JEMPUTAN BERAMAH MESRA DAN REWANG – MAJLIS RUMAH TERBUKA DAN MERAIKAN PERKAHWINAN 2 PASANG ANAK-ANAK RPWP
JEMPUTAN BERAMAH MESRA DAN REWANG – MAJLIS RUMAH TERBUKA DAN MERAIKAN PERKAHWINAN 2 PASANG ANAK-ANAK RPWP
Ingat lagi tak zaman muda-muda atau kanak-kanak kita dahulu apabila kita datang ke majlis kenduri perkahwinan sahaja, nampak meriah dan sibuk benar penanggah-penanggah datang membawa “nasi tangkup” iaitu 2 pinggan yang bertangkup dan ditengahnya ada nasi.?
Mereka ini adalah team penanggah yang lengkap dengan tuala good morning dileher dan agak sibuk sekali melayani tetamu. Di hujung setiap meja ada seorang penyelaras penanggah pula yang kerjanya melihat jika ada tetamu baru sampai tetapi makanan tak terhidang. Tetamu sangat dihargai, dilayan macam raja, tidak perlu bangun pun. Jika lauk kurang akan beri signal pada dapur rewang untuk tambah masakan. Kalau zaman ini mungkin kesemua mereka ada walkie talkie.
Sehari sebelum majlis akan sibuklah ahli rewang ini. Di bahagian dalam rumah, ibu-ibu dan anak-anak gadis sibuk membuat persiapan kemasan, menyediakan bunga telur dan macam-macam lagi. Di belakang rumah ada sekumpulan ahli rewang yang memotong bawang, melapah daging dan masak memasak. Kanak-kanak ikut memeriahkan suasana sambil bermain sesama sendiri seperti adik beradik.
Hari ini semua itu sudah hanya jadi sejarah. KAMI MAHU KEMBALIKANNYA SEMULA budaya rewang ini dan akan menjadi satu budaya yang menyatupadukan kita dalam masyarakat, tidak mengira umur, fahaman politik, agama, dan bangsa.
NO BUFFET
NO CATERING (walaupun ada penyumbang, kita cuba sajikan secara berhidang)
NO PAID SERVANT
Ok…kami tambah lagi…
NO SANDING
NO INAI BERINAI
NO RAKAMAN AKSI ATAS KATIL DI BILIK TIDUR
NO BERARAK
Seperti semua majlis yang kerap diadakan di RPWP, semuaya akan dibuat secara KERJASAMA atas dasar kekeluargaan dan kasih sayang tanpa ada tujuan yang lain. MALAH, AHLI REWANG KELUAR SUMBANGAN LAGI.
Pengantin dalam majlis ini nanti tak jadi raja sehari, tetapi menjadi tuan rumah menyambut mesra tetamu yang hadir untuk menghargai kehadiran mereka. Jika ada sedikit keistimewaan pun sekadar sedikit kelainan berupa pakaian pengantin yang ‘simple’ serta meja khas pengantin untuk makan beradab sahaja.
JEMPUTAN TERBUKA & PANGGILAN UNTUK KREW REWANG WARGA PRIHATIN
Dengan ini, kami ingin menjemput semua pembaca setia Warga Prihatin seluruh negara yang berminat untuk hadir menyerikan majlis. Kami juga mempelawa sukarelawan rewang yang ingin sama-sama memeriahkan suasana rewang sepanjang hari pada 16 SEPTEMBER dan juga pada hari hari sebelumnya.
Semua krew akan memakai T-shirt REWANG khas keluaran Sarcasteek. Seorang dermawan telah mengesahkan hasrat untuk menaja 100 helai T-shirt ini. Oleh itu, 100 calun sukarelawan pertama akan dipinjamkan untuk memakai T-Shirt PREMIUM ini dengan percuma dan opsyen membeli terus jika ingin memilikinya dengan separuh harga.
Calun sukarelawan selebihnya boleh membeli dengan harga RM55 sehelai UNTUK LELAKI, kecuali ada penaja lain yang akan menambah tajaan. Untuk wanita, kita akan buatkan T-shirt muslimah khas, berlengan panjang serta agak labuh dan boleh dibeli dengan harga RM 75. Akan kami maklumkan semula jika ada penaja untuk t-shirt muslimah nanti.
Bagi yang tidak mampu membeli dan tidak berpeluang mendapatkan t-shirt Sarcasteek percuma boleh sahaja pakai baju melayu putih atau hitam, bersongket hitam dan songkok hitam bagi lelaki. Yang wanita boleh juga pakai baju kurung putih dan kain hitam yang tidak terlalu ketat atau menjolok mata, atau berjubah hitam serta tudung hitam.
Semua yang memakai t-shirt, baik lelaki maupun muslimah diminta memakai seluar hitam yang sesuai dan kasut hitam. Bagi lelaki pula wajib pakai songkok hitam atau boleh juga membeli cap hitam Prihatin. Bagi wanita yang bertudung harus pakai tudung hitam.
Syarat rewang ialah pakaian yang SAMA (sawasiah) mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan sepanjang masa memakai tag nama yang disediakan. Tuala Good Morning dan makan minum akan kami sediakan seadanya sepanjang bertugas.
