Satu keperluan ke arah reformasi kepolisian

BAGAIMANA MENGISLAMKAN INSTITUSI KEPOLISIAN

Sepertimana rumah Kebajikan dan Pertubuhan NGO yang lain, RPWP sentiasa dilawati oleh para pegawai Polis dari pelbagai cawangan dan pangkat. Peringkat awal dahulu, ramai yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat, khususnya bimbang tentang adanya sebarang aktiviti bawah tanah di RPWP. Kita harus terima hakikat, cemburu itu tandanya PDRM sayangkan negara.

Setelah disahkan RPWP tiada anasir subversif, maka kini kedatangan mereka lebih kepada kajian umum tentang situasi semasa masyarakat dan negara. Sebahagian lain datang untuk mendapatkan hasil kajian dan pembangunan kami, untuk dijadikan pedoman dalam menangani masalah jenayah, dadah dan pelbagai gejala sosial dalam negara.

Beberapa orang pesara pegawai tinggi Polis termasuk berpangkat Datuk adalah antara pendokong tetap RPWP. Pengerusi Rukun Tetangga yang menganugerahkan “Tokoh Mulidurrasul dan Maal Hijrah” kepada pengasas RPWP juga dari pegawai tinggi Bukit Aman berpangkat Datuk.

Kelmarin RPWP diziarahi lagi oleh 2 orang pegawai tinggi dari Bukit Aman. Kali ini kami rasa ingin kongsikan sesuatu yang mungkin boleh dijadikan pelajaran oleh pembaca, khususnya kalangan murobbi, iaitu penanggungjawab dari kalangan ibu bapa, para guru, ketua masyarakat dan pemimpin negara. Mereka ini sangat berilmu dan tertarik dengan falsafah yang diamalkan di RPWP. ALHAMDULILLAH.

Oleh kerana hadirnya mereka sewaktu tengahari, maka dapatlah mereka bertemu dengan sebahagian anak-anak yang pulang sebelum meneruskan persekolahan sebelah petangnya. Selepas urusan rasmi selesai, para pegawai ini meneruskan dengan pelbagai soalan yang berkaitan dengan RPWP. Kami juga bawa mereka untuk melawat ke seluruh kawasan kompleks RPWP.

Berikut ini kami cuba kongsikan secara ringkas buah-buah fikiran di sepanjang perbincangan dengan mereka.

FORMULA PENYATUAN & KERJASAMA

Antara perkara utama yang seolah-olah menjadikan mereka takjub ialah soal pokok yang menjadi masalah utama dalam dunia, iaitu isu penyatuan. Apakah yang menjadi tunggak perpaduan yang mampu menyatukan seluruh jemaah RPWP, termasuk para pengasas, kaum ibu dan anak-anak jagaan sejak hari pertama. Bukan setakat bersatu hati dan wawasan, malah menyatukan tenaga dan dana untuk RPWP.

Seorang darinya kongsikan bahawa beliau ada 15 orang adik beradik seibu dan sebapa. Beliau menampakkan bahawa dalam keluarga sendiripun begitu susah untuk bersatu dengan satu faham. Ini turut beliau perhatikan berlaku dalam banyak keluarga-keluarga lain di kalangan rakan taulan beliau. Fenomena ini turut dilihat dalam organisasi, masyarakat, negara bahkan dunia. Dari hasil kajian dan pemerhatian, kami sendiri bersetuju 100% akan fenomena ini.

Antara yang ingin kami kongsikan di sini ialah formula penyatuan yang dimulakan dari pembentukan 1 faham. Perpecahan di kalangan ummah adalah berpunca dari hati dan pemikiran. Jika kefahaman dalam pemikiran kita bercanggah, di situlah berpuncanya gejala perpecahan.

