Tidak adil menilai hudud ikut Global Peace Index
DR. ZUHDI MARZUKI | 08 Mei 2014.
1. Saya berpandangan tidak adil untuk menjadikan ranking The Safest Countries yang lazimnya berdasarkan Global Peace Index untuk menilai keberkesanan Undang-undang Islam (Hudud) untuk mencegah jenayah. Indeks tersebut berdasarkan banyak parameter bukan sekadar kadar jenayah (criminal rate).
2. Termasuk dalam parameter indeks keamanan global itu ialah kadar insiden keganasan, insiden konflik dalaman, hubungan harmoni dengan negara jiran, jumlah perbelanjaan pertahanan, jumlah anggota pasukan keselamatan, sumbangan terhadap misi keamanan PBB dan lain-lain.
3. Kalau berdasarkan parameter ini memanglah Arab Saudi dan Pakistan tertinggal ke belakang, kerana negara ini dijadikan medan untuk menghadapi terroris oleh kuasa besar sendiri. Hubungan Pakistan dengan India sampai sekarang hampir mustahil boleh distabilkan. Oleh sebab itu mengambil indeks ini untuk menilai keberkesanan Islam dan hukumnya untuk mengekang jenayah adalah tidak tepat.
4. Sepatutnya lebih sesuai diambil secara spesifik kadar jenayah yang berlaku dalam 100,000 penduduk sesuai dengan tujuan hukum jenayah Islam (hudud) adalah berkaitan dengan jenayah.
5. Kalau diambil kadar jenayah (criminal rate) negara-negara yang dikatakan paling selamat itulah yang tertinggal, sebagai contoh kadar rogol berdasarkan statistik 2009:
a. Sweden berada di kedudukan kedua dengan 53.2 kes per 100,000 penduduk
b. New Zealand di kedudukan ketiga dengan 30.9 kes
c. Ireland di kedudukan kelima dengan 22.3 kes
d. Iceland di kedudukan keenam dengan 21.6 kes
6. Keempat-empat negara ini berada di kedudukan teratas dalam Global Peace Index dari segi negara paling selamat diduduki. Negara-negara Islam termasuk yang melaksanakan sepenuh atau sebahagian hukum Islam adalah antara paling rendah kes rogol, contohnya Sudan kadarnya 2.9 dan Maldive 3 dalam 100,000 penduduk.
7. Berhubung dengan jenayah bunuh dengan niat pula, berdasarkan indeks kadar jenayah global, kadar bunuh di Arab Saudi adalah 0.8 kes bagi 100,000 penduduk dan UEA juga 0.8, lebih rendah daripada New Zealand 0.9, Sweden 1.0, Australia 1.0, Ireland 1.2, Kanada 1.6, Finland 2.2 dan US 4.8.
8. Bagi kejadian rompakan pula, kejadian rompakan di Arab Saudi (statistik tahun 2000) hanya 2.9 kes bagi 100,000 penduduk, Pakistan (tahun 2000) 0.1 kes, Qatar (tahun 2004) 2.6 kes dan Brunei (tahun 2006) 0.5 kes, berbanding dengan US (tahun 2006) 146.6 kes, Sweden (tahun 2006) 94.2 kes, Australia (tahun 2002) 81.8 kes, New Zealand (tahun 2006) 59.7 kes, Ireland (tahun 2006) 55.7 kes, Switzerland (tahun 2006) 54.6 kes dan Finland (tahun 2006) 32.3 kes.
9. Jelas sekali berdasarkan angka-angka itu dari segi kadar jenayah dan kejadian jenayah-jenayah tertentu negara-negara yang melaksanakan secara sempurna atau sebahagian hukum jenayah syariah lebih berjaya dari negara-negara Scandinavia yang dibanggga-bangggakan. Pakistan selalu dijadikan sebagai model buruk perlaksanaan hukum jenayah syariah, sedangkan semua maklum negara itu adalah negara yang politiknya tidak stabil dan banyak berlaku konflik dalaman disebabkan pengaruh kuasa-kuasa dunia yang terlibat dalam politik serantau.
10. Jumlah penduduk Pakistan pula lebih dari 180 juta, justeru amat dangkal untuk membandingkan dengan negara yang jauh daripada konflik dan tidak menjadi medan percaturan kuasa-kuasa dunia seperti di Sweden, Switzerland, Finland dan Iceland, apatah lagi penduduk mereka yang begitu sedikit seperti Iceland hanya 300,000, Finland 5 juta, Switzerland 8 juta dan Sweden 10 juta. Dalam keadaan konflik dan penduduk yang begitu ramai, Pakistan masih dapat mengatasi beberapa negara ini dalam aspek-aspek jenayah.