KONTROVERSI KALIMAH ALLAH
INI ADALAH CETUSAN PERKONGSIAN BERSAMA. Sebelum kami menunaikan hajat mereka yang meminta ulasan kami mengenai isu ini, mohon kosongkan dahulu minda dari sebarang pencemaran fahaman terhadap ulasan ini dari sentimen politik dan kebangsaan (assobiyah). Pesan junjungan nabi s.a.w. Asobiyah itu tidak Islam kerana Islam adalah agama untuk seluruh umat manusia, bukan untuk sesuatu kaum sahaja.
Ulasan ini tercetus secara langsung dari pendirian kami, dari amalan kami, bukan cedokan dari mana-mana badan politik, maupun ulamak yang saling bercanggah pendapat sampai kini. Jika sama dari mana-mana punca mungkin itulah hidayah kebenaran dari Allah, hadiah untuk kita secara tidak sengaja.
APA ITU KALIMAH ALLAH?
Jika isu panas bertajuk kalimah, maka penting kita fahami kalimah ALLAH ini. Dalam bahasa mudah ALLAH datang dari kata pokok ‘ILAH’ (sembahan). Apabila ditambah dengan prakata ‘AL-‘ ia menjadi satu yang khusus. Lalu gandingan prakata itu menjadi kalimah ALLAH (AL-ILAH), satu-satunya sembahan, atau satu sembahan yang khusus. Contoh lain, Kitab ada banyak, al-Kitab itu khusus dari Allah. Alim ada ramai, Al-Alim itu khusus sifat Allah.
Kalimah Allah adalah kalimah agung yang menjadi asas syahadah. Kalimah inilah yang Allah minta kita saksikan makrifahnya sampai kita sanggup bersumpah setia dengan syahadah kita. Rujuk sains Fatihah dan Parenting Tips 14 tentang AL-ILAH.
Tiada maknanya mulut menyebut Allah ribuan kali sehari, jika kelaku kita tidak menampakkan Allah sebagai Al-Makbud (tempat kita mengabdi) sama sekali. Sepanjang hari kita mengabdi diri selain dari Allah secara hakiki. Perintah Allah kita perlekeh sesuka hati.
BAGAIMANA MENJAGA KALIMAH ALLAH?
Apapun isunya, kalimah ALLAH per-se’ ini tidak akan memberi apa-apa makna jika kita tidak menanamkan ia ke dada kita sehingga ia tumbuh kukuh dan menghasilkan buah fikiran yang muai dalam diri kita. Allah nukilkan tentang kalimah ini dalam surah 14 Ibrahim, ayat 24,25 (sila baca juga surah 29 al-Ankabut,49)
24. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan KALIMAH yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,
25. pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.
Allah itu satu-satunya sembahan. Harus diketahui bagaimana cara menyembah dan mengabdi Allah (Ubudiah yang menyembah Al-Makbud).
Ungkapan ‘Awaludin makrifatullah’ – awal dien itu mengenal (arif) tentang Allah. Apa sebenarnya yang harus kita kenal selain dari sifat-sifat Allah dari 99 namanya? yang selama ini hanya kita hafal sahaja?
Pada pandangan kami, untuk menjaga dan memelihara kalimah ALLAH (AL-ILAH – satu-satunya sembahan) ini, kita harus sentiasa menyembahnya.
Untuk menyembah ALLAH (Al-makbud) pula, kita harus menjadi ABDINYA (Ubudaiah) yang patuh kepada ARAHAN (Rububiah)Nya. Oleh itu wajiblah kita kenali betul-betul SEGALA PERATURANNYA terlebih dahulu. Peraturan hidup itulah yang dipanggil Dien (cara hidup). Itulah keseluruhan kesimpulan MAKRIFATULLAH (arif tentang Allah).
Jika disiplin atau cara hidup itu sudah kita amalkan hari-hari, ia akan menjadi pendinding hati yang selalu mengingatkan kita tentang sembahan terhadap ALLAH itu. Mana ada ruang anasir lain nak menyelit dalam hati kita lagi.?
SEJARAH PENCARIAN ALLAH
Dahulu kalimah ini telah tertanam kukuh oleh Ibrahim a.s. Bersusah payah baginda mencari hakikat ketuhanan satu-satunya ini (ALLAH) sehingga hidayah Uluhiyah itu mampu memenggal berhala. Itulah Suhuf Ibrahim, asas agama kita.
