RUMAH PENGASIH WARGA PRIHATIN – Bukan sekadar Rumah Kebajikan.

Pada tahun 2005, seramai 20 orang pengasas RPWP dari pelbagai latarbelakang dan profession menubuhkan sebuah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akhlak Karimah & Peradaban. Tujuan penubuhannya adalah bagi mencari formulasi utama berlandas Sains Al-Quran dan Sains perlaksanaan Sunnah Rasul melalui PEMBENTUKAN dan pembangunan SAMPEL komuniti. RPWP tidak ditaja atau menerima geran dari kerajaan, ahli politik atau mana-mana NGO yang berkepentingan politik.

Kami usahakan projek ini atas dasar PRIHATIN, untuk kepentingan masyarakat dan umat manusia keseluruhannya. Oleh kerana itu kami tidak boleh menafikan hak awam untuk turut sama beramal melalui projek yang kami usahaklan ini. Sekali-sekala kami terima sedekah individu yang PRIHATIN tidak mengira agama, bangsa dan fahaman politik, namun kami mengelakkan penajaan bagi memerdekakan pemikiran kami sehingga kami mampu mengatakan sesuatu yang benar TANPA perlu menjaga hati PENAJA kami. Pendanaan kami hanyalah dari usaha 20 orang pengasas dan sebahagiannya datang dari sumbangan orang awam dari pelbagai parti.

PEMBANGUNAN GENERASI TERBAIK DUNIA BERMULA 100 TAHUN SEBELUM KELAHIRANNYA (Hadith)

Jika sebelum ini ada beberapa posting menunjukkan contoh anak-anak tadika RPWP yang suka melakukan kerja, tolong menolong bahu membahu, yang ini TERJUMPA 1 lagi foto lama yang menceritakan BUDAYA (TABIAT) BERKASIH SAYANG & TOLONG MENOLONG. Ini bukannya foto lakunan, tetapi inilah foto candid yang kami ambil di rumah kami sendiri.

Pembentukan semula sesebuah generasi secara terprogram dan terpantau itu harus bermula 100 tahun sebelum anak generasi itu lahir. Sememangnya kita perlu MASA YANG PANJANG secara keseluruhannya untuk proses itu.

Sains sosial di sebalik hadis itu menunjukkan jika kita ingin mengeluarkan sebuah generasi unggul, ia perlu bermula pada diri kita sendiri, seterusnya meneliti segala kelemahan generasi kita sekarang. Di samping itu mencari jalan keluar dan memperbaiki sebarang kelemahan diri sendiri (khasnya selaku bapa). Setelah kita sendiri yakin, kemudian lakukan perkara yang sama kepada isteri. Perubahan pada tabiat harian kita dan isteri setiap hari secara istiqomah itu nanti akan dilihat anak-anak untuk turut mengikutinya. Itulah hakikat “rumahku syurgaku”. Ini adalah proses awal yang amat panjang, yang biasanya hanya mampu dilakukan oleh BEBERAPA KERAT pasangan yang berumur sekitar 40an yang sudah merasa ramadh (rimas, panas, huru hara) dalam rumah tangganya.

APA PEDOMANNYA DAN BAGAIMANA NAK MULA?

FATIHAH bermakna PEMBUKAAN. Ia juga ummul kitab (POKOK BICARA KITAB). Selagi kita tidak faham sains gunaan surah pertama dalam musyhaf ini, jangan harap kita akan mampu memahami yang lainnya.

• Oleh itu, Seharusnya DIRI KITA SENDIRI mula mengkaji dan mendalami kefahaman Sains di sebalik AL-FATIHAH yang kita baca 17 kali sehari itu dengan sungguh2. Pasti ada mesej besar yang mahu Allah turunkan sehingga ia dibacakan dalam setiap rakaat di semua solat yang didirikan. Harap baca bahagian ini nanti dengan perlahan untuk memahami mesej berat ini.

• Ulangi perlaksanaan dari isi perintah ALFATIHAH itu dengan penuh pengabdian diri (iyyaka nakbud). Kata kuncinya di sini ialah PENGABDI.

• Sungguh-sungguh menDAULATkan, meRAJAkan Allah dan segala perintahnya sebagai asas agama, secara istiqomah, setiap hari dan ketika (Maaliki Yaumiddiin). Jika lihat terjemahan walaupun secara harfiyah, MALIK itulah RAJA. Kata kunci ini ialah DAULAT & RAJA.