Untuk mengatasi masalah itu, kami menggunakan pendekatan al-quran dan sunnah. Ramai juga yang berkata menggunakan pendekatan itu, tetapi mengapa ternyata mereka sentiasa gagal? Jawapan kami adalah kerana mereka tidak berpaut pada kedua unsur itu secara kaaffah dan bersungguh-sungguh. Kami lihat orang yang melaungkan penyatuan melalui alquran dan sunnah itu sendiripun tidak memahami kedua-duanya dengan cukup mendalam dan tidak sanggup mematuhinya dengan sempurna. Masing-masing ambil yang secocok dengan mereka sahaja.

Ajakan mereka hanya sekadar retorik sahaja, tidak serius dalam usaha memahami dan mengajak manusia untuk menyatu dengannya. Ajakan mereka tidak disulam dengan ilmu. Sebahagian besar dari golongan yang mengajak itupun ada yang tidak pernah baca alquran dan memahami terjemahannya.

Atas dasar itu maka kami wajibkan semua co-founder dan anak-anak membaca terjemahan quran sekurang-kurangnya 3 kali ulang. Setiap saranan, cadangan, aturan maupun hukuman yang ingin dilakukan adalah bersandarkan kepada tuntutan apa yang difahami dari alquran itu secara adil dan praktikal. Segalanya harus pula dipersetujui dengan sebulat suara, secara NAHNIAH, bukan ANANIAH (keakuan).

Apabila visi itu jelas didapati dari alquran, dan segala keputusan dibuat secara bersama melalui syuro, maka semua yang terlibat akan jadi mudah untuk menerima dan mematuhinya. Ini berbeza dengan organisasi lain di mana setiap yang ingin dilakukan itu adalah berdasarkan visi individu, kemudian memaksa yang lain untuk menerima dan mematuhinya. Di situlah mudahnya terbit individu diktator.

MENGAPA PRIHATIN TIDAK BUKUKAN FORMULA PENYATUAN

Seperti pelawat lain, soalan di atas menjadi terlalu biasa ditanyakan. Kami memang ingin kongsikan formula penyatuan ini, tetapi bukan dengan cara menulis buiku. Kami telah BERSATU berpandukan kepada doktrin alquran yang SATU. Hasil kajian kami menunjukkan hebatnya alquran itu ialah kerana ia mengandungi konsep dan prinsipal yang sangat meluas. Kesemua 6236 ayat itu boleh diterapkan dengan mudah dan berkesan kepada siapa sahaja, organisasi dan institusi apa sahaja, di mana saja dan pada zaman bila-bila juga.

Kerana itu kami rasakan tidak ada keperluan untuk kami bukukan apa yang kami telah berjaya laksanakan. Ini kerana apa yang kami lakukan mungkin nampak jelas dalam urusan membina keluarga dalam sampel komuniti kami, tetapi mungkin berbeza penerapannya jika ingin diterapkan dalam urusan membentuk sebuah keluarga kecil oleh sepasang suami isteri di rumah lain. Perlu penyesuaian di situ.

Begitu juga kemungkinan keraguan atau khilaf berlaku jika apa yang kami bukukan dari praktis kami di RPWP ini disalin atau ditiru bulat-bulat oleh orgasisasi lain seperti syarikat, pertubuhan NGO, pengurusan kerajaan, negara dan sebagainya. Sedangkan apa yang ada dalam quran dan sunnah itu perlu disesuaikan mengikut matlamat pembaca dan penggunaannya.

Kerana itu jika kita ambil langsung dari buku sedia ada, iaitu quran dan sunnah, maka ia lebih asli dan mudah disesuaikan. Kami tiada masalah untuk membantu menyesuaikan penerapannya dalam kalangan individu atau organisasi yang berbeza.

Ini juga selari dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, haram menulis apa sahaja penjelasan wahyu yang keluar dari mulut baginda. Hanya alquran sahaja yang layak ditulis dan dihafal. Apa yang kami lihat di situ ialah agar kita memahami, menghafal dan mengambil prinsip dari quran secara terus untuk disesuaikan dengan keperluan hidup dan zaman kita. Hadis sekadar contoh huraian perlaksanaannya sahaja.

