Sains Haji 6: FALSAFAH DI SEBALIK SAIE
Sains Haji 6: FALSAFAH DI SEBALIK SAIE
Selepas beristilam (flying kiss) bagi menyudahkan ritual tawaf, jemaah akan meninggalkan kaabah menuju ke tempat saie. Saie ini ialah ritual berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Masih tak lari dari angka 7, Tawaf 7 kali, saie juga 7 kali.
Ia dari kisah Siti Hajar yang berlari-lari anak antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Tetapi, apakah pelajaran dari cerita itu? Pastinya ada sesuatu yang besar yang Allah ENKRIP dalam ritual Haji dan Umrah itu.
Kedudukan dari Kaabah untuk Bukit Safa sekitar 100 meter, Marwah pula kira kira 500 meter. Jarak perjalanan Saie antara Safa dan Marwah adalah sejauh kira-kira 450 m (1,480 kaki) satu perjalanan. Jumlah 7 kali ulangan adalah kira kira 3.15 km
Baca artikel Falsafah di Sebalik ritual tawaf (Sains Haji ke-5) untuk anda mampu fahami artikel ini. Batu Hajarulaswad yang putih menjadi hitam bila perintah Allah dalam 7 ayat Al-Fatihah itu dilanggar. Kita jadi hilang pertimbangan yang betul dalam mengatur keluarga dan masyarakat. Setelah mengenalpasti masalah dan puncanya, maka seterusnya ialah mencari SUMBER AIR (Ilmu dan hidayah) untuk memperbetulkannya semula..
ANALOGI AIR DAN ILMU,
Kedua duanya bersifat mengalir, membersih, merawat dan menghidupkan jiwa. Hanya Allah yang turunkan HUJAN / AIR / ILMU. Mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. juga mengeluarkan air pada celah jari baginda. Itu bermakna, di celah kerjatangan dan perlaksanaan agama oleh Nabi sendiri mampu menzahirkan ilmu dan formula kehidupan. Telaga Kauthar juga analogi ilmu. Telaga Hang Tuah berlima yang ulang alik menuntut ilmu ke Acheh juga analogi Ilmu. Lautan luas yang masin itu juga analogi ilmu.
BERLARI-LARI ANAK Siti Hajar untuk mencari air / ilmu untuk diberikan kepada anaknya Nabi Ismail. Itulah sifat seorang ibu yang bergegas dan bukannya jalan heret kaki dalam kemalasan. Diriwayatkan bahawa ketika peristiwa ini berlaku, Ismail a.s. masih bayi dan menghisap susu badan.
Secara biologinya, ibulah yang akan mengeluarkan susu untuk diberi kepada anak (bukan susu formula, tetapi susu ibu). Tetapi, sebelum jadi susu, ibu perlu minum air dahulu. Bapa hanya beri “saripati air” kepada ibu yang ibu kandungkan dalam Rahim (kasih sayang) sehingga menjadi seorang manusia.
Dalam soal mencari ilmu juga begitu, Ibulah yang bergegas mencari dan memperoses, merumus sendiri ilmu itu kerana anak akan mendapatkannya dari ibu pula. Demikian besarnya peranan Ibu dalam urusan pembinaan rohani dan jasmani anak.
KAITAN IBU JAHILIYAH – SUSU MUHKAMAT & MUTASYABIHAT
SIMBOL atau SYIAR yang menyentuh tentang ketaatan dan usaha gigih seorang ibu ini telah ada sejak dahulu. Tapi sewaktu kelahiran Rasulullah s.a.w., keadaan sudah kembali jahiliyah. Simbol disiplin pembentukan keluarga Islam yang dicontohkan oleh keluarga Ibrahim a.s. ini sudah hilang praktiknya. Kerana darjat dan kekayaan, trend ibu ibu Quraisy yang berlumba lumba mencari ibu susu atau maid dengan upah lumayan menjadi lumrah.
Baginda s.a.w. juga tidak terlepas dari trend ini. Namun segala yang telah baginda lalui menjadi bahan iqra’ dan furqon baginda secara alami/laduni dalam menangani isu keibuan yang membentuk peradaban manusia ini.
Hari ini, situasi kita juga begitu. Kesungguhan, ketaatan dan kesabaran Siti Hajar tidak dijadikan contoh lagi. Sedikit masalah, ibu ibu akan mencari alasan untuk menafikan fungsi keibuannya. Ibu-ibu tak kisah untuk bergegas mencari ilmu, kerana mereka sendiri rasa tidak ada keperluan untuk mencari ilmu (air). Di rumah, anak diberi minum susu formula atau susu lembu terus oleh bibik. Di taska anak dijaga pekerja taska tanpa kasih sayang seorang ibu. Jika Allah nukilkan dalam ketetapan KITAB Nya, bahawa ibu bapa kandung tidaklah sama dengan ibu bapa angkat, pasti ada yang terkait dengan isu ini.