• Meminta tolong HANYA dengan hidayah Allah sahaja (wa iyyaka nasta’iin), bukan dari WALL fb, dari buku-buku barat, bomoh, jampi tok alim dan sebagainya. Sekarang pun ramai yang tak minta tolong lagi dari hidayah Allah yang semakin menjadi koleksi usang pelbagai versi di gerobok-gerobok berabuk di rumah masing-masing. Ironinya, ramai yang mencari penyelesaian melalui lontaran di facebook. Sampaikan nak beli seluar dalam warna apapun nak kena tanya pendapat awam di twitter, facebook dan instagram.

• Apa saja HIDAYAH yang kita dapat, kita ISTIQOMAHkan pula perlaksanaan dari hidayah itu (Ihdinassirootol Mustaqiim). Bukan sekadar CARI PERTOLONGAN Allah di dalam Hidayahnya tetapi setelah dapat petunjuk dan hidayah yang diberikan ALLAH kita TIDAK KONSISTEN dalam perlaksanaan hidayah itu. Ada orang, hari ini mereka dapat hidayah, esoknya dah kembali ikut jalan Syaitan semula. Biasa kita nampak macam ni terutama pada awal Ramadhan, semua pub dan club kosong kerana GRO pun pergi terawih dan bertadarus. Masuk hari ke-10, masjid dan surau mulai kosong dan pub juga karbaret sudah mulah “di`imarah’kan” semula.

• Kemudian barulah kita akan terasa NIKMATnya, termakbul doa kita, tercapai hajat dan terlerai masalah generasi kita sampai bila bila. INSYAALLAH.

Itulah kesemuanya sebagai 1 FRAME DOA KESELURUHAN KEHIDUPAN KITA. Semuanya ada dalam Al-Fatihah yang hari-hari kita baca (jika solat lah). Sebelum ini, kita tak faham, hari ini kalau dah faham mari kita lakukannya terus secara konsisten. Baru dapat nikmat kefahaman dan praktik Islam itu sendiri. Jangan jadi macam burung tiong yang pandai berkata tapi tak tahu apa yang mereka katakan.

(INTERMISSION : Bertenang dahulu dan fahamkan dahulu para-para atas supaya kita mudah untuk menghadam para seterusnya yang masih berat bacaannya untuk difahami terutama bagi mereka yang tidak berlapang dada)

PERKAHWINAN YANG DIATURKAN OLEH SISTEM ALLAH

Anak-anak yang telah mampu dibentuk, melalui uswah terbaik ibu bapa yang berjaya muhasabah dan mengISLAHkan(membaikpulih) diri ini pula akan berkahwin dengan pasangan yang juga telah dipersiapkan mengikut acuan Allah itu. Masing-masing saling gigih mempersiapkan diri untuk menjadi ‘ibu bapa’ yang terbaik sejak hari pertama perkahwinan, bertepatan dengan acuan Allah.

Membesarnya generasi CUCU kita INSYAALLAH akan terbina AKHLAK KARIMAH yang mampu MERUBAH CIRI BANGSA INI. Inilah proses pembentukan generasi BERJAYA Israel. Israel bangkit dari sebuah bangsa yang LOSER, menjadi peneraju dunia pada hari ini melalui kesedaran mereka hampir 70 tahun yang lalu (selepas peristiwa Holocaust) dan tempoh itu adalah tempoh seumur hidup manusia.

Jika kita bermula sekarang dan kita baru berumur 20 tahun, pada ketika itu kita akan lihat hasilnya jika kita hidup pada usia 90 tahun. Cicit mereka yang disembelih dan ditindas dalam peristiwa Holocaust dahulu telah membina Facebook yang kita guna sekarang. Generasi anak mereka pula pernah jentik ekonomi kita dalam 1 malam dan berapa ramai manusia mati kebuluran, bunuh diri, jatuh sakit, stroke disebabkan jentikan ekonomi dari jari mereka. Mereka bukan lagi loser selepas lebih 70 tahun itu.

Maka, jangan mimpi jika kita mahukan sesuatu kehebatan itu hanya dalam 1 minggu. Ini adalah proses pembentukan generasi khalifah, generasi pemimpin, generasi IMAMAH yang telah ditunjukkan oleh Ibrahim a.s., terhadap anak isteri baginda seperti Siti Sarah, Siti Hajar, Ismail a.s. Ishak, Yaakob, Musa, Isa dan Muhammad SAW.