Dalam alquran, kami dapati doktin kehidupan yang bersifat universal, yang sesuai untuk digunapakai oleh pelbagai bangsa, geografi dan di sepanjang zaman itu terletak di ayat-ayat misal atau MUTSYABIHAT. Ayat-ayat langsung atau MUHKAMAT adalah isi ketetapan yang sentiasa sama bentuknya. Tiada perubahan sampai bila-bila, tidak mengira zaman mana dan bangsa apa sekalipun pengamalnya.

Contoh mutasyabihat salah satunya ialah, bila Allah dan rasul sarankan tentang kuda. Itu bermaksud MISALAN kenderaan yang pantas, pintar dan gagah. Zaman nabi mungkin membandingkan keldai dan kuda, zaman moyang kita mungkin basikal dan motosikal, tapi zaman kita mungkin kereta kancil berbanding BMW. Amat tidak berfaedah jika penjelasan sunnah tentang kuda itu kita hafal dan ikuti secara jumud, lalu kita semua beli kuda dan menunggangnya di lebuhraya.

Contoh muhkamatnya pula ialah, tentang spesifikasi pakaian wanita. Yang ini tiada masalah untuk kita hafal dan ikut hadis nabi bulat-bulat kerana ia berbentuk perintah yang jelas secara langsung (muhkamat), bukan berbentuk MISAL (mutasyabihat). Kerana itu pakaian nisak mengikut kehendak Allah itu masih kekal sama dari dahulu sampai sekarang. Malangnya yang sudah jelas (muhkamat) itu pula yang kita ubah-ubah. Yang mutasyabihat (MISAL) pula yang kita ikut bulat-bulat.

PENERAPAN DISIPLIN

Para pegawai ini melihat tahap disiplin dan jatidiri yang agak tinggi pada keseluruhan warga yang sempat ditemui dan berbual bicara. Mereka ingin tahu apakah rahsianya? Ini kerana di PDRM, mereka ambil 6 bulan untuk membentuk disiplin anggota sebelum berkhidmat. Mereka akui bahawa hasilnya hanya disiplin yang bersifat luaran. Amat sukar untuk menerapkan disiplin secara dalaman kerana rekrut yang juga datang dari pelbagai latarbelakang.

Jawapan kami tetap sama. Pertamanya kami pastikan kesemua warga sanggup membenarkan kebenaran wahyu dan sunnah. Warga mesti sanggup mematuhinya tanpa dakwa dakwi. Itu syarat utama untuk mereka hidup bersama dengan kami. Setiap perintah wahyu dan sunnah wajib didaulatkan oleh setiap warga. Ia tidak sukar jika kita memahami sudut praktikal dari wahyu dan sunnah itu. Masalah kita hanya nampak wahyu pada potong tangan dan rejam untuk ditolak, atau poligami untuk diterima sahaja. Akhirnya ramai yang semakin hari semakin takut dengan wahyu.

Kemudian kami nampakkan kepada warga dari surah mana ayat mana dari alquran yang telah mereka baca itu, datangnya idea dan perintah yang harus mereka mendisplinkan diri dengannya. Apabila mereka telah membaca sendiri dan memahaminya dengan bantuan penjelasan jemaah, maka mereka akan mudah mendisiplinkan diri dengan perintah itu. Walaupun sekali sekala mereka terlupa atau melanggar dengan sengaja, maka dengan mudah jemaah boleh menghukum dan mereka juga boleh menerimanya dengan rela.

Disiplin tidak boleh lari dari kesamarataan zahir dan batin. Kerana itu kami menggalakkan anak-anak mengikuti sebarang badan berunifom seperti kadet polis, ROTU, PBSM, silat dan sebagainya. Kesemua itu mampu mendisiplinkan anak-anak dan mengajar mereka hidup berperaturan (rububiah) dan berpengatur (murobbi). Ia turut mengajar anak tentang teknikal, taktikal, strategi dan ketahanan mental. Perhubungan antara skuad dengan komanden kawad, pelatih dengan guru silat dan sebagainya boleh mendidik anak tentang aplikasi silah, solah dan solawat dalam berjemaah.