Bicara soal susu ibu hari ini, ada orang melenting kerana mereka aktivis penyusuan ibu. Tetapi mereka hanya melihat dari sudut SUSU MUHKAMMAT sahaja. Tidak pula mereka fikir signifikan mengapa Allah jadikannya begitu dalam bentuk mutasyabihatnya. Padahal strategi pembangunan ummah yang paling besar ada di sebalik rahsia SUSU MUTASYABIHAT itu. Maka kita masih juga rugi kerana susu pembinaan jasmani dan susu pembinaan rohani itu tidak berjalan selari.
Ibu cari ilmu, rumuskannya dan berikan kepada anak ON-DEMAND. Tetapi ibu sekarang semua tahu yang mukammat sahaja, dan kami puji mereka yang mampu menyusukan anak mereka secara ekslusif sehingga 2 tahun. Anda memang ibu yang hebat. Tetapi jangan sampai berhenti di situ, teruskanlah dengan mencari ilmu dan rumuskan untuk DIBERI SENDIRI kepada anak-anak kita. Bukan main hantar ke pengasuh sahaja saja untuk beri susu muhkamat dan serah pada sekolah saja untuk susu mutasyabihat.
Saie ialah satu disiplin keibuan. Sebab itu, dalam sejarah tiada pula Nabi Ibrahim a.s. yang berlari-lari anak mencari air antara dua bukit itu kan? Di mana Nabi Ibrahim a.s.? Nabi Ibrahim a.s. kembali kepada pembentukan ummat dan keluarga baginda yang satu lagi iaitu Siti Sarah. Ditinggalkan Siti Hajar berbekalkan “nafkah batin” yang tidak putus-putus. Bagaimana pula? Sekarang ini bila bicara nafkah batin sahaja, orang dah fikir tentang hubungan kelamin. Itu memang perlu. Sebaliknya, Nabi Ibrahim a.s. telah menerapkan ilmu dan prinsip terhadap Siti Hajar sehingga Siti Hajar mampu mencari air sendiri. Lalu ditinggalkan Siti Hajar sehingga Nabi Ismail besar.
Isteri sekarang jika kena tinggal begitu, nanti suami balik mungkin ada yang dah kahwin lain atau ada jantan lain (tidak semualah). Jangan persoalkan itu jika ia tiada kene mengena dengan anda, kerana kami hanya ceritakan kisah-kisah kenabian yang telah diriwayatkan sahaja.
KESIMPULANNYA
Peristiwa Saie antara Safa dan Marwa ini adalah SIMBOL ketaatan, pengorbanan dan kesabaran seorang isteri dan ibu yang TERUNGGUL dalam mentaati suami terhebat dan melahirkan anak terhebat. Ujian paling besar bagi Isteri hebat ini boleh saja membuatkan wanita itu prejudis terhadap Allah, namun tidak pada Siti Hajar. Kesabaran mengharungi ujian berat berserta ketakwaan dan ketaatan maksimum ini telah Allah redha dengan menghadiahkan sebuah TELAGA ZAM ZAM secara alami, Allah kekalkan ia sampai kini sebagai bukti kekuasaan dan keadilan Allah.
SAIE telah Allah ABADIKAN sebagai hujjah besar dalam Haji dan Umrah bagi seluruh umat yang ingin menikmati kejayaan berumahtangga. Safa dan Marwa ini telah jadikan satu simbol SYIAR dalam Islam, dijadikan satu SYARIAT bagaimana skop disiplin seorang isteri/ibu yang harus dijadikan contoh kepada seluruh ummat. Setiap lelaki dan perempuan Islam harus merasai sendiri dan menghayati apa yang telah Siti Hajjar dan Ismail a.s.. lalui. Perjalanan hidup keluarga agung ini menjadi ROLE MODEL yang Allah abadikan perlaksanaannya dalam haji dan zikirnya dalam ritual solat (tahiyat).
Begitulah juga halnya bagaimana Allah telah menampakkan kuasanya yang luarbiasa bagi meyakinkan hambanya yang kekal taat dengan ujian ujian berat. Contohnya ketika Musa a.s. dicabar umatnya, baginda meminta Allah menampakkan dirinya lalu Allah jawab dengan menghancurkan gunung. Ketika baginda dikejar Firaun, Allah menunjukkan kuasaNya dan menghukum firaun dengan membelah laut. Begitu juga dengan banjir dan taufan besar yang menghukum keingkaran umat nabi Nuh a.s. dan banyak lagi contoh lain.
Jika tidaklah Siti Hajar bergegas mencari ilmu, tidaklah Ismail melihat kesungguhan ibunya. Dan dengan semulajadi anak akan turut berusaha dengan cara sendiri. Dalam hal ini telah berlaku sedikit hentakan pada kaki baginda, lalu terpencarlah telaga zamzam, menjadi sumber air / ilmu cetusan dari anak yang bersih berhasiat dan tidak putus-putus. Scenario itulah yang membuatkan orang bertahlul. Dari pengalaman kami, apa yang anak anak kami lihat pada usaha gigih para ibu dan bapa di RPWP telah mencetuskan banyak idea yang tidak disangka sangka hebatnya malah tidak putus putus dari mereka.
Tentang telaga zam-zam dan tahlul itu, kami akan artikelkannya secara khusus, InsyaAllah. Teruskan bersama kami dan silalah share jika anda rasa ini bermanafaat.
Aliran Air dari,
WARGA PRIHATIN