ASAS PEMBENTUKAN AGAMA IALAH RUMAH TANGGA

Asal Kaabah, Baitullah selaku Kiblat kita ini dahulunya adalah Rumah (Bait), MULKIAH tempat tinggal dan mengurus keluarga Nabi Ibrahim A.S.. bayangkan bermula daripada lagenda proses pembinaan keluarga ia menjadi QIBLAT, RUJUKAN, HALATUJU, SASARAN ibadah Ummat Islam. Anda boleh kaji sejarah perletakan asas Islam oleh Nabi Ibrahim yang masih kita selawatkan dalam setiap tahiyyat solat. Itulah Prototype pembinaan generasi Hebat yang telah diletakkan standardnya oleh Nabi Ibrahim dalam KELUARGA baginda. Kaabah adalah rumah asal Nabi Ibrahim & Ismail a.s. atau lebih jelas jika dinyatakan sebagai RUMAHTANGGA. Maka, rumahtangga cara Nabi Ibrahim adalah kayuukur sebuah keluarga yang WAJIB dilaksanakan di kalangan seluruh umat Islam yang BENAR-BENAR YAKIN (BERIMAN) DENGAN ISLAM.

HASILNYA, Nabi Ibrahim mampu merahmatkan dan menyatukan keluarga baginda lalu diperhebatkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. yang menyatukan Bangsa-bangsa Arab menjadi Bangsa Islam. Dilanjutkan oleh kekhalifahan seterusnya sehingga mampu Islam itu menyatukan seluruh Jazirah Arab serta empayar-empayar besar dunia seperti Parsi dan Sepanyol.

Keluarga Ibrahim a.s. adalah pengabdi agung (UBUDIAH) yang telah difahamkan dan mampu melakukan hakikat pembinaan sebuah keluarga melalui peranan seorang Pengatur (ROB) keluarga yang mengatur keluarga menggunakan Hidayah (RUBUBIAH) Allah yang dijadikan aturan hidup yang didaulatkan secara ISTIQOMAH. Kombinasi keluarga terbaik inilah membentuk ISLAM, agama YANG jadi ikutan UMAT yang mampu meluaskan kekuasaan seluruh dunia (MULKIAH).

INILAH ASAS AGAMA INI, iaitu asas pembentukkan keluarga dan kita harus ulangi perlaksanaannya sebagai kesimpulan dari segi praktik kehidupan berkeluarga melalui solat kita hari hari (kama sollaita’ala IBRAHIIM, WA’ALA ALI IBRAHIM).

TIPS PERLAKSANAAN STRATEGIK MENGIKUT TURUTAN SURAH DALAM AL-QURAN.

• Fahamilah APPLIED SCIENCE FATIHAH dengan sedalam-dalamnya untuk menetapkan CARA HIDUP BERAGAMA.

• Setelah kita faham FATIHAH, Insyaallah kita akan dapat menyedari bahawa selama ini kita adalah keluarga lembu betina (AL-BAQARAH) yang menternak anak. Hanya mementingkan makan minum, kain baju, rumah besar, ipad, kenderaan, akaun bank dan kemewahan majlis kahwin mereka saja. Apa nak jadi pada orang sebelah kita tidak peduli.

• Setelah kita sedar diri, jangan lagi kita ternak anak kita. Bina keluarga yang berpengatur, ada fungsi KETUA rumah dan ATURAN yang baik (ALI-IMRAN).

• Setelah itu baiki ISTERI kita (AN-NISA’).

• Ibu bapa yang baik akan mampu membentuk anak yang baik, yang sesuai untuk dihidangkan sebagai umat Islam yang baik dan sempurna kepada DUNIA (AL-MA’IDAH).

Sekarang Bolehkah anda baca langkah pembentukan semula keluarga Islam MADANI mengikut susunan Musyhaf Al-Quran, yang akan mampu merealisasikan pembentukan 1Malaysia ala MADINAH ini?

Anda masih merasakan Ummatun wahidah, 1Malaysia itu sekadar satu ceramah? satu billboard, iklan di TV? Seminar sekali sekala? Logo di t-shirt? atau sekadar moto seorang pemimpin? Namun begitu adakah ia MUSTAHIL? Kami rasa anda sudah dapat jawapannya dalam artikel ini.

Firman Allah dalam surah 6. Al An’aam 135. Katakanlah: “Hai kaumku, berbuatlah sepenuh kemampuanmu, sesungguhnya akupun berbuat (juga). Kelak kamu akan mengetahui, siapakah (di antara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan mendapatkan keberuntungan.

Jika kita yakin dengan kebijaksanaan ALLAH, jika kita inginkan keberkesanan dalam usaha pembentukan generasi berakhlak, jangan menzalimi diri sendiri dengan membuang masa mengikut CARA KITA yang selama ini JELAS GAGAL. Kita sendiri harus memulakannya, BERUSAHA untuk menjadi contoh.

