KISAH BENAR – PENGANIAYAAN ANAK KESAN PENCERAIAN & POLIGAMI

penceraian.jpeg bKISAH BENAR – PENGANIAYAAN ANAK KESAN PENCERAIAN & POLIGAMI

Seorang anak kecil berumur 7 tahun selalu menyapa dan menemani seorang bapa, sukarelawan RPWP sewaktu melakukan kerja di padang sekolah agama yang kami sewa. Di situ kami letakkan kenderaan lama untuk kami baiki dan kami jual untuk tabung pembangunan dan sara hidup RPWP. Ada kalanya anak ini bertandang di RPWP untuk bermain dengan anak-anak jagaan kami. Namun ada cerita tentang dia yang kami tidak tahu rupanya.

Petang rabu kelmarin, beliau terpaksa kami tinggalkan untuk makan siang. Petangnya beliau datang semula. Kami tanyakan dia sudah makan ke belum? Sudah pak cik jawabnya selamba. Saja-saja kami tanyakan lagi… Makan lauk apa? Lauk garam pakcik jawab beliau spontan. Tersentap kami terdiam hiba seketika. Malamnya kami masukkan berita pilu keluarga anak ini dalam syuro harian kami.

Syuro menetapkan agar wakil kami wajib segera ziarah keluarga anak ini pagi esoknya kerana pasti mereka semua sedang dalam kesusahan. Hari ini segalanya terjawab. Anak ini di bawah jagaan ibu tunggal. Diberitakan suaminya berpoligami. Kini bapa anak ini berada di penjara atas kesalahan dadah. Anak ini bersama ibunya terbiar mengurus diri. Ibunya bekerja sambilan atas ihsan sekolah agama tempat kami menyewa. Berita tentang ibu ini kami dapatkan pengesahannya dari gurubesar sekolah tersebut. Beliau diizinkan mengutip sampah dan tin minuman untuk dijual buat sara hidup keluarga. Hasil kerja beliau tidak dibayar secara tetap, atas dasar ihsan sahaja mengikut jumlah kerja.

Selepas itu kami ziarah ke rumah mereka. MasyaAllah, rumah mereka sudah lama tiada bekalan letrik. Meter sudah pun dicabut. Rumah yang disewa dengan kadar RM300 sebulan itu sudah sangat uzur. Pintu utama kesemuanya sudah reput tidak bermangga di depan dan belakang. Tingkap juga semuanya pecah dan bersulam plastik mengelak tempias hujan. Kami cuba ambil gambar dalam rumah tetapi terlalu gelap. Bila malam, anak kecil ini harus menarik seutas wayar untuk mendapatkan bekalan letrik dari rumah sewa bersebelahan untuk mendapatkan sedikit cahaya. Tiada sebarang peralatan letrik di rumah yang gelap itu.

Makanan seharian kadang ada kadang tiada. Maka benarlah apa yang diceritakan oleh anak kecil itu bahawa beliau hanya ada beras dan garam sahaja. Kami bertanya kepada ibunya bagaimana ini boleh berlaku. Beliau berkata ini semua adalah angkara dadah. Bahkan beliau sendiri pernah terlibat dengan dadah sewaktu suaminya ada. Sekarang ini pun rakan-rakan suaminya yang memecah semua pintu itu. Beras yang sedikit di dalam rumah itu pun sering di curi oleh rakan suaminya untuk mendapatkan dadah.

Kami terus maklumkan kepada ketua kampung bagi mendapatkan izin untuk rescue keluarga ini. Langkah pertama ialah menawarkan ibu ini dan semua anak-anaknya tinggalkan rumah itu dan simpan saja wang sewa untuk kebajikan anak-anaknya. Sebelum itu boleh mereka lakukan, kami tawarkan mereka agar datanglah ke rumah kami bila bila masa untuk makan dan minum. Ambillah apa saja pakaian atau bekalan makanan yang kami ada jika diperlukan.

SERUAN KAMI

Jauhilah dadah. Ketahuilah bahawa banyak sekali kisah kesengsaraan hidup insan di bumi Malaysia yang kita katakan mewah ini. Terlalu banyak gejala sosial yang sudah tidak mampu kami kutip dalam dunia yang dipenuhi dengan sumber ilmu dan alim ulamak masa ini. Tidaklah kami kelihatan begitu beriya-iya sangat untuk kongsikan semua ini melainkan setelah kami lihat sendiri buktinya. Tidaklah kami beriya-iya sangat untuk berusaha mencari jalan penyelesaian daripada segala macam masalah kehidupan ini jika kami tidak merasa serik dan hiba setelah melihat serta mengalaminya. Atas dasar kasih lalu kami kongsikan untuk renungan kita bersama.

