PEMBALAKAN & PERLADANGAN ‘HARAM’ YANG MEMBUNUH MARHAEN

PEMBALAKAN & PERLADANGAN HARAM YANG MEMBUNUH MARHAEN
(Sila KLIK link TAJUK jika teks tidak keluar semua)

Perjalanan kami ke Dabong dalam misi bantuan Harakah Ramadhan untuk mangsa banjir melalui dua laluan yang berpecah selepas dari Gua Musang. Kenderaan ringan melalui Jelawang dan kenderaan berat seperti bas dan lori pula melalui Sungai Sam.

Sekitar 200 orang dalam rombongan yang berkampung 4 hari di Desa Takwa Kampung Kandek kali ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk tugasan masing-masing. Ada yang ditugaskan ke Dabong, Kemubu, Manik Urai, Pahi, Lata Rek dan sebahagian lagi meninjau beberapa kawasan melalui jalan ke Jeli.

Artikel ini ditulis untuk manyampaikan mesej pilu menyentuh tentang kerosakan mukabumi yang menyebabkan banjir lumpur hujung tahun lalu. Ini kali ke 3 kami berkampung di kawasan yang dilanda banjir dan rumusan ini terpaksa kami kongsikan untuk renungan semua pihak yang terlibat.

Isu kali ini menyentuh tentang pembalakan dan perladangan “HARAM” walaupun ianya telah di”HALAL”kan di atas kertas oleh yang ampunya kuasa. Anak-anak ambil inisiatif menghitung jumlah lori balak ‘muatan penuh’ yang berselisih dengan konvoi kami sepanjang 2 kali perjalanan kurang 1 jam dari Dabong ke Manik Urai.

Kali pertama kami bertembung dengan 74 buah lori dan 19 buah yang parking di satu lokasi di tepi jalan. Keesokannya pula bertembung sebanyak 82 lori dan 34 lagi yang sedang parking. Lihatlah gambar yang dipaparkan betapa kayu berukur-lilit sebesar 2 jengkal pun disapu juga.

Di kiri kanan jalan sepanjang perjalanan dari arah mana sahaja, mata kita disogokkan dengan kerakusan kerja menggondolkan deretan bukit dan banjaran tanpa berkira-kira. Seolah-olah tiada esok lagi. Tidak peliklah mengapa apabila hujan turun sedikit sahajapun, semua tanah-tanah yang terdedah itu dihakis menjadi lumpur dan mengalir ke sungai.

Tanah runtuh juga terlalu banyak terjadi kerana bumi tidak lagi stabil selepas semua balak dan anak pokok diambil. Rerumput atau kekacang tutup bumi tentunya tidak mampu menahan hakisan yang dahsyat ini.

RAKYAT MISKIN KELANTAN MEMBAYAR KEMEWAHAN PIHAK KAPITALIS

Kami sengaja bawa anak-anak meronda kampung di subuh hari untuk melihat sendiri kesusahan hidup penduduk yang menoreh getah.

Sempat juga anak-anak mewawancara pak cik dan mak cik yang sedang menoreh. Tahulah mereka bahawasanya masih ada lagi insan yang berpendapatan serendah RM200 – 500 sebulan di bumi Malaysia ini. Walaupun kononnya kita istiharkan RM4000 sebagai paras kemiskinan negara, pendapatan mereka hanya 10% dari paras itu.

Jika ada yang tidak percaya nanti boleh kami editkan rakaman videonya.

Mangsa banjir dan rakyat miskin yang terkais-kais masih hidup sengsara selepas 6 bulan banjir besar berlalu. Sewaktu banjir dahulu kerajaan ada buat kenyataan bahawa aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah akan ‘dihentikan serta merta’. Mungkin lesen pembalakan dan geran perladangan itu SAH dari segi undang-undang, tetapi ia sangat HARAM dari segi akhlaknya.

Siapakah yang macam HARAM itu? Yang meluluskan kah? Yang menguatkuasakan kah? atau penyangak kapitalis yang membogelkan banjaran itu?

Tidak sanggup lagi untuk ‘bersangka baik’ ketika melihat bukti kukuh bahawa penerokaan hutan secara membabi buta itu adalah penyebab kepada banjir besar di Kelantan tahun lalu. HANYA bahasa putarbelit politik atau golongan munafik sahaja yang mampu menafikannya.

Usahawan DAP telah mengakui menjadi kapitalis yang mengaut hazanah negeri serambi Mekah ini. Walaupun ada logiknya, namun ADUN DAP Perak, Nga Kor Ming menafikan tohmahan yang beliau dikatakan terlibat menerima ribuan hektar tanah pembalakan dan kemudian dijadikan ladang pertanian sebagai tukaran agar jawatan MB Perak diserahkan kepada PAS melalui Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Kasihan rakyat miskin yang terpaksa membayar kerakusan ini dengan penderitaan yang berpanjangan. Padahal mereka tidak tahu apa-apa. Sungguh percaturan politik ini telah menjerat kita. Hazanah negeri terlepas dan disamun ibarat habis madu sepah dibuang. Cita-cita politik telah menjadikan manusia hilang pertimbangan. Selagi boleh semuanya mahu segera di ‘sapu’, takut esok lusa hilang kuasa dan langsung tidak merasa.

