POLIGAMI : SUNNAH YANG MENJADI FITNAH

poli
Salam semua khalayak pembaca. Selepas kita keluarkan artikel tentang isteri dan juga kegagalan suami menjalankan fungsinya, kini kita tiba di satu topik panas yang pastinya isteri-isteri akan tersenyum lebar. Kami pula akan bengkak kepala kena hentam oleh mereka yang berkepentingan. Tolong jangan marah kami, kerana ini satu cetusan, bukan satu ketetapan, kecuali anda boleh nampak jelas ianya adalah tulin dari hidayah dan aturan Allah.

Memang telah termaktub sebelum inipun, jika sunnah nabi yang paling popular pada wanita ialah “Suami romantik” dan untuk lelaki pula ialah sunnah ‘POLIGAMI’, kahwin 4, dijaja motivasi PAYUNG EMAS habis habisan. Bahkan Payung Emas itu sendiripun sang penjaja tak faham dengan jelas secara sains praktikalnya. Ada segelintir madu madu yang meneran juga untuk menelan dengan kelat sekali hanya kerana penyampainya sangat kelihatan ‘beragama’.

Pada hari ini, Warga Prihatin akan mengupas isu poligami ini atas desakan yang bertalu talu dari pembaca. Kami anggap isu ini sebahgian dari banyak prioriti memandangkan kami mendapat maklumbalas dari artikel sebelum ini dari isteri-isteri yang dianiaya dengan paksa untuk bekerja bagi menampung keluarga dan menanggung suami yang berpoligami. Mendengar rintihan yang diadukan pun kami rasa panas hati dan seakan tidak percaya ada lelaki sedayus itu.

NASAH MANSUH POLIGAMI

Bila kahwin 2,3 atau 4 sahaja mereka jawab IKUT SUNNAH NABI. Lihat tu, Allah perintah mulakan dari 2, bukan satu. Itulah jawapan pelepas kepada semua persoalan bagi membenarkan tuntutan nafsu sebahagian mereka. Masih ingatlagi keperluan melihat perintah Allah secara kaffah? Secara menyeluruh, secara helikopter atau birds eye view? Masih ingat NASAH dan MANSUH? Nafi dan isbat? Pro dan kontra?

Mari kita lihat, bagaimana halusnya Allah dalam menyindir manusia tentang poligami. Ini ayat yang pertama;

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلا تَعُولُوا

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim maka kawinilah wanita-wanita yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian ITU ADALAH LEBIH DEKAT KEPADA TIDAK BERBUAT ANIAYA. [An-Nisa: 3].

Dalam ayat ini JELAS Allah nyatakan tentang keadilan jika mahu berkahwin. Jika takut tak mampu berlaku adil, bahkan akan menganiaya, maka kahwinlah seorang sahaja. Ayat ini sangat jelas dan mampu difahami secara muhkammat, secara langsung. Mudahnya, nak berpoligami itu BOLEH tetapi wajib untuk berlaku adil kepada isteri-isteri.

Soal besarnya ialah…MAMPUKAH KITA BERLAKU ADIL?

Kita lihat apa yang Allah jawab;

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

Dan KAMU SEKALI-KALI TIDAK AKAN DAPAT BERLAKU ADIL di antara isteri- isteri (mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, karena itu janganlah kamu terlalu cenderung, sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [An-Nisa: 129]

Ya, itu dia puan-puan dan tuan-tuan, biasa kita suka ambil ayat yang pertama di atas dan jarang pula nak jengah-jengah ayat 129 ini pula. Makanya, ramai pula yang sebenarnya berpoligami tapi tak tahu syarat poligami itu sendiri. ALLAH SENDIRI CONFIRM KITA TAK AKAN SEKALI-KALI MAMPU BERLAKU ADIL dan menjadi adil pula adalah satu syarat poligami. Boleh nampak apa ayat kami seterusnya? Itulah nasah mansuh yang boleh difikir-fikirkan.

Jika anda tanya kepada suami anda soalan seperti “Bolehkah saya beli handbag Prada tu?” lalu dijawab oleh suami anda, “Boleh kalau you boleh bagi saya segenggam tanah dari planet Pluto”. Agak-agak, suami anda IZINKAN atau tidak jika jawapannya begitu?

