Bila sifat sabar Allah berganti murka

00 draft 2BILA SIFAT SABAR ALLAH BERGANTI MURKA

Mesej kami berbentuk ilmiah dan seruan. Sasaran kami ialah para penanggungjawab umat seperti ibu bapa, guru, ketua keluarga, ketua masyarakat dan pemimpin negara. Jika anda masih belum bersedia untuk mengambil pelajaran, untuk muhasabah diri atau masih tidak ingin berubah, sila abaikan artikel ini. Jangan sekali-kali terus komen artikel kami jika anda belum ada masa membaca kesemuanya. Ini kerana ramai sekali yang terus komen sebaik saja melihat gambar dan tajuknya.

Kira-kira 7 petang semalam Seorang tukang cuci terkejut apabila mendapati beg dalam tandas wanita yang disangka barang orang tertinggal, rupanya berisi mayat seorang bayi perempuan. Mayat yang hampir busuk itu masih bertali pusat. Kejadian berlaku di hentian bas dan teksi Terminal One Seremban.

Berita kematian 6 orang pengunjung pesta gila FMFA 2014 kelmarin masih diulas akhbar dan media. Isu pagi ini ialah tentang dadah jenis baru yang luarbiasa. Mangsa diberitakan mati hanya 10 minit selepas menelan pil tersebut. Mulut mereka berbuih, tubuh jadi kejang dan ada yang menggelupur sebelum ajal tiba. Masyaallah.. Anak anak kita sedang dituba..!!

Seharian, bertalu-talu kami terima mesej pembaca yang menyokong paparan rencana semalam. Ramai yang mengirim puluhan pautan berbagai portel seks dan maksiat Melayu. Terima kasih kami ucapkan. Sebelum ini kami kongsikan adanya 1 akaun FB yang berterusan memuat naik ratusan video seks Melayu. Bila yang itu ditutup, rupanya berpuluh-puluh akaun lain timbul. Terkini heboh pasal Group SMO (Sex Melayu Official /Malaysian Freelance/Escort Girl Endless Info).

Banyak sudah kami kongsikan tentang analisa gejala sosial kita sebelum ini. Bahkan ada artikel dari cetusan anak-anak kami yang bertajuk “Seks bebas anak sekolah satu bencana, bukan lagi gejala.” Kerana itulah kami sanggup berhabisan harta dan diri untuk memeranginya, biarpun sebahagiannya mendapat tentangan dari keluarga sendiri. Mungkin video ini mampu menjelaskan mengapa.

http://prihatin.net.my/web2/2013/09/22/harakah-kren-video-yang-bakal-dicari-para-ibu-bapa-100-tahun-nanti/?lang=en

http://prihatin.net.my/web2/2013/09/22/harakah-kren-rahsia-wasilah-membesarkan-allah/?lang=en

SIKAP DEFENSIF & MENYOKONG MAKSIAT

Amat sedih bila pengunjung pesta yang terselamat tidak sedikitpun merasa gerun atau insaf. Rencana kami kelmarin memaparkan gambar pengunjung Melayu yang separuh bogel beredar di instagram dan media sosial. Anak-anak kita seperti sudah hilang akal dengan mengedarkan gambar yang mengaibkan diri sendiri dan keluarga mereka.

Bila kami paparkan gambar yang mereka sendiri uploadkan, ramai pula pembaca yang merungut. Ada yang mengatakan gambar itu mengaibkan mereka, gambar itu menambah dosa pembaca, bahkan ada yang kata kami berdosa kerana tidak minta izin dari pemilik gambar itu sendiri. Padahal telah kami paparkan pun firman yang menuntut agar kita mendedahkan gejala ini sebagai pengajaran kepada yang lain.

Ramai juga kalangan pembaca yang membela kami. Mereka kelihatan marah dan bertindak balas terhadap komen-komen yang menghalang kami memaparkan gambar itu. Terpanggil dengan respond pembaca, maka satu demi satu profil pembaca yang komplain itu kami selidiki. Ternyata kebanyakan yang melontarkan komen sebegitu adalah golongan muda yang sedang mabuk dengan hiburan.

Ironinya, ramai yang bercakap soal agama, namun isi status mereka penuh dengan unsur maksiat yang tidak perlu kami ceritakan. Ada yang kirim mesej di inbox kami menegur penggunaan gambar tanpa izin, namun beliau juga turut ‘mencuri artikel dengan cara copy paste’ bukan dengan cara share seperti biasanya. Kami juga tahu banyak gambar, video dan artikel kami disalin dan di share merata-rata dan kami menghalalkannya. Seperti yang kami selalu katakan, ilmu itu milik Allah. Isunya di sini ialah pada yang menegur orang, tapi dia juga melakukan perkara yang sama.

