Sains Fatihah Ayat 7

FATIHAH 7

Sains Fatihah Ayat 7:

SIROT AL-LAZINA ANAMTA ALAIHIM
Jalan, praktis yang telah engkau beri nikmat kepada mereka (pengamalnya)

GHOIRIL MAGHDHUUBI ALAIHIM
Bukan (jalan yang ) dimurkai atas mereka

WALAD DHOOLLIIN
Dan bukan (jalan yang) sesat.

Dalam ayat terakhir yang memberikan 3 rangkap secara berturut ini, ada kaitan dengan sikap dan tabiat kita terhadap setiap hidayah berupa kaedah menjalani kehidupan yang telah Allah beri. Itulah hidayah tentang SIROOT yang harus kita istiqomahkan (IHDINAS SIROOTOL MUSTAQIIM). Di Titian siroot itulah kita meniti kehidupan. Selagi kita masih berada di titian itu, maka Insyaallah kita akan berjaya masuk ke syurga. Bila mana kita tergelincir, berhenti mengamalkan atau tidak istiqomah, maka kita akan tergelincir dan jatuh semula ke jurang neraka.

Secara praktisnya ingin kami ambil beberapa misal bagi memudahkan kefahaman. Ingin kami kaitkan secara khusus kalimah-kalimah; hidayah, siroot, istiqomah, nikmat, maghdhub (murka) dan sesat.

Sirot menuju syurga ini terlalu halus, dikatakan ibarat rambut yang dibelah tujuh. Tidak ramai diantara kita yang nampak. Kerana itu juga ramai yang mudah tergelincir atau tidak minat untuk melaksanakannya dengan istiqomah. Contohnya amalan hidup memberi salam, meminta izin, bersyukur, berterima kasih sesama kita dan sebagainya. Ramai menganggap ia terlalu remeh.

FATIHAH 7 & AMALAN HIDUP SALING MEMBERI SALAM

Salam adalah satu daripada banyak wasilah atau laluan untuk berkomunikasi. Salam juga merupakan sarana doa sesama ahli. Semua faham bahawa silah yang ikhlas, yang beradab dan disertai dengan senyuman manis itu akan merapatkan hubungan (silah), menambah kasih sayang (rahiim). Itulah SILATULRAHIIM. Lebih baik lagi jika diiringi dengan dakapan dan kucupan sayang (kecuali secara haram).

Salam adalah satu sapaan yang wajib dijawab. Salam juga boleh mensucikan dosa-dosa kecil sesama manusia. Tapi bagaimana? Seorang isteri yang memberi salam sebelum masuk bilik, atau tatkala bertemu suami contohnya akan terpaksa dijawab oleh sang suami. Jika 5 minit tadi berlaku kecil hati yang mampu menjauhkan hubungan kita, bahkan boleh membuatkan kita tidak bertegur sapa, maka salam itu akan menyucikannya.

Jika sehari 17x bertembung maka silah itu akan berulang 17x juga. Begitulah juga kesan jika ia di amalkan oleh anak terhadap ibu bapa, terhadap guru, pekerja terhadap majikan, terhadap sesama rakan, sejiran dan sebagainya. Kasih sayang hasil aturan salam itu membahagiakan. Ia satu nikmat bukan?

Ya dengan nikmat itu kita tidak saling memarahi, bahkan perhubungan yang indah yang disusuli dengan pelbagai bicara ilmiah itu akan menambah ilmu dan pengalaman sesama kita. Lebih rapat kita dengan pasangan, dengan ahli, dengan pengatur hidup kita secara islamik akan semakin menambah perkongsian ilmu dan kenikmatan hidup.

TETAPI jika kita tinggalkan amalan itu seketika (tidak istiqomah), orang lain akan mula bersangka-sangka dan tercetus fitnah. Contohnya jika biasanya kita memberi salam hari ini tidak. Biasanya kita jawab salam kali ini tidak. Anda rasa suami anda tahu atau tidak yang anda sedang marah, sedang bermasalah? Atau lebih parah lagi berlaku marah atau tidak jika salam yang diberi oleh suami anda tidak berjawab?

