Falsafah Musibah, Sabar & Maghfiroh – Pengalaman Sofiah Wali
Selalu kita dengar nasihat bahawa musibah itu adalah kifarah, ia adalah mekanisma pengampunan dari Allah. Tapi kita sering bingung mencari apakah mekanisma pengampunan itu. Daripada begitu banyak artikel yang telah ditulis oleh anggota Warga Prihatin, pagi jumaat ini Admin pilih yang ini untuk sama sama kita perhati.
Kelmarin kita disajikan dengan musibah anak 2 tahun yang maut dilanggar kereta bapa yang dipandu secara main-main oleh abangnya berumur 4 tahun. Kesannya masih terasa dalam benak fikir kita hingga saat ini. Kaitkan dengan konsep RUJUKAN ke atas penyebab setiap musibah yang berlaku melalui falsafah disebalik “INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROJIUUN” yang telah dihuraikan semalam. Jika anda belum baca sila buka Parenting Tips 14.
Mari kita lihat bagaimana luahan hati Ibu sofiah ini menunjukkan bahawa sepanjang era kesakitan, beliau memikir semula kerjabuat masa lampau. Sepanjang berada di kerusi roda atau di wad hospital, beliau isi dengan pembacaan al-quran beserta maknanya. Beliau isi masa menemani kesakitan dengan menghisab diri. Bagaimana peranan beliau sebagai ibu dalam mendidik anak, sebagai isteri melayan suami, sejauhmana ketaatan beliau sebagai Hamba kepada Allah. Bagaimana habit pemakanan beliau dan berbagai lagi.
Kita lihat Bagaimana beliau mampu mengisi ruang kesakitan dan ketidakupayaan melakukan apa apa untuk jangkamasa bertahun-tahun itu dengan zikir hati, bermuhasabah diri dan bertaubat. Kini beliau sedar dan insaf, banyak bersyukur dan sangat redha dengan apa yang berlaku. Semuga Allah terima taubat Ibu Sofiah, serta ampuni semua dosa-dosa beliau.
Ikuti luahan beliau sejurus selepas pulang dari Hospital PPUM selesai pembedahan lutut beliau baru baru ini.
MUSIBAH, SABAR & MAGHFIROH
Luahan SOFIAH WALI : Un-edited.
Setiap insan di mukabumi ini pasti akan menerima pelbagai ujian dari Allah S.W.T. Tidak kira kecil atau besar. Tua atau muda. Semua diuji dengan kemiskinan, anak-anak, saudara mara, kelaparan, kesakitan, jiwa yang tidak tenteram dan pelbagai lagi.
Adakah kita mampu melawan dugaan dan ujian itu. Sudah cukup kentalkah kesabaran kita dalam menghadapi semua itu. Adakah kita akan merungut atau mengeluh dengan musibah yang menimpa. Menyalahkan Allah lalu hilang pegangan, longgar kekuatan. Adakah ujian itu membuatkan kita jauh tersasar dari segala ketentuanNya…? Itu antara soalan-soalan yang harus sentiasa saya zikirkan setiap saat.
Pernahkan kita terfikir bahawa segala musibah yang menimpa adalah akibat kesalahan dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan dahulu. Acapkali kita melanggar perintahNya dan berbuat sesuka hati mengikut nafsu kita..?
Ya Allah….!
Aku sujud padaMu. Yang hina dina dan terlampau banyak kekurangan adalah hambaMU ini. Yang dahulu sering lalai dan selalu engkar pada arahan dan seruanMu.
Ya Allah…!
Ampunilah hambaMu ini. Terimalah taubat hambaMu ini. Aku redha dengan uijian ini. Sesungguhnya segala-galanya datang dariMu.
Allah menetapkan akan beroleh keberuntungan orang-orang yang kuat kesabarannya. Selalu mensyukuri nikmat dengan kesihatan yang baik. Sesungguhnya KESIHATAN ITU MAHKOTA MUJAHID. Yakin sesungguhnya menerima kesakitan itu dengan berlapang dada dan sentiasa menzikirkan namaNya , maka terhapuslah dosa-dosa kita.
AL Anbiya ayat 83 : dan ( ingatlah kisah ) Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, ” ( Ya tuhanku). sungguh aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang.
Al Anbiya ayat 84 : Maka Kami kabulkan (doa) nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan jumlah mereka sebagai suatu rahmat dari Kami, dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Kami.
Dikesempatan ini, saya Sofiah Binti Walli ingin memanjatkan rasa syukur saya kepada Allah S.W.T. diatas nikmat dan kurniaNya keatas saya. Juga ingin saya ingin sampaikan rasa terimakasih yang tidak terkira kepada semua yang memberi sumbangan, kekuatan dan semangat kepada saya. Alhamdulillah dengan doa daripada semua, kesihatan saya semakin beransur-ansur pulih. Kaki yang sudah lama tidak mengorak langkah ini akan saya perkemaskan lagi kekuatannya untuk saya lebih berbakti kepada Allah, melalui khidmat yang tidak seberapa di Rumah Pengasih Warga Prihatin.
Kepada suami tercinta, En Rosli Bin Ludin yang juga sedang sengsara kesakitan tulang belakang. Hanya Allah sahaja yang akan membalas budi baiknya. Segala pengorbanan masa dan keringat akan tersemat dalam jiwa ini selamanya. Semoga Allah akan memberi keredhaanNya pada saya dan mempermudahkan usaha pembaikan yang sedang saya lakukan agar saya boleh menjadi isteri yang taat dah solehah. Yang selalu menyenangkan hati suami.
Doakan juga agar saya selamat menjalani pembedahan seterusnya, Insyaallah 22 September nanti.
Sekian. Alhamdulillah. Terimakasih.
Insan Prihatin Yang Terhutang Budi
SOFIAH WALI.