Sains Haji 1: Lambaian kaabah – Applied Sains Di Sebalik Ritual Haji Menjawab Fitnah Agama

kaabah

LAMBAIAN KAABAH : PENJELASAN SAINS DI SEBALIK RITUAL HAJI

Bulan Haji sudah tiba lagi. Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia telahpun berlepas Jumaat lepas.  Mengiringi keberangkatan pertama itu TV3 ada memanggil seorang Ustaz, Pensyarah sebuah Universiti tempatan untuk merungkai pelbagai persoalan tentang Haji.

Masyaallah pembaca yang dikasihi, sungguh kami amat terkejut dengan fenomena yang diutarakan oleh ustaz tersebut, khususnya pertikaian oleh intelek Muslim dari kalangan rakan beliau sendiri yang memperlekehkan bukan saja kesemua rukun haji yang dianggap mereka mengarut, tiada penjelasan yang jelas dan membuang masa, bahkan mereka mempertikaikan ritual solat juga. Sila lihat sendiri klip video yang kami pautkan di bawah nanti dan nilai sendiri.

Kelmarin kami paparkan video yang menunjukkan 2 juta Muslim Murtad setiap tahun di Indonesia. Ada pula link video yang menunjukkan begitu ramai WAKIL rakyat kita yang berusaha gigih membuka pintu negara ini untuk dimasukki ISRAEL. Kes-kes penggunaan NAMA ALLAH oleh agama lain dan kes-kes harian seperti gejala sosial, maksiat, buang bayi, dadah, pembunuhan rompak merompak yang terlapur dan yang dirujuk kepada kami semuanya sangat ‘alarming’. Itu belum campur lagi kes rasuah, perebutan kuasa dan perpecahan umat yang tidak kita tahu akan berlarutan sampai bila.

Fenomena mempertikai amalan ritual ini sangat bersamaan dengan kes-kes yang dirujuk ibu-bapa kepada kami. Selain dari kes-kes murtad dari apa yang kita baca di akhbar dan blog, banyak sekali kes yang tidak dilapur, yang hanya kita tahu setelah menjadi parah. Ramai sekali anak-anak yang susah payah kita hantar belajar tinggi-tinggi dan kembali kepada kita dengan angkuh untuk menggunakan ‘kepandaian’ mereka mempertikaikan ritual agama mereka sendiri. Lebih membimbangkan kami, terlalu banyak kalangan pelajar sekolah menengah sudah sewenang-wenang mengatakan mereka sudah tidak nampak rasional agama ini.

Jika SYAHADAH terkait dengan penyaksian, SOLAT terkait dengan perhubungan (silah/solawat), PUASA terkait dengan keadaan Ramadh (panas/kacau bilau), penyebab kepada turunnya al-quran (nuzul quran), mendesak umat untuk menahan diri dan perbelanjaan, untuk mengeluarkan ZAKAT yang FITRAH untuk mengembalikan keadaan panas tadi kembali aman dengan perlaksanaan aturan al-quran, maka HAJI pula terkait dengan `hujjah’ yang kukuh untuk mengembalikan iman (kepercayaan) yang semakin longgar dan mengajak umat dunia kepada Islam dengan ILMU.

Ada sebahagian dari kita yang telahpun mengerjakan haji sehingga berbelas kali tetapi apabila mereka kembali ke tanahair, mereka kembali kepada asalnya. Maka, apakah Haji itu satu ritual yang kurang penting sehingga ia dijadikan RUKUN, satu fundamental dalam Islam?

Sains seharusnya kita gunakan untuk membuktikan kebenaran yang mampu meyakinkan manusia kepada agama Allah ini, bukan diguna untuk menunjuk pandai dan mengejek-ngejek agama sendiri, melebihi orang bukan Islam. Melihat fenomena yang sangat mengancam kedaulatan agama ini, maka kami membuat keputusan untuk cuba berkongsi beberapa Applied Science bagi menjelaskan rasional kepada persoalan yang membuatkan anak kita perlahan-lahan meninggalkan agama tanpa kita sedar ini.

Fenomena ini jugalah yang membuat kami sekumpulan saintis dan generasi pendidik ini sanggup berhabis-habisan mencari jalan untuk membendungnya. Kami ingin buktikan bahawa dengan hidayah dari MUKJIZAT al-quran dan meniti sunnah, Islam itu mampu difahami secara saintifik dan boleh dijelaskan secara rasional, bukan emosional dan magik-magik semata-mata. InsyaAllah anak-anak kita nanti dapat diselamatkan akidahnya.