Wajarlah mereka ini bersikap defensif terhadap seruan untuk segera meninggalkan acara sebegini kerana mereka masih muda dan merasa seronok melayaninya. Mereka belum cukup makan garam yang masin dan memeningkan kepala seperti kita golongan ibu bapa dan penanggung jawab terhadap masalah gejala sosial ini.

Anak-anak muda ini belum merasa hidup berumahtangga, belum merasa bagaimana peritnya penceraian. Mereka belum ada anak yang membesar dengan sikap keras kepala dan sentiasa membebankan ibu bapa dengan pelbagai gejala. Mereka tidak pernah peduli dengan jumlah kematian akibat dadah, rempit, jenayah, bahkan jumlah sebenar gejala buang bayi. Mereka belum pernah ‘mati’ untuk tahu apakah akibat dari perbuatan dosa dan noda.

Sidang parlimen pagi ini turut membincangkan isu jenayah seksual yang hebat melanda. Kami agak pelik juga bila kita tidak habis-habis berbahas, berdebat dan menulis kertas yang boleh membawa kita naik ke bulan jika disusun. Berbagai cadangan dirangka. Ada yang dilaksana, ada yang tinggal di kertas saja. Malangnya kita masih terus menerus membiarkan bahkan menganjurkan acara yang mendorong kepada bencana yang sama. Kita beri penawar dan kita racun semula. Kita meraung macam anjing tidur atas paku, tapi kita tetap tidur di situ juga.

BERTUDUNG & BERBANGGA MENDEKATI MAKSIAT

Berpuluh ribu gambar gadis bertudung dan bergambar seksi, serta video lucah yang melibatkan gadis bertudung sedang beredar di internet. Ungkapan “tidak bertudung tidak semestinya jahat atau tidak beriman” atau sebaliknya kini sudah jadi mainan bibir.

Artikel dari Ustaz Ravi yang menyeru orang ramai bersangka baik terhadap wanita Islam yang tidak bertudung pula menyemarakkan lagi fenomena ini. Beliau artikelkan pertemuan dengan seorang pramugari yang bertanya jika ada ustaz untuk menjadi tenaga pengajar di maahad tahfiz keluarganya ketika melayani beliau dalam penerbangan. Artikel itu disokong oleh wanita yang ‘free hair’ namun dikecam hebat oleh golongan wanita bertudung dan beberapa ustaz yang membaca.

Hari ini kami paparkan satu lagi mesej yang sangat menyedihkan. Seorang gadis bertudung menyebarkan luahan hatinya seolah-olah beliau merasa hebat kerana berani mengunjungi pesta liar itu walaupun bertudung. Seolah-olah wanita bertudung itu boleh melakukan apa sahaja, seperti tudung itu mampu menyelamatkan beliau dari api neraka. Tidakkah beliau lihat bahawa seorang mangsa yang mati itu juga bertudung?

Panggilan meminta izin kepada ibu beliau sebelum ke pesta itu bersama pasangannya dijadikan satu kayu pengukur yang beliau telah melakukan perkara yang betul. Ibu beliau telah mengizinkan dari kejauhan dan meminta beliau menjaga diri. Kata kunci yang dibanggakan ialah, ‘Allah tahu apa ada dalam hati kita’ katanya.

Satu lagi mesej di sebelah kiri gambar hiasan itu ialah dari seorang yang menyokong kenyataan terbuka gadis bertudung ini. Ulasannya menampakkan sokongan padu kepada tindakan gadis bertudung yang pertama tadi dan pendirian keluarganya. Dengan bangga beliau mengatakan semua yang komen tentang insiden melibatkan konsert ini sebenarnya cemburu dengan keseronokan yang para pengunjung rasai. Penentang konsert ini digelar ‘haters’ dan beliau dengan lantang mengatakan tidak mahu peduli.

BICARA AURAT – BERTUDUNG SAHAJA BELUM SEMPURNA

Berhijab itu adalah ketetapan Allah. Apa yang ditetapkan ialah spesifikasi hijab itu sendiri, iaitu harus mampu menutupi aura seksual dari perhiasan tubuh seorang wanita. Namun ia hanyalah salah satu dari banyak jalan (sabil) agar kita memperjuangkan keIslaman dalam diri kita dengan sepenuh hati.

