Falsafah Hijrah – Antara sambutan ritual dan perjuangan aktual

00 Maal HijrahTerima kasih kepada yang menghantar perutusan dan meminta ulasan kami tentang Maal Hijrah tahun ini. Selari dengan arus perdana ini, maka sambutlah Salam Maal Hijrah dari keluarga besar Warga Prihatin khusus untuk semua pembaca page kami di seluruh dunia yang kami sayangi.

HAKIKAT SAMBUTAN RITUAL DAN PERJUANGAN AKTUAL 

Sebelum kita pergi jauh, ingin kami kongsikan bahawa ritual sambutan ini tiada bezanya jika kita hanya menyambutnya dengan ritual semata-mata. Menyambutnya tanpa ilmu. Itu nanti akan meletakkan kita di takuk asal tanpa sebarang impak positif dari sambutan itu. Yang berpuasa hanya akan dapat lapar dan dahaga sahaja. Yang bercuti hanya dapat keseronokan melancung sahaja, merugikan majikan atau pendapatan kerana tutup kedai cuti berniaga.

Sambutan Maal Hijrah dan Awal Muharam adalah satu imbasan kepada kemerdekaan agama. Kepentingan Agama ini menjadi sesuatu yang perlu dijaga seperti sebuah negara bangsa juga. Ia merdeka sezaman dan kembali dijajah semula. Jika kita hanya menyambut Maal Hijrah tanpa sebarang usaha mempertahankan apa yang ada atau berusaha dengan gigih membangun apa yang belum dibina atau yang sudah tiada, maka samalah juga keadaannya.

LOGO MAAL HIJRAH

Melihat logo-logo Maal Hijrah, yang tersebar luas dapatlah kami rumuskan yang kita sudah tidak tahu (jahil) apa yang sedang kita lakukan dari sekecil kecil perkara sampai sebesar-besar isu dalam urusan agama. Jadi sebelum kita merangka yang bukan-bukan maka kami ingin membuat teguran serius kepada perkara asas, iaitu wajah logo ini. Jika ada di kalangan mereka yang ada kaitan dengan pencipta dan pengguna logo ini, sampaikanlah teguran dengan berhemah dan penuh kasih sayang.

Logo adalah ibarat panji dan simbol keseluruhan sebuah perjuangan. Bermacam-macam logo boleh kita lihat dalam kehidupan kita. Ada logo PBB, ada logo OIC, ada logo Negara Malaysia, ada Salib dan bermacam-macam lagi. Hari ini kita sedang diserang akidahnya melalui perkara-perkara kecil yang melalaikan namun kelalaian itu telah sangat berjaya menjauhkan diri kita dengan Allah. Bagi yang mengkaji dan sensitif untuk meneliti dan mengelakkan dari perkara lagho yang mencelakakan itu syukur Alhamduillah. Bagi yang tidak memikirkan dan terus mengikut arus perdana seluruh dunia itu, ucaplah MasyaAllah.. Astaghfirullah.

SARANG LELABAH dalam logo PBB telah kita ambil secara rasmi untuk dijadikan logo Maal Hijrah. Bagi kami, sebelum kita pergi jauh menyenaraikan yang lain-lain, yang mana kami tidak akan mampu menyatakannya dalam artikel pendek ini, baik kita teliti dahulu logo yang dapat dilihat di kulit sambutan ini. Yang ini kenalah kita hijrahkan dahulu. Jika logo pun sudah kita gunakan gambar dari objek yang terlarang atau yang tidak diredhai Allah, maka pasti itu menggambarkan keseluruhan agenda sambutan ini. Sila baca bersama artikel terkait dengan falsafah sarang Laba-laba ini.

http://prihatin.net.my/web2/2013/08/26/jihad-dengan-al-quran-bahagian-4-jihad-ilmu-lebih-utama-dari-bertumpah-darah/

ISLAM BERLOGOKAN RUMAH. Baitullah, masjid, kaabah dan rumah tangga Ibrahim a.s. adalah berkonsepkan rumah. Itu logo penyatuan umat Islam, satu tempat di mana umat berkumpul menyatu untuk sama-sama sujud mengabdi, untuk sama-sama patuh kepada ketua dan pengatur. Rumah yang paling lama, Baitul Atiq adalah Kaabah itulah kiblat yang menyatukan kita. Dalam isu logo ini kami lihat kita telah terbawa-bawa dengan sembahan logo PBB yang menggunakan sarang lelabah. Ini bukan kelalaian sehari dua, ini telah ditanam dan diterima dalam sistem hidup kita berpuluh tahun. Musuh Islam sedang pecah perut mentertawakan kebodohan kita.

Kami dengan rendah diri memohon ampun dari anda semua dan beristighfar sebanyak-banyaknya sebelum mengemukakan dalil dari firman berikut. Sila perhatikan perkataan yang dihurufbesarkan.

Surah 29. Al ‘Ankabuut 41. “PERUMPAMAAN orang-orang yang mengambil PELINDUNG-PELINDUNG selain Allah adalah seperti LABA-LABA yang membuat RUMAH. Dan SESUNGGUHNYA rumah yang PALING LEMAH adalah rumah laba-laba kalau mereka MENGETAHUI”. 

