Rahsia al Kahfi 5 – Islam bukan dongeng
Dalam tidak sedar, kita berada dalam aliran modern dengan pelbagai cerita hiperbolik, magik dan misteri dalam Islam. Ramai golongan agamawan menggunakan magik ini sebagai modal ceramah yang menjadikan Jemaah mengantuk menjadi segar.
SYURGA – CONTOH MUTASYABIHAT YANG DIMUHKAMATKAN
Penceritaan syurga pada seorang lelaki seperti satu ruangan seksual dengan bidadari-bidadari yang sentiasa kembali dara selepas bersama. Apabila bila ditanyakan kepada mereka satu soalan cepu emas, secara kolektif kami rumuskan kebanyakan tidak menjawab dengan tepat. Soalannya mudah… Jika lelaki dapat bidadari? Apakah yang isteri kita dapat?
Ada juga yang jawab bidadara (merujuk kepada seorang lelaki). Itu sahaja cukup buat masa ini kami petikkan contoh pentakrifan ayat-ayat yang mutasyabihat (tersirat) menjadi Muhkamat (tersurat). Jika benar isteri kita dapat bidadara, pasti kita akan tumbuk dan bunuh sahaja bidadara yang meniduri isteri kita. Bergaduh pula dalam syurga nanti.
Syurga itu sendiri digambarkan Allah bicara satu ruang tertutup sehingga tiada haba neraka mampu tembus walaupun untuk ke syurga kita perlu menyeberangi neraka. Maka, dengan sistem tertutup begitu anak-anak di dalam syurga menjadi bidadari yang tidak pernah disentuh manusia. Bukannya tak pernah disentuh itu secara fizikal tetapi pemahaman mereka belum pernah teracun dengan manusia sebaliknya suci mengikut pemahaman Allah melalui Al-Quran.
Di dalam syurga itu ada sungai-sungai yang mengalir. Itu bicara ilmu yang tidak putus-putus. Sama juga seperti pelbagai pohon yang mengeluarkan buah sepanjang tahun. Itu bermaksud, dalam syurga itu sentiasa ada pelbagai buah-buah fikiran yang ranum.
Ilmu dan buah fikiran tak putus-putus itu Allah imbangkan dengan halaqah berdipan-dipan membincangkan ilmu dari kesan amalan-amalan ahli syurga. Dari kesan ilmu itu mampu menzahirkan isteri yang menjadi bidadari yang sentiasa perawan, sentiasa suci kerana disucikan dengan ilmu. Dengan ilmu juga anak-anak sukar disentuh oleh kejahatan pemikiran manusia.
Barulah kita mampu mensiddiq hadis Nabi, SYURGA ITU SATU SUASANA ILMU dan mampu katakan, “Rumahku Syurgaku”. Bukankah itu lebih praktikal? Tidaklah Agama Islam digelar agama yang gila seks apabila gambaran bidadari syurga dapat dijelaskan dengan betul.
DONGENG DALAM ISLAM DAN SEJARAH PEMESONGAN
Kami memikirkan tentang perkara ini secara serius, meneliti beberapa nama tokoh Yahudi yang memang terkenal memanipulasi hadis. Bayangkan seorang Yahudi mampu palsukan lebih 4000 hadis. Gerakan memalsukan hadis ini dibuat secara terancang, strategik dan sinerginya untuk membuatkan umat Islam kabur dengan idea dan fahaman akhirat.
Dongengan ini sudah melampau dan terlalu ditokok tambah. Di zaman tabiin, dengan kapasiti untuk melihat sesuatu secara globalize dan divisualkan dalam bentuk 3 atau 4 dimensi, masyarakat zaman itu terlalu mencari penggantungan untuk digerunkan dengan cerita kiamat dan akhirat. Matan hadis yang terlalu menyimpang dari membangunkan ummat pun dihasilkan.