Bila tiba isu poligami, semua kata nak ikut nabi. Mengapa pula janda berumur 40 tahun yang telah 2 kali menjanda tidak pula menjadi pilihan untuk perkahwinan pertama? Biasa yang kita lihat, umur dah 40 tahun tetapi kahwin isteri ke-dua berumur 18 tahun. Jika benar nak ikut sunnah, ikutlah sehabis baik. Itulah salah satu salahfaham mereka yang suka ambil ayat Allah yang mana sedap-sedap sahaja. Ayat Allah yang tak sedap untuk mereka disorok-sorokkan.

Ini MASALAHNYA bila penceramah sendiri PRO kepada poligami, ayat ALLAH dijadikan umpan kearah apa yang sedap sedap bagi dirinya saja. Kita harap mereka ini tidak berkata benar kerana jahil, bukan kerana sengaja. Itu saja untuk bersangka baik, semuga kita dan mereka tidak berdosa.

AKU NIKAHKAN AKU ATAU KAMI NIKAHKAN KAMU

Tidaklah ini bermakna kami mengharamkan poligami kerana nabi juga berpoligami. Tetapi ada beza banyak dari segi klaus pernikahan nabi berbanding dengan datuk-datuk VIP yang menikah artis muda jadi bini nombor 2,3 atau ke-4. Niatnya baik nak ikut sunnah, tetapi SIAPA yang kahwinkan mereka? Adakah mereka sendiri yang memilih untuk berkahwin ataupun KAMI yang memilihkannya.

ISU AKU dan KAMI dalam Al-Quran itu ringkasnya adalah gantidiri Allah itu sendiri. AKU bermaksud Allah yang ghaib yang sedang bersemayam di atas Arasy. Sebaliknya, KAMI pula adalah jemaah pentajali atau pelaksana sistem,RUBUBIAH Allah atau SUNATULLAH yang dilaksanakan dalam bentuk kelompok komuniti aka JEMAAH.

Pernikahan Nabi DINIKAHKAN oleh KAMI, Jemaah Islam ketika itu (Ahlulbait) disebabkan beberapa faktor seperti pembelaan balu-balu mujahid yang suaminya mati di sabil Allah. Isu Anak angkat dan anak kandung adalah hal kehidupan yang sangat lumrah yang Allah tegaskan hukum hakamnya. Oleh itu, ada juga kes di mana nabi s.a.w. dinikahkan dengan anak angkat baginda atas sebab untuk mengesahkan hukum. Supaya apabila Nabi sendiri tergamak menikah dengan anak angkat sendiri, maka tidaklah umat selepasnya teragak agak lagi untuk membenarkan hukum munakahat itu.

Perhatikan ayat ini.

Surah 33. Al Ahzab 37. Dan, ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu telah memberi nikmat kepadanya: “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah”, sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap istrinya, KAMI KAWINKAN KAMU dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

ADAKAH NABI KAKI BETINA?

Inilah fitnah besar dikalangan anti-Islam terhadap Nabi s.a.w. yang tidak ramai pembela Islam mampu menerangkan dengan rasional. Pernikahan dengan Siti Aishah ada kisah di sebaliknya. Jika anda atau orang bukan Islam fikir nabi seorang yang ‘womanising’ atau ‘sex maniac’ kerana mengahwini seorang gadis ketika berusia 9 tahun, tolonglah fikirkan semula.

Aisyah RA merupakan satu-satunya isteri nabi yang dikahwini nabi semasa gadisnya. Itupun setelah Isteri pertama yang sudah 15 tahun lebih tua dari baginda itu wafat. Begitu hebat MARTABAT ISTERI PERTAMA. Yang lain semuanya dah tua-tua, itupun semuanya atas permintaan jemaah semata mata bertujuan MEMBELA balu dan anak-anak arwah Mujahid yang telah berjihad untuk membalas jasa.

Calun poligami kita sekarang bagaimana? Berapa ramai yang muda? Berapa ramai yang janda? Berapa ramai balu mujahid yang telah kita kahwini? Siapa yang sahkan itu isteri mujahid? Perkahwinan itu atas kehendak jemaah atau atas keinginan kita sendiri? berapa banyak isteri tua yang terbiar merana hati dan sengsara kesempitan hidup? Kita bela isteri muda atau isteri muda yang bela kita?

