Sains Istilah 1: ILMU NAMA / ISTILAH ADALAH KELEBIHAN NABI ADAM

00 sains nama 1
Sains Istilah 1: ILMU NAMA / ISTILAH ADALAH KELEBIHAN NABI ADAM

Antara masalah kejahilan yang paling besar melanda manusia hari ini ialah mengenal nama atau istilah dalam agama. ALLAH ada nama, binatang ada nama, manusia dan semua urusan hidup kita pun begitu juga. Contohnya, Polis itu nama, Bomba itu nama, Hospital juga nama, Mahathir itu nama, Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh semuanya nama. Setiap nama itu ada ideologi dan matalamat hidup dan perjuangan yang mereka bawa.

Kerana itu ALLAH perintah kita baca dan iqra’ berdasarkan NAMA ALLAH – (BISMILLAH/BISMIROB).

Dalam meniti sistem Islam pun begitu juga. SIROOT, SABIL, THORIQ itu istilah. Syiar, syariat dan syair juga istilah. Arif, Takrif, Marifat, Taaruf semuanya istilah. Syurga, neraka adalah nama, dosa pahala juga nama. Dipan-dipan dan talaqqi itu istilah, sibghatullah, wasilah, wusto, marjan, rohik, khamar semuanya istilah. AKU dan KAMI adalah gantinama. Syaitan, malaikat itu nama, Adam juga nama. Muhammad s.a.w. itu nama, Ahmad dan Syaibatul Hamdi juga nama, Mahdi, Dajjal, Isa pun nama dan banyak lagi nama dan istilah dalam agama. Setiap nama ada cerita dan falsafah agama di sebaliknya yang harus kita tahu dan mengenalinya melalui nama.

Jika kita tidak kenal syurga neraka kita akan tersalah masuk pintunya. Tidak kenal syaitan kita tidak mampu merejamnya. Tidak kenal istilah sedekah, zakat, infaq, akikah, korban, fidyah, kifarah kita tidak akan mahu mengeluarkannya. Jika kita tidak faham istilah siapa fakir, siapa miskin, siapa yatim dan kesemua 8 asnaf, nanti tidak sampai matalamat zakat kita. Jika kita tidak kenal ikhlas, akan hilang muhlisnya, tidak kenal islah akan hilang amal solehnya.

Bila kita tidak kenal ALLAH kita tidak akan mencintainya, silap haribulan terbatal pula syahadahnya. Tak kenal Muhammad juga sama, tak mungkin mampu berselawat dengannya, tak mungkin kuat syahadah dan akidah kita.

PENGALAMAN KAMI

Setelah lebih 3 bulan kami kongsikan cetusan hasil kajian kami maka kami temui satu lagi fenomena. Terlalu ramai rupanya rakan kita yang tidak kenal terminologi alQuran yang bagi kami biasa biasa saja. Banyak istilah dan nama nama yang kami gunakan asing bagi mereka. Ini satu tanda yang ramai kita yang belum sungguh sungguh baca terjemahan alquran, surat cinta yang Esa untuk kita semua. Ramai yang inbox kami meminta menjelaskan nama dan istilah yang kami guna.

Ada juga anak anak ustaz dan pensyarah agama yang terkesima bila mendengar istilah istilah alquran yang bermain dibibir anak kecil kami yang anak mereka belum pernah dengar. Akhirnya mereka jadi macam ayam dengan itik. Anak anak kami sekecil 3-4 tahun mampu mengungkap istilah rijal, nisak, salam, izin, syuro, ikrar, takrir, alim, taklim, sujud, masjid, takwim, takwa, kholas, ikhlas, islah, soleh, istighfar dan banyak lagi kerana mereka telah memahaminya melalui praktik harian disebalik istilah itu, bukan sekadar lafaznya saja.

Hasil kajian kami, Alquran telah menjadi susah bagi sesetengah dari kita kerana sekatan kefahaman kita tentang banyak istilah juga. Kerana itu kita serah saja pada bijak pandai. Akhirnya sesama kita semakin menjurang bezanya. Yang pandai semakin memandai mandai, yang jahil semakin taksub dan dikelirukan dengan pelbagai sogokkan yang mengelirukan. Sabda Nabi SAW – Segala amal baik yang tidak didasari/awali dengan Bismillah(Dengan Nama Allah) maka ianya akan tertolak. Begitu besar peranan nama.

MENGENAL NAMA MENGANGKAT MARTABAT MANUSIA (ADAM)

Biar kami mulakan dengan nama NABI ADAM itu sendiri. Nabi adalah golongan hamba ALLAH yang menerima berita besar untuk kaumnya yang di panggil AN-NABA’. Proses perlantikan kenabian itu dipanggil NUBUWAH. Golongan Nabi dipanggil ANBIYA’ secara jamaknya.

ADAM pula ialah manusia pertama yang dikatakan berasal dari Syurga, hidup bersama isterinya HAWA. Dikeluarkan dari syurga, diturunkan ke bumi kerana perlanggaran larangan ALLAH memakan buah Khuldi atas ajakan Hawa. Ada pelajaran besar di situ di mana ADAM diberitakan terkeliru tentang larangan itu akibat dari kejahilan baginda tentang Khuldi. Kelalaian baginda yang mengikuti ajakan isterinya HAWA juga menjadi penyebab baginda berdosa dan terkeluar dari syurga.

Pendidikan awal Nabi Adam a.s. oleh ALLAH ialah mengenal nama. Martabat Adam selaku manusia yang dijadikan dari tanah telah diangkat sehingga mampu menundukkan para Malaikat kepadanya. Ciri MALAIKAT pula ialah dijadikan daripada cahaya. Apa yang ditunjukkan oleh cahaya maka itulah yang mereka kata. Malaikat tidak pandai mengada-ngada, mereka reka, dan malaikat berbuat hanya mengikut apa yang disuruh sahaja.

Ciri manusia yang paling besar nilai anugerah untuknya ialah akal. Manusia diberikan pendengaran, pengelihatan dan hati. Ini bermakna manusia lebih luas dari segi fungsi sebagai khalifah ALLAH di muka bumi. Walau bagaimanapun, manusia ada ciri negetif yang tersendiri. Manusia sering lalai, penuh dengan berbagai-bagai sifat lemah dan selalu terbelenggu dengan nafsu sendiri. Kerananya, manusia juga boleh mereka-reka cerita, boleh memalsukan berita dan sebagainya. Semua itu berlaku apabila manusia terlupa atau memang tidak kenal tuhan dan aturan tuhannya.

KESIMPULANNYA

Jika kita nak baiki kereta, kita mesti mengenal nama dan rupa komponennya. Jika kita mahu menanam benih, kita harus tahu jenis benih, keperluan tanah dan pengurusan pokoknya. Urusan agama pun begitu juga. Tanpa mengenal nama dan istilah, kita tidak akan dapat membangun agama dalam diri dan masyarakat kita dengan sempurna.

InsyaALLAH, secara santai, ingin kami kongsikan sebanyak mungkin istilah dan nama yang telah kami jumpa, kami kaji dan kami laksana mengikut kehendak di sebalik nama dan istilah itu. Harapan kami agar cetusan kami dalam siri baru ini nanti mampu membuat lebih ramai umat yang berminat untuk sama-sama membaca alquran dengan kefahaman yang tepat, melalui kefahaman nama itu.

Jika anda tidak bersetuju dengan penjelasan untuk nama dan istilah yang kami kemukakan, jangan sempitkan dada. Anda boleh terus menggunakan kefahaman anda yang lama kerana tiada paksaan dalam agama.

Hasil iqra
WARGA PRIHATIN