Sekolah Alam ke 4, Bah 5 – Di mana anak kita? adakah mereka bebas dari gejala?

sek alam 4 bah 5Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 5
DI MANA ANAK KITA? ADAKAH MEREKA BEBAS DARI GEJALA?

Homestay yang kami diami semasa Program Kembara Alam ke 4 ada kolam renang yang agak besar saisnya. Penduduk berdekatan sentiasa datang untuk mandi manda dengan bayaran RM3 seorang untuk mandi sepuasnya. Kasihan juga pada keluarga Wak Amin dan Wak Sur yang agak kuwalahan untuk mengendalikan pengurusan tetamu yang mandi di situ. Ada yang datang 15 orang tetapi hanya 7 orang yang bayar. Bakinya curi-curi masuk sahaja tanpa dikesan.

Apa yang ingin kami kongsikan bukanlah soal pengurusan kutipan yuran daripada orang-orang yang datang mandi. Kami ingin kongsikan pemerhatian anak-anak tentang percampuran laki-laki dan wanita semasa aktiviti mandi manda di situ.

DISIPLIN PERGAULAN DAN BATAS AURAT RPWP

Di RPWP ada lebih 100 orang penghuni yang terdiri dari rijal dan nisak, tua dan muda. Soal aurat memang sangat kami tekankan dengan serius. Aurat bagi kami juga bukan sekadar ala kadar menutup kepala dan tubuh. Kami sangat tegaskan kepada anak-anak tentang bezanya bungkus dan tutup. Kami jelaskan kepada mereka apa itu sebenarnya aurat dan mengapa Allah minta kita tutup, bukan sekadar bungkus.

Hampir semua anak anak kami yang sudah berakal akan diminta membaca alquran terjemahan per-kata (harfiah/huruf per huruf). Oleh itu, mereka tahu surah mana dan ayat mana yang menetapkan mereka untuk menutupi aurat itu. Kami SENTIASA jelaskan kepada mereka segala skop aurat sejelas-jelasnya.

Bentuk dan anggota badan ada aurat yang perlu ditutup dengan tepat mengikut spesifikasi Allah melalui spesifikasi pakaian dalam, pakaian luar dan tudung. Gaya berjalan, gaya bercakap, renungan mata dan memek muka, lontaran suara dan hilai tawa semuanya ada batas aurat yang memberi aura kepada pelbagai gejala seksual tertentu dan harus turut dijaga, bukan pakaian semata-mata.

Alhamdulillah, setelah hampir 10 tahun warga prihatin hidup bersama dalam komplek ini, kami bersyukur kerana dapat memahamkan anak-anak dengan baik. Kesemua mereka akur redha untuk sentiasa berada dalam keadaan menutup aurat walaupun semasa menonton tv di ruang tamu sendiri, kerana kami berkongsi ruang tamu dan dapur dengan semua orang. Satu-satunya tempat anak nisak kami melepaskan tudung ialah di bilik tidur dan bilik air sahaja.

Pergaulan antara rijal dan nisak sangat kami kawal. Pergaulan bebas jauh sekali. Tempat tidur, tempat riadah, tempat solat semuanya diasingkan. Setelah sekian lama budaya hidup ini diamalkan, maka kami dapati anak anak kami sangat sensitif soal batas pergaulan dan hal ehwal aurat ini.

Menarik juga apabila anak-anak ini di bawa ke luar, sekecil 6 tahun sudah boleh bertanya mengapa pakaian kakak atau mak cik itu ketat sangat, mengapa mereka tidak pakai tudung, mengapa belakang badan dan dada mereka terdedah.? Mengapa pakaian mereka tidak ikut spesifikasi sepertimana yang diajarkan RPWP kepada mereka.? Mengapa mereka bertepuk tampar dengan lelaki, malah ketawa mengilai-ngilai dan berdekah-dekah macam orang kena sawan tanpa malu dan segan di khalayak ramai atau dalam majlis?

Trend orang kita yang semakin menjadi-jadi sekarang ialah hanya tutup aurat kerana adat atau sebagai uniform sahaja. Di sekolah anak kita pakai tudung kerana peraturan sekolah atau malu dengan kawan-kawan. Keluar pagar sekolah masing-masing buka tudung. Ada yang terus masuk kereta ibu bapa yang juga tidak menutup aurat, atau terus ke bandar bersama teman lelaki dan perempuan untuk berkeliaran sesuka hati. Dalam kelas pun mereka boleh raba meraba depan rakan sekelas, bahkan boleh mengadakan hubungan seks secara terbuka. Rasa malu sudah tiada sama sekali sekalipun bertudung.

