AKADEMI INSAN PRIHATIN

KWP-scene3PENGENALAN

Akademi Insan Prihatin ialah sebuah perkampungan ilmu yang memberikan fokus kepada pembelajaran ALAMI melebihi QALAM (akademik). Namun, bukan bermakna pembinaan secara akademi akan diabaikan. Sekiranya anak-anak bijak untuk IQRA’ alam, mereka secara automatik akan menjadi bijak MENTILAWAH akademik. Ia adalah sebuah kampung ilmu yang nukleas asalnya di Rumah Pengasih Warga Prihatin, yang telah ditubuhkan semenjak tahun 2005 lagi itu dikembangkan.

Pembelajaran yang berteraskan spirit kekeluargaan ini telah kami laksanakan sepanjang hampir 10 tahun lalu. Ia telah menghasilkan anak-anak yang seimbang rohani dan jasmani, melebihi apa yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Bukan kecemerlangan akademik yang menjadi sasaran utama tetapi kehebatan berfikir dan menyelesai masalah secara laduni.

Itulah cara pendidikan yang diajarkan oleh Nabi Khidir kepada nabi Musa A.S dan bergitu juga gaya pendidikan semua nabi-nabi dalam sejarah Islam.

 
A.I.P. MELAHIRKAN KHALIFAH BUKAN AGAMAWAN BIASA

Khalifah ialah manusia yang mampu memimpin dan mengurus dengan perlembagaan Allah (Al-Quran & Sunnah). Ia tidak sama dengan agamawan biasa yang bersifat ritual semata-mata.

Dengan modul ini, membilang tasbih, bertahajjud, beristighfar, bertadarus semuanya akan dijalankan dalam mode ritual dan actual. Maka, lahirnya mereka dari AIP bukan dengan simpulan serban bersanad (yang dipasang di kepala) tetapi secara actual iaitu simpulan kesimpulan pemikiran yang terletak di dalam minda dalam apa jua urusan termasuk urusan kepemimpinan keluarga, organisasi, masyarakat, negara dan dunia.

 
TAHAP-TAHAP PENDIDIKAN

7 Tahun Pertama : Proses Mumayyiz (Harian) – Inilah fasa pembinaan akhlak secara uswah (suri tauladan). Anak-anak akan dicampurkan sesama mereka TANPA penekanan langsung terhadap subjek akademik seperti membaca dan mengira.

Mereka akan dilebihkan tentang pembinaan akhlak dan sahsiah diri terlebih dahulu. Ini kerana akhlak di AIP bukan sekadar adab untuk tunduk bila melalui hadapan orang lebih tua, tetapi akhlak yang bersandarkan Quran & Sunnah. Aktiviti sains (non-academic), seni, kebajikan, etika, adab, kemanusiaan, empathy, spiritual dan sebagainya.

Pada fasa ini, penglibatan ibu bapa adalah sangat diperlukan. Ibu bapa akan dapat ikuti aktiviti anak secara online, melalui kumpulan seperti whatsap & telegram. Mereka juga boleh mengakses CCTV AIP melalui telefon mereka untuk memantau aktiviti anak-anak mereka secara real-time.

7 Tahun Kedua : Proses Eksplorasi – Pada tahap ini, anak-anak yang telah terbentuk akhlaknya akan menjalani persekolahan dengan cara eksplorasi. Kami lebih sukakan jika tahap ini datang dari mereka yang telah melalui tahap PERTAMA. Namun, jika tidak, kami boleh lakukan 1-2 bulan induksi akhlak sebelum dimasukkan ke tahap kedua ini bagi penyertaan terus.

Pada fasa ini, pembelajaran akan bertumpu kepada akademik asas 3M, eksplorasi dan hafazan terjemahan Al-Quran, Tadabbur Quran dan hafazan teks ayat-ayat asal dalam Bahasa Arab. Setelah proses ini selesai dan mereka telah disahkan menjadi Al-Hafiz barulah kita akan masukkan ke fasa selanjutnya.

7 Tahun Ketiga : Proses Pematangan, iaitu;

Persediaan O-Level (jika bawah umur 16 tahun ke bawah)
Persediaan SPM (jika Al-Hafiz pada umur 16 tahun ke atas)

Bagi mereka yang masuk pada umur sekolah menengah, mereka akan diteruskan untuk ke tahap menghafaz mengikut spesifikasi AIP (Arab, terjemahan & tadabbur).

SEBENARNYA tiada had umur yang kami tetapkan. Secepat mana mereka siap hafazan, secepat itu kami persiapkan mereka untuk ke universiti ataupun ke saluran kemahiran & ikhtisas.

