Sains Istilah 2 – KONFLIK ANTARA ISTILAH FAKIR & MISKIN
Sains Istilah 2 – KONFLIK ANTARA ISTILAH FAKIR & MISKIN
Isu FAKIR dan MISKIN ini tersangat penting dalam Islam. Masyarakat umum melihatnya seakan-akan sama, walhal ia diletakkan dengan jelas sebagai dua kategori yang berbeza. Setiap satu mewakili golongan asnaf yang tersendiri. Modul pendidikan kita juga telah mengakui perbezaan dua istilah ini lalu memberikan penjelasan kepada para pelajar mengikut definisi berikut.
FAKIR – keperluan asasnya dalam harian kurang daripada separuh pendapatan dan mereka ini bukan dari golongan yang meminta-minta. Mudahnya mereka ini kais pagi makan petang, kais petang makan malam
MISKIN – pendapatan mereka ini lebih daripada separuh daripada keperluan asasnya. Mereka ini golongan yang meminta dan sentiasa mencari sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan mereka. pendapatannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Ada berbagai bagai lagi versi pemahaman yang lebih mudah tentang istilah ini. Di antaranya
FAKIR – mereka yang tidak mempunyai harta dan pekerjaan sekadar mencukupi keperluan seharian. MISKIN – mereka yang mempunyai harta dan pekerjaan, namun tidak mencukupi keperluan seharian
PENJELASAN AL-QURAN TENTANG FAKIR & MISKIN
PENJELASAN ISTILAH MISKIN dalam silibus pendidikan selama ini tidak jauh berbeza dari apa yang kami dapatkan dari sudut sirot dan sabilnya. Iaitu mereka yang hidup susah sehingga tiada kecukupan untuk biaya makan minum dan keperluan asas seharian. Kerana itu dalam menjalankan kewajiban beragama Allah perintahkan kita memberi mereka bantuan makan minum. Ini boleh memupuk semangat kasih sayang persaudaraan dalam Islam. Tanpa bantuan itu mereka mungkin merasa terdesak dan melakukan jenayah. Islam akan hilang sejahteranya.
PENJELASAN ISTILAH FAKIR yang kini menjadi stigma masyarakat . Ia agak kabur dan memerlukan pencerahan agar pengagihan sedekah untuk asnaf ini mampu mencapai matalamat pembangunan Islam melalui rukun ke4 ini.
Ingin kami kongsikan penjelasan tentang isu fakir ini berpandukan firman Allah di surah 2, Al-Baqarah, 273.
“Bagi orang-orang FAKIR yang terikat/tertahan di jalan Allah, tidaklah mereka boleh berusaha di bumi; akan menyangka orang yang jahil bahawa mereka ini ORANG KAYA kerana sikap mereka yang menjaga diri (tidak meminta-minta), kamu mengenali mereka dengan ciri-ciri/tanda mereka; mereka TIDAK MEMINTA kepada manusia SECARA PAKSA, dan apa-apa yang kamu infaqkan dari hartamu, maka sesungguhnya Allah maha mengetahuinya”.
Dalam ayat ini Allah jelaskan bahawa FAKIR adalah golongan yang mewakafkan diri sebagai mujahid yang berjihad sepenuh masa untuk jalan Allah. Jalan di sini disebut sebagai SABIL. Ini bermakna fakir adalah golongan yang MELAKSANAKAN pembangunan agama Allah. Mereka ini sebenarnya bukan orang miskin asalnya, tetapi golongan yang menyerahkan segala harta mereka untuk dikumpul sebagai modal terkumpul bagi tujuan pembangunan Islam. Diri mereka juga diwakafkan sepenuh masa sehingga apa sahaja yang mereka lakukan adalah di atas keperluan program amar makruf nahi mungkar. Tenaga kerja mereka adalah untuk jihad di sabil Allah semata-mata. Hasil kerja mereka juga untuk tabung Baitulmal semata-mata, tidak lagi ada tujuan penghasilan peribadi.
Makan pakai dan sara hidup mereka ini dicatu sekadar cukup keperluan sahaja dari dana yang telah terkumpul ini. Oleh itu, mereka tidak akan sekali-kali mengajukan sesuatu permohonan untuk diri mereka lagi. Jika pun ada ajuan, itu bukan untuk makan minum mereka. Ia adalah untuk membantu usaha pembangunan fi-sabilillah yang mereka rangka. Kerana itulah jika adapun mereka meminta, mereka tidak akan meminta dengan paksa. Jika cukup belanja mereka bangunkan, jika tidak cukup belanja mereka akan buat dengan apa yang ada sahaja.
Membantu golongan ini akan mempercepatkan pembangunan Islam. Umat yang mengenali peribadi mereka dan hasil baik dari usaha mereka ini akan menjadi suka untuk menginfaq kerana pemberi (Munfiq) juga akan turut menikmati hasilnya. Ini kerana golongan FAKIR ini berbuat untuk mengatasi permasalahan dan merancakkan usaha pembangunan ummah, bukan untuk kepentingan peribadi mereka. Namun jika tidak dibantu, mereka ini tidak akan sampai peringkat mencuri atau merompak untuk mencapai hajat mereka.
KESIMPULANNYA
SEDEKAH INFAQ UNTUK ORANG MISKIN adalah untuk MAKAN MINUM dan sara hidup diri mereka. Ini jelas dinyatakan dalam surah 69. Al Haaqqah,34 dan surah 107 Al-Ma’un,3 yang bermaksud “memberi makan orang miskin (TO’AAMIM MISKIN)”. Ini adalah tuntutan agama yang mana jika tidak dilaksana akan dikatakan mendustakan agama (menolak perintah agama). Ia bertujuan menzahirkan semangat persaudaraan, keprihatinan sesama saudara dan mewujudkan kehidupan yang harmoni serta berkasih sayang, jauh dari unsur jenayah dan hasad dengki.
SEDEKAH INFAQ KEPADA FAKIR (memerlukan) pula bukan untuk keperluan diri mereka. Infaq kita adalah untuk program PEMBANGUNAN DAN PENGEMBANGAN AGAMA. Mereka mungkin mengajukan harakah sedekah untuk membina prasarana, membeli peralatan, bahan binaan dan sebagainya. Lebih banyak kita infaq, lebih pesat hasil pembangunannya. Untuk mereka sendiri sudah ada peruntukan sarahidup yang mencukupi.
Ikuti sambungannya yang akan turut menjelaskan golongan yang berhak menerima sedekah seperti Yatim, dan baki 8 asnaf seperti Amil, Muallaf, Ibnu Sabil dan sebagainya.
Perkongsian santai
WARGA PRIHATIN