bahan yang hina, hodoh tetapi MAMPU dibentuk
2. Manusia hanya mampu dibentuk bila semuanya merasa diri mereka hina dan sama rata
3. Hinanya manusia bila mereka merasa diri mereka seperti lumpur hitam kering yang hancur berpecah pecah dan dipijak-pijak (telah tertindas)
4. Penyatuan dan pembentukan manusia dari tanah kering itu adalah dengan kehadiran unsur AIR (Analogi kepada Wahyu – rujuk artikel-artikel kami sebelum ini). Air itu dari Allah yang diturunkan oleh Allah dan ditabur di tempat-tempat yang Allah mahukan macam hujan.

Nampakkan? Dari premis-premis mantik yang kami berikan di atas itu jelas menunjukkan manusia tidak mampu menyatu jika masih mahu merasa HEBAT, masing-masing tidak mahu mengambil AIR (Wahyu dari Al-Quran). Bayangkan simen, ibarat debu hitam bila basah dicampur dengan air dan kelihatan seperti lumpur hitam yang boleh menyatukan pelbagai bahan binaan yang sombong enggan menerima air seperti ;

1. Batu (Kepala-kepala batu yang degil)
2. Besi (Mereka yang kental, berjiwa besi dan angkuh)
3. Pasir (Mereka yang poros dan tak kisah apapun air yang disiram hanya mampu melaluinya tapi tak mampu diserap dan simpan).

3 unsur di atas itu adalah unsur masyarakat di dunia ini. Untuk menyatukan mereka perlukan LUMPUR HITAM yang telah dicampur air menjadi simen pekat hitam yang boleh menyatukan kesemua unsur di atas menjadi 1 bentuk. Nah, sekarang kita lihat ia tidak memerlukan wang billion ringgit untuk segala aktiviti yang menarik jutaan orang tetapi bila tiba waktu mengundi mereka tetapi berpecah-pecah undiannya juga, bila balik ke sekolah, kampus, tempat kerja masing-masing mereka tetap memisah semula.

SIAPAKAH LUMPUR HITAM ITU?

Lumpur hitam itu adalah tanah kering hitam yang dicampur dengan air. Ia adalah sekumpulan manusia yang asalnya hina dina dan dipijak-pijak. Mereka menyatu untuk menyatu. Mereka menyatu dengan AIR (firman & sabda) lalu mereka ini menyatu dan bergumpal menjadi satu lumpur hitam yang mampu mengikat batu, besi dan pasir menjadi “KLCC”. Apa sekalipun, TANPA AIR semua 3 unsur masyarakat (Batu, Besi dan Pasir) tidak mampu disatukan dengan tanah hitam kering itu sendiri. Tanah hitam berair inilah mereka yang tidak berkepentingan tetapi mereka mampu bersatu dan menyatukan yang lain. Untuk sekala kecil, tnah hitam ini sendiri boleh dibentuk, namun untuk sais lebih besar dan melebar, ia perlu mengadun kekuatan dengan menyatukan unsur keras lain seperti di atas tadi.

JANGAN CARI konsultan luar yang dibayar jutaan ringgit
JANGAN CARI pihak kiri untuk megusul penyatuan dengan pihak kanan
JANGAN CARI pihak kanan untuk mengusul penyatuan dengan pihak kiri

Carilah mereka yang hina tetapi mampu menyatu dengan wahyu ini kerana mereka akan menggunakan wahyu juga untuk menyatukan semua manusia. Itu juga salah satu punca mengapa RPWP mampu menyatukan diri kami dengan mereka berbangsa Cina dan beragama Buddha dengan kami di sini seperti satu persaudaraan yang telah terjalin seribu tahun lalu.

Kami hanya pacal hina terbuang dipinggir desa.
Kami hanya pacal hina yang sedang merasai nikmatnya bersatu
Kami hanya pacal hina yang menyatu dengan wahyu
Kerana kami tinggalkan semua fahaman kami
Dan berfahaman hanya dengan fahaman wahyu
Seperti yang telah nabi tunjukki dalam sirah dan sunnah baginda.

Kami memilih perpaduan.

Hasil iqra
WARGA PRIHATIN