Untuk persediaan O-Level, kami akan jalankannya sebaik sahaja hafazan tuntas. WALAUPUN mereka baru berumur 10 tahun,  InsyaAllah mereka boleh ke universiti pada umur 11 atau 12 tahun. Kemampuan hafazan kami jadikan kayu ukur kepada kemampuan otak kiri mereka untuk persiapan pengajian KALAM / TEKS peringkat tinggi.

Pendidikan Laduni dan tafakur alam ialah pengkajian KONTEKS, melalui pembangunan otak kanan, iaitulah pendidikan cara nabi-nabi. Inilah pendidikan paling meluas yang tiada sukatan atau TIDAK DISUKAT SUKAT. Kami yakin jika Nabi Sulaiman A.S mampu memimpin dan merangka strategi peperangan pada umur baginda 12 tahun, semestinya kita juga mampu jika pendidikannya pada cara yang betul.

 
MODE INTAKE & HAD UMUR

Berasrama : Untuk tahap 2 sahaja
Harian : Untuk tahap 1 dan 2 (dengan pilihan untuk datang sendiri atau dijemput)
Sekolah Alam : Program ini terbuka kepada semua, tidak terhad kepada pelajar harian
atau berasrama dan tidak mengira tahap.

Had umur yang biasa ialah

Tahap 1: 2-6 tahun,

Tahap 2: 7-13 tahun dan

Tahap 3: 13 tahun ke atas.

Namun kami tidak terlalu menghadkan kelayakan mengikut usia, tetapi kami ukur mengikut kematangan otak kiri dan otak kanan mereka sepertimana yang akan kami terangkan di bawah nanti.

Mode pengajaran secara terperinci boleh rujuk kepada BUKU AKADEMI INSAN PRIHATIN yang kami sediakan.

MODE PEMBAYARAN YURAN

Yuran akan dikenakan mengikut program dan aktiviti secara bulanan sama seperti sekolah-sekolah tahfiz swasta yang lain. Sesuai dengan ketetapan Allah yang telah dilakarkan dalam alquran, maka semua program kami ADALAH PERCUMA untuk anak-anak yatim dan asnaf.

Untuk masyarakat awam, kami memperkenalkan beberapa cara pembayaran yang sangat menarik. Kos operasi dan sewaan bangunan sahaja mencecah RM80,000 sebulan, maka untuk meneruskan kelangsungan AIP, kutipan yuran terpaksa dilakukan.

Namun begitu, sistem kutipan yuran yang unik ini akan diperkenalkan untuk kali pertamanya di Malaysia secara adil menggunakan sistem infaq & wakaf. Mode ini juga diilhamkan dari penelitian perjalanan sunnah nabi-nabi dan juga pedoman dari Al-Quran itu sendiri. Semuanya telah kami amalkan dengan baik sekali sepanjang satu dekad lalu di RPWP.

Berikut adalah struktur kemasukan mengikut yuran dan pembayaran. Ia amat berlainan dari biasa dan perlukan ketelitian untuk membacanya.

 
YATIM – KEUTAMAAN TERTINGGI

Anak-anak yatim dikecualikan dari sebarang bayaran dan akan mendapat tempat keutamaan melebihi pemohon-pemohon lain. Malah, anak yatim tidak perlu memohon. Asal sahaja mereka mahu, kami akan hamparkan permaidani untuk mereka masuk sebagai VVIP Allah.

 
MUNFIQ – PEMBAYAR INFAQ BULANAN (KEUTAMAAN KEMASUKAN TERTINGGI)

Semua anak-anak dari golongan munfiq, iaitu penyumbang infaq bulanan akan diberikan keutamaan kemasukan tertinggi untuk kesemua anak-anak yang layak di bawah tanggungannya. Mereka juga akan diberikan diskaun khusus bayaran yuran mengikut kondisi pendapatan mereka.

Berapakah jumlah infaq bulanan yang sempurna? Kami menggunakan pedoman 1/10.

Kami guna kaedah puasa di dunia dan berbuka di akhirat untuk mencapai misi ini. Untuk itu Nabi SAW sarankan kita berpuasa (BERJIMAT) 36 hari setahun, iaitu 30 hari di bulan Ramadhan dan tambah 6 hari di bulan Syawal. 36/365 juga jadi 1/10. Demikian juga saranan nabi SAW untuk jumlah 1/10 infaq atau zakat hasil panen pertanian.

Itulah juga kaedah cukai pendapatan negara, di mana kita berpuasa sebulan untuk bayar cukai pendapatan setahun.

