Sains di sebalik Puasa- Bahagian 6: LAILATUL QADAR – API TIDAK MEMBAKAR

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca yang budiman. Alhamdulillah dah masuk topik ke-6 kita melanjutkan perbincangan dalam kupasan sains gunaan PUASA untuk menjadi panduan kami dan mereka yang memahaminya. Sebenarnya kami rasa malu dan rendah diri nak kongsikan hasil kajian yang tidak seberapa ini, takut dikata nak menunjuk pandai pulak. 8 tahun kami berada di sini menelusuri liang ilmu dari ilmu pada setitik embun di atas sehelai daun sehinggalah dirasakan cukup 2 kolah atau menjadi air mata air seterusnya mampu memberi penghidupan kepada 105 orang anak-anak dan Warga Prihatin.

Bagi yang melompat terus ke bahagian 6 ini, adalah dinasihat untuk menyusuri semula artikel berangkai ini dari bahagian pertama lagi. Bukannya apa, cerita sains di sebalik puasa ini adalah satu kupasan mutasyabihat dari perkataan-perkataan muhkammat dari dalam Al-quran dan sunnah itu sendiri. Maka sangat molek sekiranya anda semua membuat ulangkaji dan memeriahkan perbincangan sekiranya ada ada kelainan pendapat atau input tambahan. Kami lari dari ambien tipikal untuk menceritakan agama dalam perspektif spiritual tetapi kami gandingkannya kini dalam perpektif intelektual dan sains gunaannya, samada sains biologi, sosiologi maupun Psikologinya. Harapan agar Islam mampu jadi hebat semula sehebat sebelum SAINS dan ISLAM itu dipisahkan angkara Mubaligh Kristien bernama Snouck Hurgronje yang menyamar sebagai KIAI HAJI ABDUL GHAFUR.

LAILATULQADAR – MALAM YANG BERKADAR 1000 BULAN

Lailatul qadar adalah satu fenomena yang orang Islam tunggu-tunggu pada setiap 10 malam terakhir. Ia adalah 1 malam yang bersamaan dengan 1000 bulan iaitu kira-kira seumur hidup manusia jumlah kasarnya (83 TAHUN). Ia adalah satu fenomena groundbreaking yang jarang-jarang berlaku dalam seumur hidup tetapi ia sangat berbaloi jika kita mencari dan mampu menemuinya. Adakah pernah anda semua merasai Lailatulqadar?

Nabi menerima wahyu pertama pada 17 Ramadhan dan dengan wahyu itu nabi mampu meng’iqra’ (mengkaji – rujuk artikel bahagian 2 sebelum ini). Dari iqra’ itulah baginda tilawah dan tadaruskan (bacaan berulang-ulang) sehingga baginda menjumpai 1 penemuan yang tidak ada tolok bandingnya dalam seumur hidup baginda iaitu ILMU ALLAH yang Maha Besar.

Salah satu tanda yang dikhabarkan ada pada malam Lailatulqadar ialah apabila api menjadi tidak membakar. Menarik tu? Semasa membincangkan ini bersama 20 orang jemaah lainnya, kami sempat bertanya adakah mereka pernah mencuba jari-jari mereka melalui api pada 10 malam terakhir Ramadhan? Rupanya, ramai juga yang mencuba kaedah itu dengan harapan lailatul qadar itu akan tiba dalam salah satu harinya. Ada yang menceritakan pengalaman bermalam di masjid selepas terawih sepanjang 15 hari terakhir Ramadhan selama 7 tahun berturut-turut semasa kecil dulu. Akhirnya, ramai juga yang melecur-lecur jari dek kerana mengacu-ngacu jari ke api pelita.

Nabi Ibrahim juga mempunyai sejarah yang sama iaitu apabila baginda dihumban ke dalam api dari timbunan ‘kayu’ yang marak atas arahan Raja Namrud ketika itu. Tetapi dengan yakinnya, baginda masuk ke tengah api itu tanpa mampu dibakar gejolak api. Itu kerana, Nabi Ibrahim telahpun iqra dan mentadaruskan iqra sehingga menemui ISLAM itu sendiri. Itulah asal SUHUF asal agama ini (ISLAM). Sebab itulah, dengan ilmu wahyu yang sifatnya seperti air mengalir itu membuatkan Nabi Ibrahim boleh COOL dalam gejolak bakaran api itu.

Sekarang ada 2 kes, Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim yang kedua-duanya dalam keadaan yang PANAS (Ramadh). Nabi Ibrahim ramadh dengan kaumnya dan Raja Namrud dan tidak dilupakan oleh bapa baginda sendiri dan kemudian barulah menjumpai TUHANNYA sendiri (Allah) setelah lama mencari. Itulah lailatul qadar besar untuk baginda yang hanya berlaku SEKALI sahaja dalam umur baginda (kita cari tiap-tiap tahun dan tak jumpapun, cuma kadang-kadang orang bercerita macam betul-betul jumpa kononnya. Lagi-lagi orang-orang yang perwatakan warak sahaja cerita terus kita pecaya tanpa dakwa dakwi).. Nabi Muhammad pula menemui Islam dalam keadaan Ramadh (Ramadhan) juga, iaitu Panas / huru hara / kacau bilau dll tetapi setelah turunnya wahyu pertama iaitu IQRA lalu baginda tadaruskan sehingga baginda menjumpai petunjuk sebenar ILMU BESAR ALLAH iaitu Al-Quran.

