BUKA PUASA BERSAMA PMO & SATU PERSAKSIAN PENTERJEMAHAN POLA FIKIR MELANGKAU ZAMAN

Salam untuk semua. Semalam, kami sempat bersama-sama warga Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk majlis kecil tetapi sangat intim di atas sebuah Cruise Tasik Putrajaya. Awalnya, kami tidak tahu yang kami akan diraikan di atas cruise yang kami anggap terlalu mewah. 28 orang dari Warga Prihatin dan anak-anak pergi ke majlis ini dan ternyata, 77 lagi warga kami terpaksa tinggal di rumah kerana ketiadaan tempat. Layanan secara intim dari PMO dan krew Cruise Tasik benar-benar sesuatu yang mereka cemburui dan hanya merasa melihat video-video dan foto-foto yang kami rakamkan. Ia sebuah majlis berbuka puasa tetapi pada kami apabila ditanya kepada anak-anak kami apakah pelajaran terbesar mereka, hanya Ali-Imran yang sedang menyeringai dalam foto ini yang mengatakan makanan “best”. Selain dari itu, rata-rata memberikan perkongsian tentang ketakjuban mereka melihat keindahan Putrajaya itu sendiri.

Apabila ditanya lanjut, beberapa orang anak-anak memberi penerangan yang lebih mendalam tentang penyaksian mereka terhadap kebijaksanaan seorang pemimpin bernama Tun Dr. Mahathir Muhammad bersama pemikir-pemikir yang beliau dampingi. Anak asnaf kami, Nik Muhammad Harraz, 16 tahun menyatakan bahawa Tun Dr. Mahahtir merupakan seorang pemimpin masa depan pada zaman itu. Projek Putrajaya merupakan satu projek yang mendapat tentangan hebat sejak ideanya dikemukakan oleh Tun pada lewat 1980-an. Perbelanjaan sekitar RM22 Billion untuk pembinaan Putrajaya bukanlah satu pembaziran apabila dikaji semula dengan penjimatan melalui effisensi pentadbiran kerajaan yang berpusat dan sistematik.

Walaupun pernah menjadi kontraversi, Tun Dr, Mahathir masih terus menjalankan projek itu kerana tidak semua orang mampu berfikir ke hadapan seperti mana beliau berfikir. Jika diturutkan kata orang lain dan jika diturutkan juga kata di “parlimen” pasti projek Putrajaya itu tidak jadi kenyataan. Tun kemudian mengarahkan Petronas untuk menubuhkan Perbadan Putrajaya dan menggunakan dana dari Petronas bagi pembangunan sebuah Bandaraya Pintar dari sebuah estet kelapa sawit di darat dan juga di dalam tasik itu sendiri.

Betul juga, kadangkala pemimpin perlu bertindak sebagai pemimpin walaupun pilihan dan tindakan mereka tidak populis. Kehebatan Islam juga tidak terzahir dengan MAJORITI tetapi KUALITI MINORITI. Kita lihat sendiri bagaimana Nabi Muhammad hanya bersama 100 orang ahlulbait yang berhijrah ke Madinah mampu membawa Islam ke seluruh dunia kini.

Pemikiran yang hebat jarang mampu orang lain fahami sehingga mereka sendiri telah melihat bukti-bukti yang nyata depan mata mereka. Kontraversi projek Putrajaya akhirnya DIAM BEGITU SAHAJA apabila projek itu telah terbukti mengangkat Malaysia dalam banyak aspek.

ISLAM ITU KASYAF (PANDANG JAUH KE HADAPAN) BUKAN TERLEKAT DI TAMPUK MASA YANG SAMA

Kami dapat satu pelajaran bahawa sesuatu yang baik tidak dilihat oleh kebanyakan orang. Hanya mampu dilihat oleh orang yang benar-benar mampu melihat masa hadapan tanpa perlu berada di situ. Dalam istilah Arab, ia dipanggil “Kasyaf” tetapi biasanya istilah itu digunakan kononnya kepada para alimin, ulama dan wali-wali Allah sahaja.

Itulah ISLAM yang sepatutnya perlu menjadikan umatnya seorang yang kasyaf atau berpandangan jauh. Tahukah anda, RasulAllah juga pernah meramalkan bahawa akan ada Seorang Raja terhebat yang memimpin balatentera yang hebat akan menawan Constantinople dan ia terjadi selepas 800 tahun ramalan RasulAllah itu.

Kami bukannya partisan dan tidak juga kerana kami dijemput berbuka puasa bersama PMO kami diberikan satu task untuk memuji mereka tetapi kami hanya mengatakan apa yang baik apabila ia memang baik. Projek yang dulu dikatakan oleh pembangkang sebagai projek gajah putih akhirnya kini memberikan rahmat kehidupan kepada negara dan menjadi kebanggaan rakyatnya. Yang dulu membangkang dan ada yang kata nak lelong Putrajaya KINI ADALAH MEREKA YANG melancarkan azam dan laungan “Untuk ke Putrajaya”.

Sepanjang 1 jam lebih dalam cruise mengelilingi tasik Putrajaya, kami kurang beria sangat dalam hal-hal makan. Sebaliknya, kami lebih teruja memerhatikan setiap inci perancangan yang telah dibuat sehingga menjadikan Putrajaya sebuah tempat yang indah.

Tertarik juga kami mendengar cerita dari seorang jurutera apabila mereka mengatakan bahawa lakaran Tun Dr. Mahathir tentang jambatan Seri Wawasan itu tidak mungkin dibuat. Lalu, Tun Mahathir memandang jurutera-jurutera itu dan bercakap…

“Siapa kata tak boleh? Saya tengok di Swtizerland depa buat boleh pun…”

Itulah salah satu peristiwa yang kami juga ambil pelajarannya. Seorang pemimpin perlu ada keseimbangan dalam seni kreativiti dan sense of engineering bagi membolehkan peninggalannya hidup lebih lama berbanding jangkahayat beliau sendiri. Kami belajar untuk tidak memberi alasan sebaliknya berusaha untuk men`JADI’kannya. Sesuai juga dengan slogan Tun yang popular itu “MALAYSIA BOLEH!!”

Jika kita bawa semangat itu, kita juga mampu melaungkan “ISLAM BOLEH!!”.

Ia bermula dari dalam diri kita sendiri.

Terima kasih Warga PMO, RTM, Utusan Malaysia juga krew Cruise Tasik yang menjadikan pengalaman ini satu pengalaman yang sangat berharga untuk kami. Memang tak dinafikan kami tak dapat bendung keterujaan kami semasa berada di atas sana dan memang nampak sangat dengan jelasnya kami seperti manusia yang baru keluar dari hutan

Terima kasih tak terhingga kepada Y.Bhg Dato’ Mohd. Po’ad Jelani atas segala bentuk pelajaran yang telah diberikan kepada kami.

Alhamdulillah

Catitan Kesyukuran oleh,
WARGA PRIHATIN