WIRID TERAWIH PART 1 – BERAMAL UNTUK PAHALA ATAU REDHA ALLAH?

Salam Ramadhan semua. Kita bertemu lagi tetapi kali ini lebih kepada mewiridkan perkongsian-perkongsian SAINS PUASA yang 8 bahagian keseluruhannya sebelum ini. Bagi yang belum membacanya, bolehlah lurut dari bahagian pertama lagi. Barulah boleh tahu mengapa Ibadat Puasa ini diwajibkan bagi memperkasakan Orang Islam itu sendiri.

Dari Surah An Nisa’ ,122.

Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan saleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya (sebagai balasan amal SOLEH mereka), mereka KEKAL di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya dari pada Allah ?

Note : Amal Soleh = AMALAN, tabiat, kerjabuat, yang sentiasa MENGHASILKAN PERUBAHAN KEBAIKAN, bukan sentiasa kekal di takuk lama atau semakin hari semakin teruk (Soleh itu sendiri datang dari kata ISLAH = Perubahan). Dengan AMAL SOLEH, KITA JADI semakin berilmu, semakin FAHAM, semakin tunduk, kasih dan takutkan Allah. itulah HAKIKAT SYURGA. dipenuhi ilmu yang mengalir, tidak beku, tidak jumud, tidak menakung tempat pembiakan jentik-jentik dan nyamuk pembawa ‘demam’ masyarakat ini.

Menurut An-Nisa,123 pula – (Pahala & Balasan amal) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tiada penolong baginya selain dari Allah.

Baru-baru ini kami dengar ceramah seorang ustaz dalam Ceramah Ramadhan di sebuah IPT tempatan. Kata beliau, orang yang bijak akan membuat amal jariah yang banyak pada bulan Ramadhan kerana PAHALA mereka digandakan banyak. Jika hari biasa mereka bersedekah RM10 kita dapat pahala RM10 tapi pada bulan puasa kita beri RM10 kita dapat pahala RM1000 kata ustaz itu.

Waktu iftar, salah seorang dari kami disapa oleh seorang Muallaf dengan soalan begini…

“Allah Maha adil, tetapi kalau bulan-bulan lain anak-anak yatim tak makan kah? bulan-bulan lain tak digalakkan ibadah kah? Nanti orang buat tak tahu sahaja selama 11 bulan dan nak cover semua dalam 1 bulan puasa. Macammana Allah boleh adil?”

Soalan itu, dari seorang muallaf (harap beliau bukan dari jenis yang `masuk Islam’ kerana nak kahwin semata-mata). Kami jawab,

“Masuknya manusia ke dalam syurga dan neraka, BUKANLAH KERANA PAHALA ATAU AMAL, TAPI KERANA REDHA, KASIH SAYANG DAN SIFAT PEMURAH ALLAH SEMATA-MATA”

Antara salahfaham dan stigma masyarakat ialah adakala mereka hanya menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan beramal sedangkan bulan lain TIDAK berbuat apa-apa. Mereka memandang dari sudut itu dan bukannya pada bulan Ramadhan mereka perlu GANDAKAN amal melebihi biasa.

Sebagai pengendali Rumah Pengasih Warga Prihatin (Penempatan Asnaf, Anak Yatim, Pembangunan Akhlak Karimah & Pusat Kajian Sains Kemanusiaan) kami menyaksikan sendiri tumpuan kepada golongan asnaf & yatim ini mendadak pada bulan puasa. Ada rumah-rumah yang dah penuh program jemputan sepanjang bulan sedangkan hari-hari lain mereka hidup seperti tiada yang hirau. Kefasikan dalam menitiskan airmata semasa mengusap rambut anak-anak ini seperti satu tradisi yang meriah pada bulan Ramadhan. Kemudian, 95% mereka tidak anda lihat lagi sehingga sekurang-kurangnya Ramadhan yang satu lagi.

Lalu kami berikan satu approach yang lebih logikal dari segi penjelasannya dengan mengatakan kepada beliau, jika kita seorang anak yang menolong ibu bapa kita…janganlah kita menolong kerana ibu bapa berikan kita upah. Nanti kelak, bila upah tiada, kita akan berhenti menolong mereka sedangkan itu adalah tanggungjawab kita untuk berkhidmat kepada kedua ibu bapa kita (bukan satu kerja “kontrak” berbayar). Analogi yang sama, cuba padankan dengan GANJARAN PAHALA yang Allah janjikan lalu kita mula melakukan sesuatu kerana PAHALA dan bukan kerana ALLAH (lillah) semata-mata.

Berbakti kepada ibu bapa kerana mereka ibu bapa,
Atau berbakti kepada ibu bapa KERANA upah?

Mudahnya, buat kerana Allah akan dapat Pahala.
Buat kerana Pahala tak tentu dapat rahmat & redha Allah….!

Untuk anda wiridkan, zikirkan, fikirkan, agar kebaikan yang dilakukan tidak hanya berhenti pada bulan Ramadhan. Ber’amallah sebagai seorang HAMBA yang merasakan wajib melakukan titah perintah TUANnya, sebagai anak yang merasakan tanggungjawab terhadap IBU BAPA nya.

.. BUKAN SEBAGAI AMALAN SEORANG SAUDAGAR YANG HANYA MENGHARAPKAN LABA PAHALA SEMATA-MATA…

Hasil Iqra’, WIRID terawih
WARGA PRIHATIN