Lelaki Melayu berbakti kepada lebih 500 anjing dan 100 kucing liar
Lelaki Melayu berbakti kepada lebih 500 anjing dan 100 kucing liar.
Ini adalah satu kerja mulia yang jarang berlaku walaupun umumnya masyarakat memandang jijik dan hina pada anjing.
Kita pernah dengar kisah pelacur yang masuk syurga kerana berbakti kepada anjing yang kehausan. Oleh itu, tidak mustahil ada tempat di syurga untuk insan ini. Yang nyata jiwanya merasa tenang dengan kerja bakti yang sedang beliau usahakan. Ketenangan itu adalah ekspresi syurga bagi beliau. Ia jauh lebih baik dari setengah kita yang nampak sangat beragama tapi pada luarannya sahaja. Satu lagi inspirasi ke arah insan prihatin.
Kami tersentuh dengan paparan dokumentari ini. Yang ingin kami tekankan di sini ialah bagaimana jiwa prihatin itu boleh dipupuk. Jika anjing dan kucing liar pun sanggup beliau taburkan bakti atas dasar ikhsan, wajarlah kita yang masih ‘kurang’ prihatin berhenti dari menganiaya manusia… berhentilah mendera anak anak, memukul, mencederakan dan membunuh sesama sendiri. Terlalu banyak kes penganiayaan dan kita sudah tidak sanggup lagi melihat ianya terus menerus berlaku hari demi hari.
Tiada apa dari ciptaan Allah yang sia sia di bumi bertuah tempat kita menumpang ini (QS:3/190-191). Di luar sana ramai manusia yang mampu berkawan dengan harimau dan singa, kuda dan ular, beruang dan lain lain… sementara majoriti yang lain amat takut dan geli.
Semua itu hanya berbekalkan jiwa prihatin dan rasa kasih sayang. Dengan perasaan murni itulah yang membuatkan hati kita jadi tenang ketika berhadapan dengan haiwan itu. Getaran ketenangan itu yang membuatkan haiwan ini tidak menganggap kita sebagai musuh lalu tidak mereka mahu mencederakan kita.
Itu juga antara sebab mengapa anak kecil boleh tindih.. boleh picit kucing dan anjing… boleh bermain dengan ular dan sebagainya tanpa digigit oleh haiwan itu. Antaranya adalah kerana anak kecil yang belum mumayyiz tidak tahu bahawa haiwan itu boleh mencederakan. Kerana itu mereka tidak ada getaran takut atau marah untuk memusuhi haiwan yang sedang bermain dengan mereka.
Anjing dan kucing ini adalah haiwan yang rapat dengan manusia. Boleh dilatih untuk menjaga rumah dan ladang, mengawal ternakan, menjejak penjenayah atau orang hilang, menjejak dadah bahkan halal dimakan hasil buruannya.
Semuga paparan ini mampu membuka minda kita barang sedikit agar hidup ini tidak terlalu jumud dan dipandang hina oleh manusia lain.
Wallahuaklam.
WARGA PRIHATIN