Parenting Tips 20 – BERHALA ANAK

 

00 berhala finalParenting Tips 20 – BERHALA ANAK

Adakah anda sekalian mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan berhala? Mesti anda terfikir bahawa berhala itu patung yang dibina dan diukir oleh tangan masyarakat Arab Jahilliyah lalu disembahnya. Anda semua mesti tahu cara menyembah patung tersebut bukan? Tentulah caranya dengan meng`hala’kan wajah dengan khusyuk menghadap ber’hala’.

BEGITULAH adanya. Banyak perkara yang dicipta, diukir dan diada adakan oleh manusia yang kemudiannya menjadi sembahan manusia lain sekarang ini. Ada yang berbentuk benda, seni, budaya atau cara hidup dan sebagainya.

Berhala juga dipanggil IDOL. Menyembah juga boleh dimaksudkan dengan meminati atau menyukai sesuatu samada individu, harta benda, pangkat, cara hidup dan lain-lain. Ia boleh menjadikan sembahan kita terhadap Allah jadi menurun atau berbelah bagi.

Dalam isu cara hidup, idola yang salah boleh membuat kita terpesong dari peraturan hidup dan undang-undang agama kita. Impak menyembah berhala boleh menyebabkan kelalaian daripada melakukan apa yang disuruh Allah. Akibatnya, kita akan kerap melakukan apa yang dilarang, melampaui batas dan melakukan sesuatu yang tidak fitrah di sisi Allah.

Sebagai anak, kami ingin petik fenomena yang dapat kita lihat di kalangan rakan sebaya kami sekarang. Contohnya, ramai rakan rakan kami yang taksub dengan idola mereka mengenakan pakaian dan cara hidup yang melampau. Ia jelas melanggar aturan Allah, khususnya yang perempuan. Di sekolah mereka pakai tudung kerana peraturan sekolah. Di luar? “MasyaAllah”. Bila ditegur guru atau ibu bapa, mereka mengherdik dengan bermacam cara.

Ramai juga yang sangat taksub dengan telivesyen, permainan video dan gajet-gajet yang canggih. Sebahgian lagi menyukai lagu, artis, pemain bola dan sebagainya dengan berlebih-lebihan. Bilik penuh ditampal gambar idola idola itu. Semua ini menyebabkan banyak kerja mereka tertangguh. Sebagai contoh, mereka mudah melambat atau meninggalkan terus solat fardu, tidak menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, emak dan sebagainya. Ini kerana `HALA’ tuju minda mereka hanya tertumpu kepada perkara tersebut.

Contoh yang paling menyedihkan lagi adalah apabila ada di kalangan rakan yang kami kira sudah berakal sampai sanggup mengherdik, merentap baju dan tudung emak sampai hampir koyak. Bahkan ada yang sanggup menumbuk dan menampar badan emak dengan kuat untuk mendapatkan gajet yang dihajati. Selain dari emak tidak mampu kerana himpitan hidup sebagai ibu tunggal, beliau juga belum layak menggunakan i-fone canggih contohnya kerana banyak gejala boleh mengalir melalui gajet itu.

Tapi kerana BERHALA itu, kita sanggup menolak perintah Allah untuk buat baik pada ibu bapa dan guru. Tabiat bertangguh dan lalai pula adalah salah satu contoh amalan syaitan. Jadi siapakah yang sedang menguasai diri kita? Syaitan ataupun Allah?

Intihanya, perlulah diingatkan kita jangan sampai taksub atau obsess yang terlampau dengan sesuatu perkara selain apa yang diperintahkan Allah. Harta, gajet yang menyeronokkan bahkan apa saja perhiasan dunia ini gunakanlah sekadar keperluan. Jangan sampai melalaikan dan menjauhkan kita dari apa yang Allah perintahkan. Ini adalah kerana semua itu akan kita tinggalkan apabila kita meninggalkan dunia yang fana ini. Harta hendaklah diletakkan di tangan bukan di hati supaya senang untuk kita melepaskannya.

Konklusinya, untuk mengelakkan diri kita daripada menyembah berhala maka letakkanlah Allah di dalam kalbu kita. Sembahyanglah, `Sembah Yang’ SATU, sembah Allah Yang Maha Esa, jangan diperbanyakkan SEMBAHAN. Jika kawan kawan baca terjemahan Quran nanti anda akan jumpa banyak cerita tentang berhala ini. termasuk menyembah individu macam Firaun, menyembah orang alim dan ahli kitab, menyembah anak & harta, dan sebagainya.

Untuk rakan-rakan semua, mari kita teliti ke dalam diri kita, sejauh mana telah ujudnya `berhala’ dalam diri kita. Berapa banyak idola dan minat kita yang telah keterlaluan sampai mengatasi minat dan kepatuhan kita terhadap ibu bapa, terhadap guru, kerja sekolah dan yang paling penting terhadap ALLAH?

Cetusan Zamzam
ANAK PRIHATIN.

P/S:
Penulis adalah Anak Asnaf Berumur 12 tahun. Telah 3x habis baca terjemahan Quran. Mumtaz Sekolah Agama, baru selesai UPSR. Cita-cita nak belajar ilmu Wahyu dan Hadis untuk bantu Prihatin Cegah Gejala Sosial.