Yang paling penting ialah mendisiplinkan warga melalui pendekatan keadilan dan kesamarataan. Setiap warga tidak kira pangkat dan usia akan makan makanan yang sama, memakai warna dan jenis pakaian yang sama, menaiki kenderaan dan mendiami rumah yang sama. Semua warga juga turut mematuhi arahan dan disiplin yang sama di samping melaksanakan tugasan secara kerjasama.

Kerana itu juga anda lihat setiap kali berprogram kesemua warga akan memakai uniform yang sama. Latihan kawad kami ajar kepada anak-anak seawal tadika lagi, paling tidak seminggu sekali. Anak-anak dibahagikan kepada kelompok kecil dan setiap satu mempunyai ketua sendiri. Semua warga diwajibkan menjaga warga lain tanpa prejudis, tanpa rasa takut dan pilih kasih.

KAEDAH CEGAH JENAYAH

Ini bukanlah perkara mudah untuk kita lakukan dengan jayanya jika kita tidak mampu mencerap apa sahaja formula dari quran, yang telah Allah bukukan sebagai manual hidup kita. Kami telah lama mengaku kalah dengan cara ciptaan sendiri, melainkan yakin dengan keberkesanan manual dari Allah sahaja. Ada beza yang jelas antara PENCEGAHAN (PREVENTION) dengan PENGAWALAN (CONTROL) jenayah.

Selama ini Polis hanya menggunakan pendekatan cegah jenayah secara LUARAN, iaitu melalui kaedah penangkapan dan pengurungan. Bagi kami, pendekatan itu hanya berlaku SETELAH jenayah berlaku. Jadi apa yang dilakukan itu hanya MENGAWAL jenayah daripada terus-terusan berlaku sahaja. Ia berbeza dengan kami yang menggunakan kaedah DALAMAN, iaitu pendekatan tarbiah, kaedah pendidikan dan pencegahan. Kami sunguh-sungguh inginkan supaya jenayah itu TIDAK SAMPAI berlaku.

Alhamdulillah kami telah buktikan kaedah “Penjara Di Tepi Masjid” yang Nabi SAW laksanakan itu amat berkesan. Kami pernah merawat gadis 15 tahun yang telah ‘melunjur’ bersama 285 jantan silih berganti dalam masa 2 tahun. Alhamdulillah beliau pulih dalam masa beberapa minggu tanpa gari dan pintu berkunci. Kami juga merawat penagih tegar yang sudah 16 tahun menagih dan 6 kali dipenjarakan, tanpa menggunakan kaedah kimia, jampi mentera, tanpa pil methadone maupun rokok.

Kami juga ada kes anak yatim yang kami ambil dari lokap polis, yang mengaku telah terjebak dengan jenayah seksual, dadah, rompak dan curi kenderaan sejak tingkatan 1. Kami sanggup jadi penjamin anak itu, Alhamdulillah kini anak itu amat baik sekali. Ada juga anak yatim yang terabai sejak ayahnya masih ada, yang mengakui pernah tinggal sebilik serta meniduri teman wanitanya selama 2 minggu di rumah ibu bapa gadis. ironinya ia berlaku dengan pengetahuan dan izin ibubapa mereka. Lihatlah, seteruk ini lemahnya ibubapa memainkan peranan menjaga anak dara mereka..!

Melalui rahsia Fatihah, kita seharusnya mampu menyingkap bagaimana Allah mengatur alam ini sebelum kita mampu menirunya. Bagaimana harus kita fahami dan menerapkan BASMALLAH, LILLAH, BILLAH melalui fungsi Murobbi (rabb yang menguasai), malaikat (yang menyampai dan mencatat), nabi (penerima berita), serta rasul (penyampai dan pelaksana risalah). Perhatikan bagaimana Allah menyediakan alam yang baik melalui uswah para rasul untuk kita letakkan diri dan keluarga kita di alam kehidupan itu, agar kita turut jadi baik.