Mohon sekali lagi perhatikan tips munakahat dan parenting yang kami kongsikan. Mohon sekali lagi bacalah terjemahan quran berulang kali. Dekatkanlah diri dengan Allah. Rendahkanlah diri kita untuk mengikuti petunjuk dan perintah Allah. Pupuklah, binalah jiwa prihatin dalam diri dan keluarga. Untuk para suami, cantaslah segera berhala yang menjauhkan diri kita dari Allah. Kajilah, laksanakanlah tanggungjawab kita terhadap keluarga sepenuh-penuhnya.

Untuk para isteri, berilah galakan kepada suami anda untuk menuntut ilmu parenting, ilmu ketuhanan, agar anda ada tempat untuk merujuk dan mengadu kasih. Taatilah perintah suami agar tidak berlaku pergolakan keluarga yang mengundang perceraian. Untuk para ibu, jadikanlah anak-anak sebagai amanah Allah. Memelihara dan mendidik mereka dengan sempurna adalah perintah Allah terhadap mereka. Fikirkanlah tentang masa depan mereka. Persiapkanlah mereka agar tidak lemah dalam meredah pancaroba dunia dan mempersiapkan diri untuk akhirat. Itulah penjamin syurga kita.

Marilah sama-sama kita buang jauh-jauh ego kita. Jauhilah perpecahan keluarga . Kasihanlah pada anak-anak yang tidak berdosa. Bertanyalah pada para guru sekolah tentang masalah semasa anak-anak, ambil tahulah keadaan sekeliling dan belajarlah membuat persiapan dan pembaikan. Terlalu banyak kes penganiayaan terhadap anak-anak akibat perceraian dan poligami ini. Baca semula kes study yang kami paparkan dalam artikel poligami yang tidak adil, bagaimana 11 anak yang terbiar tidak bersekolah. Bagaimana bapa tunggul yang bersenang-lenang dengan isteri muda, sedangkan isteri tua dan 11 anaknya berhimpitan di Rumah Rakyat PKNS, berkais mencari sesuap nasi.

Kami minta seminit masa anda, untuk melembutkan hati di pagi jumaat ini mendengar lagu ini, luahan anak yang trauma hatinya akibat penceraian ibu bapanya. InsyaAllah anda tidak rugi mendengar lagu ini. Admin terisak-isak menangis insaf setiap kali mendengar lagu ini kerana kami sentiasa berhadapan dengan masalah ini. Dengarlah sepenuh hati. Semuga anda dapat melembutkan hati yang mungkin boleh menyelamatkan perceraian atau pengabaian terhadap anak. Jika anda tidak menitiskan air mata, atau sekurang-kurangnya sebak di dada, kami yakin ada kecacatan besar dalam hati anda, atau anda mungkin bukan manusia biasa…!

Sengaja kami biarkan ia tanpa gambar dalam video. Kami mahu anda tenung saja skrin hitam dan tajuk lagu itu dan tanamkan tekad agar musibah keluarga itu tidak berlaku dalam keluarga anda.

http://prihatin.net.my/web2/2013/11/01/sayangilah-daku-ayah-ibu-by-andrian/

Jika ibu ini dan suaminya ada jemaah yang prihatin, InsyaAllah kesengsaraan ini tidak akan berlaku. Jemaah yang berbasmallah pasti mampu menanggung saraan ibu tungal dan anak yatim di kalangan jemaahnya. Setidak-tidaknya jemaah akan menggunakan kekuatan suara, mata dan telinga untuk mengajukan sesuatu kepada Baitulmal untuk membantu. Inilah antara sebabnya nabi SAW bersabda, ‘Tidak Islam tanpa Jemaah’. Ayuh bentuklah jemaah setempat sekarang juga. Sama-sama kita bina keluarga kita, kita jaga kebajikan jemaah kita. Sila kongsikan kisah ini pada keluarga dan anak-anak kita.Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Update: Sila ikuti klip video dan berita terbaru semasa program rescue keluarga ini di link berikut,

http://prihatin.net.my/web2/2013/11/02/rescue-project-kes-anak-makan-nasi-berlauk-garam/

Pesan pesan pagi Jumaat,
WARGA PRIHATIN