Infaq bulanan dikira mengikut pendapatan (bring-home) isi rumah. Setiap 10 suap rezeki yang kita perolehi, kita infaqkan 1 suap untuk Allah. Namun, Allah tidak makan tetapi 1 dari 10 bahagian itulah infaq bulanan yang diberikan untuk membangunkan Agama Allah di sabil (jalan/laluan) ilmu untuk anak-anak ini.

Anak seorang tukang kebun bergaji RM1500 yang membayar infaq RM150 sebulan (10%) akan mendapat faedah yang sama dengan munfiq yang berpendapatan RM100,000 sebulan dan menyerahkan 10% (RM10,000) sebulan.

Yang cantiknya, anak Si Miskin yang hanya membayar infaq RM150 dan anak Si Kaya memberi RM10,000 sebulan akan hidup dalam standard yang sama. RM150 itu tidakpun sampai melepasi kos yang terpaksa kami tanggung untuk seorang pelajar namun disebabkan adanya munfiq dari Si Kaya, maka Si Miskin juga dapat belajar sama apabila gunung-gunung Si Kaya dan lembah-lembah Si Miskin dapat diratakan.

Kaedah ini akan membentuk perhubungan kekeluargaan dan saling bela membela antara golongan kaya dan miskin. Bukan sahaja anak-anak akan kami didik untuk saling mensyukuri nikmat dan hormat menghormati, malah para ibubapa juga akan turut merasai nikmat kekeluargaan ini. Yang miskin akan menyayangi dan membela si kaya kerana sumbangan zakat infaq mereka. Si kaya pula merasa tenang kerana mendapat keberkatan dari hartanya dan disayangi ibubapa dan anak-anak si miskin sebagai saudara.

Gologan ini akan diluluskan permohonan kemasukannya SEPANTAS KILAT. Sekalipun ibu bapa yang INFAQ semasa hayat mereka telah meninggal dunia, anak-anak mereka tetap akan menjadi anak-anak kami dan berhak atas semua perbedaharaan kami. Kebajikan anak-anak yang ditinggalkan ini akan sama-sama kami pantau sehingga mereka berumahtangga dengan stabil dan matang.

Jika ibubapa anak-anak ini meninggalkan harta, akan kami bimbing anak-anak mereka menguruskannya dengan baik untuk mengembangkan harta tinggalan ibu bapa mereka, menyambung amal infaq ayah ibunya dan tidak tertipu dengan pancaroba dunia.

 
WAQIF – PEWAKAF (KEUTAMAAN KEMASUKAN TERTINGGI)

Sama seperti munfiq bulanan, pemberi waqaf juga akan dinilai keikhlasan mereka. Ikhlas adalah dari katapokok kholas, iaitu berhabis-habisan.

Pemberi wakaf sebuah kereta buruk kerana kereta itu satu-satunya harta yang mereka ada dan tidak mengungkit-ungkit akan lebih dilihat ikhlas berbanding wakaf sebuah kereta baru dengan kemampuan waqif yang memiliki puluhan buah kereta mewah dan menyakitkan hati dengan sentiasa menyebut-nyebutnya. Yang dilihat bukan NILAI pemberiannya tetapi bagaimana tahap KEIKHLASAN atau BERHABISAN mereka.

Walaupun keutamaan diberikan tertinggi, namun kebenaran kemasukan tetap akan dinilai dari tahap keikhlasan itu juga dan kelonggaran yuran akan ditetapkan berdasarkan pertimbangan kholas itu.

Anak-anak dari golongan ini akan turut menerima syafaat (bantuan) selepas ibu bapanya meninggal dunia. Mereka juga boleh diwariskan kepada kami untuk di didik tanpa apa-apa bayaran setelah kematian ibu bapa.

 
MENYUBUR KEKELUARGAAN MELALUI PENDIDIKAN

AIP dilaksanakan secara kekeluargaan. Bolehnya mode pembayaran dan jumlah yuran yang sebegini kerana itulah sistem Islam yang syumul dan adil. Sistem ini akan membuatkan semua ibubapa tidak teragak-agak untuk melahirkan anak buat menambah ummat kerana Allah telah sediakan sarana yang adil untuk saraan dan kesejahteraan anak-anak mereka.

Jika ibubapa ditentukan meninggal dunia awal sebelum anak-anak cukup matang juga tiada masalah kerana Allah telah tetapkan cara untuk membela mereka buat mengimbangi nasib kematian ibu bapa itu. Kami Cuma melaksanakan petunjuk dan perintah Allah sahaja agar ibubapa yang pergi dan anak yatim yang tinggal merasa redha dengan qada’ dan qadar Allah.