Kisah bagaimana nabi diminta oleh sahabat baginda Abu Bakar Assiddiq yang merayu untuk menitipkan anaknya itu dibawah jagaan baginda juga harus diteliti. Kami tertarik dengan riwayat yang menyatakan KESYUKURAN PALING BESAR ABUBAKAR ADALAH KERANA BAGINDA SUDI MENJAGA AISHAH SEBAGAI ISTERI.

Kita harus ingat, ketika pernikahan baginda dengan Aishah r.a., kesempurnaan Islam baru separuh jalan. Masih ramai yang hidup haru biru akibat kejahilan. Setiap permasalahan umat menjadi asbab kepada turunnya ayat (asbabul Nuzul). Kita semua tahu bahawa Aishah adalah isteri yang paling banyak jadi sebab turunnya wahyu. Oleh itu secara matematiknya beliau juga pencetus kepada banyak sebab pembaikan akhlak.

Jikalah Aisyah itu tiada masalah, tidaklah sampai Abu Bakar memukul muka sendiri sampai berdarah kerana tuturkata Aisyah kepada Nabi (suami) sendiri yang mengatakan baginda itu perasan saja sebagai rasul. Jika isteri kita berkata macam itu berdesing tak telinga? Mahu makan penampar rasanya betul tak? Teliti juga sikap berkeliaran Aishah r.a. yang sampai tertinggal kerana mencari kalung yang hilang tanpa pengetahuan baginda lalu menumpang kenderaan lelaki lain. Bengang Rasulullah s.a.w. bukan kepalang sampai ada riwayat sampai 40 hari baginda tidak tegur isterinya sehingga turun wahyu. Tapi inilah hikmah dan fatonahnya Nabi s.a.w. Aisyah dididik dengan sabar oleh Nabi sendiri sebagai membalas jasa sahabat baginda yang paling setia.

Kita semua tahu Nabi tiada anak bersama Aisyah dan juga semua isteri yang lain KECUALI Khadijah dan Maria Al-Qibtiyyah, seorang hamba wanita yang dikirim oleh Muqawqis dari Byzantine sebagai tanda persahabatan antara Islam dan Kristian. Adakah mereka itu mandul? Atau nabi mandul? Anda tahu sendiri jawabnya. Apakah jenis nafkah batin termahal yang nabi gilirkan kepada kesemua isteri isteri baginda? Ya itulah ilmu, pendidikan yang sangat menyenangkan hati dari seorang insan mulia. Jika itu bentuk nafkah batinnya, boleh adil tak? Sila jawab dalam hati.

Mengapa anak-anak nabi hanya datang dari 2 orang isteri baginda itu sahaja dan tidak pada isteri-isteri baginda yang lain? Adakah kerana nafsu ataupun kerana tanggungjawab dan perlindungan kepada balu-balu mujahid yang telah Allah janjikan untuk anak dan isteri mereka dijaga sekiranya mereka ini gugur. Jaminan Allah itulah yang membuatkan Jemaah Islam (KAMI) yang mentajalikan sifat Allah itu yang menikahkan Nabi kepada balu-balu mujahid Islam. Itu satu penghormatan kepada mujahid yang gugur. Kita bagaimana?

Sekarang ini, datuk-datuk dan Tan Sri Tan Sri yang kahwin bini kedua, tiga dan empat itu SIAPA YANG NIKAHKAN? Mereka minta dinikahkan ataupun KAMI yang menikahkannya?. Ternyata, mereka lakukannya atas dasar nafsu sendiri sahaja. Jika cara itu mereka berkahwin, wajarlah berderet anak-anak baru yang akan keluar dari semua isteri baru yang mereka kahwini. Nabi kahwin kerana untuk menjaga kebajikan dan bukannya seperti ada antara kita yang berpoligami kerana mahukan zuriat, kerana tertangkap BASAH BASAH dek JAIS, ataupun termengandung (nauzubillah).