Demikian juga pelbagai peranan dalam institusi malaikat yang secara ghaib menyampaikan berita, mencatit amalan manusia dan melapurkannya kepada Allah (Rabb) setiap hari tanpa rasa takut dan pilih kasih. Kemudian dipanjangkan sistem pengaturan alam itu kepada fungsi nabi dan rasul sebagai utusan yang membawa risalah buat mengatur manusia agar sejahtera semuanya. Konsep Allah melihat dan mendengar kami terjemahkan melalui 65 cctv terpasang dan terakam 24jam di kompleks ini. Bahkan dalam bas kami pun ada 4-8 cctv.

SARANAN RPWP UNTUK MASYARAKAT & PDRM?

Soalan ini kami jawab dengan saranan agar masyarakat tidak terlalu takut atau membenci polis. Jika ini berterusan maka masyarakat sendiri yang akan rugi. Wang rakyat diguna untuk membayar gaji dan sarana kepolisian, namun tugas mereka tidak efektif kerana tiada sokongan masyarakat. Dari komunikasi yang berterusan antara kami dengan PDRM, bukanlah semua polis itu baik, namun tidak semuanya jahat.

Seperti anggota masyarakat yang lain, kami juga ada banyak komplain tentang kepincangan institusi kepolisian. Belum ada dari sebegitu banyak kes-kes kecurian yang kami lapurkan dan kami dapat semula. Bahkan ada kenderaan kami yang dicuri oleh sindiket besi buruk, yang kami sendiri temui ‘bangkainya’ sejurus selepas lapuran dibuat dan kami serahkan segala bukti termasuk geran, bil belian besi buruk kepada pihak balai, namun tiada tindakan dibuat sampai kini.

Atas sebab itu juga, ramai penduduk yang tidak mahu bekerjasama membuat lapuran apabila berlaku kes jenayah. Ada sampai 6 kecurian motosikal berlaku dalam masa sebulan tanpa sebarang lapuran dibuat. Memanglah sekali kecurian, harapan mendapatkan kembali terlalu tipis. Namun kami pujuk masyarakat agar membuat lapuran supaya PDRM dapat maklumat tentang indeks jenayah setempat. Dengan itu mereka boleh menyusun semula rondaan atau program pencegahan.

Rumah kami menggunakan besi terpakai yang dibeli dari kedai besi buruk. Banyak kali juga kami terserempak kereta peronda yang tanpa segan silu mengutip ‘zakat’ terang-terangan dari pusat ini. ini kerana kami yakin mereka ada membeli dan menyimpan besi buruk yang tidak sah dari sudut undang-undang.

Kami ada menjalankan perniagaan kecil-kecilan membaiki dan menjual kenderaan terpakai. Sebahagiannya kenderaan lama hasil wakaf orang ramai. Pernah juga kami diganggu oleh ‘pengutip zakat’ sepertimana nasib peniaga kenderaan terpakai yang lain. Pelbagai ancaman dan gaya bahasa yang tidak bermoral sekali dilontarkan. Kononnya terima lapuran kami menyimpan kenderaan curi.

Yang baiknya pula, kami dibela oleh pasukan lain yang lebih tinggi dengan meminta kami panggil beliau jika ada mana-mana anggota ‘pengutip zakat’ seperti ini datang lagi. Atas dasar lapuran dari golongan yang sakit hati, maka pasukan yang ikhlas ini telah tanpa pengetahuan kami menyelinap secara senyap selama 4 hari menyelidiki kesemua stok kenderaan kami. Mereka sahkan tiada satupun barang curi dari stok kami. Kerana itu mereka sanggup mempertahankan kebenaran biarpun terpaksa bertembung dengan anggota lain. Tidakkah zalim jika kita ‘cop’ PDRM keseluruhannya buruk?

Tatkala rumah kami terbakar, POLIS adalah yang sampai paling awal. Mereka antara yang simpati dan menganjurkan bantuan. Kami juga pernah disaman hanya kerana sebelah lampu belakang van kami tidak menyala. Namun kami juga pernah diiring (eskot) oleh kereta peronda, dari jalan bandar sampai tol sungai besi selepas mereka menahan kenderaan kami yang tamat tempoh cukai jalan. Mereka tidak mahu ada anggota lain yang ambil peluang ‘mengutip zakat’ ke atas kami. Wajarkah anggota sebaik ini kita bunuh hanya kerana bencikan PDRM?

