Aisyah BFM tampil mohon maaf
- Klip video yang berdurasi 1 minit 55 saat itu, telah ditonton seramai 279,031 dan mendapat sebanyak 15,701 ‘share’.
SHAH ALAM – “Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini merupakan pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu,” akui penyampai media mewakili syarikat BFM Media Sdn Bhd, Aisyah Tajuddin.
Mengakui beberapa hari yang dilalui merupakan satu pengalaman pahit buat diri dan keluarga, akhirnya Aisyah, si gadis yang pernah muncul dalam satu paparan klip video didakwa mempersendakan hukum hudud akhirnya tampil dengan permohonan maaf.
Jelasnya menerusi kenyataan media hari ini, objektif sebenar video tersebut adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan Pas Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam.
“Setelah beberapa hari yang lalu, sebuah video di mana saya bercakap mengenai pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 telah menyebabkan kemarahan di dalam laman-laman media sosial. Video tersebut hanya menyangkut perihal politik, perkataan dan perbuatan ahli politik; dan tentunya tidak sekali-kali mengenai agama.
“Sejak video tersebut diterbitkan, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah ditujukan kepada saya, keluarga, teman sekerja dan rakan-rakan. Ia sangat mendukacitakan,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Gadis persenda hudud dikecam teruk]
Aisyah baru-baru ini didakwa menghina langkah kerajaan Pas Kelantan membentang dan meluluskan undang-undang hudud di negeri itu sehingga mencetuskan kecaman hebat terhadapnya di laman sosial.
Sementara itu, tambah Aisyah, liputan meluas media terhadap insiden tersebut mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan video itu.
“Tujuan video tersebut dibuat adalah untuk menggalakkan wacana yang berlangsung seputar isu keadaan sosio-ekonomi rakyat Kelantan.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf bagi nada dan cara penyampaian saya di dalam video tersebut. Saya tiada niat untuk mengherdik.
“Saya tiada niat untuk menghina. Namun kini saya sedar bahawa ia telah menimbulkan kemarahan. Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf, maaf. Saya tidak akan pernah, dalam apa-apa keadaan sekalipun, menghina atau mengutuk mana-mana agama apa lagi agama saya sendiri,” katanya lagi.