Bila Kita Terasa Besar, Allah Akan Diperkecil
Kita lebih suka bergosip, berpolitik dan mempolitikkan isu berbanding berusaha menenangkan diri, mengenepikan emosi mencari jalan dan kaedah terbaik ke arah penyelesaian sesuatu isu. Dalam usaha membuktikan cara hidup, methodologi penyelesaian setiap permasalahan umat yang telah Allah tunjuk & hidayahkan melalui kitabnya adalah yang terbaik, paling berkesan, setiap hari kami memerhatikan fenomena ini.
Kami katakan gejala sosial, kejadian jenayah, gejala perpecahan dan permusuhan umat berpunca dari kurang faham dan kurang komitednya kita terhadap perlaksanaan aturan Allah dengan tepat. Lalu kami kongsikan serba sedikit bagaimana kami WARGA PRIHATIN boleh bersatu menggalas tugas berat ini sekian lama, kami huraikan serba sedikit perlaksanaan wahyu Allah satu demi satu.
Kami katakan gejala sosial berpunca dari rumah, dari kelemahan ibu bapa, khususnya peranan LELAKI samada ayah, suami atau abang memainkan peranan sebagai pengurus keluarga. Kami katakan perpecahan umat kerana kita banyak mengikut pendapat ramai, sistem kita menjadikan pemimpin harus ikut naluri pengundi kerana sistem undi ciptaan manusia itu yang kita jadikan kaedah perlantikan. Pemimpin seharusnya MEMBENTUK pengikut, mendidik dan membimbing pengikut. Lembu ikut gembala, bukan gembala ikut lembu. Barulah pemimpin itu dihormati.
Habit kita ialah memuja pemimpin, bukan menghormatinya. Sama macam kita puja bomoh, busut kerana dapat nombor ekor. Semata mata kerana kita boleh dapat apa yang kita mahu dari pemimpin itu. Bila apa yang kita hajatkan tidak dapat, kita kutuk pula pemimpin lebih dari binatang. Apa yang Allah mahukan ialah kita taat pemimpin, jika ada kesilapan kita cari rujukan dari kitab dan sunnah rasul, kita RUJUK kepada Allah dan rasul, itu akan membuatkan pemimpin yang tersilap mudah diperbaiki, kerana pembaikan itu bukan atas interest kita, tapi interest Allah dan Rasul.
Anda lihat bukti bergambar, bagaimana kita respond terhadap sesuatu isu. Ramai yang berebut-rebut komen dan menghentam, menuding sana sini, sehingga mengeluarkan kata kata kesat yang tak sanggup nak dengar berulang kali. Isu yang diutarakan tidak dibincangkan, muat masuk pula isu isu lain untuk membesarkan perbalahan dan jurang pemisah.
Sebaliknya, Tidak ramai yang berminat meneliti wahyu bila kami kongsikan apa yang kami dapat, apa yang kami rasai, bagaimana kami tanggapi setiap bait petunjuk dari wahyu Allah. Kami sungguh2 kongsikan dengan sabar agar kita sama sama dapat nikmat, sama sama membuat islah (pembaikan), agar setiap amal kita mampu membawa perubahan (menjadi amal soleh). Hasil yang baik hanya didapati bila kita berjaya memahami dan mengikut dengan tepat cara hidup yang Allah tunjukkan (itulah Rububiah Allah).
Jihad itu satu usaha yang bermati matian ke arah mencari redha Allah. Kaedah berjihad itu SEMUANYA ada dalam alQur’an, kerana itu jika kita tidak mampu memahami apa MAHU nya Allah dalam urusan berjihad ini kita tidak akan ke mana, semakin hari keadaan semakin teruk dan meruncing. Kerana itu Allah perintahkan kita agar berjihad dengan alQuran agar kita jadi kebal dan kuat. Bukan untuk jadi kebal jasadnya, tapi kebal iman (kepercayaan, keyakinan) nya, kuat minda & semangatnya.
Perhatikan Surah 25. Al Furqaan (pembeda),
51. Dan andaikata Kami menghendaki benar-benarlah Kami utus pada tiap-tiap negeri seorang yang memberi peringatan.
Note: jika Rasulullah dahulu telah lakukan, kami juga hanya cuba mengikut sunnah rasul itu, sekadar memberi peringatan.
52. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan jihad yang besar.
Note : kafir adalah ingkar dari peringatan yang diberikan, sekalipun setelah jelas ianya dari kehendak Allah, melalui kitab sucinya, namun tetap ingkar juga.
53. Dan Dialah yang membiarkan dua laut yang mengalir; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.
Note : Sungguh peringatan ini akan mencipta dua lautan manusia, yang juga dicipta dari air itu. Iaitu perpecahan dua golongan yang berada di lautan yang segar (mutasyabihat/code breaking AIR ialah HIDAYAH), dan satu lagi di lautan yang masin kelat (hidayah syaitan). Benar2 kami lihat ada dinding pemisah yang hebat.
54. Dan Dia yang menciptakan makhluk daripada air, dan membuatnya sekeluarga melalui darah dan perkahwinan; Pemelihara (Tuhan) kamu maha Berkuasa.
Nota : Daripada air di mana kita berada itu kita terbentuk. Kamu adalah siapa kawan kawan kamu, kamu adalah siapa ibu bapa kamu, kamu adalah siapa pemimpin kamu, kamu adalah apa yang kamu baca, apa yang kamu dengar. Semua itu adalah aliran maklumat, hidayah berterusan yang akan membentuk akhlak & peradaban kita, yang membezakan insan berbanding haiwan. Perhatikan surah alBaqoroh (lembu betina), surah al-An’am (haiwan ternak), Buka surah 5, alMa’idah ayat 60, surah 7, al-a’raf 176, 179 dll.
55. Dan mereka sembah, selain daripada Allah, apa yang tidak memanfaatkan mereka, dan tidak juga memudaratkan mereka; dan orang yang ingkar (tidak yakin) adalah penyokong menentang Pemelihara (Tuhan) nya.
Nota : Itulah hakikatnya, idola (sembahan, pengagungan) kita sudah jauh tersasar. Parti, pemimpin yang kita jadikan idola, harta, pangkat, populariti & puja puji yang kita kejar, biarpun kita sering lihat parti sering di tubuh dan tutup, pemimpin silih berganti, lompat sana sini. Jikapun kekal tetap akan mati, Allah jua yang kekal. Jika kita kekal begini, kitalah penganjur penentangan kepada Allah.
Ini adalah dari surah Furqon, kami doakan semuga anda boleh membezakan yang baik dari yang buruk. Semuga pencerahan ini boleh memecahkan hati kita yang sekeras batu untuk tunduk patuh kepada kemahuan Allah, tolak tepilah seketika kemahuan kita.
Surah 10. Yunus 36. “Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”.
Janganlah jadi ikut-ikut, berperananlah sebagai khalifah agar sama sama kita boleh memikul amanah Allah berdasarkan perintahnya. Allah tahu samada kita benar benar telah memenuhi kehendaknya atau kita masih selfish, berbuat sekadar memenuhi citarasa sendiri dan mengikut pola fikir kita yang jumud dan ikut ikut.
Doa selamat untuk semua, untuk diri, keluarga dan negara tersayang.
Hasil perkongsian
WARGA PRIHATIN
www.prihatin.net.my