Dalam hal mengkaji situasi jenayah dan gejala sosial melibatkan anak-anak juga begitu. Kami banyak berkongsi maklumat terkini tentangnya. Kita perlu kemaskini apakah perkembangan modus operandi penjenayah atau gejala sosial terhadap anak-anak. PDRM pula perlu tahu indeks jenayah yang ada pada kita. Jika perlu kita beri maklumat tentang dadah, maksiat dan jenayah lainnya untuk tindakan mereka. Bila jenayah sudah berkurangan, anggota pula boleh anjurkan CSR, mendekati masyarakat, bergotongroyong dan sebagainya. Indah bukan?

Terlalu banyak lagi kebaikan PDRM yang boleh dikongsikan. Kami sarankan agar PDRM boleh memainkan peranan sebagai institusi yang bercirikan malaikat, bersifat berkecuali dan tidak berkepentingan diri. Alangkah baiknya jika orang ramai, khasnya ketua masyarakat boleh menjadikan polis sebagai rakan karib, duduk santai bermuzakarah bersama mereka di balai sebagai rakan kongsi. Kita isi kebosanan mereka bertugas di sunyi malam dengan kopi panas dan biskut, kita cari jalan untuk mensejahterakan masyarakat dan anak-anak kita.

Pepatah inggeris mengatakan “you pay peanut, you got monkey”. Seperti di negara Eropah, pihak kerajaan mungkin boleh menaikkan lagi moral polis, guru dan pegawai penguatkuasa lain dengan menyediakan gaji yang cukup sehingga mereka tidak lagi berselera untuk mengutip ‘zakat secara tidak sah’ seperti yang sering berlaku sekarang.

Pengisian rububiah Allah perlu ditanamkan agar anggota faham dan ikhlas menjalankan tugas menjaga keamanan negara dengan sebenar-benarnya. Segera singkir yang masih ambil rasuah atau salahguna kuasa. Dengan demikian setiap anggota akan berbangga dengan PDRM kerana tapisan yang tinggi ini. InsyaAllah dengan ini anggota PDRM kita akan sangat bermotivasi dan berprestasi tinggi. Seperti di negara eropah, Polis sangat friendly dan ikhlas. Khidmat mereka sangat menyenangkan rakyat.

KESIMPULAN

Kami di RPWP bina SAMPEL komuniti kemudian pengalaman itu kami kongsikan untuk pedoman bersama memperbaiki komuniti luar iaitu komuniti tempat anak-anak kita bercampur di masa hadapan.

Apa yang kami kongsikan di RPWP adalah sebahagian dari Program Sekolah Alam kami. Ia adalah sarana “Pendidikan Islam Sepanjang Hayat”. Tidak akan cukup dengan program 6 bulan untuk mendisplinkan manusia, kerana ia harus dilakukan secara istiqomah, dari buaian hingga ke liang lahad. Secara harian, ia seperti rukun solat fardhu, 5 kali sehari dalam hidup kita.

Mari kita sama-sama berusaha menjadikan institusi kepolisian itu suatu yang bersifat natural dan penuh bermakna. Jangan hanya cari polis bila anak dirotan guru, anak dirogol, tertangkap kes dadah, curi, gaduh, bunuh dan sebagainya. Kita akan saling menyukai dan aman sejahtera jika berkerabat dengan polis sebelum jenayah menjelma. Begitu juga dengan guru. Kita dan anak kita akan sejahtera jika selalu berjumpa sebelum masalah menjelma. Itu nasihat kami pada anak kami, berkerabatlah dengan guru.

Janganlah kita provokasikan isu politik dalam institusi kepolisian, kerana institusi seperti polis, tentera, bomba, guru dan sebagainya ini tetap dianggotai oleh orang yang sama biar siapapun yang memerintah.

Anjuran perdamaian dan reformasi dari
WARGA PRIHATIN