Tidak syak lagi bahawa hubungan baik DAP dengan kerajaan Kelantan itu ‘ada makna’ di sebaliknya. Pemimpin kita tertipu dan kesengsaraan rakyat adalah taruhannya. Kami cuma sambungkan puzzle ini supaya ceritanya dilihat lebih logik.

Semasa banjir, semua jambatan konkrit dan besi yang kukuh juga tumbang. Ini kerana sampah dari penerokaan hutan termasuk balak hanyut telah tersangkut dan membentuk dinding yang menahan arus air dengan bersandarkan jambatan. Akibatnya hubungan terputus dan rakyat miskin tidak dapat menoreh. Khidmat keretapi yang amat mereka perlukan terhenti. Mereka kehilangan punca pendapatan dan harta benda.

Satu printscreen dalam album ini memberikan gambaran kiraan oleh ahli forestry. Pendapatan ‘pembalak’ sekitar RM150,000 seekar itu hanya dikenakan cukai RM300 sahaja. Itu tidak termasuk gejala mencuri-curi kayu dan kawasan. Berpuluh ribu RM nilai kayu diangkut oleh setiap lori balak saban hari. Mereka memenuhi dan merosakkan jalan yang juga digunakan oleh rakyat miskin.

Berbaloikah anugerah hutan yang diperkosa untuk balak dan tanah ladang sehingga mengakibatkan banjir lumpur ini bagi Si Miskin? Jika tidak, maka ini bermakna kita telah berdosa kerana menganiaya mereka…!!

ANTARA UJIAN ALLAH DAN KEDURJANAAN MANUSIA

Air banjir itu memang dari Allah, tetapi lumpur itu adalah hasil dari tangan manusia yang merosak ekosistem. Air yang Allah turunkan juga boleh diempang untuk kegunaan manusia, haiwan dan tumbuhan. Namun, air berlumpur yang melimpahi segala sungai memenuhi bandar dan kampung Si Miskin itu ialah bencana ciptaan kita sendiri.

Kami amat terkejut melihat landskap di sepanjang perjalanan dengan kerosakan yang serius ke atas muka buminya. Bukit bersambung bukit dan lembah bersambung lembah semuanya dibogel dan ditarah. Tiada lagi akar pokok yang memasak bumi. Bahkan sampai hari ini begitu banyak penerokaan baru yang tanahnya masih merah lagi.

Keadaan ini sama seperti foto Google yang diambil 2013 dahulu. Bermakna aktiviti ini berterusan dari dahulu sampai kini. (Sila rujuk beberapa gambar Google, 6 Jun 2013)

Melihat kepanasan melampau sekitar jam 4 petang hari itu (mencecah 45 darjah C), Abang Arif (mantan YB) meminta kami berhentikan kerja untuk pergi makan tengahari sambil menyejukkan badan di Gua Ikan. Kami keberatan awalnya kerana ada banyak lagi kerja yang perlu disiapkan walaupun panas, namun akhirnya akur dengan cadangan itu.

Alangkah terkejutnya kami melihat air anak sungai yang sebelum ini keluar dari legeh di dalam Gua Ikan yang mengalir jernih dan DINGIN itu kini hanya ada lumpur mendap dan aliran air keruh sahaja. Tempat yang dahulu dipenuhi pelancong, kini sepi dan dipenuhi lalang. Anak-anak kami menyusur lumpur dalam gua itu hingga ke hujung dan melapurkan bahawa bukit sebelah sana gua itu juga telah ditarah. Itu yang menyebabkan air jadi sekeruh itu. Untuk membasuh tangan pun ‘tidak lalu’.

Demikian juga pedihnya hati melihat aliran sungai besar yang dahulunya dalam, kini bukan sahaja menjadi cetek, malah airnya amat keruh. Air Sungai Kelantan dan Pergau yang dahulu keruhnya hanya di muara, namun kini sudah keruh dari hulu lagi. Sudahlah bekalan air terputus-putus, sumber sungai pula bercampur lumpur dan tidak boleh diguna.

Sungguhpun ada banjaran yang telah gondol sebelum Disember 2014 dahulu telah dilitupi dengan sedikit kekacang tutup bumi, namun itu tidak mampu memegang struktur tanah dengan kuat. Tanah runtuh dan hakisan ‘top soil’ akan terus menerus berlaku apabila hujan turun. Lihatlah sendiri warna sungai-sungai di gambar terkini yang kami paparkan.

