Kunjungan PUSPANITA Kementerian Kewangan Mencipta Sejarah RPWP

Posted: under Aktiviti Prihatin, Dakwah, Jenayah/Sosial, Pendidikan, Politik.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Isnin, 21 Disember 2009 – WARGA PRIHATIN
IMG_4836

Ketibaan Kumpulan Pertama dengan bas Jabatan Akauntan Negara disambut mesra.

Pagi Isnin, 21 Disember 2009 merupakan pagi bersejarah bilamana Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) menerima kunjungan Kasih PUSPANITA yang pertama, iaitu dari PUSPANITA Kementerian Kewangan Malaysia.

Kunjungan yang disertai oleh kira-kira 30 wakil PUSPANITA dari Kementerian itu diketuai oleh 4 Pengerusi PUSPANITA dari Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Kewangan. Di antaranya adalah Y.Bhg. Puan Sri Hayati bt Omar, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian Kewangan, Y.Bhg. Datin Yang Fatimah bt Md. Piah, Pengerusi PUSPANITA Bank Negara Malaysia (BNM), Y. Bhg. Datin Norlizam bt Atan, Pengerusi PUSPANITA Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Y. Bhg. To’Puan Khamisah bt Hj. Affendi, Pengerusi PUSPANITA Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Ketibaan tetamu yang sampai dalam 4 kumpulan, sekitar jam 11 pagi itu disambut mesra dan meriah sekali dengan paluan kompang dan selawat yang bersemangat oleh Panjaga dan semua anak-anak RPWP. Sementara menanti ketibaan tetamuVIP yang terakhir, para tetamu yang datang awal diraikan di ruang tamu dengan ramah mesra dan suaikenal secara ringkas sambil menikmati minuman ringan.

 

Persembahan Yang Mendidik Dan Menenangkan Hati:

IMG_5292

Persembahan Yang Mendidik Dan Menenangkan Hati

Setelah keseluruhan tetamu sampai, majlis di Dewan dimulakan dengan alu-aluan dari Pengerusi Majlis dan bacaan doa oleh anak RPWP yang amat menyentuh hati dan memberikan banyak kesedaran kepada para hadirin.

Seterusnya majlis diserikan dengan persembahan nyanyian Lagu Prihatin oleh anak-anak tadika, diikuti oleh 2 Nasyid bertajuk “Ampuni Kami” dan “Amin-amin” oleh anak-anak peringkat Sekolah Rendah dan Menengah (Video ini ada di Youtube dan Facebook WP).

Sebelum menjemput Pengasas RPWP memberikan penerangan, seorang lagi wakil anak RPWP dijemput secara spontan (tidak dalam aturcara untuk persembahan) bagi menyampaikan pidato khas yang diberi tajuk “Pendidikan, Pendidikan, Pendidikan”. Pidato yang disampaikan dengan ringkas namun penuh bersemangat ini telah memukau para hadirin dengan isi yang padu, sangat menyentuh hati dan menyedarkan para anak-anak dan ibu bapa agar kembali peka dan prihatin terhadap fungsi pendidikan dalam pembangunan sebuah negara bangsa.

 

Rahsia Kewujudan dan Pendanaan RPWP

Di antara yang disentuh dalam ucapan yang disampaikan oleh Dr Hj Masjuki, Pengasas dan Pengetua RPWP ialah sejarah tertubuh dan berdirinya RPWP ini. Beliau menjelaskan bahawa beliau memulakan modal asal dengan mewakafkan seluruh harta, diri dan jiwanya. Bermula dari 3 buah rumah asal dan seluruh tapak rumah seluas 0.273 ekar dan RM30 ribu sebagai modal permulaan,  beliau mendapat sokongan padu dari 20 sahabat untuk sama-sama mendokong urusan selanjutnya samada dari segi pembiayaan bulanan maupun tenaga pengurusan.

En Khairuddin Md Nor salah seorang pendokong RPWP, juga merupakan pegawai Perhubungan Awam.

En Khairuddin Md Nor salah seorang pendokong RPWP, juga merupakan pegawai Perhubungan Awam.

Daripada 20 pendokong itu, hanya 12 sahabat sahaja yang mampu mengeluarkan sumbangan tetap secara bulanan di samping turut menyumbang tenaga dan masa. Baki 8 daripada 20 pendokong tidak dapat menyumbang dana kewangan kerana mereka juga merupakan golongan Asnaf yang memerlukan bantuan kewangan untuk hidup, namun mereka tidak mahu ketinggalan kerana sanggup bertugas sepenuh masa secara sukarela sebagai jurubina, penjaga dan tenaga pendidik kepada anak-anak jagaan.

Gandingan Harta yang di wakaf, diri-diri individu yang sanggup bertugas sepanuh masa, sumbangan ikhlas dana bulanan dari sahabat mengikut kemampuan masing-masing secara tetap untuk menampung kos pengurusan dan modal pembangunan adalah rahsia yang membolehkan RPWP dan semua aktivitinya berjalan lancar, tanpa meminta-minta,  walaupun amat sederhana sejak hampir 4 tahun lalu.

