Pemerhatian Sekolah Alam ke 4: Bahagian 1 – Sawah Melayu Sawah Cina

sek alam 4 1

Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 1
SAWAH MELAYU VS SAWAH CINA

Salam kepada semua. Tidak lupa salam juga kepada yang bukan Islam. Mungkin tajuk ini nampak rasis tetapi bukan perkauman yang mahu kami ulas tetapi kebaikan untuk dicontohi dari kaum berlainan. Untuk mengambil pelajaran, kami pastikan untuk mendapatkan input yang terbaik dari pihak lain, yang buruk pada mereka kami jadikannya sempadan sahaja.

Alhamdulillah, program SEKOLAH ALAM edisi ke-4 kali ini mendapat tajaan sangat memberangsangkan. Ia datang dari insan prihatin dan menjadi kewajiban kami untuk mengembalikan apa sahaja pelajaran untuk dikongsi bersama dengan para ‘pemilik program ini’.

Sudah jelas bahawa program ini belum pernah dijalankan oleh sesiapapun selama ini. Ini disahkan oleh pakar-pakar pendidikan yang bersama kami walaupun ada dalam komen-komen mengatakan mereka pernah lakukan perkara yang sama, namun hanya pada luarannya sahaja… dasarnya berbeza sama sekali.

Artikel pendek ini adalah salah satu cetusan dari pemerhatian anak-anak Warga Prihatin sendiri yang kami kutip semasa dalam bas lagi. Lalu kami artikelkannya untuk pelajaran kepada semua. Insyaallah akan kami cuba sunting juga klip video rakaman live sepanjang program ini nanti untuk mengesahkannya dalam bentuk movie pula. Kami yakin anda dan anak-anak anda akan lebih tertarik dan mampu mengambil pelajaran dengan lebih jelas dari video tersebut.

Pada hari pertama, kami sudah bawa anak-anak kami meraih ikan yang baru naik ke darat. Dalam perjalanan pulang, ketua rombongan merencana laluan berpatah balik ke Sekinchan dan kemudian menyusuri tepian terusan Bankanal sehingga ke Sawah Sempadan.

Salah satu cetusan yang menarik ialah tentang BEZA SAWAH CINA DAN SAWAH MELAYU.

Kesimpulan yang dibuat oleh seorang anak berumur 12 tahun menyatakan bahawa sawah Cina LAGI CANTIK DAN TERSUSUN dari sawah Melayu. Sawah Melayu ada rumah di dalam sawah tetapi orang Cina tiada mendirikan rumah di tengah sawah kecuali sarang burung walit sahaja.

Tempat tinggal Orang Cina adalah berpusat dan terancang di Sekinchan. Mereka mempunyai jiran dan kehidupan sosiologi mereka agak bersatu dan berpersatuan dengan kelengkapan sosial yang lengkap. Sementara orang Melayu pula mengasing-asingkan diri di tengah sawah. Masing-masing hidup tanpa jiran yang bersebelahan. Tempat berkumpul mereka hanya di warong dan juga surau.

Dalam komuniti Orang Cina, anak-anak perasan ada SATU rumah ibadat orang Cina. Sementara itu di kejiranan orang Melayu ada berbelas-belas surau dan masjid di sepanjang perjalanan yang mereka lalui. Di situ, anak-anak membuat kesimpulan bahawa Orang Cina lebih BERSATU berbanding orang Melayu.

Orang Melayu terpaksa menggunakan peruntukan sekitar suku ekar ke setengah ekar tanah tanah sawah mereka yang sekangkang kera untuk mendirikan rumah yang besar. Orang Cina boleh berjiran dengan rumah yang sederhana. Sebahagian rumah Cina berkongsi dinding seperti deretan rumah teres.

Sebagai murobbi, kami menambahkan input dari maklumat yang kami perolehi bahawa pesawah Cina di Sekinchan tidak mengambil benih, baja dan racun dari kerajaan, sebaliknya mereka berkongsi-kongsi untuk mendapatkan bekalan dengan harga lebih murah. Pesawah Cina juga memiliki pelbagai jentera keperluan dan tidak bergantung kepada pihak ketiga untuk menguruskan sawah mereka.

Orang Cina masih lagi kelihatan di sawah sepanas jam 11.30 pagi sementara orang Melayu sudah mula pulang berteduh dan sebahagian besar sawah kelihatan kosong dan berlalang.
Semua faktor itu menjadi satu justifikasi bagaimana produktiviti hasil padi orang Cina boleh sampai 15 tan untuk satu petak berbanding hanya 8-10 tan untuk sepetak sawah Melayu.

Anak-anak mengambil ibrah orang Cina untuk dicontohi tentang kerajinan mereka dan juga penyatuannya. Seterusnya, akan kami kupaskan tentang tabiat pengurusan tanah di kesemua tempat-tempat yang kami lawati. Akan kami kongsikan bagaimana Orang Cina boleh mendapat pendapatan tinggi setiap bulan sementara orang Melayu terpaksa tunggu hanya 2 kali setahun bagi meraih pendapatan tanaman padi mereka.

Artikel dapatan dari anak-anak ini akan kami rumus dan coretkan untuk anda dari masa ke masa agar dapat anda lihat, SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN adalah satu yang unik dan tidak sama dengan rombongan sekolah semata-mata. Ada pemerhatian ALAM yang MEMBUKTIKAN KEBENARAN apa yang telah dikaji melalui KALAM, di samping itu ada pemerhatian yang menjadi bahan pencetus pemikiran, yang memerlukan anak-anak mengkaji secara ilmiah dengan mendalam.

Cetusan anak-anak Prihatin
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN

Album Sekolah Alah ke 4:

https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10152646573067786.1073741840.176792972785&type=1