Banjir – Isu Pemimpin Turun Tangan dan Turun Padang

00 pm banjirRakan mangsa banjir dari Pantai Timur memaklumkan mangsa banjir kelaparan dan sangat memerlukan barang keperluan yang sudah sampai di lokasi. Panitia bantuan kemanusiaan sengaja membiarkan keadaan sulit itu hanya kerana menunggu kehadiran VIP untuk menyampaikan bantuan itu.

Ada pula pegawai Bomba melahirkan rasa rimas dengan kehadiran VIP yang sebenarnya banyak menyusahkan mereka yang sibuk dengan misi bantuan ketika itu. Ini kerana mereka yang sudah sedia letih, kurang tidur dan berkorban diri mengatur dan melaksana tugas membantu terpaksa meninggalkan tugas mereka untuk menyambut VIP tersebut.

Ironinya, waktu yang dijanjikan oleh VIP tidak pernah tepat. Janji untuk sampai lokasi jam 9 pagi, tapi mereka hanya muncul jam 12 tengahari. Petugas yang memang telah sedia sangat sibuk pula terpaksa menjadi pak pacak dalam hujan dan panas menunggu ketibaan VIP. Dalam keadaan darurat pun harus adakan protokol dan majlis menyambut kehadiran mereka.

Alangkah baiknya jika 3 jam yang terbazir itu dapat digunakan untuk terus mengurus mangsa banjir yang sangat memerlukan bantuan. Setelah penat lelah dan bersusah payah mengusung VIP yang hanya untuk dilihat menyerahkan sendiri ‘bantuan’ dan olok-olok mendukung bayi, VIP pun pulang dan petugas terpaksa berhempas pulas meneruskan tugas dan bersengkang mata semula.

Mungkin ada yang berkata cerita ini sengaja direka. Jika ia memang benar mungkin itu satu kebetulan sebab tidak semua VIP bersikap begitu, malah kebanyakan petugas bawahan yang terlebih sudu dari kuah sehingga rakyat jadi sengsara dan VIP terpalit fitnah. Bagi kami, cetusan ini hanya sekadar asbab untuk kita menyingkap secara ilmiah isu turun tangan dan turun padang ini. Harap anda berlapang dada membacanya.

APA BEZA TURUN TANGAN DENGAN TURUN PADANG?

Hari ini kemahuan rakyat telah mencipta pemimpin yang tidak produktif. Pemimpin hanya dipuja jika mereka hadir di majlis kenduri dan orang mati ataupun datang merasmikan majlis di sana sini. Terkadang seorang pemimpin harus makan tengahari sampai 7 kali kerana ada 7 jemputan kenduri di waktu yang sama dan mereka seolah-olah WAJIB tinggalkan pejabat untuk turut hadir.

Dalam kes turun tangan, kita sering mengharapkan TANGAN pemimpin sendiri yang menghulurkan bantuan yang telah sampai jauh lebih awal. Begitu juga dalam beberapa program gotong royong yang memanggil VIP untuk turun tangan memegang cangkul dan memecah tanah pakai glove putih menurunkan sudu JCB. Semua penduduk yang siap untuk bekerja harus membuang masa kerana menunggu VIP untuk merasmikan, yang selalunya lambat pula tiba. Kemudian dipanggil wakil media untuk merakam momen itu dan mewar-warkannya.

Bagi kami, adalah lebih baik pemimpin merancang dan membuat dasar. Kakitangan petugas yang diamanahkanlah yang harus turun tangan untuk melaksanakan misi bantuan yang telah diatur dengan teliti dan cekap. Tidak perlulah menunggu kehadiran pemimpin baru boleh diserahkan.

Tidak salah juga bagi pemimpin mengambil hati rakyat dalam isu jemputan kenduri. Adalah lebih baik jika VIP mengirim petugas sebelum hari kenduri, bertanya khabar persiapan yang mungkin memerlukan campurtangan atau bantuan mereka. Bahkan ada baiknya jika pemimpin menghantar wakil untuk menghadiri kenduri bagi pihaknya dan beliau boleh terus mengurus negara.

