JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA INSAN PRIHATIN
JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA INSAN PRIHATIN
Suasana pilu dan hiba menyelubungi RPWP malam ini apabila En.Din tiba-tiba muncul. Alhamdulillah beliau yang baru selesai menerima urutan ke2 hari ini telah mampu berdiri dan berjalan perlahan-lahan.
Setinggi kesyukuran kehaderat Allah AWJ. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada saudara Prihatin kita, Ibu Siti Baya dan suaminya Abang Fuad. Beliau yang menghubungi admin beberapa minit selepas berita kesakitan En.Din kami paparkan di FB telah meminta alamat dan nombor kontak En.Din. Sebelum tengahari beliau hadir bersama seorang tukang urut ke rumah En.Din di Senawang.
MasyaAllah, rupanya malam itu En.Din telah mengalami kesakitan maksima tahap tiga. Daripada rasa kebas, berubah menjadi sejuk dan malam itu seluruh kaki beliau bertukar rasa menjadi sangat panas berapi pula. Itu tanda yang beliau berada pada tahap paling kritikal menurut kata tukang urut yang mendapat ilmu mengurut di Indonesia itu. Tanpa pertolongan segera beliau mungkin berhadapan dengan Parkinson atau lumpuh katanya.
Selepas menjalani urutan ke2 petang tadi, beliau mengambil peluang datang ke Prihatin untuk melepas rindu kepada anak-anak dan keluarga besar semuanya. Hanya beberapa hari tidak dapat datang sudah tidak dapat membendung kerinduan katanya.
Beliau yang berkerusi roda sempat menjenguk bapa-bapa yang sedang berdipan-dipan berkongsi hasil kerja seharian sebelum bersurai. Suasana segera menjadi sangat memilukan apabila En.Din dengan deraian air matanya menceritakan kronologi kesakitan dirinya sehingga berita tentangnya dikeluarkan di FB. Kesakitan luar biasa itu ditambah dengan keadaan isteri beliau Cikgu Zuriaty yang juga sakit Asma dan Darah Tinggi. Melihat keadaan suaminya, kak Ti menjadi tertekan dan terpaksa mencari rawatan sendiri.
Apa yang lebih membuatkan beliau sangat terharu ialah doa-doa yang tidak putus-putus dari rakan Facebook yang kebanyakkannya belum pun pernah dikenali selama ini. Terlalu hebat dan amat menyentuh hati rupanya kasih sayang dari persaudaraan ini. Selama ini kita hanya mendoakan keselamatan orang lain yang sedang kesusahan, tanpa merasai perasaan mereka yang kita doakan. Hari ini baru dapat merasakan sendiri bagaimana perasaan kita apabila mendapat limpahan doa tulus dari orang lain.
Menurut beliau, doa yang diterima telah dirasakan seperti satu suntikan energi dan semangat yang luarbiasa kedalam dirinya untuk melawan sakit. Kehadiran rakan taulan dan panggilan dari saudara mara jauh dan dekat turut mengharukan dan menyuntik semangat katanya. Beliau juga turut menyatakan rasa terhutang budi kepada semua staf stesen Petronas beliau (termasuk yang sudah berhenti) khasnya kepada Syed Khairul Amri yang telah mengambil alih pengurusan stesen sepenuhnya ketika beliau sakit.
Sebagaimana biasa anak-anak tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan berpelukan. Lebih memilukan kami apabila melihat sikecil seperti anakanda Seri yang belum mengerti bagaimana sakitnya slipdisk itu terus saja melompat naik ke riba seperti biasa. Dengan senyuman yang berkerut menahan sakit, Baba Din gagahkan juga mendukung anak yang dirinduinya itu.
Demikianlah kasih seorang mujahid terhadap anak-anak angkat yang ditaja jiwa dan raganya itu. Semuga apa yang sedang kita saksikan ini boleh menjadi suatu yang amat menarik untuk kita tunjukkan kepada anak-anak kita tentang ERTI KEPRIHATINAN & PERSAUDARAAN sesama insan.
Syukur kepadaMu ya Allah kerana telah memberikan kami saudara yang begitu ramai dan amat Prihatin sekali jiwanya terhadap kami. Ia amat membahagiakan kami. Ambillah apa saja dari kami, tetapi jangan dihilangkan murni persaudaraan berteraskan agamamu yang amat bererti ini.
Alhamdulillahi Robbil Alamiin.
WARGA PRIHATIN