6 TAHUN JADI HAMBA SEKS BAPA TIRI SEJAK USIA 9 TAHUN

ALOR SETAR 4 MEI – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya (tengah) menunjukkan sepucuk pistol semi auto Pietro Baretta bersama tiga butir peluru 9mm dipercayai digunakan seorang suspek mengugut anak tirinya dalam satu kes rogol, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Setar, Rabu. – Foto BERNAMA

ALOR SETAR 4 Mei – Setelah hampir enam tahun dirogol dan menjadi hamba seks kepada bapa tirinya, seorang gadis berusia 14 tahun akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kulim, Khamis lepas.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC, Mohd. Nashir Ya (gambar) berkata mangsa nekad membuat laporan polis setelah diugut dengan sepucuk pistol oleh bapa tirinya supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa semasa kali terakhir dia dirogol pada 28 April lepas.

 

Polis kemudian memberkas suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an pada 10 malam keesokannya di sebuah rumah di Taman Kulim Square, Lunas, tempat dia merogol anak tirinya itu sejak dia berusia 9 tahun, katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Beliau berkata, susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim pada kira-kira 2.10 pagi, 30 April lepas dan memberkas enam lelaki berusia dari 17 hingga 24 tahun. “Polis merampas sepucuk pistol semi auto Pietro Baretta bersama-sama tiga butir peluru 9mm dan menemukan sarung pistol berwarna hitam dalam sebuah tong, yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa,” katanya.

 

Gadis itu dipercayai tinggal berdua dengan bapa tirinya di Lunas selepas ibu kandungnya melarikan diri.

 

Mohd Nashir berkata bapa tiri gadis itu dan enam suspek lain direman dari 30 April hingga 7 Mei ini. Katanya, bapa tiri gadis itu, yang turut mempunyai dua rekod jenayah bersabit samun dan rusuh, akan disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi perbuatan rogol. Dia dan suspek lain juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api, yang boleh dihukum penjara sehingga maksimum 14 tahun serta tidak kurang enam sebatan. Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan. – BERNAMA/UtusanĀ 

ULASAN: Inilah yang terjadi bila lelaki sudah tidak lagi jadi pelindung kepada wanita dan ibu kandung sudah tidak mampu berfikir tentang keselamatan anaknya. Hukuman pula terlalu ringan.