Generasi ini telah terlalu jauh menyimpang, tidak lansung memandang pentingnya NILAI PERSAUDARAAN, PERPADUAN dan terlalu jauh jurang perbezaan kefahaman yang mencipta banyak SALAH FAHAM yang berpanjangan.

Jangan sekali-kali harap anak-anak kita mampu menyatu, bekerjasama, menjalin network sesama mereka dengan 1 Faham, 1 Hidayah jika kita sendiri belum melakukannya sebagai CONTOH TERBAIK (uswatun hasanah) yang akan mereka perhatikan secara istiqomah atas dasar 1 FAHAM, sebagaimana yang telah Allah Hidayahkan (ihdinas Sirootol mustaqiim).

Di RPWP anak-anak melihat kami, PARA PENDOKONG berkasih sayang dan bekerjasama SETIAP HARI. Tidak perlu kami AJAR mereka dengan kata-kata sangat, mereka seolah-olah tercipta begitu dengan sendirinya melalui rendaman praktik kehidupan yang kami NAMPAKKAN setiap hari (SIBGHATULLAH). Itulah hebat dan berkesannya CARA HIDUP ISLAM.

Jika tidak kerana kami melarang, mereka semua ingin ikut membantu kerja-kerja yang banyak ini, sekalipun yang berat-berat dan kotor, kerana bekerja itu adalah satu keseronokan bagi mereka.

Terlalu banyak hidayah Allah dari al-Quran dan Hadis menyentuh isu ini. jika kami keluarkan semua tanpa penjelasan ia akan tergantung, MEMBAZIR. Jika kami terangkan ia akan jadi terlalu panjang, anda penat membaca dan hilang konsentrasi. Berikut ialah beberapa hadis yang mudah untuk anda fahami peripentingnya budaya kasih sayang dan tolong menolong;

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak mampu, hendaklah ia berusaha melakukan sesutu yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan demikian ia dapat bersedekah. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menolong orang susah yang memerlukan bantuan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menyuruh orang lain melakukan kebaikan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap suatu sedekah”. (Hadis riwayat Ahmad)

“Bukanlah dari umatku sesiapa yang tidak menghormati saudaranya yang lebih tua, dan yang tua tidak mengasihi saudaranya yang lebih muda”. (Hadis riwayat al-Tarmizi)

“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (hadis riwayat Ahmad)

Semuga kita sama-sama mendapat HAKIKAT LAILATULQADAR tahun ini.

• Semuga kemelut kepanasan sosial (ramadh – Ramadhan) masyarakat dalam hidup kita kini, mampu MENEKAN KITA UNTUK BERPUASA dengan sebenar-benarnya, kembali MERUJUK kepada Allah melalui KITAB & SUNNAH pusaka tinggalan Rasulullah SAW. MEMBEKUKAN buah fikiran peribadi kita dari pelbagai sumber yang mengelirukan, yang selama ini mengalir deras itu, biarkan air SUNGAI SYURGA, iaitu Hidayah dan petunjuk Allah pula yang mengalir. Bagaimana ILMU ALLAH itu mahu berkuasa jika kita rasa ideologi peribadi ataupun idola kita (selain Nabi) adalah yang terbaik untuk kita praktiskan? Katakunci – BEKUKAN hidayah selain dari SUMBER Allah & Rasul.

• TUNDUKKAN POKOK pegangan kita, pokok bicara kita, semai semula hidayah Allah, kalimah demi kalimah, ayat demi ayat, biar ia tumbuh subur di tanah hati kita, agar ia mampu menghasilkan akar (iman) yang kukuh, batang (akidah) yang tegap dan buah fikiran yang banyak, YANG MAMPU menghidupkan semula semua hidupan di bumi ini.

Rujuk hal pokok dari Firman Allah ini, Surah Ibrahim ayat;

24. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

25. pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu zikirkan (fikir2kan) (end)

Banyak keluhan kami baca saban hari di wall facebook, dari mesej inbox kami dan kes-kes yang dirujuk ke RPWP, tentang sukarnya mendidik anak sedangkan ia SANGAT MUDAH jika kita MAHU mulakan perubahan pada diri kita sendiri. Anak akan ambil segala yang ada pada habit kita. Nak anak jadi baik, kita dahulu perlu jadi baik.

Yang baik semuanya dari Hidayah Allah. Ambillah tanpa was was.
Yang buruk itu kerana kelemahan pemahaman dan penyampaian kami sendiri.

Selamat berpuasa. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

Hasil IQRA’
WARGA PRIHATIN.