Sains Fatihah 6: Applied science di sebalik ayat 6 Surah Al-Fatihah

fatihah6
IHDINA (Tunjuki kami)
SIROT (Jalan / Ad-dien / kaedah / cara perlaksanaan)
AL-MUSTAQIM (yang harus kami istiqamah / amalkan hari hari).

Setelah kita mengakui sepenuh hati bahawa Allah adalah Raja kita (ayat 4), kita akan sanggup mengabdi & meminta tolong hanya pada-Nya SAHAJA (ayat 5). Sekarang masanya untuk kita tahu apa pertolongan sebenar yang Allah peruntukkan buat kita.

Kata kunci yang harus di tekankan ialah

 

  • HIDAYAH (itulah bentuk pertolongan Allah)
  • KAMI (Satu gerak bersama / berjamaah mencari hidayah, bukan “aku”  atau bersendirian)
  • SIROT (jalan, kaedah / aturan  /cara perlaksanaan yang Allah ajarkan). Kita harus juga meneliti perkataan seperti SABIL & THORIQ yang juga merujuk kepada maksud JALAN. Sirot membawa maksud yang lebih dalam berbanding hanya satu jalan lurus. Intepretasi jalan lurus itu ialah kaedah atau aturan yang BENAR yang Allah hidayahkan.
  • MUSTAQIM (harus kita berusaha melaksanakan hidayah itu dengan lurus, jangan diubah sana sini. Perlaksanaan juga menyeluruh secara istiqomah setiap hari dan bukan hanya sekali sekala sahaja. Bukan juga main pilih-pilih nak ikut yang disuka sahaja. Lakukannya dengan sabar tanpa jemu, bukan selepas dapat hidayah kita kekal duduk meratap atas sejadah tanpa tindakan).

    MELETAKKAN FATIHAH DENGAN TEPAT

    Dalam meneliti sudut praktis dari fatihah itu, kami dapati sedikit perbezaan dari terjemahan ayat ini jika dibandingkan dari kesemua terjemahan Al-Quran yang terdapat di pasaran yang menterjemahkan sebagai “Tunjuki kami jalan yang lurus”. Apa pun ia saling terkait. Terus menerus melakukan SELURUH Hidayah-Nya secara ISTIQAMAH itu bermakna lurus. Jika kita buat sekali sekala, atau pilih-pilih sahaja, itu bermakna tidak lurus.

    Perenggan seterusnya amat kritikal untuk difahami. Baca perlahan-lahan, ayat demi ayat untuk memahaminya. Dalam masa yang sama, kami cuba memudahkannya.

    Pertamanya kami lihat dari sudut terjemahan lansung, secara harfiah bahawa kata pokok perkataan Mustaqim ialah ISTIQOMAH. Keduanya, akan ada kesukaran meletakkan praktis sains (Applied Sains) jika Mustaqim itu diterjemahkan sebagai lurus, yang bersifat terlalu umum. Semuga pencerahan ini dapat memberikan sedikit hidayah pada anda juga.

APA BENTUK PERTOLONGAN ALLAH & CARA MENDAPATKANNYA?

Hubungan Allah dengan manusia HANYALAH melalui wahyu dan hidayah sahaja. Samada hidayah itu datang dalam bentuk bacaan ayat halus (bentuk tulisan atau tilawah) atau dalam bentuk ayat kasar (melalui proses IQRA’ / mengkaji kejadian alam yang kita lihat atau alami). Yang penting kita harus berkerja keras untuk meneliti dan memikirkannya. Petunjuk itulah yang akan kita ikut dengan sempurna & istiqamah, dengan sabar untuk mendapatkan nikmat hasilnya. Itulah bentuk pertolongan yang Allah janjikan.

Roh ketuhanan, roh Uluhiah akan meresap setelah kita mampu meneliti, memahami dan merasai keberkesanan wahyu Allah dengan terang seterang matahari di atas kepala. Kemudian kita akan benar-benar mampu meyakini kebenaran & keberkesanan wahyu sehingga kita mampu mengajak orang lain untuk ikut merasainya.
UMAT KINI KEBINGUNGAN

Ada banyak cara hidup Islam `terbitan baru’ yang dianjurkan oleh berbagai-bagai ilmuan atau IMAM Islam sejak kita ditinggalkan Rasulullah SAW dahulu hingga kini. Inilah yang sangat baginda takuti. Banyak mahzab, fahaman, ikutan & ajaran yang dinamakan dengan berbagai-bagai nama. Ratusan ribu kitab terhidang, ribuan ulamak dan alimin datang dan pergi, namun kami memikirkan mengapa Islam tidak menjadi semakin baik seperti fitrahnya (sewajarnya) bahkan menjadi semakin lemah, berpecah & sangat mudah di RATAH?