Legasi Uluhiyah itu diperkukuhkan semula oleh keturunan Ibrahim daripada Musa, Isa dan Muhammad s.a.w. secara jatuh dan bangun semula. Sepertimana biasalah, bila tidak dijaga, apa yang sudah ditanam dan tumbuh subur pun akan mati dan reput semula. Itulah pusingan siang dan malam dalam legasi agama. Sezaman ia terang benderang, akhir zaman ia gelap semula dan begitulah seterusnya. Mari lihat ayat seterusnya surah Ibrahim ini,
26. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap sedikitpun.
27. Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.
Kita berada dalam musim haji, musim hujjah bukan? Mari lihat kembali bagaimana Allah perintahkan kita ulangkaji hujjah ketuhanan oleh Ibrahim dan seluruh keluarganya. Itulah sasaran solat kita, KAMA SOLLAITA ALA IBROHIIM. Legasi keluarga baginda menjadi ikutan langkah umrah dan haji kita. Aturan dalam RUMAH atau POLISI RUMAHTANGGA baginda telah menjadi kiblat kita. PENGORBANAN keluarga mereka juga jadi ikutan ibadah KORBAN kita.
Sila ulangkaji siri artikel sains haji kami keseluruhannya (1-10).
PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH GOLONGAN KRISTIAN?
Dalam konflik Fir’aun dengan Musa a.s. dahulu, Kalimah ALLAH telah ada dan dijelaskan oleh nabi Allah Ibrahim kepada manusia. Firaun ketika itu juga menyebut Allah. Doa Abu Jahal yang memusuhi Nabi s.a.w. juga menyebut Allah. Mengapa? Kerana mereka itu juga bertuhankan Allah, Cuma mereka ada sembahan lain selain Allah. Sila rujuk Artikel Jihad Besar Dengan Al-Quran.
Mereka yang menentang agama Allah ini asalnya telah beragama dengan agama ini, telah mengenal dan menyebut ALLAH, tetapi tanpa ilmu makrifahNya. Mereka jahil namun tidak mahu menerima wahyu dan ingin meneruskan kejahilan mereka. Samalah dengan kebanyakkan kita yang bersyahadah dengan syahadah kosong, menzikirkan kalimah ALLAH dengan zikir yang kosong. Zikir kalimah Allah kita kini sekadar sebutan sahaja. Tanpa usaha Tafakur, Tadabur dan Tabayyun yang sebenar-benarnya.
Soalnya sekarang ialah isu ini telah dijadikan bahan politik. Semua jadi bercelaru kerana ia bukan lagi menjadi perjuangan akademik keagamaan, bukan lagi berteraskan ketuhanan pun. Kerana puak yang kononnya sangat memperjuangkan kalimah itu sedang memijak-mijak tuan punya NAMA melalui tindak tanduk harian mereka. Jauh sangat sekali dari membesarkan Allah dalam polisi hidup diri sendiri, keluarga dan kepimpinan mereka.
Yang sedang menyokong penggunaan kalimah itu juga bukan atas nama dan maksud Lillah Billah. Ada udang sebalik batu. Mereka ini tidak perduli apa akan berlaku. Yang penting mereka dapat sokongan politik. Soal akidah dan kehancuran anak cucu belakang cerita. Yang penting mereka dapat tahta dan kuasa.
AL-LATTA, AL-MANNA, AL-UZZA (Tahta, wanita, harta) inilah BERHALA yang sedang mereka diperjuangkan melalui NAMA ALLAH. Alangkah hinanya perjuangan mereka. Segala amal baik akan tertolak jika tidak berdasarkan BISMILLAH, dengan/atas NAMA ALLAH. Apa saja pandangan baik kalian atas isu ini, lihat niatnya dahulu. Atas nama ALLAH kah pendapat atau perjuangan itu, atau atas nama KUASA, PARTI, DIRI, BANGSA atau apa saja.?
Lihatlah polisi BASMALAH ini >>> Sedangkan kita yang kononnya beriman sahaja pun ALLAH LARANG menyampai tanpa ilmu, sebelum kita sendiri telah jelas mengamalkan apa yang kita sampaikan. Inikan pula membiarkan mereka yang jelas tidak beriman, mempermain-mainkan bacaan firman depan mereka di pentas umum, hanya atas paksi politik yang sama.
Alangkah jijiknya pendirian dan kesaksian itu. KITA RELA MELIHAT MARTABAT FIRMAN DIPERMAINKAN DEPAN MATA. Berilah alasan apa sahaja, Allah tahu kita sedang berdusta, melainkan atas desakan politik semata-mata. Tunggu sajalah bencana yang sedang tersedia. Orang seperti ini ALLAH kata sama sahaja mereka dengan rakan mereka itu. Sila baca sendiri surah 4 An-Nisa’ ayat 137-140. Inilah MUNAFIK BERSERBAN.
