Sekolah Alam ke 4 Bah 3 – Mengapa bot nelayan Cina lebih besar

sek alam 4 bah 3Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 3
MENGAPA BOT NELAYAN CINA LEBIH BESAR?

Semasa di dalam bas pulang dari jeti nelayan Melayu dan Cina di sekitar Bagan Pasir, Tanjung Karang kami melakukan sessi “rounding” seperti biasa untuk bertanyakan pemerhatian anak-anak di dalam bas dengan bantuan pembesar suara.

Anak-anak memberikan pemerhatian yang menarik soal perbandingan bot nelayan Cina dan bot orang Melayu. Ia menjadi satu topik pemikiran yang di luar jangkaan. Anak-anak bertanya seperti sekumpulan wartawan menemubual Vladimir Putin yang baru mendarat di Malaysia.

Dari soal harga bot, keupayaan bot, sehingga membawa kepada persoalan tentang siapakah pemiliknya juga menjadi isi pertanyaan anak-anak kepada nelayan Melayu dan Cina di sana. Rumusan yang menarik yang anak-anak buat ialah…

Orang Cina mampu berkongsi 10 orang untuk beli sebuah bot bernilai RM3 Juta dan mampu menangkap ikan dengan teknologi dan kapasiti yang besar lalu menghasilkan pendapatan sekitar 10 tan. Orang Melayu membeli bot kecil sendirian dan hanya mampu sebuah bot bernilai RM300,000 tetapi hanya mampu membuat tangkapan sekitar 100-300 kg sahaja (nilai hanya sebagai perbandingan sahaja dan bukan jumlah tepat).

Dengan perkongsian itu, Orang Cina mampu mendapatkan pendapatan bersih jauh lebih tinggi walaupun berkongsi dan Orang Melayu yang sendirian begini hanya mampu menjadi nelayan pesisir pantai sahaja dengan pendapatan yang rendah.

Soal utama ialah…KONGSI. Murobbi menambah, Orang Cina ialah kaum mendatang dan mereka terpaksa bersatu untuk survival mereka di tanah asing. Maka dengan penyatuan itu mereka mampu menjadi kuat dan kaya. Mereka jadikan tekanan hidup sebagai motivasi untuk bersatu, bekerjasama secara perkongsian dalam membangunkan diri bersama masyarakat mereka. Lihat sahaja, Orang Cina tinggal di Kem penempatan berpusat dan berjiran tetapi Orang Melayu tinggal sendirian di sawah masing-masing, 1 sawah, 1 rumah.

Ini agak jauh berbeza berbanding “Tuan Tanah” yang tidak melihat penyatuan dan perkongsian itu satu kemestian. Orang melayu selaku penduduk asal negara ini yang merasa selamat dan selesa. Di samping itu orang Melayu banyak menerima bantuan dari kerajaan dalam pelbagai bentuk dan rupa.

KREATIVITI IQRA’ ALAM

Agak menarik juga pemerhatian anak-anak ini untuk kami sebagai murobbi fikirkannya. Kami tersentak namun kami bangga dengan pemerhatian mereka. Anak-anak dalam program Kembara Sekolah Alam telah kami ajarkan secara semulajadi tentang “Teknik Iqra”. Iqra BUKAN bermaksud BACA tetapi KAJI. Jika tidak, mengapa ada perkataan TILAWAH yang juga bermaksud BACA.

Tilawah ialah BACAAN TEKSTUAL sementara iqra ialah BACAAN KONTEKSTUAL. Sebab itu, semasa Jibrail A.S menyuruh nabi iqra walaupun tiada lagi sepotong ayat diturunkan. Kerana Jibrail A.S mahukan Nabi Muhammad SAW untuk iqra keadaan masyarakat dari luar jendela kecil Gua Hira memerhatikan sosiologi masyarakat jahilliyah yang sudah punah.

Selepas selesai proses iqra’, setelah mendapatkan furqon, barulah ayat berikutnya turun. Selepas diturunkan ayat ayat itu, barulah berlaku proses TILAWAH. Demikian juga proses yang kami anjurkan. Anak-anak dalam program Kembara Sekolah Alam ini dianjurkan untuk mengkaji setiap sesuatu yang mereka lihat dan perhati. Task selepas ini ialah untuk mereka membaca teks yang terkait dengan konteks pemerhatian sepanjang kembara sebelumnya. Ini cukup untuk memberikan mereka pengisian bahan pembelajaran untuk jangkamasa tidak kurang 1 bulan selepas itu.

KESIMPULAN

Pelajaran paling besar yang ingin kami kongsikan di sini ialah soal tekanan alam yang mendorong kepada kerjasama (perkongsian). Apa yang dilihat dan dibincangkan oleh anak-anak dapat kami kaitkan dengan budaya dan cara hidup Islam yang sedang diamalkan oleh orang Cina, namun dinafikan oleh orang Melayu Islam itu sendiri.

Kami turut kaitkan dengan apa yang mereka lihat di RPWP itu sendiri adalah satu budaya kerjasama dan perkongsian. Tidak mungkin seorang individu, sekaya mana, sebijakmana dan sekuat mana sekalipun ia mampu membangun dan menguruskan RPWP dengan sempurna dan berkembang tanpa penyatuan beberapa pengasas secara berjemaah. Perkongsian dalam bentuk visi dan misi, dalam bentuk sumbangan dana, idea dan tenaga adalah menjadi kunci utama RPWP.

MELALUI PROGRAM Kembara Sekolah Alam ini Allah telah buktikan lagi kepada anak-anak bahawa ‘perkongsian’ ini sahaja pilihan yang ada jika kita ingin maju. Sentiasa kuatkan spirit NAHNIAH (berjemaah) bukan ANANIAH (keakuan/peribadi) kerana sabda nabi SAW, “TIDAK Islam tanpa jemaah”. Kami ajak anak-anak untuk merujuk kepada permohonan hidayah secara berjamaah, secara KAMI bukan AKU dalam Fatihah yang kita ulang-ulang baca 17 kali sehari dalam solat itu.

Nantikan perkongsian seterusnya selagimana kami masih mampu untuk mengingati dan kongsikannya. Terlalu banyak dan terlalu berharga untuk kami kembalikan hasil furqon itu kepada semua wakif (pewakaf) dan munfiq (penginfaq) yang bersedekah untuk membenarkan program Sekolah Alam ke-4 ini. Semuga apa yang kami kongsikan mampu memberi sedikit hidayah kepada kita semua untuk sama-sama berusaha mendidik dan mengatur anak generasi buat mengubah persepsi dunia terhadap ISLAM dan MELAYU.

InsyaAllah, destinasi seterusnya ialah SEKOLAH ALAM-5 di KELANTAN & TERENGGANU.

Untuk Sekolah Alam 5, anak-anak sangat berhajat menemui Sultan Muhammad V (akan kami cuba usahakan) dan juga Tuan Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mantan MB Kelantan). Rakan Prihatin yang ada cadangan tempat-tempat dan event menarik untuk dilawati bolehlah mula menghulurkan maklumat ke inbox kami.

ALHAMDULILLAHI ROBBILALAMIN – SEGALA PUJI BAGI ALLAH PENGATUR ALAM.

Cetusan anak-anak Prihatin
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN