Sekolah Alam ke 4: Bah 2 – Anak Melayu Main Game, Anak Cina Main Kotor
ANAK MELAYU MAIN GAME, ANAK CINA MAIN KOTOR.
Kembara Sekolah Alam menyinggah di Jeti Nelayan Bagan Pasir. Kami beri tugasan anak-anak untuk membuat pembelian ikan untuk dimasak pada majlis keraian silatulrahim bersama penduduk setempat malam hari pertama kami di Tanjung Karang. Mereka belajar cara untuk tawar menawar sehingga mendapat harga terbaik dari peraih.
Semasa di dalam bas ketika perjalanan pulang ke homestay, seperti biasa murobbi bas bertanyakan tentang perkongsian pemerhatian dari anak-anak. Namun, pertanyaan murobbi tentang hasil pemerhatian anak-anak ini dijawab dengan sebuah soalan cepu emas.
Anak sebesar 8 tahun bertanya, mengapa orang Cina membawa anak kecil bekerja? Lalu dikongsikan kepada anak itu oleh seorang kakak yang berusia 12 tahun tentang konsep “Belajar dari buaian sehingga ke liang lahad”.
‘TOLABAL ILMI WALAU BISSIN – Tuntutlah ilmu walaupun dengan Cina’
Pendedahan alam di RPWP berlaku sepanjang masa. Setiap hari ada sahaja anak-anak yang kami bawa keluar samada untuk menghadiri majlis, membeli bahan binaan, alatganti kenderaan yang sedang kami baiki di bengkel kami, maupun membawa anak-anak ke workshop Cina untuk jenis baikpulih yang tidak kami lakukan sendiri seperti penjajaran tayar dan sebagainya.
Adalah terlalu lumrah bagi anak-anak kami memerhatikan anak-anak Cina tahap tadika yang duduk bertenggek di kerusi tinggi dekat meja kaunter pembekal borong untuk membantu mengira dengan kalkulator. Juga terlalu biasa melihat anak-anak Cina tahap sekolah rendah atau menengah bawah yang membantu ayah mereka membuka, menampal dan menimbang tayar kereta.
Seorang anak RPWP yang telah bakal menamatkan pengajian di universiti sempat memerhatikan pengambil alihan perniagaan pembekal besi buruk yang kami langgani. Sebelum ini rakan sebaya mereka kelihatan membantu urusniaga perniagaan besi buruk.
Hari ini bapa mereka tidak sering lagi kelihatan di pusat pengumpulan besi itu. Ia telah diambil alih sepenuhnya oleh anak beliau 3 beradik, 2 lelaki dan 1 perempuan. Padahal kesemuanya memiliki ijazah belaka. Bapa mereka kini telah beralih mengusahakan bengkel kenderaan dan menjual kenderaan/jentera terpakai pula. Semua itu berlaku depan mata anak-anak kami selama 9 tahun memerhatikan alam sewaktu bersama kami mengurus RPWP.
Anak Cina tidak dimanjakan dan mereka bawa anak-anak mereka bekerja. Pandangan ini agak biasa di sepanjang pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4 ini. Orang Cina bawa anak untuk dijaga sendiri di tempat kerja. Ada juga anak yang telahpun membesar tetapi masih bermain di lingkungan tempat kerja ibu bapa mereka. Anak-anak juga terpaku melihat anak Cina seumur 10 tahun sedang membuat urusniaga jual beli dan jarinya pantas benar menekan punat-punat calculator.
Wajarlah mereka menjadi bangsa hebat tidak kira di mana mereka berada di dalam dunia ini. Pada ketika anak 10 tahun mereka sedang berbusuk-busukan dengan bau udang jeragau, tiram dan hanyirnya ikan, di manakah anak kita berada?
Di panggung wayang? di arked? bertafakur dengan ipad mereka? menonton Astro Ceria?
Fenomena ini dikaitkan pula dengan pemerhatian yang sama oleh anak-anak sewaktu Pembelajaran Alam Sesi 3 di Baling tempohari.
Di desa itu ada seorang peraih getah yang turut memiliki kedai runcit, ternakan lembu komersial dan sebagainya. Anak-anak peraih Melayu ini terbiar, berkeliaran keliling kampung saban hari dengan motosikal mereka. Kadang-kadang tidak balik rumah pun. Persekolahan tidak tamat dan tidak ada usaha membantu perniagaan keluarga yang diurus oleh bapa dan beberapa pekerja upahan sahaja. Ibu mereka juga tidak berminat dengan usaha niaga suaminya.
Selaku badan penyelidik kepada peradaban manusia, kami turut didokong oleh masyarakat Cina yang berkongsi masalah rumahtangga mereka. Sesuatu yang mereka takuti adalah fenomena negetif yang telah menular kepada sebahagian anak-anak mereka, iaitu budaya berseronok sebelum mampu bekerja dan berniaga. Bangsa Cina moden sekarang tidak lagi mempunyai 10-15 orang anak seperti dahulu.
Kalau dahulu bangsa Cina merasa tertekan dan generasi terdahulu sudah berusaha gigih untuk memperteguhkan ekonomi. Generasi sekarang sudah ramai yang hidup senang lenang, malas bekerja dan menghabiskan harta emak dan bapak mereka sahaja. Apapun kami melihat secara umum dan pada perspektif yang lebih meluas dari pemerhatian alam kali ini.
KESIMPULAN
Kita seharusnya meneliti apa yang baik dari hasil pemerhatian itu kerana segala yang baik adalah dari hidayah Allah. Yang buruk itu adalah kerana kelalaian diri kita sendiri.
Jangan cemburu jika orang Cina jadi hebat walaupun adakala tidaklah mereka belajar setinggi anak Melayu. Tetapi anak Melayu yang pandai akhirnya bekerja dengan Anak Cina yang dibesarkan dalam lingkungan kerja.
Belakang parang bila diasah lagikan tajam, inikan pula kita manusia. Pendedahan alam yang didedahkan kepada anak-anak Cina bagi membentuk habit bekerja, berjimat cermat, mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah itu telah mampu mencipta bangsa yang kreatif dan produktif.
Alhamdulillah ada juga segelintir anak Melayu yang dilihat berjaya mengikuti tabiat ini untuk membentuk habitat terpencil yang baik cirinya. Namun masih terlalu berleluasa sikap lama orang Melayu yang memerlukan usaha keras untuk kita sama-sama mengubahnya.
Fikirkanlah
Cetusan anak-anak Prihatin
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN
Album Sekolah Alah ke 4:
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10152646573067786.1073741840.176792972785&type=1