Jika nabi mampu mentarjih sebegini rupa peristiwa akhirat, pastinya tugas nabi akan jadi lebih mudah. Tentu fokus dakwahnya hanya mengajak manusia supaya ‘beramal soleh seperti yang kita faham dan amalkan sekarang’, kumpul pahala, kejar syurga dan jauhi azab neraka. Kenapa perlu sampai berperang, menegakkan agama dan membina negara bangsa, mengembalikan Allah sebagai paksi dalam perlaksanaan sistem kehidupan untuk memanusiakan manusia?
Inilah ideologi Israiliyyat yang melampau disampaikan untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam akhir zaman. Kita dididik dari kecil supaya melihat akhirat itu sebagai laluan sukar, dan menaikkan nama-nama tokoh tertentu untuk tujuan memecah dan memerintah umat Islam melalui kepercayaan dan nilai-nilai rukun Iman.
Setiap asas perkara GHAIB dalam rukun iman dimanipulasi, ditokok tambah malah diguna setiap inci ruang untuk mereka pesongkan akidah umat Islam supaya gambaran akhir zaman dan akhirat itu menjadi begitu GELAP. Yang mereka tidak mampu ubah HANYALAH AL-QURAN! Kerana ia terpelihara. Janji Rasulullah itu pasti, jika kita berpegang dengannya kita takkan sesat selama-lamanya.
Kapasiti al-quran yang menceritakan segala yang ghaib sudah cukup untuk mengheret kita beriman sepenuhnya dengan ayat-ayat Allah. Janganlah percaya membabi buta dan sanggup pula mengiyakan apa sahaja yang dikaitkan dengan cerita syurga dan neraka tanpa terlebih dahulu menyiasat kebenarannya. Perhalusi sedalam mungkin di sebalik tangan-tangan pemalsu hadis yang sentiasa mencari ruang dan peluang menyesatkan umat Islam.
ULASAN KHUSUS ISU ARTIKEL YANG DIKIRIM PEMBACA
Artikel yang dikirim pembaca berjaya membuatkan jutaan pembaca terkesima. Anda lihat sendiri artikel itu serta jumlah Share dan Likes dari link berikut jika mahu,
http://prihatin.net.my/web2/2013/12/04/dongeng-sayap-malaikat/
Kami petik juga dari ceramah seorang ustaz muda selebriti yang menyatakan pelbagai dongengan tentang kiamat, padang mahsyar, tentang syurga, neraka dan titian siroot al-Mustaqim. Bermacam-macam dongeng dari peristiwa Isra’ Mikraj juga sering menjadi tajuk menarik untuk di recycle tanpa penjelasan strategik dalam membangun ummah. Semua penceritaan hanya ingin membuat pendengar dan anak-anak ternganga serta bersangka-sangka. Lalu penceramah sebegitu dipandang hebat, buku dan CD pun laku terjual.
Pelbagai rupa Malaikat-malaikat telai dihurai. Turut digambarkan Daun di sebuah pokok besar di Sidaratul Muntaha di atas Arasy. Lebar daunnya sahaja sejauh 500 tahun perjalanan seekor kuda yang terpantas. Semua itu maklumat dongengan yang hanya sesuai dijadikan bedtime story anak kecil yang belum berakal, laksana kisah Doremon dan Transformer juga.
Burak itu digambarkan oleh agamawan sebelah kepaknya meliputi separuh muka bumi. Bila kepaknya dibuka gelap seluruh dunia. Agaknya di bahagian manakah Nabi menunggang burak itu? Di lehernya? Di bulunya? Di kukunya?
Nabi sendiri kata Allah itu cahaya, bagaimana aku boleh menemuinya? Allah juga firmankan tiada seorang manusia pun boleh bersemuka dengannya (42:51). Musa a.s. ada pengalaman yang sama. Bagaimana pula dikatakan agamawan Nabi bertemu Allah? gambaran singahsana Allah pula sebegitu besarnya? Arasy Allah ditampung oleh 8 Malaikat gergasi katanya, yang ada 300 kepak.