Islam itu agama yang selamat dan mensejahterakan (salam). Kerana itu Islam menyediakan aturan hidup yang mampu menyelamat umatnya. Kita semua tahu bahawa salah satu punca berlakunya perbuatan sumbang, samada dengan rela atau diperkosa adalah kerana tarikan aura wanita. Pelajarilah semua spesifikasi yang ditetapkan tentang aurat dengan tepat dari petunjuk wahyu. Jangan kita melakukannya atas dasar ikut-ikut atau sangka-sangka sahaja. Dapatkan dengan tepat surah berapa ayat berapa dan apa bunyinya supaya dapat kita fahami dan melaksanakannya dengan sempurna.

Bicara aurat adalah menyentuh soal ‘aura wanita’ yang perlu ditutup. Selain dari aurat yang terkait dengan hijab/tudung, ia turut merangkumi unsur lain yang perlu dipatuhi semuanya jika kita inginkan hasil yang sempurna. Antaranya ialah bagaimana cara dan gaya kita berjalan, bersuara, berbicara, bergaul, berhias juga cara kita berpakaian keseluruhannya.

Telah banyak kali kami seru melalui artikel sebelum ini menyentuh soal ini. Kita semua sering dibacakan tentang tanda akhir zaman di mana ramai wanita yang berpakaian namun macam telanjang. Sekalipun bertudung, namun jika berpakaian ketat, lengan pendek, baju senteng nampak pusat, berkelakuan gedik, berkepit dengan jantan, tersengih-sengih, terjerit-jerit, melenggok-lenggok waktu berjalan, menari-nari dan sebagainya jelas itu satu pendustaan agama.

Jangan kita binasakan sedikit sebanyak hidayah yang telah kita laksana dengan melangkah ke tempat-tempat yang mempromosikan zina. InsyaAllah jika kita telah laksanakan semuanya dengan sempurna, kesejahteraan yang Allah janjikan pasti akan kita rasa. InsyaAllah kesejahteraan itu akan dapat memberikan ketenangan yang berpanjangan. Akhirnya, kita akan berterima kasih kepada Allah dan amat meyakini segala perintah dan janjiNya.

Kesimpulannya jika kita masih melakukan semua larangan lain menyentuh tentang aurat itu walaupun sudah bertudung, jelaslah kita samada tidak faham, atau sengaja melanggar arahan Allah. Ini jelas menunjukkan yang kita belum cukup ikhlas memenuhi tuntutan Allah. Alasan yang pasti ialah kerana kita belum cukup YAKIN (mengimani) Allah melalui aturan ciptaanNya.

KESIMPULAN

Janganlah kita campuradukkan perkara yang baik dengan yang buruk. Taubat itu hanya diterima Allah atas sebab lupa dan jahil, bukan atas sebab sengaja dan degil. Bertaubatlah segera, kerana Allah hanya menerima taubat yang dilakukan dengan segera setelah menyedari kesilapan kita. Allah dengan tegas menolak taubat kita jika menunggu hingga saat ajal tiba.

QS: 4. An Nisaa’17-18. “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, ia mengatakan : “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih”.

Kepada pihak kerajaan dan para pemimpin, tidak kiralah dari pihak pemerintah atau pembangkang, peringkat pusat maupun negeri, atas dasar BASMALLAH kami rayu dan seru dengan rendah diri. Hentikanlah segala macam pesta lagho yang merosakkan anak-anak kita. Mengaku kalah sahajalah dengan Allah. Kita perlukan ilmu untuk mengatur generasi kita semula. Lupakan soal fahaman politik. Kita perhebatkan serangan ilmu untuk mendidik dan mengatur anak watan negara yang semakin hancur binasa.

Ingatlah, bala tetap akan menimpa bukan sahaja kepada penderhaka, malah semua umat yang berada di sekitarnya apabila Allah telah murka. QS: 8. Al Anfaal 25. “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya”.

Al Baqarah 132. “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’qub: “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan berserahdiri (MUSLIM)”

Ali ‘Imran 102. “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan berserahdiri (MUSLIM)”

Mesej besar dari artikel kami semalam ialah agar jangan kita menuntut kebebasan seperti haiwan, kerana kita adalah manusia yang dikurniakan akal dan wahyu. Kami kongsikan juga beberapa firman Allah, situasi bagaimana jenazah kita tidak boleh dikebumikan dengan cara Islam dan ada masanya dosa kita tidak diampun. Yang belum baca silalah baca.

Kepada umat Islam, mari muhasabah diri. Kita semuanya (termasuk kami) harus merasa berdosa dengan gejala ini dan wajib berusaha keras memperbaikinya. Kami doakan agar kita semua sempat bertaubat dan diterima Allah taubat kita sebelum ajal tiba.

WARGA PRIHATIN.