RAHSIA SOLAT #15 – SUJUD KEDUA
Rukun fi’li selepas duduk IFTIRASH ialah SUJUD KEDUA. Kaifiyyatnya sama dengan SUJUD PERTAMA dari segi tasbih yang dilafazkan dan postur badan secara ritualnya. Rujuk Rahsia Solat #13.
Begitu juga persamaan pada gambaran aktualnya jika dilihat secara kasar, iaitu bicara “turun melakukan kerja dengan penuh kehambaan kepada Allah” sebagai Pengatur Seluruh Alam.
Namun begitu, tidak ramai yang sedar atau ambil tahu bahawa terdapat perbezaan dari sudut aktual apabila dikaji dari segi strategi perlaksanaan SUJUD KEDUA berbanding sujud pertama. Sesungguhnya Allah tidak akan perintahkan sesuatu itu dengan sia-sia atau saja-saja.
Sujud pertama dilakukan selepas I’TIDAL, iaitu disiplin ‘check and balance’ dengan meneliti dan mengadili PERANCANGAN amal ibadah kita dengan rapi dan adil sebelum SUJUD untuk turun melaksana pada fasa pertama.
Sujud kedua pula dilakukan usai DUDUK IFTIRASH, iaitu melakukan disiplin ‘check and balance’, menilai semula kesempurnaan amal di lapangan dalam round pertama tadi sebelum MENERUSKAN PERLAKSANAANNYA dengan lebih berkesan dan memperluaskan skopnya.
IBRAH & ISLAH PADA SUJUD KEDUA – BELAJAR DARI PENGALAMAN
Ibadah di dalam Islam adalah diukur melalui tahap ISLAH iaitu pembaikan yang berlaku hasil dari ibadah seseorang itu. Amal sebegitulah yang akan mencapai tahap yang dipanggil AMAL SOLEH. Kejayaan ISLAH dalam AMAL SOLEH dari solat Itulah yang dipanggil AL-FALAH. Sesungguhnya telah bersabda Rasulullah S.A.W.
“Jangan sampai kamu dipatuk oleh ular di dalam lubang yang sama dua kali,” – HR Abu Daud
“Sesungguhnya orang yang PALING BERJAYA ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang GAGAL adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang TERPEDAYA adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” – HR Bukhari dan Muslim
“BERUNTUNGLAH orang yang hari ini lebih baik dari semalam, RUGILAH orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan CELAKA lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam” – Saidina Ali.
Secara umumnya riwayat di atas mengajar kita akan keperluan belajar dari pengalaman lampau dan sentiasa mencari jalan untuk melakukan pembaikan (ISLAH) dalam segala kerjabuat kita.
Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat pelbagai kisah-kisah yang dibukakan kepada kita sebagai ibrah (tauladan) kepada orang yang bijaksana (QS 12/111). Pelbagai bentuk kisah dari peristiwa yang dirakamkan di dalam Al-Quran akan berulang kembali pada zaman kita dengan tema yang sama namun pada suasana yang berbeza, selari dengan perkembangan zaman.
Terdapat pelbagai cara kita peroleh ilmu. Ada melalui pembacaan dan ada yang melalui pengalaman. Antara dua ini, dapatan ilmu melalui pengalaman adalah cara terbaik dan paling berkesan kerana ilmu itu berakar umbi, berserta bukti hidup (bainat) dan ia sukar dicabar. Dengan merasai sendiri secara praktikal, setiap pancaindera kita mampu bekerja untuk menangkap ilmu.
Isu perlaksanaan hudud yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah satu dari contohnya.
1 – Untuk berjaya melaksanakan Hudud, kita harus mendapat tausiah yang tepat dari alQuran yang dibacakan semasa QIAM.
2 – Kemudian ramai-ramai RUKU’ untuk menyatakan bersetuju mematuhi ketetapan kitabullah itu.
3 – lalu kita bangkit IKTIDAL untuk saling menyemak, meneliti PERANCANGAN untuk melaksanakan perintah itu dengan adil.
4 – Barulah kita turun melaksanakannya dalam fasa awal (SUJUD YANG PERTAMA). Biasanya dalam lingkungan sendiri atau sampel komuniti.
5 – Kemudian kita duduk IFTIRASH untuk menyemak pula kesan perlaksanaan tadi untuk diperbaiki mana yang kurang.
6 – Meneruskan perlaksanaan dan memperluaskan kesannya melalui fasa SUJUD yang KE2. Inilah perluasan ke peringkat internasional atau global bagi memenuhi tahap RAHMATAN LILALAMIIN.
Tanpa turut melaksana pasti sukar kita menjelaskan apa sahaja. Buatlah perbandingan antara orang yang menyampaikan ilmu hanya melalui pembacaan dengan penyampai yang mahir melalui pengalaman. Pastilah orang yang bercakap berdasarkan pengalaman akan lebih bagus, mantap dan meyakinkan penyampaiannya. Itulah ‘roh’, yang hanya akan terbit dari penghayatan wahyu yang kuat hasil dari pengalaman melaksanakannya.
Kita sebenarnya sudah terlalu lemah kerana jauh tersasar daripada landasan yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW dalam melaksanakan setiap ajaran AQ.