Satu kepak malaikat penjaga arasy boleh menaungi Malaikat Israfil yang ada 300 kepak. Jika dibuka 1 kepak dari 300 kepak Malaikat Israfil pula boleh menaungi Jibrail. Sais kepak Jibrail itu bila dibuka sahaja gelaplah seluruh dunia. Bagaimana dengan sais itu Jibrail a.s. boleh memeluk nabi? Dan masuk gua yang bukaan pintunya hanya muat seorang manusia?
Wah pening betul untuk menggambarkan kebesaran SAIS MALAIKAT semuanya. Apakah motif penceritaan itu sebenarnya? Untuk menampakkan Allah maha hebat kerana mampu mencipta mahluk sebesar itu? Untuk menampakkan kita kerdil? Atau untuk menampakkan penceramah hebat kerana mampu mengadun cerita???
Pada hari kiamat digambarkan nanti datang Nabi Muhammad BERSAMA 4 IMAM MAHZAB UTAMA DALAM ISLAM untuk menemui umat-umatnya di Padang Mahsyar. Soalnya, kewujudan Mahzab tidak ada semasa kenabianpun, maka siapakah SEBENARNYA yang meriwayatkan cerita itu? Aneh bukan? Ironinya dari komen-komen dilihat hampir 100 % kita takjub dengannya.
Itulah pemesongan-pemesongan yang berjaya dilakukan dek Yahudi Laknatullah terhadap hadis-hadis Islam. Mereka tidak mampu tempur Islam tetapi mereka racuni AIR yang kita minum hari ini semenjak kewafatan Nabi lagi. Jadilah kita umat penyembah bayangan.
Kami pernah tuliskan tentang ayat-ayat dari Al-Quran yang menyanggah perbuatan kita mengikuti sesuatu tanpa menggunakan akal fikiran. Bercanggah benar dengan nasihat agamawan agar kita tidak boleh mentelah agama dengan logik akal. Pelik pula jadinya bila Allah utuskan satu surat cinta kepada hambanya tapi Allah rahsiakan isinya?
Itu bukti bagaimana kejayaan Sang Yahudi yang memalsukan hadis-hadis yang sebahagiannya kita pegang pada hari ini. Sekali imbas hadis itu dilihat tidak bercanggah banyak dari pokoknya, tetapi pemesongan 1 darjah dari sudut trajektori satu tembakan laser menyebabkan kita lari jauh dari sasaran. Ya, semakin lama semakin lari yang sangat jauh.
Umat Islam yang ortodok akan percaya dengan yakin malah membuta tuli meyakini dan takkan membangkang. Mereka menyampaikan dengan tujuan peringatan dan iktibar tapi wajarkah dalil yang tidak berpaksikan wahyu al-quran yang dimomokkan? Tidakkah semua itu telah memesongkan kepercayaan dan boleh dihujah untuk membawa semula Islam ke peringkat pembangunannya???
Banyak yang perlu kita koreksi dan perhatikan semula, khususnya mengenai isi kandungan dan matan hadis dongeng ini. Ingatlah, pengklasifikasian hadis hanya berlaku lebih 200 tahun selepas kewafatan nabi. Jika anda bariskan 10 lelaki pada jarak 10 meter, dan serah 20 patah perkataan kepada orang pertama untuk sampaikan tanpa tulisan sampai yang ke10, dalam masa 5 minit saja anda akan dapati tidak sampai 50% ketepatannya. Inikan pula 200 tahun dan sengaja diasak pemesongannya oleh makhluk ghaib yang berupa-rupa.
