Sains Kahfi 4 – Misal Pemisahan Dua Zaman

00 gua.4Sains Kahfi 4 – Misal Pemisahan Dua Zaman

Surah alKahfi disusun di tengah-tengah Musyhaf alquran. Di situ jugalah terdapatnya seruan WALYATALLATTOF (hendaklah kamu berhalus/berhati-hati/berlemah lembut). Begitu juga pencerahan dari surah itu sendiri. Jika kita baca berulang-ulang kali kita akan dapati surah ini membantu kita mengenalpasti kekosongan jiwa dan kefahaman agama secara total, yang sudah lama berlaku tanpa kita sedar. Ia seolah-olah membahagi tepat antara dua zaman dengan jahiliyah yang kaffah, yang menuntut kita menghalusi semula segalanya sedari mula.

PERI PENTINGNYA MENGHALUSI PERUMPAMAAN/MUTASYABIHAT

Antara punca kekalutan umat dalam usaha memahami dan menerapkan nilai Islam yang sebenar dalam kehidupan ialah kerana kegagalan kita memahami rahsia mutasyabihat. Pelbagai pentafsiran tentang ayat-ayat mutasyabihat telah berlaku dan menyebabkan umat menjadi semakin bingung. Lebih menyedihkan lagi apabila ramai yang mencuba-cuba menjelaskan ayat mutasyabihat secara muhkamat.

Apabila ayat mutasyabihat (tersirat) yang pembacaannya dibuat berselari dengan sunnah dan asbab tidak diperhalusi, maka ia mula ditelah dengan cara muhkamat (tersurat). Cuba anda bayangkan jika bidalan “Bagai anjing dengan kucing” merujuk secara tersurat pasti kita akan menafikan konteks bidalan itu adalah untuk kita juga pakainya kerana ia hanya untuk anjing dan kucing. Tetapi apabila kita mula menyelami KONTEKS bidalan tadi, barulah kita tahu yang kita ambil ialah pelajaran di sebalik anjing dan kucing itu dalam kehidupan manusia.

Apabila Allah buat perumpamaan manusia seperti babi dan anjing di dalam Al-Quran, adakah kita akan mencari manusia yang sudah menyerupai fizikal babi dan anjing itu? Ataupun kita mencari perangai / habit haiwan itu yang ada pada manusia. Itu namanya, PEMBACAAN STRATEGIK yang mengambil bacaan mutasyabihat sebagai kekuatan utama.

Hari ini, kita mendamba kepada sesuatu yang terlampau magik berlaku untuk kita memperkuatkan pasak diri kita terhadap Islam. Rakaman video yang “over-expose” di dalam masjid Nabawi pun menjadi viral di internet kononnya itulah Malaikat yang bersama menunaikan solat. Mudah-mudah kita jadi takjub dengan perkara itu sedangkan kejadian alam ini keseluruhannya sudah lebih dari besar untuk kita pasakkan iman kita kepada Allah.

Golongan agamawan sebahagiannya mencari makan dengan ceramah juga dengan menulis buku yang tampak seperti dongeng-dongengan tentang kehebatan Malaikat berbanding manusia sedangkan Allah telah nyatakan manusia adalah ciptaan terbaik. Itulah semua bahana perkataan mutasyabihat ditafsir secara muhkamat. Jadilah sampai ke saiz Malaikat Jibrail yang sebelah sayapnya sahaja memenuhi sedunia. Bagaimana secara fizikal dan tersurat kita mahu jelaskan bagaimana Jibrail sebesar itu menemui Nabi di Gua Hira? Bagaimana Jibrail memeluk nabi? Bagaimana pula Nabi bertemu Jibrail dengan Malaikat Jibrail menunjukkan rupa sebenarnya?

Itulah strategi yang mantap yang menjadi rahsia Allah dan rasul dalam mengenal kebenaran dan meyakini yang ghaib adalah di sebalik ayat ayat mutasyabihat ini. Mengenali jatuhnya agama dan untuk mencari kaedah membangunkannya semula juga terselindung di sebalik ayat ayat mutasyabihat atau ayat yang berupa ‘misal’ ini.