Keadaan yang sama turut berlaku apabila kita bawa keluarga pulang ke rumah orang tua sewaktu hari raya dan kenduri kendara. Kanak-kanak dan remaja Lelaki dan wanita, bahkan sebahagian dari ibu bapa juga tidak menjaga batas aurat secara kaffah. Ada di kalangan sepupu sepipit yang berboncengan motorsikal, ada yang mandi sungai dan berkelah, ada yang bersama main mercun bahkan berbual dalam gelap malam tanpa sebarang pencegahan. Hanya semata-mata memikirkan mereka itu bersaudara, tanpa kebimbangan berlakunya perkara sumbang apabila syaitan telah ikut serta dalam aktiviti itu.

Setiap kali balik dari percutian raya, ada sahaja perkongsian dari anak-anak tadika yang pulang ke desa tanpa takut dan segan menegur nenek atau makciknya yang tidak memakai tudung, bahkan ada yang hanya berkemban di laman rumah. Ramai juga yang dengan selamba sahaja menegur makcik dan sepupu mereka yang remaja kerana bertudung tapi memakai seluar ala legging yang sangat ketat dan mengiurkan, apatah lagi yang tidak memakai tudung sama sekali.

Akhirnya ramai yang tersipu-sipu malu. Ada yang kelihatan berubah pada pertemuan berikutnya. Ada juga yang terus membenci dan menyisihkan anak-anak ini kerana menyekat kebebasan mereka untuk berpakaian atau berkelaluan sesuka hati. Ada yang mengatakan kami kolot dan tidak ikut peredaran zaman serta berbagai bagai lagi reaksi. Kami serahkan kepada anda untuk menilai perkongsian ini dan melakukan tindakan apa yang perlu.

CERITA DI KOLAM MANDI HOMESTAY

Anak-anak rijal dan nisak kami gilirkan. Di siang hari untuk anak-anak rijal. Selepas jam 12 malam peluang diberi untuk anak rijal yang besar dan bapa-bapa pengiring. Anak-anak nisak dan ibu-ibu pengiring diaturkan diwaktu subuh di mana orang masih lena tidur. Kasihan juga apabila ramai anak-anak nisak kami mengambil keputusan untuk tidak ikut mandi kerana walaupun waktu subuh, namun cahaya lampu masih terang. Oleh itu hanya yang kecil kecil sahaja merasa mandi.

Ini berlainan sewaktu kembara kami di Baling. Anak sungai yang telah kami bersihkan itu benar-benar terpencil dan tiada orang yang dapat melihat. Maka dapatlah anak-anak nisak kami bersama ibu-ibu pengiring merasa berendam dalam sungai kecil itu dengan aman. Semuanya kerana perasaan ‘malu’ yang nabi SAW katakan menjadi sebahagian dari ‘teras iman’ itu. Tanpa ‘malu’, maka kita akan berperangai macam haiwan.

Perkongsian anak-anak kali ini menampakkan satu kelainan apabila sentiasa ada anak nisak di kampung itu yang mandi bersama-sama begitu ramai lelaki pelbagai bangsa yang mandi di kolam itu. Pemerhatian paling menyedihkan ialan pada petang sebelum keberangkatan pulang. Anak-anak kami memerhatikan ada seorang sahaja anak dara sunti sekitar 14 tahun yang begitu lama berada dalam kolam itu dan mandi bersama begitu ramai budak lelaki. Beberapa pengiring membantu penelitian dan jelaslah aktiviti itu tidak dipantau sama sekali.

Keadaan kolam yang bertembok tinggi, banyak dinding, pokok serta tempat tersorok di sana sini sangat mencurigakan. Anak gadis ini bukan sahaja tidak membatasi penutupan auratnya, malah dilihat seperti sudah terlalu biasa bersentuhan badan, bertepuk tampar dan hilai tawanya bersama budak-budak lelaki yang mandi di kolam itu. Bahasa mudahnya anak ini sudah agak ‘high’ dan ‘teransang’ sekali.