Hadis itu dikutip dari pelbagai sumber dengan melihat peribadi periwayat hadis itu. Jika anda mahu bicara tentang keperibadian baik seorang Yahudi, anda akan dapati mereka adalah pelakon terbaik di dunia. Anda boleh lihat bagaimana hebat lakonan Abdullah bin Saba’ yang mengadu dombakan antara Siti Aisyah dan Ali Abu Talib sehingga tercetus perang Jamal dan Perang Siffin. Ya, MEREKA BERJAYA menyebabkan ratusan ribu KEMATIAN ORANG ISLAM. Terbunuh yang sana juga Islam, terbunuh yang sini juga Islam.
Lalu pelakon hebat Abdullah Saba’ ini mencetuskan aliran Syiah lalu dipanggil itu Islam. Beliau bukannya Islam tetapi beliau tahu, untuk jatuhkan Islam hanya perlu dibenihkan perpecahan dan menyuburkannya dari masa ke semasa. Kerana mereka sangat faham bahawa ISLAM ITU PENYATUAN, ummat yang disatukan. Jangan lupakan juga lakonan hebat Snouck Hurgeronje yang berjaya memperdaya nenek moyang kita hingga Nusantara terjajah semua.
Konspirasi menjatuhkan Islam ini sudah dirangka secara bersepadu semenjak hayat Rasulullah SAW lagi. Kerana itu Baginda sentiasa mempersiapkan diri dan sering wasiatkan “jika DAJJAL itu turun sewaktu aku masih hidup, aku akan jadi benteng kalian, jika datangnya setelah aku tiada, maka setiap kalian harus menjaga diri masing-masing”. Baginda sendiri diriwayatkan telah diracun oleh wanita Yahudi sebelum wafatnya.
Saidina Omar r.a. khalifah yang paling tegas juga dibunuh Yahudi di dalam masjid, yang seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk umat Islam. Pembunuh Osman r.a. juga dari kalangan tangan ghaib mereka yang bijak memperdaya.
SEMUA PENDERHAKA ALLAH TIDAK DITERIMA BUMI
‘Baiah’ itu adalah kunci keIslaman. Dari baiah khalifah sedunia yang mengatur negara-negara Islam, diikuti baiah rakyat kepada ulil-amri pemimpin negara-negara yang disatukan di bawah satu Khalifah, semua itu menjadi sukatan keIslaman. Kerana itu apabila sistem kekhalifahan berjaya dibatalkan oleh Kamal at-Tarturk, maka itu tanda ummat Islam sudah hilang kemudi, tercabut pohon akidah besar yang menaungi keIslamannya.
Syaitan itu amat bijaksana, namun tahu tidak bakal mampu menipu tuhannya. Dalam banyak banyak perintah Allah, syaitan hanya ingkar satu perintah sahaja, iaitu enggan sujud kepada manusia selaku khalifah. Adam juga patuh di syurga dahulunya, hanya dengan satu perlanggaran yang telah diperingatkan allah, maka Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga. Bolehkah gambarkan nasib kita? berapa banyak kita semua sudah melanggar perintah Allah?
Firaun itu bertaubat sebelum kematiannya namun tidak diterima. Jasadnya telah dikekalkan kerana kedegilannya, agar ia menjadi pengajaran kepada manusia selepasnya. Allah telah nukilkan hal itu dalam al-Qur’an dengan jelas. (QS 10:90-92).
Penentang Allah yang terkemudian juga Allah jadikan serupa. Kesukaran pengkebumian jasad Kamal at-Tarturk yang memakan masa berbelas tahun harus menjadi pelajaran buat kita. Akhirnya jasad itu gagal dikebumikan, bahkan terdampar atas muka bumi dan disita dengan jubin saja. Jasad para padri, para sami juga begitu. Mahukah kita menerima nasib yang sama?