Hari ini, musuh Islam juga pening kerana inkripsi ayat-ayat Allah itu ada kekuatannya secara TERSIRAT bukan tersurat. Jika secara tersurat, mudah sahaja musuh Islam memesongkannya sepertimana mereka memesongkan kitab-kitab sebelum Al-Quran. Hari ini, mereka melihat Quran dan mereka jelas ADA KERAMAT dalam bacaannya tetapi mereka sendiri tidak faham bacaan mutsyabihat itu sendiri. Yang mereka baca yang tersurat itu hanya memberikan mereka impresi bahawa ia seperti satu buku cerita yang tidak membangunkan Islam sangat.

Waspadalah, hari ini kebanyakan manusia hanya membaca yang muhkamat tanpa penguasaan mesej tersirat (mutasyabihat). Hasilnya, Islam dilihat satu agama yang hanya kelihatan seperti Islam (hardware) tetapi rohnya (software) adalah bukan Islam. Muhkamat (hardware) dan pemacu hardware itu ialah perisiannya (mutasyabihat).

Sudah jelas tentang beza bacaan?

Sudah Nampak mengapa musuh Islam tidak pernah menentang malah menaja program-program musabbaqah Al-Quran? Kerana mereka lebih selesa kita berlumba-lumba membaca dan melagukannya berbanding kita berlumba-lumba membuka sekolah untuk mentalaqi Al-Quran tanpa berjubah dan tanpa beserban.

32. Dan berikanlah kepada mereka sebuah PERUMPAMAAN dua orang laki-laki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon korma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.

45. Dan berilah PERUMPAMAAN kepada mereka, kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkann oleh angin. Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu.

54. Dan sesungguhnya Kami telah MENGULANG-ULANGI bagi manusia dalam Al Quran ini bermacam-macam PERUMPAMAAN. Dan manusia adalah MAKHLUK YANG PALING BANYAK MEMBANTAH.

Sedikit yang ingin kami kongsikan dari ayat di atas adalah tentang pohon akidah dan taman syurga yang diumpamakan dengan anggur dan korma. Jika kita susur kembali akan kita kenali Nabi manakah (lelaki) yang menanam Anggur dan Korma. Lebih baik lagi jika kita boleh susur juga siapa penanam pokok Tin dan Zaytun. Itu adalah fenomena taman syurga yang telah dikecapi ummat hasil dakwah mereka di wilayah dan mulkiyah masing-masing. Allah gambarkan situasi terputusnya tamaddun di antara mereka agar yang terkemudian sedar dan membangkitkannya semula.

HAKIKAT AKHIR ZAMAN (AKHIRAT) DAN HARI KEBANGKITAN (KIAMAT)

Antara yang wajib diimani oleh setiap individu muslim adalah hakikat wajib berlakunya hari akhirat atau hari kebangkitan. Sepertimana yang telah dialami oleh baginda Rasulullah SAW dahulu, begitulah yang sedang kita alami. Islam yang ditegakkan oleh Nabi Ibrahim a.s. berdasarkan Suhuf Ibrahim melalui Millah Ibrahim akhirnya jatuh semula. Kemudian diturunkan Kitab Taurat kepada Musa a.s. dan didakwahkan dengan susah payah lalu jatuh semula. Kemudian diturunkan pula Injil kepada Nabi Isa a.s. dan didakwahkan dengan jayanya lalu jatuh semula.

Untuk kita pula, alquran diturunkan melalui baginda Rasulullah SAW yang juga telah berjaya didakwahkan dengan meluas dan jayanya. Namun Nabi SAW tahu akan patern jatuh bangun ini lalu baginda mewasiatkan begitu banyak tanda kejatuhannya dan mengajarkan cara membangkitkannya semula. Kita seharusnya bersyukur kerana baginda telah mewasiatkan kitab yang lengkap dan dijamin Allah akan terpelihara sampai bila-bila. Itulah himpunan hadis ‘akhir zaman’.

Sejak kecil baginda Rasulullah SAW memerhatikan keadaan sekitar dan bagaimana manusia menangani aturan Allah yang telah ditetapkan dalam kitab sebelumnya. Apa yang jelas segala ajaran rasul terdahulu itu telah hilang sirna dari perlaksanaannya. Umat yang telah diajarkan tentang kitab dan peraturan Allah waktu itu telah kembali jahil. Masing masing berlumba-lumba mengejar laba dunia berupa harta, tahta dan wanita.

