Testimonial Pendidikan Anak dengan konsep Sibghatullah di Rumah Pengasih Warga Prihatin

Kami petik artikel ini dari laman facebook salah seorang pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin sendiri. Ini adalah satu testimonial besar tentang kelainan sistem pendidikan yang kita perkenalkan dengan konsep SIMBGHATULLAH. Alhamdulillah, jika itu datang dari Allah, pasti hasilnya yang baik sahaja.

Hayati artikel di bawah ini yang dibaca secara viral oleh 250,000 pembaca hanya dalam tempoh 5 jam sahaja di Facebook beliau. Subhanallah

orked
HADIAH HARIJADI ANAKKU

Anak pertama saya bernama Orked. Lahir pada 20 Ogos 2008. Permata hidup saya dan isteri. Masih teringat panggilan telefon dari isteri mengatakan Orked jatuh dari walker dan dikejarkan ke hospital dan menerima 5 jahitan di dahi cukup buat jantung terasa nak gugur. Anak ini mahu kami jadikan istimewa sekali.

Sudah 5 tahun berlalu, saat kelahiran Orked. Dalam hati saya telah saya fikirkan biarlah anak ini membesar menjadi pembela dan serikandi agama, nusa & bangsa. Semenjak umur 2 bulan, Orked diletakkan di bawah penjagaan ibu-ibu, bapa-bapa dan adik beradik asnaf dan yatim di RUmah Pengasih Warga Prihatin setiap hari dan hanya pulang ke rumah pada malam hari sahaja. Saya menerima tentangan dari beberapa orang rapat saya mempersoalkan mengapa saya korbankan kehidupan anak itu di tempat anak yatim dan asnaf yang serba kekurangan itu?

Saya tetap berpegang, untuk anak ini belajar menjadi yang istimewa. Jika pembentukannya sama seperti orang lain, masakan ia mampu jadi pembela luarbiasa kelak. Tiada Barbie Doll, Hello Kitty, Dora, Barney dan apa-apa lagi ikon kanak-kanak yang menjadi aksesori permainan Orked. Hanya mainan terpakai sahaja yang ada.

Zaman kanak-kanak Orked dan rakannya seperti telah berakhir dengan cepat. Orked kata dia nak jadi “Kakak Besar”. Dalam roll call dan juga ikrar harian, Orked sering memberitahu yang ia mahu cepat-cepat besar dan menjadi seorang yang hebat pada masa akan datang. Orked kadangkala nak jadi seorang Doktor, kadangkala nak jadi seorang Pensyarah seperti ibunya dan adakala nak jadi seorang usahawan seperti bapanya. Tetapi apapun cita-citanya, apabila ditanya apa yang mahu dibuat dengan kerja-kerja itu, Orked menjawab Orked mahu TOLONG ORANG SUSAH.

JIWA SUKARELAWAN

Terus terang, ia bukan perkara mudah untuk saya sendiri mendapatkan sedikit jiwa sukarelawan yang sanggup bersusah payah untuk orang lain ini. Ia terbentuk dari ibu dan juga ayah saya. Saya akui juga tidak mudah untuk saya didik isteri saya untuk mendapatkan jiwa sukarelawan seperti sekarang. Ia berlaku peringkat demi peringkat. Rupanya, anak saya mendapatkannya dengan mudah semenjak dari kecil lagi melalui lingkungannya di Prihatin.

Hadiah Harijadi ke-5 ini, Orked hanya minta diizinkannya untuk menyerahkan kesemua duit raya dan tabungannya itu kepada Mak Sofiah Wali (salah seorang ibu asnaf di Prihatin) bagi menampung kos pembedahan lutut beliau.

Sebagai bapa, saya tersentuh dengan izin yang diminta itu. Apa lagi yang saya mahukan dari seorang anak? saya ada harta yang cukup, saya mampu berikan anak saya kemewahan tetapi jiwa murni atas niat membantu orang lain sehingga berhabis-habisan itu satu perkara yang paling indah dalam hidup saya.