Salah satu dari sebabnya ialah kerana terlalu banyak pendapat dan masing-masing banyak menunjukkan percanggahan. Antara percanggahan yang jelas ialah tentang pentafsiran Al-Quran itu sendiri yang telah dicampur aduk dengan kepentingan peribadi, kaum, perniagaan atau politik. Ayat asal Al-Quran tidak diubah sebagaimana kitab lain tetapi maksudnya diubahkan mengikut intepretasi peribadi tanpa merujuk kepada praktis sainsnya.

Lebih sedih lagi apabila kita dapati ramai kelompok atau individu yang sebenarnya jahil tetapi dengan lantang menulis dan berceramah, mengeluarkan fatwa dan ketetapan yang menambah kebingungan umat. Jika kita benar-benar gunakan mata kasar dan mata hati meneliti melalui sains psikologi, sosiologi dan teologi, kita boleh kenal mereka dan tidak mudah terpedaya dengan ceramah atau tulisan mereka.

Perhatikan Surah 2. Al Baqarah

2:78. Dan antara mereka itu ummiy, tidak mengetahui al-Kitab, melainkan hanya dengan khayalan, dan sangkaan semata-mata.

2:79. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, “Ini daripada Allah,” supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis, dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka.

Nota :
Apa itu Ummiy? bagaimana Ummiy boleh menulis kitab? Ayat itu sedang menjelaskan apa dan siapa ummiy, yang masyhur difahami sebagai orang yang buta huruf. Bagaimanakah buta huruf mampu menulis kitab? Mereka ini sebenarnya pandai membaca dan menulis cuma mereka buta tentang bacaan Al-Quran itu sendiri namun ghairah nak “menulis dan menjual” ayat-ayat Allah untuk keuntungan duniawi yang sedikit.

Dari situasi di atas, akhirnya umat jadi gelap semula dan kegelapan itu menyebabkan kita kurang yakin dengan kitab Allah itu sendiri, melainkan sekadar bacaan-bacaan rasmi atau mengikut persangkaan penulis sahaja. Kita tidak lagi mampu dengan sebenar-benarnya merujuk kepada Al-Quran yang asal dalam setiap urusan harian kita (hari-hari, bukan pada bulan puasa atau malam Jumaat sahaja).

Lebih menyedihkan, kurang sekali di kalangan kita yang serius berusaha untuk memahami maknanya. Sedangkan memahami makna itupun belum tentu kita mampu memahami MAKSUD ALLAH dengan tepat, inikan pula membaca tanpa tahu maknanya seperti anak melayu menyanyikan lagu Hindustan lalu menangislah dia sedu sedan. Adakah tangisan itu kerana penghayatan maksud yang bersandarkan kesedaran, keimanan atau kerana nada sayu yang dibuai perasaan?

Dari situlah punca umat semakin hari semakin hilang keyakinan terhadap Al-Quran melainkan sekadar tasdiq dengan sangka-sangka saja.

Perhatikan Surah 42. Asy Syuura ini pula,

42:51. Tiadalah bagi seseorang manusia, bahawa Allah berkata-kata kepadanya, melainkan dengan wahyu, atau dari belakang tabir, atau Dia mengutus seorang rasul, dan dia mewahyukan apa sahaja yang Dia kehendaki dengan izin-Nya; sesungguhnya Dia Maha Tinggi, Maha Bijaksana.

42:52. Begitulah Kami mewahyukan kepada kamu ROH (Nota: ini juga banyak yang disalah terjemahkan) daripada perintah Kami. (sebelumnya) Kamu tidak mengetahui apakah al-Kitab itu, dan tidak juga iman; tetapi Kami jadikan (Al-Quran itu) satu cahaya, yang dengannya Kami memberi petunjuk kepada siapa yang Kami mengkehendaki daripada HAMBA-HAMBA Kami. Dan kamu, sesungguhnya benar-benar memberi petunjuk pada jalan yang harus diistiqamahkan (BIASA DITERJEMAH SEBAGAI LURUS),

42:53. (itulah dia) Jalan (SIROT) Allah, yang kepunyaan-Nya segala yang di langit, dan segala yang di bumi. Ingatlah, kepada Allah kembali segala urusan (AMAR).