Bapa saudara baginda SAW sendiri yang salah satu dari namanya ialah Abdul Uzza bin Abdul Muttalib yang juga digelar Abu Lahab telah mewarisi tabiat Qorun. Dari nama itu kita kenal apa itu al-Uzza, salah satu dari 3 berhala besar, iaitu penyembah (Abdul) harta (al-Uzza). Bapa saudara sepupu baginda Haji Amr Bin Hisham yang digelar Abu jahal menjadi pewaris Fir’aun, yang ketagih kuasa dan berbuat sewenang wenang dalam menguasai Mekah serta mengurus Jemaah Haji di Masjidil Haram.

Segala tanda akhir zaman yang diwasiatkan oleh baginda SAW adalah himpunan dari apa yang baginda lihat sepanjang hidup baginda sebelum menerima wahyu. Dalam mengejar kekayaan, riba dan penindasan dijadikan instrumen perniagaan yang sangat meluas dan menindas. Demikian juga halnya dengan Abu Jahal yang sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan kedudukannya. Buktinya beliau sanggup keluarkan perintah bunuh kepada baginda SAW sendiri setelah gagal memujuk baginda dengan harta, tahta dan wanita untuk meninggalkan dakwah.

Begitu juga situasi jahiliyah di mana ibu-ibu tidak lagi menyusukan anak sendiri, setiap kelamin mempunyai amah, isteri sudah menjadi barang perhiasan dan tidak berfungsi sebagai amarat rumahtangga, nisak sudah bertukar menjadi rijal, manusia berpecah belah dan tindas menindas dalam apa saja. Hiburan dan perkara-perkara yang menghayalkan dan memabukkan telah sangat berleluasa. Zina, judi, rampok merampok berleluasa.

Anda masih rasa ciri-ciri dan tanda-tanda yang Nabi sudah gambarkan tentang Jahiliyah itu masih berlaku dalam zaman kita? Jika anda rasa kita masih belum seteruk Jahiliyah, kami harap artikel ini mampu mengejutkan anda dari lena yang panjang anda itu.

Itu semua menjadi pedoman tanda berakhirnya fitrah agama yang baginda wasiatkan kepada kita agar jangan lalai dan sentiasa berjaga-jaga. Apabila segala tanda itu sudah sangat ketara, maka baginda nasihatkan agar kita kembali merujuk dan berpegang teguh dengan al-quran dan sunnah baginda untuk membangunkannya semula.

Penggiliran jatuh bangunnya agama samawi ini telah banyak sekali Allah nyatakan melalui sirah rasul satu demi satu. Allah jelaskan juga melalui berbagai bentuk perumpamaan yang boleh kita perhatikan di alam ini. Antaranya Allah kaitkan dengan matahari dan bulan, siang dan malam, pusingan minggu, bulan juga tahun demi tahun dan sebagainya. Kerana itu penggiliran solat lima waktu, penamaan hari dalam seminggu, penamaan bulan-bulan hijrah membawa maksud yang sama tentang jatuh bangunnya nasib agama.

Benarlah firman Allah itu. Islam itu sezaman ia gelap ibarat malam sehingga manusia melaksanakan agama dalam gelap gelita dan meraba-raba. Kemudian ada golongan yang solat malam yang panjang penuh kesedaran lalu menemui subuh dan fajar lalu Islam terang semula. Menjelang Zuhur, segala bayangan yang samar akan menjadi jelas tanpa bayang. Itulah hakikat tertegaknya Islam. Namun bayang pagi yang mendekati zuhur tadi kembali tergelincir dan cahaya semakin jauh sehingga terputus semula selepas Asar.

Dari ahad sampai khamis kita bekerja dan bermasyarakat, hari jumaat kita kumpul segala berita dalam solat jumaat. Kita bermuhasabah di hari sabtu dan kita mulakan dari ahad semula. Dari awal bulan yang gelap gelita, kita lalui kehidupan hingga terang bulan dan bulan akan menuju ke hujung dan hilang cahayanya semula.