Bagi yang memerlukan bantuan pengangkutan dari stesyen bas atau komuter berdekatan juga boleh dipertimbangkan. Yang ingin menginap di RPWP atau surau kompleks sekolah di sepanjang minggu bertugas juga amat dialu-alukan.
BIDANG-BIDANG YANG DIPERLUKAN
Ada terlalu banyak pihak yang sebelum ini menyatakan ingin turut menyumbang tenaga dan material. Oleh itu ingin kami alu-alukan para penyumbang material dan tenaga untuk tampil membuat ajuan secara rasmi agar dapat di susun perlaksanaannya oleh admin program,
1. Kemah, kerusi meja dan hiasan nya
2. PA system, DJ dan MC
3. Jurugambar, video dan Livefeed (kami juga ada peralatannya jika perlukan kombinasi)
4. Penambahan set walkie talkie (kami sendiri sedia ada 50 unit)
5. Kumpulan Nasyid, silat, kompang dan seumpamanya.
6. Bekalan makanan mentah atau bermasak
7. Hiasan dewan dan meja makan pengantin – bagi yang ingin menyumbang pelamin kerana majlis ini tidak memerlukan pelamin.
8. Pakaian Pengantin – bertudung labuh dan yang simple sahaja.
9. Goodies dan sebarang cenderahati,
10. Khidmat printing buku cenderahati, backdrop dan banting/banner.
11. T-shirt Sarkasteek lelaki dan Muslimah, topi dan payung Prihatin
12. Apa apa sahaja yang anda fikirkan sesuai untuk disumbangkan sambil mempromosikan produk dan syarikat anda.
Untuk para sukarelawan pula, sila ajukan bidang yang paling sesuai untuk anda,
1. Masak memasak
2. Pelayanan meja makanan tetamu dan makan beradab untuk pengantin
3. Kekemasan dan urusan kebersihan
4. Penjagaan Parking dan kawalan lalu lintas (anggota beruniform amat dialu-alukan)
5. Penyambut tetamu berpayung
6. Pemandu kenderaan shuttle
7. Pelbagai
Untuk memudahkan penyediaan juadah dan mengelakkan pembaziran, kami mohon semua yang berhajat untuk hadir bertamu di majlis ini memaklumkan kepada kami untuk direkodkan.
Bagi yang berminat untuk menyumbang material atau tenaga sebagai ahli rewang juga diminta emailkan kami butiran berikut ke rewang@candidsyndrome.com atau inbox terus ke page Warga Prihatin.
1. Nama
2. Nombor telefon
3. Bidang kepakaran (pilih yang di atas)
4. Saiz baju
5. Sumbangan material (perlu dimaklumkan supaya kita tidak terbeli apa yang anda dah berikan)
6. Pilihan masa berkhidmat – Rewang Penuh di hari majlis pada 16 Sept, 15 Sept atau mana mana hari sepanjang minggu sebelum majlis.
LIPUTAN MAJLIS & BUKU CENDERAHATI
InsyaAllah kami akan jadikan majlis peristhiharan perkahwinan anak-anak kami ini satu majlis PERKAHWINAN YANG ISLAMIK, dimeriahkan dengan budaya rewang berteraskan semangat kekeluargaan dan persaudaraan yang telah lama kita rindui.
Sepanjang majlis akan dimeriahkan dengan celoteh MC dan Deejay berserta tayangan video hasil rakaman di semula lokasi majlis secara LIVEFEED. Antara bahan tayangan ialah pelbagai video dokumentari RPWP, juga video kronologi perkahwinan anak anak ini, bermula dari saat bertunang, tausiah keluarga sebelum pernikahan, hinggalah klip video majlis pernikahan yang telah berlangsung sebelum Ramadhan lagi.
InsyaAllah banyak wartawan media arus perdana dan beberapa stesyen TV yang sudah dan akan mengesahkan kehadiran untuk membuat liputan penuh sepanjang perjalanan majlis perkahwinan yang InsyaAllah berciri Islamik untuk pasangan kembar anak-anak RPWP ini.
InsyaAllah akan kami bukukan juga program ini dalam satu buku cenderahati khas yang akan dihadiahkan kepada semua para tetamu. Tujuan utama ialah untuk mengucapkan kesyukuran kepada semua penyumbang dan supaya dapat kami kongsikan falsafah munakahat yang telah kami laksanakan untuk kedua dua pasangan ini buat pedoman sahabat Warga Prihatin dan para tetamu.
Semua penyumbang yang telah mengesahkan sumbangan sebelum 5 September akan Insyaallah kami masukkan dalam senarai penyumbang di buku cenderahati. Bagi yang ingin kami iklankan perniagaan boleh juga membeli ruang iklan di mukasurat khas buku cenderahati itu dengan menyatakan sais iklan dan sedekah ikhlas untuk iklan itu. Buku itu juga akan kami muatkan dilaman web kami.
Kami berdoa semuga hajat untuk menyatukan keluarga besar rakan Page ‘Warga Prihatin’ melalui majlis ini akan terlaksana dan dipermudahkan Allah jua, InsyaAllah.
WARGA PRIHATIN