Kumpulan Prihatin Yang Diketuai Abid Menang Tempat Ke2 Agro-X-Race.
Posted: under Akhbar, Aktiviti Prihatin, Dakwah, Pendidikan, Politik.
Tags: ALI RUSTAM DATO SERI MELAKA, debate debat musyawarah politik umno pas pkr dap bn pr parlimen YB Najib Muhyidin perdana menteri malaysia obama yahudi nasrani islam dakwah alquran sunnah, JAWI, MASJUKI, MOHAMMAD ABID, SKILL-TECH, UTUSAN
WARGA PRIHATIN – Nov 21, 2009
Alhamdulillah, walaupun hanya menerima jemputan turutserta dalam pertandingan ini sehari sebelumnya, tanpa persediaan sama sekali, malah semalaman para peserta tidak tidur sebelum perlumbaan itu kerana membantu rakan-rakan membuat persiapan pameran dan lain-lain, kumpulan Anak-anak Warga Prihatin yang diberi nama `Kumpulan Prihatin’ ini telah berjaya memenangi tempat ke 2 dan membawa pulang hadiah tunai RM 1500 dan hamper.
Kumpulan ini terdiri dari Mohammad Abid Masjuki selaku ketua kumpulan, Syafaat Bin Mohamad Yazid, Jazreen Bin Johari dan Mohamad Afiq Bin Baharuddin. Mereka hanya tertinggal tidak sampai 1 minit dari pemenang pertama ke garisan penamat, berbanding dengan perbezaan 15 ke 30 minit antara kebanyakkan pemenang2 peserta yang lainnya.
Amatlah mengharukan apabila semua anak-anak yang terlibat dalam pertandingan, sekali lagi mewakafkan semua wang hadiah RM1,500 untuk perbelanjaan mengurus dan membangun Rumah Pengasih Warga Prihatin. “Kami bertanding atas nama Prihatin, bukan atas nama peribadi” kata mereka bersahaja semasa diminta berucap dalam majlis ringkas meraikan kejayaan dan penyerahan Wang Hadiah dari mereka. Seluruh Warga Prihatin menerimanya penuh kesyukuran dan bangga dengan jatidiri dan keperihatinan anak-anak ini.
Pengetua Warga Prihatin, Dr Hj Masjuki Musuri, para Pengurusan, para pendokong dan seluruh penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin turut hadir bagi memenuhi jemputan khas Pengerusi Executive Skill-Teck yang datang sendiri Ke Rumah ini di Kajang dan dari pihak Utusan yang menjemput melalui panggilan talipun. Di samping memberisokongan moral kepada anakanda Mohammad Abid – Icon Remaja kita bersama 3 lagi anak Prihatin yang dijemput khas menyertai pertandingan itu, kami juga turut mengambil peluang berekreasi bersama keluarga di samping memeriahkan suasana dan memberikan sokongan moral terhadap usaha murni Utusan dan Skill-Tech memartabatkan seni Jawi Warisan Melayu.
Kepada semua yang telah menunjukkan minat bagi mendapatkan maklumat semasa melawat gerai pameran RUMAH PENGASIH WARGA PRIHATIN kami ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Semuga anda mendapat sedikit sebanyak hidayah bagaimana kaedah Islam yang tepat perlu digunapakai untuk membangun keluarga, membina akhlak dan jati diri anak-anak hasil dari perkongsian maklumat dengan Warga Prihatin di pameran itu.
Sokongan moral dan perkongsian pengalaman dari anda, serta kejayaan demi kejayaan yang ditunjukkan oleh anak-anak Warga Prihatin benar-benar telah menaikkan semangat Warga Prihatin untuk terus berbakti dengan lebih baik dan bersungguh-sungguh. Segala puji bagi Allah jua. Alhamdulillah.
Sila Klik Tajuk untuk membaca berita di utusan.
400 pelajar sertai AgroXRace Utusan Melayu Mingguan
![]() |
|
Aktiviti sekitar Pertandingan AgroXRace anjuran akhbar Utusan Melayu Mingguan dan Institut Skill-Tech (Skill-Tech) di Durian Tunggal, Melaka, kelmarin.
|
ALOR GAJAH 22 Nov. – Pertandingan AgroXRace anjuran akhbar Utusan Melayu Mingguan dan Institut Skill-Tech (Skill-Tech) di sini berjaya menarik kira-kira 400 penyertaan daripada pelajar sekolah menengah antaranya dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Pertandingan tersebut merupakan komponen kedua penganjuran Pertandingan Seni Jawi Nusantara yang berlangsung sepanjang September lalu dan disertai 6,000 pelajar dari seluruh negara.