Jika ditakdirkan kita miskin, bukan itu yang kita mahu. Kami akan cari jalan membantu mereka yang susah. Antaranya sistem yuran AIP yang fleksibel, tidak meminta dengan paksa dari golongan ini sehingga hak pendidikan untuk anak-anak mereka dinafikan.

Jika kita kaya, biasanya kita menjadi agak takbur dan menunjuk-nunjuk sehingga sering dimusuhi dan difitnah. Kita sentiasa menjadi intaian penjenayah. Ada kalanya kita bersedekah, tabur wang merata-rata tanpa satu mekanisma yang mampu memperlihatkan apakah kesan yang tepat dari sedekah kita.

Melalui AIP kita bayar sahaja mengikut kiraan rezeki yang telah Allah kurniakan sambil membantu yang miskin dan anak yatim secara praktikal dan istiqomah. InsyaAllah kita akan lihat hasil INFAQ kita dan dapat merasai nikmat darinya.

Proses al-Alaq atau ‘penggaulan’ ibubapa dan anak-anak pelbagai golongan di AIP akan kita gembeling untuk membentuk satu sampel komuniti yang berkasih sayang dan hormat menghormati. Yang susah kita bantu, yang kaya kita bela dan pertahankan keselamatan dan kekayaannya.

Bila anak-anak ini membesar, mungkin anak si kaya boleh menaja syarikat, anak simiskin mendokong rakannya yang kaya sebagai keluarga. Kami hanya menjadi pembimbing dan penasihat kepada mereka untuk hidup sejahtera dan bersaudara. Tiadalah rasuah, fitnah dan tikam menikam sepertimana sikap PHD Melayu biasa.

Semua murobbi murobbiah AIP adalah golongan profesional. Mereka itu sukarelawan sepenuh masa yang akan bertugas secara percuma sepertimana ibu ayah yang berkhidmat kepada anaknya. Anak-anak akan didik untuk menganggap murobbi itu sebagai ibubapa angkat mereka sehingga jika dimarah atau dihukum pun hanya kerana mereka mahu dia berjaya. Jika terpaksa kutip sampah atau bekerja membantu mereka juga kerana AIP dan RPWP itu adalah ‘rumah mereka’.

Demikian juga kami harapkan kepada semua ibubapa agar menganggap AIP dan RPWP adalah rumah mereka. Jika baik sarana yang dapat dipersiapkan dan hasil pendidikan yang diberikan, itu adalah untuk kesejahteraan anak-anak dan keturunan kita semua. Jika ada kekurangan sarana atau kecemerlangan pendidikan, tugas kita untuk sama-sama usahakan pembaikannya sebagai sebuah keluarga yang bersaudara.

INILAH ANTARA SEBAB MENGAPA KAMI MAMPU WAKAFKAN HARTA DAN DIRI UNTUK RPWP… KERANA KAMI MENGANGGAP RPWP ADALAH RUMAH KAMI DAN ANAK-ANAK ITU ADALAH ANAK ANAK KAMI JUGA.

 
LAIN-LAIN

Keutamaan kemasukan akan berdasarkan kekosongan yang ada dan juga merit menerusi temuduga ibu bapa & anak. Kami mengajak semua ibubapa dan anak-anak yang ikut serta program pendidikan ini untuk menanam niat AMAL, berjihad melalui harta dan diri, bukan atas dasar komersial semata mata. Bersamalah kita perjuangkannya secara NAHNIAH (kekitaan) bukan secara ANANIAH (kepentingan peribadi).

Jika kami yang mendidik dan mengurus ini berkorban dengan harta dan diri kami, sanggup bekerja 20 jam sehari, tanpa gaji dan cuti, maka ia adalah kerana kami anggap anak-anak itu adalah anak anak kami. Jika ada lebihan dana dari yuran, maka itulah matlamat kita untuk mengumpul dana agar Kompleks sebenar AIP dapat segera di bina.

Selain dari semua yang dinyatakan di atas, kami akan perjelaskannya di dalam PROGRAM INDUKSI WAJIB untuk kesemua ibu bapa sebelum mereka menghantarkan anak ke AIP.

Cara pembelajaran dan modul juga boleh didapati secara detail dalam BUKU PENDIDIKAN AKADEMI INSAN PRIHATIN yang berjumlah hampir 400 mukasurat. Ia akan diberikan dalam format e-book ataupun secara hardcopy dengan bayaran SEDEKAH RM100 dengan akad.

Semuga bermanfaat dan mampu menjelaskan segala persoalan yang ditanyakan. Alhamdulillah.

Warga Prihatin.