Pemimpin turun padang pula adalah pemimpin yang sekali-sekala meninjau segala situasi bencana, perlaksanaan projek, keadaan kehidupan rakyat dan sebagainya. Kehadiran sebegini jauh lebih bermakna. Jika perlu biar pemimpin sendiri alami kesukaran rakyat di lapangan, bertemuramah dengan rakyat dalam diam-diam untuk mencungkil maklumat yang lebih tepat. Kehadiran VIP sebegini tidak perlukan liputan media untuk meraih publisiti. Ia jauh lebih ikhlas, efisyen dan bahkan berkesan di jiwa rakyat.

PEMIMPIN TURUN TANGAN BUKAN PEMIMPIN YANG BAIK?

Jika anda suka pemimpin turun padang untuk menyerahkan bantuan makanan semasa banjir, menyampaikan ubat-ubatan, merawat mangsa atau memasak juadah, anda mungkin sedang memikirkan tentang seorang selebriti Akademi Fantasia dan bukannya seorang pemimpin. Baca dahulu penjelasan kami dari perspektif kepimpinan Islam.

Politik memerlukan pelincir dalam setiap kerja buat, apa sahaja yang mampu dan boleh diraih sebagai produk kepada politik akan dimainkan dalam usaha menjana populariti dan pengaruh dalam kepimpinan. Isu rakyat dan bencana alam sentiasa dilihat sebagai peluang menanam ‘jenama’ seseorang pemimpin. Inilah kotornya mainan politik dan kemahuan untuk menyucikannya memerlukan keikhlasan dan kerja buat yang ada perancangan dan aturan.

Sebagai seorang yang memimpin organisasi sebesar ‘NEGARA’, bukan mudah untuk turun di setiap lapangan, tambahan pula setiap isu semasa akan mengheret PM ke mana sahaja sebagai keperluan beliau untuk sentiasa turun padang. Sebagai pemimpin UTAMA juga pengatur kepada perjalanan organisasi yang dipimpin, setiap fungsi ORGAN di dalam kabinetnya, partinya dan cabang pemimpin dibawahnya harus digembelengkan.

KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN

Ungkapan itu sendiri menampakkan dengan jelas apa itu pemimpin. Apa tugas selaku seorang pemimpin. Kepimpinan seseorang bukanlah diukur semata-mata pada kerja buat yang dilakukannya secara fizikal. Bukan semata-mata perkara yang boleh dilihat dan dipertontonkan di khalayak ramai.

Nabi sendiri turun padang bekerja menggali parit Perang Khandak sebagai satu tauladan untuk dicontohi oleh umat-umat baginda ketika itu sahaja. Itu bukanlah fungsi utama seorang pemimpin. Sepatutnya sebagai orang yang diatur, kita wajar merasa malu jika BIG BOSS kita sendiri terpaksa turun tangan. Itu tandanya, kita tidak berfungsi sewajarnya. Semasa umat Islam ragu dalam pertempuran Badar, Nabi mengambil risiko untuk berada di hadapan barisan lalu meningkatkan keyakinan mujahid yang lain. Selepas keyakinan yang datang dari tauladan itu, Nabi sudah mula berada dalam barisan yang selamat sebagai pengatur.

Perlu diingat juga, Sultan Muhammad Alfateh yang menawan Constantinople adalah seorang pengatur strategi yang hebat dengan kata-kata kobaran semangat yang sangat bermotivasi. Beliau menyaksikan pertempuran yang berlaku dari sebuah tempat tinggi. Baginda dilindungi seperti mana tempurung kepala melindungi otak kita.

Pemimpin perlu jelas dalam menjalankan peranan sebagai pengatur, perancang. Aturan yang jelas, perancangan yang teliti adalah antara faktor yang mempengaruhi kejayaan satu-satu perlaksanaan. Gagal atau berjayanya sesuatu itu, maka pemimpinlah yang akan menanggung akibatnya. Jika pemimpin sibuk turun padang seperti mana orang bawahannya, bagaimana dia dapat melihat perlaksanaannya secara menyeluruh? Memandang sesuatu dari sudut pandang seekor burung (bird’s eye view). Fokus seorang pemimpin akan terganggu, merisikokan perlaksanaan sesuatu perkara.

Bayangkan, bos buat benda yang sama dengan apa yang kakitangan bawahan buat. Apa yang akan jadi? Populariti akan meningkat tetapi hormat akan hilang sedikit-sedikit.