ILMU kita kupaskan sebelum ini tepat dengan analogi air. Air dan ilmu mempunyai sifat sama. Kedua-duanya mengalir dan sejuk juga menyejukkan. Maka secara sainsnya, jika dalam keadaan berair kita akan jadi susah untuk dibakar.

Ulang semula. DALAM KEADAAN BERAIR MEMANG SUSAH UNTUK DIBAKAR. Terjemahkah sedikit mutasyabihatnya DALAM KEADAAN BERILMU (kefahaman yang mendalam dan meyakinkan) MEMANG SUSAH UNTUK KITA JADI PANAS HATI.

Mudahnya, JIKA DADA ADA ILMU ISLAM, TIADA SIAPA MAMPU BAKAR HATI KITA.

Cuba baca semula dari perenggan sebelum-sebelum ini jika masih tidak faham. Kerana kita akan masuk kepada penjelasan yang lebih berat lagi.

ORANG BERILMU TIDAK MUDAH DI”BAKAR”.

Baru-baru ini kita lihat di sekeliling kita ada isu panas yang menjadi isu nasional apabila seorang blogger pornografi dan teman wanitanya mengeluarkan sekeping foto yang mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam dengan bakuteh (menu sup tulang babi). Orang Islam jadi marah sehingga ke peringkat nak membunuh pasangan ini serta menghabiskan banyak masa bersembang memaki hamun dalam internet. Beberapa hari selepas itu, seorang lelaki berbangsa Cina yang menghina Islam diculik dan dibelasah oleh 8 orang lelaki Melayu beragama Islam dan ditinggalkan dalam keadaan bogel di lebuhraya DUKE. Islam itu indah dan ada cara yang sangat indah yang Nabi sendiri dah buktikan berkesan.

Banyak kali dah orang BAKAR kita dan kita boleh TERBAKAR. Cuba kalau orang cucuh api pun tapi kita tak menyambar api itu seperti minyak petrol yang dicucuh mancis. Kerana kita boleh terbakar itu yang mereka SENTIASA nak bakar. Ada yang bising kononnya kita kena beri pelajaran keras untuk mereka tetapi setiapkali dihina kita melayan dengan hati panas terbakar dan mereka lakukannya semula. Mengapa tidak kita ikut cara Nabi iaitu dengan hikmah, barulah orang lepas ni senyap kerana KITA SUDAH PANDAI. Dibakar pun tak terbakar pada ketika itu.

Sebelum itu kami ingin mengingatkan sekalian pembaca untuk berfikiran terbuka dan tidak melatah jika pendirian wahyu dan fakta ini tidak sebulu dengan fahaman anda. Jika disorot semula, bagaimanakah seorang kartunis tidak ternama menjadi popular dalam dunia ini hanya kerana melukis karikatur Nabi Muhammad s.a.w. Kita diBAKAR dengan sentimen begitu. MUSLIM seluruh dunia buat rusuhan, demostrasi, melontar caci dan keji dalam laman sosial dan macam macam lagi.

Respond sebegitulah sebenar yang menjadi TUJUAN mereka, kerana ingin membuatkan kita terbakar hati, jadi tidak rasional dan gerak ekonomi kita jadi ‘terencat’. Semua ambil cuti, tinggalkan rumahtangga, tutup niaga dll untuk berdemostrasi. Kesemua itu jika dihitung mungkin melebihi 1 BILLION MAN HOUR orang-orang Islam yang menjadikan dunia Islam KERUGIAN BERBILLION-BILLION DOLLAR hanya disebabkan sentimen yang digunakan untuk MEMBAKAR diri kita sekaliannya. Sama juga, isu seorang blogger porno yang tidak layak dilayan sama sekali dengan kerendahan akhlaknya tetapi kita jadikannya isu nasional. Biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan menghukum dan bukannya kita membazir jutaan JAM keseluruhannya dek kemarahan hanya disebabkan foto ucapan berbuka puasa dengan bakuteh.

Bukan kami tak sensitif dengan isu itu. Malah SECARA SEMULAJADINYA, kami juga sangat marah dan terguris dengan tindakan sebegitu. Tetapi pernahkah anda selongkar dalam hadith mana satukah atau ayat quran yang mana satukah yang membenarkan hinaan dibalas hinaan? Nabi diludah, dibaling batu, ditabur pasir atas kepala dll, tetapi Nabi tidak membalasnya lantaran MEREKA JAHIL.

ALlah berfirman dalam surah Al Muzzammil, 10 & 11. Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar.

