Pemesongan Fakta Sejarah Dalam Teks Sekolah – Seruan Kajian Semula
Pemesongan Fakta Sejarah Dalam Teks Sekolah – Seruan Kajian Semula
Apabila kami layangkan sedikit fakta sejarah dalam ulasan tentang sistem pendidikan negara semalam ramai yang mencerca yang mengatakan kami hantam keromo saja. Walhal kami nyatakan hasil kajian yang mendalam, telah kami kenalpasti Batu Hitam (Hajarulaswad) Nusantara. Kami tawaf dan kaji semula CUKUP 7 pusingan, mengurut sejarah kejatuhan Islam 100 tahun ke belakang.
Hari ini biar kami kemukakan sedikit bukti hasil kajian kami, mengapa agama, diri dan masyarakat kita jadi begini. Harap jangan ada yang pengsan atau bunuh diri. Peristiwa kematian pelajar di dewan peperiksaan adalah asbab sahaja. Sekurang-kurangnya arwah mendapat pahala kerana kematian yang sudah memang dalam katagori jihad kerana dalam pencarian ilmu itu menyebabkan kita semua tersedar dari lena.
Wahyu Allah juga turun atas dasar asbab. Oleh itu bersyukurlah kerana dengan asbab itu dan permintaan pembaca maka kami terpanggil kongsikan sedikit fakta yang agak memeranjatkan semua. Berhentilah mengatakan kami menjadikannya batu loncatan atau entah apa-apa telahan gila yang sangat hina. Kami ulas kelmarin atas desakan pembaca juga. Kami bukan peniaga yang menjual buku, atau ahli politik yang mencari political mileage.
Sila hadapi fakta ini dengan tenang dan beristighfar banyak-banyak. Tiada siapa boleh menuduh dan mempersalahkan siapa kerana itu semua kerja tuhan belaka. Kejayaan Islam hasil perit jerih Rasulullah SAW, para sahabat dan pejuang lama. Kejayaan mereka hasil usaha mereka, bukan usaha kita untuk mendabik dada membangga-banggakannya.
Kejatuhan Islam yang memang direncana sebegitu rupa atas kelemahan ilmu dan akidah nenek moyang kita yang telah diambil peluang sepenuh-penuhnya oleh musuh agama. Bukan urusan kita untuk menyalahkan sesiapa. Tugas kita sekarang ialah untuk sama-sama tarik nafas, penuhkan azam dan iltizam untuk mengorak langkah yang lebih rapi untuk membangun semula jatidiri dan semangat anak bangsa watan negara dengan ilmu. Sudah bukan masanya lagi kita duduk mendabik dada mengatakan kita Islam, kita ada kuasa, kita kaya kerana musuh Islam sedang pecah perut mentertawakan kita.
Firman Allah dalam surah 2. Al Baqarah 141. “Itu adalah umat yang telah lalu, bagi mereka apa yang diusahakannya dan bagimu apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak akan diminta pertanggungan jawab tentang apa yang telah mereka kerjakan”.
Perhatikan fakta sejarah yang banyak terdapat di internet dengan apa yang kami paparkan di link berikut.
http://prihatin.net.my/web2/2013/11/09/christiaan-snouck-hurgronje-wikipedia/
Kami pernah paparkan hasil kajian ini sekitar tahun 2003 di web lama kami yang sudah terhapus. Kajian bertahun lamanya dan rumusan dibuat sekitar tahun 1998 dahulu. Banyak juga yang sempat dipetik oleh blogger lain dengan kredit (waktu itu atas nama Unit R&D Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia). Kajian rasmi untuk isu Kiai Palsu ini bermula ketika Window 95 lagi. Tiada lagi kemudahan google seperti hari ini. Banyak fakta yang harus dicari dari buku dan dengan bertalaqqi.
Anda bayangkan peranan seorang manusia yang begitu besar dalam usaha menjatuhkan agama kita, hanya disebut sekali sahaja dalam buku teks tingkatan 4 anak-anak kita. Perhatikan imej di indeks dan paragraf yang kami sertakan. Snouck hanya disebut sebagai orang yang mengesahkan Islam Nusantara datang dari India, itu saja peranan beliau yang diajarkan kepada anak-anak kita.
Begitu jugalah hal hilangnya fakta sejarah Hang Tuah, kaitannya dengan Acheh dan Wilayah Melaka yang telah mereka racik-racik dan berterabur semua penceritaannya. Akhirnya fakta sejarah itu hanya dipaksa anak kita membaca dan menghafalnya untuk lulus periksa sahaja, tanpa pengaliran roh yang seharusnya membangkit semangat patriotisma mereka. Memaksa anak kita lulus sejarah tidak akan memberi sebarang makna jika roh dari kefahaman sejarah itu tidak ada.
Semuga fakta ini mampu menyedarkan pembaca. Kami dengan rendah diri mengajak semua umat Malaysia bersatu demi agama, anak bangsa dan tanah air tercinta. Tidak kiralah kita di parti mana, atau tidak berparti sekalipun.
Kami yakin semua kita inginkan sejahtera, untuk diri dan anak cucu kita. Yang paling penting, kita semua inginkan redha Allah agar ada sedikit peluang untuk kita di syurga sana. Dengan akhlak yang baik dan teguran yang berhemah, kami yakin pihak kerajaan mampu dan mahu memperbaiki apa yang dilihat perlu diperbaiki. Jauh sekali untuk menghina atau merendah-rendahkan sesiapa. Kita hargai usaha kesemua pegawai dan orang besar negara yang selama ini telah mencuba, malangnya mereka masih tenggelam punca. Menjadi tugas kita untuk memanjangkan hidayah yang berguna untuk membantu mereka.
Oleh itu, janganlah kaitkan fakta ini dengan kemelut politik dalam negara. Kami tidak sekali-kali memihak kepada sesiapa. Usaha kami dengan titik peluh dan modal kami sendiri, hanya untuk mendapat keredhaan Ilahi, juga untuk menyelamatkan anak cucu kami. Namun usaha ini tidak akan bermakna jika masyarakat Islam seluruhnya tidak turut diperbaiki, kerana anak cucu kami juga harus berada dalam masyarakat yang sama. Kerana itulah kami kongsikan segala hasil penemuan kami untuk renungan dan tindakan kita semua, tidak kira siapa.
Ingatlah, kita sudah tidak boleh jatuh lebih teruk dari ini kerana kejatuhan kita sudah di tahap maksima. Pilihan yang ada adalah untuk bangkit semula secara bersepadu, bersatu dan bersama-sama. Jika tidak maka terkuburlah segala yang kita ada.
Perkongsian ikhlas
WARGA PRIHATIN.