RINGKASNYA PERUMPAMAAN dari apa yang sedang kita lihat ini boleh disimpulkan gambarannya bahawa kita sedang mengambil PELINDUNG SELAIN ALLAH tanpa kita sedar. Kita juga dalam keadaan tidak mengetahui (JAHIL) akan rahsia agama ini, sehingga agenda agama kita sendiri mengambil perumpamaan yang Allah tidak redha di kulitnya. Jika orang putih kata jangan nilai buku dari kulitnya, kami rasa kita sudah boleh mula nilai semula. Buku yang lucah, pasti kulitnya lucah, quran yang mahal dan tebal, yang mana kita perlu sentiasa baca dan simpan lama, kulitnya mesti cantik, tebal dan tahan. Logo Maal Hijrah pun begitu juga signifikannya.

HIJRAH SATU PERJUANGAN ZAMAN, BUKAN SAMBUTAN TAHUNAN 

Kami harap anda dapat fahami dengan jelas mesej yang ingin kami sampaikan. Serangan akidah oleh musuh Islam telah menjadi sangat mudah untuk menembusi jiwa umat, khususnya generasi muda dan golongan berpelajaran serta hidup cara moden. Ini kerana tanah hati ini telah digembur bajak dan dibaja untuk menerima kerosakan ini terlalu lama. Jiwa yang kondusif untuk menerima seruan Allah telah diubah foundationnya sekian lama dengan begitu berjaya. Tanpa mengubah tapak di hati ini, benih agama tidak akan tumbuh dan seruan hijrah akan menjadi suatu yang retorik lagi dan lagi.

KETETAPAN SUSUNAN 12 BULAN DALAM SETAHUN, 5 waktu solat, 5 rukun Islam, 6 rukun Iman semuanya itu adalah ketetapan Allah. Ia ada kaitan dengan fasa penciptaan tamadun agama dan fasa kejatuhannya yang berlaku berulang kali sejak zaman Adam a.s. sampai kini. Ia berlaku ibarat pusingan siang dan malam setiap hari dan pergantian tahun silih berganti berulang-ulang kali. Kerana itu ketahuilah, Hijrah bukan acara tahunan, ia adalah acara sezaman. Kajilah di zaman apa kita semua sedang berada, supaya hijrah kita lebih bermakna.

GAMBARAN PUSINGAN ZAMAN ini telah Allah kaitkan berkali-kali dalam penceritaan fasa 6 masa dalam kejadian langit dan bumi, fasa membina dan menyusun semula golongan yang memimpin dan dipimpin. Oleh itu, kajilah sirah perjuangan itu dalam 12 bulan hijrah yang telah Allah tetapkan. Kajilah apa itu Muharram, apa itu Saffar, Rabiulawal, Rabiulakhir, apa itu 4 bulan haram Jemadilawal, Jemadilakhir, Rejab dan Syaaban, apa itu Ramadhan, apa itu Syawal dan Zulkaedah, serta akhirnya apa itu Zulhijjah. Kaitkanlah semua peristiwa yang berlaku dalam bulan itu kerana ianya bukan berlaku pada tahun yang sama sewaktu dakwah Nabi SAW. Ia berlaku sepanjang 23 tahun perjuangan baginda dan itu adalah gambaran fasa pembangunan agama kita.

QURAN ITU ILMU YANG HIDUP. Segala kisah yang diceritakan ada pelajaran untuk kita kaji dan guna dalam meneliti jatuh bangunnya agama pada situasi semasa. Dari situ kita cari kaedah bagaimana membangunkannya semula. Jika kita membaca sejarah dalam quran itu hanya meletakkannya pada zaman nabi semata-mata tanpa mengambil pelajaran dari kisah itu untuk menyusun strategi kita, maka itu tanda quran itu sudah anda kebumikan.

JIKALAH ANDA TAHU apa yang kami telah sedari hasil R&D kami, pasti anda tidak akan lena tidur dan tidak lalu makan kerana takutkan ancaman Allah. Pasti anda akan berpuasa sepanjang tahun selagi kerosakan akidah ini belum berjaya diperbaiki. Pasti anda akan serahkan segala harta dan diri untuk membantu perjuangan HIJRAH yang sebenarnya. Jauh sekali keinginan menipu seringgit dua untuk kepentingan diri. Untuk memakan rasuah dan mengkhianati hukum Allah tentulah jauh sekali. Perhatikan perkataan yang dihuruf-besarkan dalam firman ini,

Surah 9. At Taubah 20. “Orang-orang yang BERIMAN dan BERHIJRAH serta BERJIHAD di JALAN ALLAH dengan HARTA dan DIRI mereka, adalah lebih TINGGI DERAJATNYA di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat KEMENANGAN”. 

KESIMPULAN – Selama ini banyak perkara yang dipandang kecil di mata kita, walhal terlalu besar isunya di sisi Allah tanpa kita perasan pun. Itu tanda kita sendiri sedang LALAI DAN JAHIL. Oleh itu, janganlah kita menuding jari dan mengutuk sahabat kita yang telah membuat kesilapan. Berilah peringatan dengan bisikan sayang dan semangat persaudaraan, tidak kiralah anda rakan maupun lawan. Kami pasti mereka juga telah berusaha sebaik mungkin untuk mengangkat martabat agama.

Hakikatnya sekarang, ilmu agama ini telah diangkat ke langit semula ratusan tahun lamanya, jadi marilah kosongkan diri untuk menggalinya dan isikan ke dada kita semula. Marilah bersatu dan buangkan jauh-jauh ego diri kita. Maki hamun dan kutukan bukan cara dakwah Islamiah. Ingatlah, kesilapan dari orang yang jahil itu tidak dikira berdosa. Yang berdosa ialah meneruskan kesilapan setelah diberikan peringatannya.

Doa Maal Hijrah
WARGA PRIHATIN