Dalam pusingan tahun juga begitu. Selepas musim Haji di bulan ZulHijjah, masih-masing mendapat hujjah yang tepat tentang Islam lalu kita mulai tahun baru dengan Muharam menggunakan hujjah yang tepat. Dari situ kita jelas mana yang haram, mana yang halal. Dari situ kita jelas kenapa Kaabah itu berada dalam masjidil haram, di Tanah haram. Berbagai bagai proses pembaikan kita alami, kita pindah kiblat dan sembahan dari syaitan kepada Allah. Kita perjalankan jiwa untuk meningkatkan darjat keimanan kita. Namun seperti biasa hujungnya manusia akan melalaikannya lalu menemui ramadhan dan kepanasan semula. Dan begitulah pusingan seterusnya.

Banyak dipetik dalam surah al-Kahfi ini tentang misal zaman kegemilangan kita yang telah berakhir. Antaranya ayat-ayat berikut,

40. maka mudah-mudahan Tuhanku, akan memberi kepadaku yang lebih baik dari pada kebunmu; dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan dari langit kepada kebunmu; hingga menjadi tanah yang licin;

41. atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi.”

42. Dan harta kekayaannya dibinasakan; lalu ia membulak-balikkan kedua tangannya terhadap apa yang ia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata: “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku.”

43. Dan tidak ada bagi dia segolongan pun yang akan menolongnya selain Allah; dan sekali-kali ia tidak dapat membela dirinya.

Kami tidak dapat mengulas penuh kerana ia akan jadi terlalu panjang. Cukuplah untuk memberikan gambaran bahawa perintah membaca surah kahfi di hari jumaat ada kaitan dengan jatuh bangunnya agama. Pohon akidah yang memenuhi taman syurga yang ditegakkan oleh pejuang terdahulu semuanya musnah tanpa kita sedar. Air wahyu yang mengalir di bumi itu semuanya telah sejat. Itulah hakikat yang dinukilkan dalam ayat-ayat di atas.

Kami tutup dengan penegasan agar kita banyakkan istighfar dan bertasbih setelah menghalusi tahap kefahaman, kesedaran dan ketakwaan diri kita dengan sedikit pencerahan ini. Mari kita taubatkan diri dari mengulangi kelalaian, membiarkan agama kita diinjak-injak oleh manusia, atau lebih sedih lagi jika kita sendiri yang selama ini menghancurkannya.

Apabila apa yang ditegakkan oleh orang terdahulu telah jatuh, maka kegemilangan Islam akan tertidur tanpa kita sedar. Ia ibarat Allah simpan dalam gua. Kerana itulah ada pihak yang menggunapakai nama gua untuk menyesatkan manusia. Tidak kurang ada yang meninggalkan kota naik ke gua. Bukan begitu caranya, jadikan masjid kita sebagai gua. Himpunkan semula pemuda khariah dan menuntut dari yang tua.

300 tahun tertidur itu hanya lah satu anggaran Allah kata. Jika jarak masa 600 tahun dari Isa ke zaman Muhammad saw di bahagi dua, memanglah ia menjadi 300. Namun untuk kita dan pusingan-pusingan seterusnya hanya Allah yang tahu. Cuma kami ingin mengambil peluang menjawab pertanyaan pembaca tentang tambahan 9 tahun lagi. Ini adalah kerana secara alami, apabila kita terjaga dari tidur yang terlalu panjang, tentunya banyak yang harus kita laras semula. Kita sudah tidak kenal kerabat dan saudara mara, ilmu yang ada pada kita sudah menjadi wang purba yang tidak lagi diterima di pasaran. Kerana itu 9 tahun diperlukan untuk membiasakan diri dengan situasi, untuk berjinak-jinak membaca dan meneliti.

InsyaAllah jika kita sabar dan menghalusi, apa yang telah berjaya ditegakkan oleh Nabi SAW namun telah berjaya dimusnahkan oleh Dajjal itu akan dapat kita nikmati kembali. Tidak lain tidak bukan dengan alquran dan sunnah baginda itu sendiri.

Bersambung …

Hasil Iqra’
WARGA PRIHATIN