Anak kami mungkin hanya melihat dari segi batas aurat. Namun team R&D kami sudah membaca sesuatu yang sangat jauh dari itu. Air kolam separas leher, keriuhan hilai tawa dan bunyi kocak air juga cukup untuk mengkaburi aktiviti raba meraba, ‘usik’ mengusik dan banyak lagi yang tidak perlu kami huraikan.

Kalau dari perkenalan pertama di facebook sahaja begitu ramai anak gadis kita sudah boleh buat temu janji disimpang berdekatan, berani curi-curi keluar rumah jam 3 pagi sewaktu keluarga sedang nyenyak tidur untuk bertemu ‘kenalan baru’ akibat rangsangan seks di alam maya. Bayangkan apa yang boleh dirancang oleh anak ini dengan aktiviti dari kolam mandi ini bilamana kedua-duanya memang sudah berada di luar rumah? Mereka hanya perlu sekitar 5 minit untuk melampias nafsu. Bila sudah hamil nanti mereka buat lapuran rogol, sedangkan aktiviti itu jelas atas dasar suka sama suka.

Sebelum ini pernah kami kongsikan terlalu banyak situasi gejala sosial, berkaitan dengan rogol dan bunuh kanak-akanak, gejala buang bayi, sumbang mahram dan sebagainya. Antaranya ialah luahan hati anak-anak kami tentang “Gejala seks anak sekolah bukan lagi satu gejala tetapi sudah masuk ke tahap bencana.!!” Juga dalam artikel bertajuk “Satu nafas satu zina…”

Ingin kami ajukan pertanyaan khas kepada kes seperti di kolam renang ini. Di manakah ibu bapa anak ini? apakah yang ada di fikiran mereka sewaktu membenarkan anak gadis mereka keluar sendirian tanpa batas pergaulan dan masa untuk berpeleseran di tempat percampuran sosial seperti ini? masih tidak perasankah yang situasi gejala sosial kita sudah separah ini?

http://prihatin.net.my/web2/2013/10/15/tid-bit-parenting-28-zina-anak-sekolah-satu-bencana/

Sedangkan dengan bapa, bapa saudara, bapa tiri, abang kandung, bahkan ustaz dan Imam Bilal juga boleh berlaku begitu banyak perbuatan sumbang yang berulang-ulang, inikan pula dengan rakan sebaya. Kami pautkan dengan link berikut ini sebagai peringatan. Diharapkan ia dapat menyedarkan para ibu bapa.

http://www.bharian.com.my/articles/Pengawalkeselamatandipenjaradandisebatkeranarogoladikkandung/Article/

Selama ini kita hanya tahu yang kes buang bayi berlaku secara sembunyi-sembunyi. Ada yang sempat kita temui dan lebih banyak yang terus dimakan ulat dan anjing tanpa bukti. Baru-baru ini kami dedahkan begitu banyaknya kes buang bayi yang sebenarnya diketahui oleh ibu bapa masing-masing. Alasan diberi hanya kerana terpaksa, untuk menutup malu.

Paling biasa adalah kerana kebanyakan pelaku lelaki yang meng’hamil’kan anak mereka tidak dikenal pasti kerana terlalu ramai. Bila ada lelaki yang mahu bertanggung jawab dikatakan pula anak mereka masih sekolah dan terlalu muda, si lelaki pula tiada kerja dan juga masih terlalu muda. Ironinya ada kes yang berulang sampai 4x dalam rumah yang sama. Jika Nabi SAW kata tidak Islam orang yang dipatuk ular 2x di lubang yang sama, maka adakah kita masih Islam dalam isu ini? baca pautan berikut sebagai bukti…

http://www.hmetro.com.my/articles/Temanianakgugurjanin/Article?BeritaUtama

KESIMPULAN

Ambillah furqon yang di kongsikan oleh anak-anak ini sebagai satu peringatan. Buatlah langkah pencegahan untuk membendung gejala sosial yang sudah sedia teruk sekarang ini. Tahankanlah hati, biarlah anak kita menangis sekarang disebabkan larangan kita, daripada kita dan mereka sama-sama menangis setelah kerosakan maruah dan diri mereka berlaku.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

PERKONGSIAN SEKOLAH ALAM
Warga Prihatin