Kehebatan zam-zam masih boleh kita lihat dan zikirkan sampai hari ini. Mayat-mayat penentang Allah yang dimakan sumpah pencipta alam juga masih boleh kita saksikan. Allah haramkan tanah menerima jasad yang berasalkan tanah itu juga. Dengan bukti (bainat) yang jelas itu, masih beranikah kita, khususnya para pemimpin keluarga dan negara yang sanggup menentang apa-apa yang telah Allah perintahkan? Ayuh, Segeralah beristighfar…
MISI PEMBANGUNAN SEMULA DENGAN STRATEGI JUMAAT & AL-KAHFI
Surah alKahfi bukan untuk dijadikan nama-nama gerakan yang menyesatkan, memenuhkan kantung individu dengan mengeksploitasi kejahilan umat. Ia menuntut kita meneliti semula fakta kebenaran kesemua berita, hadis dan kejadian dengan merujuk kepada alquran, wang perak yang tidak laku namun masih asli, tidak mampu dirobah oleh sesiapa sampai kini.
Sesungguhnya, apabila Islam sudah tidur ratusan tahun, memanglah ia kelihatan ‘pelik dan asing’ bila kita terjaga semula. Itulah maksud Hadis Ghuroba dan itulah juga rahsia surah al-kahfi yang diperintahkan kita membacanya setiap jumaat. Itulah surah penengah Musyhaf alQuran dengan perintah WALYATALLATTOF, perintah memperhalusi dan meneliti semula.
Ambillah pelajaran sebanyaknya dari surah al-Kahfi. Ikut jejak Musa yang memadankan pelajaran dari kitab dengan ilmu laduni, dengan siyyasah yang mendalam sepertimana yang ditunjukkan Hidir a.s. melalui perjalanan bersamanya.
Ayuh bina tembok Zulkarnain yang kukuh untuk membenteng konspirasi Dajjal yang mengajar kita melihat perkara hanya dengan sebelah mata. Sudah terlalu banyak Dajjal berjaya membuat kita leka, yang Allah larang kita langgar buta-buta, yang diperintah kita buat bodoh saja.
Ayuh kita benteng akidah kita dari serangan Yakjuj Makjuj. Jangan mudah menelan buta-buta berita dari puak-puak yang sudah tidak tahu apa yang mereka kata. Puak-puak yang menyuruh kita bersatu tapi mereka sendiri memisah mati macam minyak dengan air.
Ayuh bina diri dengan ilmu Allah selaku pemimpin keluarga dan negara. Kumpulkan ahli keluarga, alirkan semula sungai ilmu Allah yang diwariskan nabi dalam rumah kita. Satukan jemaah setempat, satukanlah puak-puak yang bertelagah, kita semua ini sama-sama berdosa.
Syaitan, Dajjal, Yahudi, Nasrani dan segala malaun musuh agama sudah lama meracuni agama kita dengan sangat halus tanpa kita sedar. Mereka puji Rasulullah SAW namun meletakkan baginda dalam senarai 100 orang terulung dunia. Kita bertepuk sorak suka tanpa sedar itu satu penafian bahawa nabi kita insan paling mulia seluruh dunia, sepanjang masa.
Mereka puji Muhammad menjadi penghulu syurga, tapi mereka letak 4 imam sebaris dengan baginda. Wahhh kita pun seronok menggila. Mereka racuni akidah bahawa 4 imam itu tidak layak untuk sebaris dengan baginda sedangkan dengan maklumat itu kita semakin taksub dengan menyembah imam-imam lalu menduakan Allah dan rasulnya (At-Taubah, 31). Mereka cetuskan surat berantai kisah mimpi penjaga makam Nabi, dengan ungkapan jika kita tidak panjangkan maka akan timbul bencana, jika kita sebar bakal dapat rezeki yang tidak disangka… dan banyaklah lagi yang tidak cukup ruang untuk kami ceritakan.
Adakah kini ISLAM kita hanya SATU ataupun kita telah memiliki banyak versi Islam? Jika anda pernah sampai ke Mekah, pasti anda bersetuju mengapakah Agama yang satu ini memiliki pemahaman dan perlaksanaan yang beribu perbezaannya.
Cetusan Minda Jumaat
WARGA PRIHATIN