Tak kurang juga Suami yang mengambil kesempatan dayusnya kepada isteri agar isterinya berkerja dan menyara Sang Suami yang malas itu. Banyak kes yang dirujuk kepada kami sangat menyedihkan. Mereka memasang “cawangan” merata tempat tetapi tanpa penjagaan. Duit kahwin pun silap-silap cilok dari isteri tua. Hasilnya, suami sebegitu seperti seekor kambing atau lembu baka jantan yang ‘disewakan’ untuk mengawan sahaja.

PAYUNG EMAS?

GIMIK POLITIK poligami yang selalu dimainkan ialah isteri yang mengizinkan suaminya berpoligami akan dapat layanan payung emas, sebagai penghulu di syurga. Betul ker? Bagi kami jangan harap nak dapat payung emas syurga di akhirat sana jika anda tidak mampu merealisasikan payung emas dalam syurga di dunia ini. Sebab janji Allah itu benar. Di dunia ini pun ada syurganya, ‘the living heaven’, itulah RUMAHKU SYURGAKU, hasil dari ketepatan, KEADILAN perlaksanaan aturan Allah yang ditunaikan didunia ini sebagai tiket ke syurga sana.

Sebenarnya apabila TELAH sama sama difahami bahawa pernikahan kedua suami itu atas kehendak Allah, yang diputuskan oleh pihak KAMI, pasti isteri tua akan redha walaupun ada sedikit rasa kecewa. Keizinan itu akan dipohon oleh pihak KAMI dengan tarbiah kefahaman dengan wahyu, bukan oleh sang suami yang curi cap ibu jari ketika isteri tidur macam kita. Keredhaan itu nanti akan dihargai pula oleh madunya. Sebagai tanda terimakasih, mereka akan sangat menghormati dan menyayangi madu tua mereka. Tidak mustahil madu muda akan sanggup melakukan semua kerja rumah dan meringankan beban isteri tua yang telah rela membahagi kasih padanya.

Sang suami pula akan bertambah kasih atas kepatuhan isteri tuanya yang telah sanggup menerima ketentuan KAMI atas kemasalahatan agama itu. Jumlah punya jumlah daripada hanya mendapat SECEBIS kasih dari seorang suami, isteri tua mendapat SELONGGOK kasih dari suami yang sama campur pula dengan LIMPAHAN KASIH dari madu madunya. Bukan itu saja, daripada dulu terbongkok bongkok mengurus rumah sendirian, kini beliau jadi PENGHULU RUMAH untuk mengatur madu madu yang menyayanginya. Beliau tetap menjadi pemegang amanah rumahtangga, termasuk kewangan dan rujukan sebarang keputusan apa saja dari madunya. Itulah falsafah disebalik PAYUNG EMAS… indah bukan?

FALSAFAH KEADILAN ISLAM

Keadilan tidak semestinya semuanya sama banyak, sama rata tetapi keadilan itu berlaku dalam banyak cara. Jika isteri tua ada 11 orang anak, berilah rumah, kereta yang cukup besar dan belanja yang cukup untuk 11 orang anak. Isteri muda yang belum ada anak memadai dengan keperluan ruang hidup dan kenderaan yang sesuai saja. Anak lelaki belikan songkok, anak nisak belikan tudung, bukan kedua duanya dibelikan songkok sebagai tanda adil.

Dalam 1 kes study kami yang paling sadis, ada suami yang sambung belajar di luar negeri dengan isteri tua berkorban jual nasi lemak. Suami enjoy di sana bersama anak seorang datuk dengan kemewahan sampai study pun gagal. Balik Malaysia nikah lagi dengan gadis seksi yang berharta, duduk rumah teres dua tingkat 5 bilik dengan kereta BMW. Isteri tua dengan 11 anak masih duduk di rumah MERPATI PKNS yang ada hanya 2 bilik meneruskan hidup dengan jual nasi lemak. Kadang makan kadang tidak, anak anak tidak sekolah. Makan minum isteri tua tidak ambil tahu. Selama 3 tahun isteri tua tidak tahupun yang suaminya ada rumah mewah tidak sampai 2km dari rumah burung merpati yang menyedihkan itu. Kerja Sang Suami ini ialah menetapkan 4 isteri dalam satu masa. Lepas satu nikah satu begitulah seterusnya.

Rasanya zaman sekarang ini, payung emas tu boleh jadi juga alat berperang dengan madu yang akan dicapai ikut sempat sekalipun dengan batang payung warna emas.

