Dr Mohd Asri, Kazim Elias berdamai

kazim-asri.transformedMOHD Asri (kanan) bersalaman dengan Kazim sambil diperhatikan Asyraf Wajdi selepas pertemuan di Kangar malam ini.

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias akhirnya bertemu bagi menyelesaikan salah faham di antara mereka, malam tadi.

Dalam pertemuan di Kangar, Perlis, pada jam 8.30 malam, kedua-dua tokoh agama terbabit membincangkan perancangan terdekat bagi memperjelaskan keadaan semasa berkaitan hubungan mereka.

Menurut laporan BHonline Kazim berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan diberikan Mohd Asri ketika pertemuan itu.

BACA-Isu larangan ceramah: MAZA sedia jumpa DUKE

Katanya, mereka turut berbincang mengenai perancangan program yang akan dilaksanakan bersama pada masa depan.

“Perbincangan kami lebih tertumpu kepada macam mana nak jadikan masyarakat kita lebih bertanggungjawab dalam berdakwah untuk mengelakkan pertelingkahan.

“Sebenarnya, tiada masalah besar yang berlaku antara kami berdua, cuma benda sudah ditakdirkan untuk berlaku. Kami juga akan menjalankan program bersama dalam masa terdekat, mungkin satu atau dua hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Dr Asri dalam keterangan gambar di Facebook, menulis:

“Minum dan tersenyum’ Saya Alhamdulillah menerima tetamu istimewa malam ini Datuk Kazim Elias di Kangar, Perlis. Turut sama Datuk Dr Asyraf Wajdi (Dusuki) Yang Dipertua YADIM. Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara Muslim di kafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar.”

Sebelum ini , Mohd Asri dan Kazim dinasihatkan duduk berbincang menyelesaikan salah faham antara mereka, yang disifatkan sebagai kecil dan remeh.

Perselisihan faham mereka bermula apabila Mohd Asri menuduh Kazim periwayat hadis palsu ketika memberi ceramah, sehingga mengejutkan Kazim dan banyak pihak.

Mohd Asri mengakui beliau ada bukti dan Kazim pula mahu Mufti Perlis itu mengemukakan bukti mengenai tuduhan itu.

-BHonline

Tuesday, March 10, 2015

PENCERITAAN DR ASYRAF YANG MENGATUR PERTEMUAN DAMAI USTAZ KAZIM-DR ASRI

Dr Asyraf, kiri sekali di pertemuan Ustaz Kazim dengan Dr Asri di Kangar (Ahad malam)

Banyak tandatanya timbul lanjutan dari pertemuan damai antara Datuk Ustaz Kazim Elias dengan Datuk Dr Asri Zainal Abidin di sebuah cafe di Kangar Ahad malam.Apa penting tentunya pertemuan mengejut itu telah menamatkan satu episod pertelingkahan terbuka dua tokoh agama ternama. Kebimbangan jika berlarutan ia boleh menjejaskan kerja-kerja dakwah serta mencetuskan pelbagai implikasi yang negatif.Mungkin ada yang tidak tahu orang penting dicelah pertemuan berkenaan ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi.Beliau juga ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Wartawan Agendadaily dapat peluang untuk mendapat sedikit kisah lebih lanjut mengenai pertemuan itu apabila bersua dengannya selepas majlis perasmian sidang Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong pagi Isnin.

Dr Asyraf antara lain memberitahu Ustaz Kazim telah membatalkan satu programnya di Singapura semata-mata untuk terbang pulang bagi menghadiri pertemuan dengan Dr Asri.

Bagaimana pula dengan kemunculan Raja Muda Perlis di pertemuan itu?

BERIKUT IALAH TRANSKRIP TEMUBUAL RINGKAS AGENDADAILY DENGAN DR ASYRAF DI BANGUNAN PARLIMEN :

Agendadaily: Boleh Datuk ceritakan latar belakang pertemuan Ustaz Kazim – Dr Asri semalam?Dr Asyraf : Saya nak kalau boleh benda ini tak high profile (tidak dibesar-besarkan) . Sebenarnya semalam (kami) cuma sembang-sembang.Kedua-duanya merupakan sahabat saya.Bila saya bercakap dengan Dr Asri dan Ustaz Kazim Elias, (rupanya) mereka sebenarnya tak pernah bertemu antara satu sama lain. Mereka pernah bersalam dalam satu majlis. Itu sahaja tetapi mereka tidak memahami antara satu sama lain.