YANG NI BACA BETUL-BETUL…

Orang Cina pada hakikatnya BUKANLAH KAFIR (‘Kafir ‘dalam bahasa Arab, dalam bahasa Melayunya ‘INGKAR’). Jika ingkar, pasti dari kalangan mereka yang tergolong TELAH mendapat KEFAHAMAN, PERINTAH dan KETETAPAN (seperti kita orang ISLAM) yang kemudian diINGKARi. Orang Cina dan yang beragama lain tidaklah kafir tetapi mereka JAHIL tentang Islam (Jahil bukan bodoh, zaman jahiliah dulu pun orang dah pandai kejuruteraan, perniagaan dan ketenteraan. Maka JAHIL itu adalah terkait dengan TIDAK ADA ILMU tentang Islam itu sendiri). Tugas kitalah mencuba berbaik dengan mereka, mencari ilmu buat panduan perlaksanaan yang terbaik sehingga mereka tertarik dengan Islam sebagai agama untuk SEMUA KAUM ini. Cari ilmu buat bekalan menjelaskan kepada mereka dengan tepat dan yakin.

Benarlah Nabi sangat keras dengan orang KAFIR (tetapi bukan dengan orang JAHIL). Perang selepas termeterainya ‘Piagam Madinah’ dan juga perang-perang sebelum Hudaibiyah tidak disebabkan EJEKAN (membakar sentimen) tetapi apabila lembing, panah dan busur sudah mula digunakan, ketika itulah kewajipan Islam untuk BERPERANG mempertahankan diri.

Islam adalah agama PENUH ILMU dan dengan ilmu itu tadi, Nabi mampu COOL dan tidak terbakar dengan sakat-sakat dan hinaan orang Musyrikin Makkah malah baginda sangat COOL dengan mereka. Begitu juga Nabi Ibrahim yang masih COOL walaupun keseluruhan kerajaan Namrud dan warganegaranya semua menghina dan mencaci (membakar sentimen amarah) Nabi Ibrahim, tetapi dek kerana ILMU YANG BAGINDA ADA yang bernilai melebihi hidup 1000 bulan itulah yang membuatkan baginda tidak terbakar dan mampu menjadi BAPA kepada Agama Islam yang kita anuti sekarang ini.

Ikutilah contoh Muhammad s.a.w., dan ahli keluarga baginda, sepertimana Nabi Ibrahim a.s. dan keluarga baginda. Itulah bacaan kita dalam tahiyat solat setiap hari.

Carilah lailatulqadar dalam cara mutasyabihat yang ‘logik dan saintifik’, tanpa menunggu sesuatu yang ‘magik dan mistik’, yang tidak ada sesiapapun manusia yang hidup kini pernah melihat sendiri kesemua pokok-pokok sujud dan api-api pelita menjadi tidak panas dan air pula menjadi beku, melainkan dengan sangka-sangka sahaja. Islam itu SEJAHTERA dan sekiranya kita mengambil pendekatan tidak sejahtera itu bermakna kita bukan Islam.

Masa kecil dulu, kita selalu menangis bila disakat dan diejek oleh orang lain. Lagi kita nangis, lagi orang suka sakat. Emak-emak kita pun pesan, biarkan sahaja…bukan luak pun. Maka itu juga pesanan kami kepada khalayak pembaca sekalian. Gunakan AKAL dan bukan NAFSU dalam membuat pertimbangan.

Bagi mereka yang tidak setuju, harap kita dapat berhujah dengan hemah.

Ada terlalu banyak dalil naqli yang ternukil dalam al-Qur’an dan Hadis. Anda yang mencari ilmu tentu telah lebih banyak menimbun dalil tersebut. Kalau kami masukkan kesemuanya ramai yang komplain terlalu panjang dan macam-macam lagi. Yang ingin kami kongsikan di sini ialah ‘groundbreaking’ dan ‘code breaking’ nya.

Ilmu Allah itu ibarat puzzle yang harus dikumpul lengkap semua kepingan dan menyusun dengan betul untuk dapat gambaran dan memahami maksud sebenanrnya. Harus di lihat dari ‘mata burung’ atau ‘helicopter view’ untuk lebih jelas. Ibarat hujan dan embun yang harus dikutip, atau air mata air, dikumpul melebihi 2 qolah untuk mampu menyucikan sebarang keraguan yang bersarang selama ini, kemudian dialirkan seperti sungai yang mampu kekal mutlak, menghayutkan bangkai dan menghidupkan manusia, binatang dan tumbuhan.

Semuga kupasan kasual ini mampu memecah minda dan sama sama muhasabah diri untuk memacu ISLAH (pembaikan) di hari muka. Semuga kita mampu mencorak anak-anak melakukan amal SOLEH, amal yang berkesan memperbaiki diri hari demi hari.

Selamat BERPUASA, bersulam iqra’, tadarus al-Qur’an penuh kefahaman mencari LAILATUL QADAR.

Hasil iqra’
WARGA PRIHATIN

BERSAMBUNG…