Yang sedihnya bukannya kerosakan itu dihentikan, malah bertambah pula jumlah banjaran dan deretan bukit-bukit gondol dari Gua Musang, Jelawang, Dabong, Sungai Sam sehingga ke Lata Rek. Entah ke mana akal dan peri kemanusiaan mereka ini?

PEMBALAKAN DAN PENGURUSAN EKOLOGI HUTAN TERANCANG

Finland dan Sweden ialah 2 negara pengeluar balak putih antara yang terbesar di dunia. Namun sehingga kini kita masih lihat kecantikan negara itu pada aliran sungainya yang kekal jernih. Hutan-hutannya sentiasa ada dan tidak putus. Bezanya hanya samaada hutan itu hutan muda ataupun hutan tua sahaja.

Penggiliran blok penebangan mengikut umur pokok dan penanaman semula adalah jawapan bijak kepada industri itu. Mereka juga hanya menebang balak untuk saiz tertentu sahaja. Export balak mereka tidak putus, namun hutan dan mukabumi mereka tetap terjaga.

Di Kelantan pula lain ceritanya. Balak sebesar 2 jengkal pun kami lihat turut diangkut. Mereka rakus memastikan kawasan itu digondol sebelum ada sesiapa cuba menghalangnya. Orang luar kenyang minum susu, orang kita makan batu.

Sudah sampai masanya semua yang terlibat dengan gejala ini bangkit dari lena. Hentikan kerakusan ini dengan segala kuasa yang ada. Sudahlah hazanah negeri disamun, maruah politik dihina, rakyat pula terbiar menderita.

KESIMPULAN

Sungai yang dalam kini sudah menjadi cetek. Pembukaan tanah baru sudah semakin melebar. Yang telah dirosak tidak pula jadi semakin baik. Kini, hujan sedikit sahajapun air sungai sudah sekeruh itu membawa lumpur yang banyak. Oleh itu, jika separuh sahajapun dari hujan yang diterima tahun lalu menimpa Kelantan, kesannya kali ini mungkin sama dengan tahun lalu.

Hati kami sangat hiba melihat Si Yatim, Ibu Tunggal, Warga Emas yang bertarung nyawa menyiapkan semula tempat tinggal yang telah hilang. Ketika bergotongroyong membina rumah mereka, dalam hati berkata, “akan hilang lagikah rumah ini tahun ini?”.

Sebenarnya banjir sudah menjadi pesta tahunan bagi rakyat Kelantan. Mereka sentiasa menjangkakannya. Tetapi tidak bagi banjir tahun lalu apabila aliran air membawa sekali jutaan tan tanah dan debris-debris bekas penerokaan hutan…

Sesungguhnya kawasan pembalakan itu terlampau besar untuk tidak dilihat oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri, penguatkuasa, mahupun NGO-NGO pejuang pasca banjir untuk meratapi nasib penduduk yang bakal ditimpa bencana yang sama setiap tahun selepas ini. Mustahil juga penerokaan balak dan ladang seluas itu boleh berlaku, juga lori-lori yang khabarnya ada ‘lesen khas’ dan sebtiasa terlebih muatan itu bebas bermaharajalela tanpa ada tangan-tangan ghaib di sebaliknya.

Kesal sekali dengan gelagat pemerintah dan ahli politik MELAYU dari dahulu sampai sekarang yang tidak bijak dengan menjual maruah dan hasil mahsul negeri/negara sendiri. Sama sahaja gelagatnya, baik pihak hijau, merah, biru dan jingga. Selagi ada kuasa dan peluang, semua mahu dilaba tanpa berkira-kira seperti esok sudah tiada.

Semuga ada pihak berkuasa yang membaca dan terbuka minda untuk saling nasihat menasihati. Berhentilah dari “Sindrom Penafian”. Gantikan dengan habit muhasabah, beristighfar, memohon maaf dan membuat ISLAH. Itu sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para Khalifah Ar-Rashidin.

Rakyat sudah terlalu kecewa. Tidak tahu samada mahu marah? mahu terus bersedih dan merintih? atau mahu bagaimana lagi?

Merasa berdosalah dengan penganiayaan terhadap golongan miskin yang tidak tahu apa-apa. Kebanyakan mereka juga sudah mulai sedar akan sebab musabab banjir ini. Kepercayaan mereka pun semakin terhakis, baik terhadap kerajaan pusat mahupun negeri.

Kami bukan main politik. Oleh itu kami tidak berminat untuk memaparkan rakaman keluhan mereka terhadap kelemahan pemimpin kita yang hanya pandai ‘berkata-kata’. Jika anda dengar keluhan mereka, pasti anda malu dan menundukkan muka…

WARGA PRIHATIN.

 

[fb-e url=”https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10153943096337786.1073741938.176792972785&type=3″]