Jika ini berlaku, adakah hubungan baik anda dan suami akan kekal terjalin? Jadi semakin rapat? Atau semakin renggang? Jika hubungan jadi renggang bolehkah berkongsi berita dan ilmu lagi? Nah inilah akibatnya apabila pasangan saling murka kerana tiba-tiba meninggalkan amalan ritual salam, senyum, dakap, kucup atau ciuman yang selama ini telah dirasai nikmat kebahgiaannya tetapi tidak diistiqomahkan dalam kehidupan.

Jika kerenggangan ini berlarutan bertahun tahun, tiada tegur menegur, tiada perkongsian ilmu dan nasihat menasihati sesama sendiri, maka adakah kemungkinan berlaku lagi penyatuan? Mungkin atau tidak situasi yang membingungkan dan menyesatkan (dhol) akan ujud? Kami rasa anda tahu jawabnya.

Itulah hakikat Salam dan kesan akibatnya dalam konteks Fatihah yang perlu dizikirkan, dibaca secara iqra’ dan perlaksanaannya 17x sehari.

FATIHAH 7 & PRAKTIK MEMINTA IZIN

Sama saja dengan salam. Izin juga terkait dengan doa. Jika kita saling meminta izin, ia akan merapatkan perhubungan kasih sayang sesama kita. Itu jalan hidup (siroot), amalan harian yang Allah anjurkan. Walaupun ke atas perkara biasa seperti pergi kerja, sekolah, makan dll. Sesungguhnya para malaikat yang terang-terang diperintahkan melakukan tugas juga meminta izin dari Allah untuk setiap kali melakukannya. Terlalu banyak firman tentang itu. Segalanya dengan izin Allah. “Bi’iznirobbihim min kulli amr”

Contoh setiap kali nak pergi sekolah, nak ke kelas tambahan dll, anak meminta izin dari ibu bapa. Ibu bapa tahu ke mana anak pergi. Lepas izin, ibu bapa memain peranan sebagai pendakwah (Da’ie) yang memberi seruan (doa) kepada anak. Jangan melencong, tumpu pada pelajaran, jangan balik lewat, maklumkan bila dah sampai, hati-hati memandu atau ketika melintas jalan jika berjalan kaki dan apa saja nasihat.

Bayangkan naluri seorang anak apabila menerima doa begitu secara istiqomah dari ibu bapa. Itu belum masuk kucupan, dakapan mesra ayah ibu sebelum berangkat. Nikmat dan membahagiakan bukan?

Bayangkan pula jika sesekali anak tidak minta izin, lari dari apa yang telah diizinkan, ibu bapa pasti terkejut, panik, murka. Juga jika ibu bapa tidak peduli untuk beri nasihat, untuk dakap dan kucup anak seperti biasanya. Pasti anak akan kecewa dan marah. Lama kelamaan masing-masing akan menjauhkan diri, berkecil hati dan mungkin terpesong mengikut kawan, ikut aktiviti yang merosak akhlak. Akhirnya ia akan semakin jauh tersesat kerana kebingungan dengan amalan baik yang tidak kita istioqomahkan.

KESIMPULANNYA

Setiap hidayah tentang cara hidup harian yang Allah telah hidayahkan, yang Rasulullah SAW telah uswahkan harus kita pelajari secara halus dan amalkannya dengan istiqomah. Yakinlah jika kita istiqomah, kita akan dapat rasakan nikmatnya dalam menjalani hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara secara Islamik dan sangat mensejahterakan.

Apabila kita tinggalkan, kita akan kelihatan janggal, pelik dan akan menimbulkan fitnah. Akhirnya kita akan dimurkai oleh anggota keluarga atau pengatur hidup atau ketua kita. Isteri akan dimurkai suami. Anak dimurkai ibu bapa. Pekerja akan dimurkai majikan dan sebagainya.

Hasil iqra
WARGA PRIHATIN