POLIGAMI KERANA LAYANAN ISTERI BERMASALAH?

Satu lagi isu besar mengapa suami berpoligami adalah disebabkan oleh layanan buruk isteri yang menganggap REMEH saja hal layanan terhadap suami ini. Maklumlah, dah bekerjayalah katakan. Gajipun dah lebih besar dari suami, lalu suamipun kahwin lagi satu barulah meraung-raung tak berlagu.

Ada juga kes yang memeranjatkan kami jenis isteri yang terlalu taksub dengan nasihat ibu bapa. Setiap kali mengandung masuk 4 bulan, langsung pacak signboard “NO ENTRY” besar-besar sampailah 6 bulan lepas bersalin. Keperluan suami lansung tak terlayan, mengigal ngigallah di bilik air Si suami malang itu hampir setahun. Manalah tidak suami pasang cawangan. Bila dah ada 2 orang isteri, pandai pula bersaing-saing untuk jadi yang terbaik.

POLIGAMI KERANA TIADA ZURIAT?

Ada suami yang berpoligami kerana masalah zuriat yang mana Nabi Ibrahim a.s. juga menggunakan cara yang sama. Baginda menikahi Siti Hajar kerana Siti Sarah lambat mendapatkan zuriat. Dalam masa yang sama, Siti Sarah adalah anak golongan bangsawan yang dinikahi oleh Nabi Ibrahim. Orang bangsawan, perangai karenah pun bangsawanlah, sehingga Nabi Ibrahim menikahi Siti Hajar yang hanya seorang hamba abdi sahaja. Siti Sarah yang sampai khabarnya dikhatankan itu terpukul dengan ketaatan Siti Hajar lalu beliau juga berubah menjadi isteri yang baik untuk Nabi Ibrahim A.S. dan berjaya melahirkan zuriat. Tak tau lah samada sebelumnya beliau tiada zuriat kerana terlalu merancang atau sering menolak ajakkan. Wallahuaklam.

Jika nak ikut sunnah Nabi Ibrahim, berkahwinlah dengan hamba abdi sahaja dan bukannya cari artis-artis atau wanita berdahi licin bertubuh mongel. Fikir nak sedap sendiri sahaja dan bukannya kerana ALLAH. Jika nak ikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w., maka kahwinlah dengan janda-janda yang sudah tua nak menopause dan sebahagian yang memang dah pun menopause. Itupun taknak juga.

JANGAN FITNAH AGAMA INI DENGAN SALAHGUNA POLIGAMI

Jadi pada hari ini, apakah tujuan kita nak berpoligami WALAUPUN Allah dah terang-terang nyatakan KITA TAK MUNGKIN mampu berlaku adil walaupun kita mencuba dan mahukannya.

Janganlah suka suka berpoligami jika ia sekadar membuatkan manusia lain membenci agama suci ini. Nabi Muhammad dinikahkan kerana menjaga kebajikan balu dan anak-anak mujahid. Anda pula?

– Untuk sedap?
– Untuk mendabik dada dapat isteri artis muda?
– Nak bermegah?
– Nak melampias nafsu?
– Siapakah mujahid yang mahu balunya anda bela?
– Siapakah hamba abdi yang mahu anda kahwini untuk zuriat dan tarbiyah kepada isteri pertama anda?

Fikirkan semula. Jika Allah sudah firmankan 2 firman-Nya di awal artikel ini, siapakah kita untuk melanggarnya. Berpoligami jika mampu berlaku adil dan Allah sudah nyatakan kita TAK MUNGKIN MAMPU BERLAKU ADIL. Oleh itu, jalan terbaik di hujung ayat itu ialah dengan MENASIHATKAN KITA BUAT ISLAH, KOREKSI perangai isteri yang tidak kita sukai biar seteruk manapun. Habis usaha tak boleh jugak, maka minta bantuan jemaah untuk menasihati dan nikahkan kita. Kesimpulannya kami nak tanya,

– Adakah sebenarnya Allah izinkan poligami secara umum?
– Atau ia satu kemahuan nafsu bagi insan yang tidak maksum?

Ustaz-ustaz harap dapat bantu jawab soalan-soalan yang kami tinggalkan ini.

Iqra dari
WARGA PRIHATIN