RAHSIA SOLAT #11- RAHSIA RUKU’ DI DALAM DAN DI LUAR SOLAT

Ruku’ merupakan rukun fi’li (perbuatan) setelah disempurnakan rukun qauli (Al-Fatihah). Af’al ruku’ adalah perbuatan mengangkat takbir kemudian membongkokkan badan dengan kedua tangan kita menumpang pada kepala lutut. Ia lantas membentuk badan kita menjadi 90 darjah dari kaki yang berdiri lurus.

Jika kita amati betul-betul postur badan kita ketika itu, kita akan dapati kepala kita berkedudukan separas (sama level) dengan punggung. Ketika ruku’ jua kita akan bertasbih: “Maha Suci Rabb-ku (Pengaturku) yang Maha Agung dan dengan kepujianNYA”.

Apa yang dapat kita fahami dari fakta-fakta di atas, ketika ruku’ kita menampakkan ketaatan dan kepatuhan kita. Lafaz yang kita zikirkan pula membawa maksud menafikan sebarang kesalahan, kekurangan dan keburukan kepada pengatur kita iaitu ALLAH yang mengatur kita melalui Rasul dan murobbi / Ulil Amri yang diutus atau diamanahkan membawa perintahNya. QS:4/59

Ketika ruku’ juga dapat kita rasakan betapa kita ini hanyalah sekadar hambaNYA yang wajib patuh. Kepala kita (bicara akal yang kita rasakan hebat), dada (tempat letaknya hati), juga abdomen (yang menempatkan segala isiperut), semuanya setara kedudukannya dengan punggung. Lafaz dan kedudukan badan kita ketika ini seragam (in sync); mengagungkan Pengatur, dan merendahkan diri sebagai HAMBA.

ZIKIR DENGAN PERBUATAN DAN LISAN

Di dalam ruku’ kita akan zikirkan kepatuhan melalui perbuatan ruku’ serta lafaznya secara berulang-ulang di dalam setiap rokaat. Ini menjadikan solat itu secara aktualnya menjaga disiplin kepatuhan. Tidak ada satu perkara yang boleh kita laksanakan tanpa meletakkan kepatuhan kepada pengatur.

Zikir yang kita lafaz secara berulang-ulang di dalam ruku’ adalah disiplin untuk kita sentiasa mengagungkan pengatur di dalam melaksanakan perintahNYA. Sebagai contoh, apa sahaja yang Allah perintahkan di dalam solat, maka kita mendengar untuk menerima arahan serta tunduk patuh melaksanakannya.

Menghormati pengatur juga merupakan satu disiplin yang harus diterapkan dalam hubungan sesama manusia. Orang jepun contohnya akan sentiasa membongkok tunduk untuk menampakkan rasa hormat pada orang lain.

Islam juga mengajar bagaimana menghormati sesama manusia melalui akhlak dan adab. Sifat itu harus dipimpin dengan al-quran di mana kita mengagungkan Allah dengan meyucikan segala rasa ego, bongkak, sombong dan merasa serba bagus dalam diri kita.

Di RPWP contohnya, anak-anak kecil diajar supaya berjalan sambil tunduk hormat dan mulut melafazkan izin serta salam apabila melintasi orang tua, khususnya ibubapa sendiri. Ini adalah sebahagian pendidikan solat yang diajar kepada anak dari usia 7 hingga 10 tahun.

Pelajaran dari solat ritual berjalan serentak dengan actualnya. Dalam solat, postur kita menunjukkan kepatuhan, merendah diri dan hormat kepada Allah. Di luar solat pula kita harus patuh kepada pengatur atau murobbi kita di dunia, samada ulil-amri, ibubapa atau orang yang lebih tua.

Disiplin dari kefahaman (fiqh) ruku’ kita ini adalah kesinambungan iltizam rasa kehambaan kita kepada Rabb seperti yang dilafazkan di dalam Surah Al-Fatihah. Apa sahaja yang kita lafazkan dalam ikrar di Iftitah, surah al-Fatihah dan surah-surah terpilih kita patuhinya juga melalui perbuatan (gerak badan).

Di sini kita boleh fahami bahawa agenda memperlihatkan sifat kehambaan kita bukanlah setakat bicara sahaja (lip service), tetapi juga melalui reaksi (tindakan). Tunduk itu untuk membuktikan diri kita akur dengan segala apa yang diperintahkan. Tunduknya kita juga untuk merendahkan ego dalam rangka membesarkan Allah melalui rasul, pengatur atau murobbi yang diamanahkan di kalangan manusia.