Ini terjadi kerana ada perlaksanaan demokrasi yang memenangkan pemimpin berdasarkan populariti dan bukannya kebijaksanaannya dalam memimpin. Untuk popularity, pemimpin adakalanya terpaksa pula turun padang bagi menunjukkan keprihatinan mereka dengan berkampung sama dengan mangsa-mangsa banjir (contohnya). Sewajarnya, bukankah pemimpin sepatutnya menjadi pengatur yang mengeluarkan aturan penghantaran bantuan dan sekali sekala turun padang HANYA untuk memeriksa perlaksanaan bukan sebagai pelaksana.

Kita suka melihat pemimpin hadir bersama bantuan, kedatangan mereka hanya mendatangkan simpati dan valuasi kerugian serta canang-canang kosong. Adalah lebih baik tanpa kehadiran PM, janji manis tidak dibuang, tapi pelaksanaan dari aturan beliau yang telah disampaikan. Keberkesanan bagaimana bantuan sampai dan pengurusan kebajikan yang dijalankan BUKTI kepimpinan yang baik sekalipun PM tidak pernah menjengah dan hanya melihat laporan dari berita.

Tugas utama pemimpin adalah untuk mengatur dan membentuk aturan untuk diikuti oleh orang yang dipimpin ke arah yang lebih baik. Jika pemimpin berperanan positif dan membuat aturan yang positif makanya positiflah orang yang dipimpinnya manakala jika pemimpin berperanan negatif, negatif jugalah orang yang dipimpinnya walaupun aturannya positif. Jika salah satu daripadanya adalah negatif maka positif tidak akan terhasil. Pemimpin mestilah mengaturkan yang terbaik untuk diikuti orang yang dipimpin kearah kebaikan.

PM DIKRITIK, KURANG TURUN PADANG MEMBANTU MANGSA BANJIR

Bencana banjir yang mengorbankan jiwa dan harta ini turut dipolitikkan oleh jagoan politikus. Masing-masing mendabik dada dan merendahkan yang lain melalui media. Jika VIP turun padang waktu bencana akan di kata inilah pemimpin, bila ada bencana baru turun, jika tidak tak nampak muka. Jika tak turun pula inilah pemimpin, rakyat kena musibah pun buat tidak tahu saja. Sebenarnya, jika sistem delivery kerajaan itu sudah efisyen, kesengsaraan rakyat sudah terbela maka itulah yang menjadi impian rakyat jelata.

Berkenaan bunyi-bunyi sumbang mengatakan PM kurang turun padang sedikit sebanyak juga dilihat ada unsur-unsur politik. Bila ada unsur politik, sudah tentu tidak dapat lari daripada mengeluarkan kenyataan yang agak berat sebelah.

Adakah PM perlu buat perkara yang sama seperti mana petugas-petugas keselamatan lakukan? Atau adakah PM hanya perlu meninjau sejauh mana kesengsaraan rakyat dan keberkesanan anggota keselamatan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan? Apabila PM selalu turun padang pula, adakah kita pasti akan memberi kritikan yang adil padanya? Atau akan ada bunyi-bunyi yang mengatakan PM cuma cuba meraih populariti pula? Sama-samalah kita fikirkan dan memberikan jawapannya setelah menetapkan minda kita dalam posisi neutral, bukannya di posisi itu atau ini.

Sewajarnya, pemimpin yang prihatin turun meninjau sahaja dan bukan perlu menyingsing lengan meninggalkan tugasan yang jauh lebih penting. Bayangkan seorang juruterbang yang prihatin nak membantu krew penerbangan menghadapi situasi penumpang yang sakit? Adakah wajar juruterbang itu meninggalkan kokpit dan turun tangan ataupun ada tugasan yang lebih besar untuk digalang bagi memastikan kapal terbang itu tidak menghadapi risiko kemalangan yang boleh mengorbankan keseluruhan penumpang.

Jika anda masih percaya pemimpin utama perlu bersama bersusah turun tangan dalam bahagian pelaksanaan, anda mungkin seorang yang mengharapkan otak dalam tempurung kepala anda sendiri yang mencuci pinggan dan memandu kereta. Lebih malang lagi kita hanya menggalakkan pemimpin yang hanya bekerja bila ada media dan untuk dilihat manusia sahaja.

Fikir-fikirkannya

Cetusan fikir
WARGA PRIHATIN