Saya kira masalah boleh selesai kalau masing-masing boleh bertemu mata kerana isu yang dibangkitkan lebih kepada isu yang masing-masing ada hujah tersendiri.

Alhamdulillah… semalam selesai dengan baik dan yang paling penting mereka telah menunjukkan contoh yang amat baik sekali dengan meletakkan ketepi soal ego. Mereka berjiwa besar dan saling maaf memafkan dan kita lihat ke hadapan.

Agendadaily: Jadi Datuk ambil inisiatif temukan mereka ?

Dr Asyraf : Ini adalah hasil persahabatan kami yang telah lama. Saya dengan Dr Azri sejak UIA. Ustaz Kazim pun. Jadi saya telefon kedua-dua belah pihak dan mereka bersetuju.

Saya dapat restu dari Datuk Jamil Khir sendiri yang meminta saya terus uruskan secepat yang mungkin.

Kalau ikutkan Ustaz Kazim ada program di Singapura tetapi dia batalkan program dia pada malam itu. Dia terbang ke Pulau Pinang dan kami sama-sama (naik kereta) dari Pulau Pinang pergi ke Perlis.

Kita nak selesai benda ini supaya tak timbul fitnah. Sekarang ini yang jadi masalah ialah fitnah daripada penyokong masing-masing yang ada yang bersifat ekstrim, melampau… jadi bilamana kedua-dua belah pihak setuju bertemu, saya kira ini dapat menyelesaikan banyak masalah.

Agendadaily : Bagaimana dengan kehadiran Raja Muda Perlis di situ ?

Dr Asyraf : Sebenarnya kita bertemu di cafe yang dimiliki Raja Muda. Jadi bila Raja Muda tahu kehadiran saya sekali, sebab saya merupakan ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Perlis.  Baginda sertai pun selepas kami sudah habis berbincang. Jadi kebetulan.

Kita selesai dalam satu hari. Ini semua kuasa Allah yang menentukan segala-galanya dan ada hikmah berlaku. Dan ingin saya katakan kedua-dua tokoh ini berjiwa besar. Soal kesilapan…masing-masing ada kesilapan. Kita tak boleh lari dari kesilapan. Yang penting kita harus berjiwa besar, harus melihat kehadapan dan kita tak bincang soal yang lepas-lepas.

Agendadaily: Walaupun kedua-duanya sudah berdamai tapi nampaknya ada penyokong masing-masing yang tak boleh terima?

Dr Asyraf : Kita kena faham, perbezaan pandangan sudah berlaku sejak zaman berzaman. Ulama-ulama, mazhab-mazhab sudah berbeza. Yang paling penting di kalangan ulama ialah mereka boleh berlapang dada.

Saya harap penyokong-penyokong pun berlapang dada. Kita dalam Islam berbeza pandangan tidak salah dan masing-masing boleh mengekalkan pandangan mereka. Masing-masing boleh mendakwa pandangan mereka lebih kuat. Itu terserah.

Tetapi dalam Islam kita ada adab-adab dalan berbeza pandangan dan kita juga ada prinsip Tasamuf atau prinsip berlapang dada. Jadi ini kita segarkan dalam konteks Malaysia. Dua orang ini telah menunjukkan contoh terbaik. Dalam kita berbeza kita tak cakap siapa betul siapa salah.

Masing-masing kekal. Dr Asri ada pandangan dia dan Ustaz Kazim ada pandangan dia tetapi yang paling penting Tasamuf, berlapang dada, hormat menghormati dan agree to disagree. Masing-masing setuju untuk tidak bersetuju. Yang paling penting ukhwah Islamiah itu harus dipertahankan.

TERBARU : Ustaz Kazim dan Dr Asri akan sertai program Diskusi di TV Hijrah jam 9 Selasa malam 10 Mac.Moderator program itu ialah Dr Asyraf.

ALHAMDULILLAH.