FOKUS DALAM KEPATUHAN

Solat mempunyai misi dan visi yang sangat besar dalam kehidupan seorang hamba. Kerana itu maka dari qiam hingga ke rukuk, mata kita harus tetap fokus pada tempat sujud. Tumpuan mata dan hati tidak boleh sekali-kali lari dari perintah yang ditetapkan. Dengan itu barulah amal kita akan berkesan atau BERBEKAS QS:48/29

Jika kita ambil hikmah ini dan aplikasikan dalam kerangka visi solat aktual iaitu mencegah perbuatan keji dan mungkar (QS:29/45), maka ruku’ adalah permulaan kita bergerak atau bekerja untuk melaksanakan visi dan misi yang diikrarkan melalui bacaan yang kita atau imam bacakan. Jelaslah bahawa ruku’ adalah bicara tentang MENDENGAR & MEMATUHI ARAHAN (sami’na wa’ato’na).

ALLAH telah menciptakan telinga dan fungsi pendengaran sebagai gateway pertama dalam memproses maklumat dan menerima ilmu (QS:17:36). Pendengaran adalah pancaindera pertama yang berfungsi usai seorang bayi dilahirkan (QS:16/78). Justeru kita dapat fahami bahawa MENDENGAR dan MEMATUHI arahan ini adalah teramat penting dalam urus tadbir hidup kita.

Sebenarnya, amat mudah untuk memetik implikasi-implikasi buruk jika kita TIDAK MENDENGAR DAN MEMATUHI ARAHAN. Kerana tidak mendengar arahan Rasulullah SAW, maka pasukan pemanah turun dari bukit Uhud. Kesannya tentera musyrik menyerang balas sehingga baginda sendiri turut cedera dan Saidina Hamzah bapa saudara baginda gugur syahid. Kerana tidak mendengar seruan dakwah para Rasul juga telah membuatkan banyak umat-umat terdahulu diazab dan lenyap mereka dari muka bumi ini.

Perbuatan tidak mendengar adalah perbuatan mengingkari arahan. Dalam bahasa Arab, INGKAR bermaksud kafara, dan orang yang ingkar ialah KAFIR. Kekafiran yang terbesar ialah mengingkari seruan ALLAH, rasul dan ulilamri. QS:4/59

MENCURI DALAM SOLAT SEMASA RUKU’

“Sungguh sejahat-jahat pencuri dari kalangan manusia adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan mencuri dalam solatnya?” Beliau Saw berkata, “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Dan sungguh orang yang paling kikir adalah orang yang kikir mengucapkan salam. (HR. Thabrani & Hakim)

Solat kita tertolak bila kita tidak mampu mendengar, mematuhi dan melaksanakan perintah Allah dengan sempurna. Itu digelar Nabi SAW sebagai mencuri di dalam solat. Kita ibarat manusia yang sombong, bongkak dan sejahat manusia apabila ingkar kepada segala perintah Allah (al-quran).

Akhlak manusia tercemar hanya kerana sikap sambil lewa, pemalas dan suka putar alam. Bahasa tubuh dan gerak badan menjadi TANDA membaca karektor manusia. Jika dengan solat pun tak mampu nak disiplinkan diri, pastinya di luar solat juga kita akan bawa sikap yang sama. Itulah hakikat mencuri dalam solat yang boleh dilihat melalui af’al kita pada fe’li termasuk ruku’ dan sujud.

KESIMPULAN

Segala perangai malas, curi tulang, ponteng, tak hormat ibubapa, guru dan ketua di kalangan kita mampu dikesan daripada disiplin solat yang lemah. Kerana itulah tentara Muhammad al-Fateh adalah dari kalangan yang amat memelihara solat. Mereka amat berdisiplin, bersatu faham, mendengar perintah dan mematuhi segala arahan pengatur/ketua. Ini semua adalah konsep bagaimana SAMI’NA WA ATO’NA berlaku dalam gerakan berjemaah.

Hari ini murobbi juga ramai yang jahil dan tidak memimpin dengan ilmu yang jelas. Anak-anak diminta solat tanpa dijelaskan rasional pada setiap rukun fe’li dan qaulinya. Akhirnya sikap anak-anak atau anak buah jadi liar, mengingkari perintah, saling cabar mencabar, suka tunjuk lagak dan tikam menikam.

Kesimpulannya, apabila berbicara soal melaksanakan perintah ALLAH, ia bukanlah sekadar lafaz sahaja, tetapi harus diikuti dengan reaksi atau tindakan yang menepati arahan murobbi.

Ingkarnya kita dalam mendengar arahan dengan sebenar-benar merendahkan diri kita akan membuatkan solat kita gagal mencegah keji dan mungkar.

WARGA PRIHATIN