Berlangsung di Institut Skill Tech, Durian Tunggal di sini, pertandingan AgroXRace yang julung kali diadakan tahun ini berkonsepkan pencarian harta karun berasaskan produk pertanian dengan berpandukan tulisan jawi.
Selain bertujuan mengisi cuti persekolahan pelajar, pertandingan itu turut menekankan ketahanan minda dan fizikal pelajar serta memantapkan semangat berkumpulan di kalangan mereka.
Empat pelajar terbahagi kepada 80 kumpulan dan perlu mengatasi rintangan 10 kawasan dengan berpandukan tugasan dalam tulisan jawi yang berkaitan aktiviti pertanian seperti memindahkan ikan, membentuk origami haiwan, mengeja nama haiwan dan makan sayur peria.
Pada pertandingan itu, Kumpulan Al-Ehsan berjaya merangkul tempat pertama dengan catatan masa sejam 32 minit mengatasi Kumpulan Prihatin dengan masa satu jam 33 minit manakala tempat ketiga iaitu Islamic Desa dengan masa satu jam 50 minit.
Kumpulan Al-Ehsan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan hamper manakala tempat kedua wang tunai RM1,500, hamper dan tempat ketiga menerima wang tunai RM1,000 dan hamper.
Selain itu, 17 pasukan lain menerima hadiah sagu hati berupa hamper manakala sembilan kumpulan lain turut menerima hadiah khas yang disediakan oleh pihak penganjur.
Semua hadiah disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dengan diiringi Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bagi memeriahkan acara sehari itu antaranya jualan gerai buah-buahan, demonstrasi mencipta produk makanan berasaskan bahan agro, pertandingan kanak-kanak, pameran pertanian dan demonstrasi rawatan rambut.
Sementara itu menurut Nordin, pihaknya tidak menyangka penganjuran AgroXRace bersama akhbar Utusan mendapat sambutan amat menggalakkan apabila 800 penyertaan diterima di peringkat awal.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian penyertaan terpaksa ditolak memandangkan kapasiti Institut Skill-Tech yang seluas kira-kira 13 hektar hanya mampu menampung penyertaan seramai 400 pelajar.

Swasta digalak anjur program tulisan jawi

Pengetua & Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Dr Masjuki mengambil peluang bermesra dengan anak-anak dan Warga Prihatin sewaktu berbaris menyambut ketibaannya.
ALOR GAJAH 21 Nov. – Penglibatan golongan korporat dan swasta amat diperlukan dalam usaha untuk memartabatkan tulisan jawi di negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sekiranya golongan itu kurang menyerlah dan lebih gemar ‘berpeluk tubuh’, usaha kerajaan untuk memartabatkan tulisan jawi akan sia-sia.
Beliau berkata, sekiranya tiada pendekatan serius diambil dalam soal itu, tidak mustahil tulisan jawi bakal pupus ditelan zaman.
“Jika sudah ada usaha yang diambil sekarang ini pun, ia seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, tanpa memberi sebarang kesan jangka panjang untuk masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan AgroXRace anjuran akhbar Utusan Melayu Mingguan dan Institut Skill-Tech (Skill-Tech) di sini hari ini.
Seramai 400 pelajar sekolah menengah dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur termasuk Melaka menyertai program sehari itu yang buat pertama kali dianjurkan pada tahun ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff.
Sehubungan itu Mohd. Ali berkata, kerjasama Kumpulan Utusan dan Institut Skill-Tech menganjurkan pertandingan jawi melalui Seni Jawi Nusantara dan AgroXRace wajar dicontohi oleh pihak swasta lain.
Beliau berkata, ia bertujuan mengerakkan usaha memartabatkan tulisan jawi di kalangan generasi muda dengan lebih berkesan.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kita sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak dalam menganjurkan program tulisan jawi dan mahu usaha ini diteruskan pada masa depan demi memartabatkan tulisan jawi,” katanya.
Bagi tujuan itu juga, kata beliau, kerajaan negeri bercadang untuk memasukkan program pertandingan AgroXRace di Institut Skill-Tech, Durian Tunggal di sini, dalam kalendar pelancongan negeri.
“Kita dapati banyak faedah boleh diperolehi melalui program ini kerana selain pelajar dapat menguasai tulisan jawi, mereka juga berpeluang mengenali lebih dekat ilmu pertanian di Skill-Tech yang boleh dianggap sebagai produk pelancongan agro,” katanya.
Comments (3)
Nov 23 2009



