Sebelum ia menjadi berkajang panjangnya, ada baiknya kami hentikan di sini dengan kesimpulan sahaja, bahawa kalimah ini hanya mampu dipertahankan secara alami dengan,
1. Kefahaman Makrifatullah yang hidup, ibarat pokok yang kuat akarnya mencengkam tanah (hati).
2. Menerapkan disiplin dalam amalan kehidupan Islam sebenar (bukan sekadar iklan penerapan nilai-nilai Islam dan ucapan politik yang entah apa-apa biji butir dan perlaksanaannya).
Apa yang sedang diperjuangkan sekarang hanyalah satu damage kontrol atau rawatan simptomatik sahaja. Rawat sini timbul di sana. Tampal sini bisul di sana, kerana sistem imuniti akidah kita sudah tiada. Darah akidah kita sudah dipenuhi kuman noda.
Tentu tidak masuk akal juga jika mereka yang dahulunya tidak menggunakan NAMA ALLAH tiba-tiba meminta penggunaannya sekarang. Jika anda pergi ke mana–mana negara lain mereka boleh guna nama Lord, God tanpa masalah. Mengapa tidak guna Nama Allah di negara lain? Itu hanya cara mereka menghimpit akidah generasi kita yang mereka tahu ada sengat di sebalik nama ALLAH, itu sahaja.
Hari ini orang pijak alQuran kita berdemonstrasi. Tinggalkan kerja, tinggal anak isteri. Anak Melayu masuk kristian, nak tukar IC kita naik mahkamah dan berdemonstrasi. Orang lukis karikatur nabi kita mengamuk. Orang nak guna Nama Allah pun begitu juga. Mereka tambah suka dan gembira melihat berbilion dana kita lebur kerana tinggalkan kerja dan berbelanja buat poster dan berdemonstrasi. Sehari dua mereka mulakan lagi. MACAM BUDAK-BUDAK kita dibuatnya.
Agama itu bicara hati, kefahaman yang menjadi pegangan hati dan keyakinan untuk melaksanakannya. Nak menjunjung Nabi s.a.w adalah dengan memelihara sunnahnya dalam kehidupan kita. Agama bukan duduk di MAHKAMAH. Mengekalkan status Islam dalam IC hanya bersifat luaran. Itu satu hakikat kefasikan dalam akidah. Itulah yang menjadi bahan perjuangan kita tidak sudah-sudah.
Kita semua juga lupa kalimah Allah itu sebahagian dari isi alquran. Allah jelaskan alquran itu bukan dalam bentuk tulisan. Ia berbentuk kefahaman dan terjaga di dalam dada. Jika tasdiq hati kita alquran minded, lafaz bibir dan kerjabuat kita juga akan terpuji, menjadi alquran yang hidup dan terpelihara. Itulah sebahagian dari hakikat Muhammad.
Bagi kami, lebih baik kita bertarung dengan fakta. Anak-anak kami semua kami galakkan baca al-Kitab (bible Melayu). Allah sendiri jelaskan yang isi kandung kitab mereka tidak sampai pun 1/10 dari kitab kita yang amat sempurna. Bawalah Hollywater, bacakanlah dakyah sebanyak mana, kami yakin insyaAllah anak kami akan KEKAL BERIMAN. Silap-silap mereka yang akan ikut kita, kerana mereka juga ingin mencari syurga.
AMATLAH RUGI mereka yang masuk kristian setelah mengetahui ISLAM yang sebenar, kerana semua isi kitab itu ada dalam alquran. Banyak kandungan alquran tiada dalam kitab mereka. Mengapa ? kerana alquran adalah LATEST VERSION kepada kitab agama langit. Tidak mungkin anda kembali kepada WINDOW 95 yang hanya 8% keupayaan berbanding WINDOW VISTA. Masalah kita ialah, ada Window Vista, tapi tak pernah guna. Komputer berselimut takut kena habuk. Alquran ada tapi duduk dalam gerobok.
Kami serah pada anda untuk menilai yang mana satu kaca dan permata, mana lebih baik pokok yang hidup berbuah lebat? atau pokok plastik yang sama rupa tapi tidak ada buah atau hasil panennya.?
Cetusan bersama dari,
TUNAS PRIHATIN