Dengan itu, Pelbagai persoalan akan InsyaAllah kami huraikan dalam siri artikel Sains Haji yang akan kami mulakan dalam sehari dua ini sempena musim haji. Antaranya persoalan seperti berikut,

  • Apa itu kaabah dan sejarahnya?
  • Mengapa kaabah hanya ada 3 tiang di dalamnya?
  • Mengapa perlu ihram?
  • Apa itu tawaf?
  • Mengapa perlu pusing 7 kali? – ini yang disentuh dalam klip video itu.
  • Mengapa kita bertawaf mengelilingi kaabah ikut arah lawan jam?
  • mengapa perlu istilam?
  • Apa signifikan batu Hajaraswad yang dahulu putih kini sudah jadi hitam?
  • Apa itu Hijir Ismail? Pancur Emas?
  • Apa itu makom Ibrahim?
  • Mengapa perlu kita Saie?
  • Mengapa 7 perjalanan dalam saie?
  • Mengapa perlu berlari-lari anak?
  • Apa itu bukit Safa dan Marwa?
  • Mengapa perlu tahlul?
  • Mengapa potong 3 helai rambut?
  • Atau mengapa perlu cukur terus?
  • Apa itu DAM?
  • Apa itu kurban?
  • Apa itu ARAFAH?
  • Mengapa perlu kita wukuf di Arafah?
  • Mengapa perlu bermalam di Mina?
  • Mengapa perlu kutip batu di Mudzallifah?
  • Mengapa perlu melontar jumrah?
  • Mengapa ada 3 jumrah?
  • Mengapa balik haji pakai kupiah? Pakai serban?
  • dan banyak lagi ritual-ritual haji yang mungkin sebelum ini hanya dilihat sebagai ritual sahaja.

Selama ini kita tidak berusaha keras untuk memahami unsur ilmu dan tarbiah di sebalik segala amalan ritual yang telah ditetapkan untuk memelihara agama ini. al-quran yang menjadi silibus kefahaman agama ini juga kurang sekali yang memahami maksudnya sampai katam. Bacaan dalam solat juga ramai di antara anak-anak kita tidak tahu maknanya. Itu belum masuk himpuan Hadis untuk memahami sunnah, selaku pedoman melaksana agama yang tidak kita teliti, kecuali segelintir yang mempelajarinya untuk sekeping PhD. Semuanya kita wakilkan kepada alim ulamak, para ustaz dan tok imam saja sedangkan kita tahu di kubur nanti kita sendiri yang akan menjawab segala-galanya.

Haji juga tidak terlepas dari banyak ilmu dan tarbiah dari ritualnya. Ia pelengkap dan kemuncak perjalanan Islam kita menelusuri setiap rukun-rukun Islam yang lain. Hajinya kita harus pulang membawa hujah yang cukup, hingga mampu berperanan sebagai pemimpin (IMAM) untuk membantu memperkukuhkan akidah dan mensejahterakan carahidup keluarga dan masyarakat berbekalkan ilmu yang kita perolehi dari ibadah Haji ini.

Ikuti siri artikel ini dan anda akan lihat dengan jelas mengapa Haji itu jadi rukun Islam yang ke-5. Pastinya ada pelajarannya yang boleh dihuraikan jika kita membacanya dengan ilmu dibenarkan dengan akal yang bakal membina IMAN yang kukuh dan amal yang menghasilkan islah (pembaikan). InsyaAllah, kami juga akan cuba membawakan lintas langsung dari Kota Makkah & Madinah oleh salah seorang dari rakan co-founder  RPWP yang bakal mengerjakan haji tahun ini.

Sedarlah semua, lemahnya Islam pada hari ini kerana kemalasan kita untuk berfikir tentang ritual-ritual penting dalam Islam. Kami ini bukan golongan terbaik yang wajar menetapkan itu dan ini. Yang ada pada kami ialah sedikit “seni melihat” (iqra’) yang Alhamdulillah berkesinambungan dengan dapatan idea bagaimana segala ancaman terhadap agama dan masyarakat ini boleh diredakan. Kami sangat mengalu-alukan cerdik pandai, para ustaz dan alim ulamak untuk tampil memperbaiki apa yang belum cukup baik ini, bersama-sama kita mencari jalan demi agama Allah dan kesejahteraan anak cucu kita.

Teruskan follow facebook kami dan SHARE lah dengan PERCUMA  supaya lebih ramai yang akan mendapat manafaat dari “hidangan-hidangan” yang kami sediakan.

WARGA PRIHATIN