Saya mampu bawa Orked ke Disneyland setiap tahun, saya mampu bawa Orked melancong ke luar negara, saya mampu bawa Orked membeli belah pakaian berjenama, saya mampu belikan koleksi Mattel Barbie Doll, saya mampu bawa Orked ke Kidzania setiap minggu, saya mampu bawa Orked makan makanan terbaik di Kuala Lumpur tetapi jiwa luhur begitu tak mungkin saya dapati pada diri anak kecil itu jika saya berikan kesemua yang saya sebutkan itu.

Orked hanya mengikuti rombongan berziarah Warga Emas di Melaka, Perak dan Selangor sementara rakan yang semampu bapanya sedang bercuti di Disneyland. Orked pakai pakaian dari kotak-kotak yang disumbangkan oleh orang ke Prihatin sebagai pakaian yang disukai (jika dibelikan yang elok dan baru, dia jadi malu kerana tak sama dengan rakan lain), Orked makan nasi kawah beras hancur bersama anak-anak yatim dan asnaf yang daif ketika rakan semampunya sedang menikmati makanan di McDonald’s dan A&W. Memang sebagai bapa saya kena tahan hati dengan semua itu.

Orked berkawan dengan orang-orang kurang bernasib baik dan saya bersyukur, itulah sumber keprihatinan Orked. Lingkungan Orked bukan kemewahan harta, permainan, baju berjenama tetapi kasih sayang dan ilmu.

Sebesar 5 tahun juga, Orked sudah kenal nilai wang ringgit. Tetapi saya bersyukur kerana Orked lebih menilai kemanusiaan berbanding nilai ringgit itu untuk dirinya. Orked saya didik menabung dari umur 3 tahun dan saya berikan Orked inspirasi untuk dia kumpulkan wang bagi membeli sesuatu yang dia mahukan. Orked mahukan sekeping puzzle besar 1000 potongan yang berharga lebih RM100. Saya mampu belikannya tetapi saya mahukan Orked merasakan sendiri itu adalah hasil simpanannya sendiri.

Benar, saya mampu mendidik anak saya menabung dan berjimat, tetapi saya lebih bersyukur kerana pelajaran yang terbesar bukan hanya sikap menabung itu. Saya terlupa ajarkan Orked sesuatu yang lebih berharga sehingga ia terjadi sendiri di hadapan mata saya. Selepas izin diberi, Orked dan sekumpulan kawan sebayanya di Prihatin membawa wang tabungan masing-masing dan membuat penyerahan kepada Mak Sofiah yang akan menjalani pembedahan keduanya minggu hadapan.

Ketika itu saya sedar, dan saya senyum dan tidak salahlah saya meletakkan anak saya membesar di Rumah itu. Sebuah rumah yang kelihatan kekurangan sarananya tetapi kaya dengan kasih sayang. Antara impian peribadi dan kasih sayang, mereka pilih kasih sayang. Saya mahu Orked begini. Jikalah Orked memilih untuk kemahuan peribadi berbanding kasih sayang, saya rasa hampir pasti saya dan isteri akan mengakhiri hayat di rumah jagaan orang-orang tua. Tetapi jika Orked meletakkan kasih sayang melebihi kepentingan peribadi, saya dan isteri mampu tarik nafas lega.

Air mata mengalir melihat proses kedewasaan anakku yang baru berusia 5 tahun pada hari ini. Hanya satu hadiah harijadi yang diminta sebelum harijadinya. Bukannya permainan mahal, bukannya kek bertingkat, bukan juga trip ke Disneyland tetapi HANYA keizinan untuk memberikan keseluruhan tabungannya kepada orang yang lebih memerlukan. Walaupun tindakan itu terpaksa mengorbankan impiannya sendiri.

Saya hanya mampu ajar Orked menabung, tetapi di Prihatin, Orked belajar tentang nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Kita kadangkala lupa, dunia jadi huru hara apabila “Kasih sayang” menjadi lebih murah berbanding “agenda peribadi”.

SAIFUL NANG
Daddy Orked.

Video Orked Akad Tabungannya kepada Mak Sofiah
Posting Tentang Mak Sofiah Wali 1
Posting siapa Sofiah Wali 2