Kata rujuk yang ingin kami tekankan dari wahyu di atas ialah,

  • Laluan kita kepada Allah ialah melalui wahyu sahaja. Hidayah itulah bentuk pertolongan Allah kepada kita.
  • SIROT bermaksud aturan, kaedah, jalan untuk melaksanakan SEMUA urusan (AMAR) harian kita (42:53 – lihat harfiah asal yang merujuk JALAN & URUSAN)
  • Wahyu yang difahami dengan terang itu yang akan meniupkan ROH ketuhanan (Uluhiah), menerbitkan rasa yakin, keimanan yang kukuh dan mampu membuat kita bersungguh-sungguh melaksanakan kesemuanya secara istiqomah.
  • Untuk terpilih menerima pencerahan TITAH PERINTAH, wahyu Allah yang bakal meniupkan roh dan keimanan itu, kita harus sanggup MENGABDIKAN diri se abdi-abdinya, menganggap Allah itu RAJA seraja-rajanya.
  • Kesemua urusan kita baik ketika berada di atas (langit) atau di bawah (bumi), didepan maupun belakang pengetahuan manusia harus mampu kita sandarkan sepenuhnya kepada aturan wahyu dengan istiqomah, bukan pilih-pilih dan sekali-sekala sehingga kita berjaya mendapat nikmat hasil istiqomah itu,
  • Tidak mungkin kita mampu mendidik, mengajak anak isteri dan masyarakat kita selagi kita sendiri masih TERAGAK-AGAK, meraba-raba dan tercari-cari, bersangka-sangka dan ikut-ikut.

Ingin kami tekankan isu besar yang mengagalkan umat Islam ialah tidak cukup yakin untuk sanggup meletakkan Allah setinggi-tingginya dalam setiap urusan harian. Banyak kaedah dari AKAL & NAFSU SENDIRI lebih diutamakan, sekalipun kita tahu ia tidak selari dengan apa yang telah Allah tetapkan. Kerana itu kita tidak mendapat hidayah yang tepat, kerana hidayah itu hanya mampu didapati dengan keinginan dan kehendak yang MAKSIMA untuk merujuk segala urusan harian dengan kaedah yang Allah tunjukkan. Ada juga segelintir yang mungkin telah memahami jalan (SIROT) Allah, namun tidak mampu, atau mahu melaksanakannya dengan menyeluruh & istiqomah.

UNTUK KEMBALI FITRAH, LAKSANAKANLAH SEGALA HIDAYAH TENTANG JALAN HIDUP (SIROT) DARI ALLAH ITU DENGAN MENYELURUH, DENGAN ISTIQAMAH, BUKANNYA SATU PILIHAN, BUKAN SEKALI-SEKALA. KERANA JIKA DEMIKIAN, IA AKAN MENJADI JALAN BUNTU DAN BENGKOK.

Coretan yang sedikit ini tidak sekali-kali akan mampu menjelaskan Fatihah ayat 6 ini sehingga anda faham dan meneliti benar-benar mengapa Allah perintahkan kita mengulanginya sehingga 17x sehari. Terlalu penting dan terlalu besar untuk kita masing2 ikut meneliti dan merasai kepentingannya. Maka, mungkin anda perlu juga membaca dan memikirkan huraian Siri Artikel Sains Fatihah di blog kami www.prihatin.net.my sebanyak 17 kali juga sehari.

Jika anda masih belum dapat tangkap lagi maksud penjelasan di atas, abaikan saja, kerana kami sekadar berkongsi apa yang kami alami dan rasai. Mungkin kami masih belum mampu menjelaskan apa yang sedang kami RASAI & FAHAMI dengan tepat. Itu kelemahan yang kami akui. Harap cetusan ini menjadi motivasi kepada anda untuk turut cuba mencari & menggali, kemudian kami alu-alukan penambahbaikan dari pengalaman anda pula (yang bernas saja, bukan copy paste sana sini yang menambah pening kepala).

INSYAALLAH akan kita sambung perkongsian iqra’ dengan ayat lain dalam FATIHAH agar benar-benar minda kita TERBUKA (FATEH) dan berminat untuk meneliti sains gunaan al-Qur’an KESELURUHANNYA.

Silalah LIKE, TAG, SHARE sebagai sumbangan amal anda mengajak manusia mendekatkan diri kepada ALLAH. Boleh juga anda download foto berkapsyen ini dan letak di header fb / blog anda untuk mudah memberi peluang fikir & zikir kepada yang lain.

Selamat Hari Raya EidulFitri, Maaf zahir batin.

Hasil IQRA’
WARGA PRIHATIN