Hari ini kita disibukkan dengan segala macam ritual tetapi meninggalkan aktual dari setiap perintah Allah. Dalam soal solat, kita hanya fahami bahawa solat itu hanya sekadar RITUAL pergerakan dan lafaz di atas tikar sejadah sahaja. Kita tinggalkan skop disiplin ‘solat’ yang lebih luas, iaitu agenda kerja mencegah perbuatan keji dan mungkar di sekeliling kita serta gerak kerja membangun agama secara kaffah.
Kami selalu menekankan aspek aktual dalam artikel-artikel kami kerana kami ingin kongsikan bahawa kita tidak akan dipandaikan oleh Allah melalui kalamNYA dengan hanya membaca dan melakukan amalan ritual semata-mata, tanpa cuba memahami maksud sebenar dari segala bacaan dan ibadah ritual itu. Apabila kita mula melakukan praktikalnya, barulah kita nampak di mana salah dan kekurangan kita.
Melalui asbab perlaksanaan aktual itu lantas ayat-ayat Al-Quran sendiri yang akan ‘menegur’ kita. Barulah kita dapat rasa Al-Quran itu memimpin hidup kita. Dengan amali, kita akan dapat pengalaman, dan dengan pengalaman itu kita ambil ibrah berpandukan Al-Quran. Itulah proses untuk kita dipandaikan.
Musuh-musuh Islam sebenarnya amat suka kita berada dalam situasi sekarang. Kita disibukkan dengan segala macam ritual tanpa ilmu, juga dimomokkan dengan segala macam fahaman Israeliyat yang membingungkan. Perlaksanaan aktual dari ritual kita itu segaja di’hilangkan’. Kita sanggup bermusuhan, bersifat assobiyah dan berpuak-puak kerana terlalu taksub dengan fahaman mazhab-mazhab tertentu hanya lantaran perbezaan dalam cabang ritual.
KESIMPULAN
ALLAH dengan keagungan sifat dan nama AR-RAHMAN dan AR-RAHIM’NYA sentiasa memberi kita peluang untuk kita mengislahkan diri. Hakikat ini boleh dinampakkan melalui rukun fi’li sujud pertama (buat kerja fasa pertama), iftirash (muhasabah atau ‘check and balance’ di lapangan) dan sujud kedua (sambung melaksana dengan penambahbaikan).
Jika kita berbicara soal impak, seharusnya impak pada sujud kedua lebih tinggi dan meluas berbanding sujud pertama. Ini kerana kita sudah perbaiki kesilapan-kesilapan kita pada sujud (gerak kerja) yang pertama.
Demikian Allah nampakkan kepada kita bahawa tiada satupun rukun yang diperintahkan dalam solat itu sia-sia. Sebaliknya semua itu ada mesej dan strategi yang tersendiri dalam rangka ibadah kita.
Sesungguhnya, semua yang diperintahkan atau diciptakan oleh Allah ada rahsianya. Kita HANYA akan mampu faham rahsiaNYA apabila kita laksanakan aktualnya.
Kalau tak pecahkan ruyung, mana mungkin akan dapat sagunya? Jika hanya sibuk membaca peta dan kekal duduk atas sejadah sahaja tanpa bangkit berjalan, mana mungkin kita akan sampai ke destinasi yang ditunjukkan melalui peta yang kita baca?
Sesungguhnya, apa sahaja dapatan yang kami kongsikan selama ini juga hasil penelitian aspek aktual dari ibadah-ibadah ritual yang kami sedang laksanakan. Kami dapat rasakan dan saksikan bagaimana ayat-ayat Al-Quran itu benar-benar mampu ‘berjalan’ memimpin kita dengan lebih tepat dan berkesan melalui perlaksanaan aktual.
Rasulullah SAW minta kita semua ikuti tabiat solatnya baginda. Baginda pula mengikuti bagaimana Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya solat. Kita semua SUJUD menyembah dan mengabdi kepada ALLAH YANG SATU, mematuhi ketetapan KITAB yang sama, berpandukan uswah terbaik dari RASUL yang sama dan menghadap QIBLAT yang sama.
Justeru, tiada alasan mengapa umat yang sedang berpecah belah ini tidak boleh disatukan semula. Kami dapat lihat bahawa satu-satunya cara umat yang sedang berfirqah-firqah hanya kerana perselisihan ritual ini boleh bersatu kembali ialah apabila kita giatkan (perkasakan) kembali segala aspek aktual dari ibadah-ibadah ritual kita.
Itulah hakikat kejayaan (AL-FALAH) yang sebenar dari ibadah solat kita sebagai agenda ibadah yang paling besar. RAHSIA menuju kejayaan sebenar itu ada dalam AKTUAL SOLAT yang selama ini telah di’hilangkan’ dari kita oleh musuh-musuh agama.
Marilah kita sempurnakan RUKU’ dan SUJUD kita agar Islam kembali bertahta di dunia.
Rasulullah S.A.W berpesan yang bermaksud:
“Tidak sah solat orang yang tidak menyentuh hidungnya ke lantai sepertimana dahinya menyentuh lantai.”– Al-Darqutni, Al-Tabarani, Abu Naim.
“Pencuri yang paling jahat ialah yang mencuri di dalam solat; iaitu tidak menyempurnakan ruku’nya dan sujudnya.” – HR Syaibah, Al-Tabarani dan Al-Hakim.
WARGA PRIHATIN
—