Di antara jaminan yang mampu diberikan kepada sahabat pendokong adalah, sekiranya berlaku apa saja kepada mereka dari kalangan Pendokong RPWP, keselamatan dan perlindungan terhadap keluarga mereka adalah menjadi tanggungan RPWP,  khususnya dalam memantau akhlak dan kesejahteraan anak-anak yatim yang memerlukan bimbingan, pemantauan dan kasih sayang.

Hakikat Puasa dan Zakat Sebagai Tunggak Pembangunan RPWP.

Di tanya bagaimana dengan dana sedikit ini masih mampu meneruskan hidup, sedangkan Dr Masjuki dan isterinya, bekas Guru Sekolah Menengah telah tiada lagi sumber pendapatan lain? beliau menjawab – hargai pengorbanan rakan yang memberikan sumbangan dan amalkan konsep jimat cermat. Dalam bahasa mudahnya ialah berpuasa secara hakikat dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Hakikat puasa itu dijelaskan dengan menunjukkan amalan menggunakan bahan terpakai atau terbuang dan tidak membazirkan apa saja bahan binaan yang ada. Rumah tidak boleh dibina oleh kontraktor komersial kerana hampir sepenuhnya menggunakan barang terpakai. Itu menjadi salah satu sebab tambahan mengapa ia dibina secara gotong royong sejak hampir 4 tahun dahulu.

 

Rahsia Kesamarataan Menambah Keserasian

Rahsia Kesamarataan Menambah Keserasian

Rahsia Kesamarataan.

Satu rahsia besar di mana insan-insan dari golongan Asnaf yang dilindungi dan para pendokong di RPWP yang menghulurkan sumbangan bulanan ini boleh berkeluarga dan bekerjasama tanpa batas ialah konsep kesamarataan yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Beliau yang ditanya oleh tetamu VIP mengenai hal itu turut menunjukkan 2 jejaka yang kebetulan berdiri di kiri-kanan beliau di atas pentas. Di sebelah kanan adalah seorang sahabat pendokong, seorang pegawai Bank yang menghulurkan sumbangan bulanan, di mana jejaka di sebelah kiri merupakan golongan Asnaf dan petugas Sukarela sepenuh masa yang dibiayai sepenuhnya oleh tabung RPWP.

Namun di dalam majlis atau sepanjang sewaktu bergotong royong, mereka tidak akan dapat dibezakan kerana semuanya telah memakai pakaian dan melakukan tugasan yang sama tanpa mengira darjat dan pangkat mereka.

Begitu juga dengan pakaian dan layanan terhadap anak-anak Asnaf yg disamaratakan dengan anak-anak pendokong bilamana mereka disatukan dalam apa saja aktiviti. Hasilnya, anak-anak asnaf tidak merasa rendah diri. Ia juga memberikan kesedaran kepada anak-anak pendokong yg bernasib baik dalam kehidupan keluarganya agar sentiasa bersyukur, tidak membazir dan meninggi diri dalam kehidupan mereka. Mereka dididik untuk hidup bersama, berkasih sayang dan berlumba-lumba secara positif sebagai sebuah keluarga.  Anak Yatim yang kehilangan ibu atau bapa akan mendapat ganti 20 ibu dan bapa untuk tidak terlalu merasakan kehilangan itu. Yang dihimpit kemiskinan tidak merasakan kesusahan itu apabila mereka turut merasai kehidupan normal di RPWP hasil sumbangan pendokong tetap. Yang lemah akademik, yang kurang baik tahap akhlaknya diperbaiki bersama rakan-rakan yang normal melalui konsep tampung menampung, tegur menegur ketika mereka disatukan di rumah ini.

Pentingnya peranan seorang pendokong RPWP

Pentingnya peranan seorang pendokong RPWP

Anak Permata Negara

Pendidikan akhlak merupakan matlamat utama di RPWP dan dari situ segala usaha digembeling untuk memajukan pencapaian akademik mereka. Anak-anak turut dibekalkan dengan pelbagai peralatan moden seperti makmal komputer dengan talian internet yang disumbangkan oleh En. Huzir, seorang Graduan IT dari Amerika dan merupakan sahabat facebook dari Kedah.

Mereka juga dibekalkan dengan peralatan muzik, pelbagai alat Elektronik, PA System, kompang, peralatan sukan, indoor game, kolam untuk belajar berenang, kamera dan lain-lain. Mereka turut diperkenalkan dengan pelbagai peralatan bengkel, pembinaan dan pertukangan serta kemahiran penggunaannya semasa memerhatikan pembinaan pembesaran rumah yang sedang dijalankan selama ini. Yang penting adalah mendidik mereka menggunakan semua peralatan itu dengan kefahaman ilmu, dengan izin dan terpantau.

Anak Permata Negara

Anak Permata Negara

Seluruh kompleks ini dipasang dengan cctv untuk tujuan pemantauan segala macam gelagat anak-anak, terutamanya apabila melibatkan berbagai kemungkinan salah laku. Ini adalah kerana bukan semua anak-anak ini masuk dengan akhlak yang baik. Konsep apitan, pemantauan dan peringatan dari kalangan 20 ibu bapa dan 65 rakan serumah merupakan faktur penampung yang membolehkan proses pembaikan anak-anak yang telah disahkan rosak akhlaknya boleh berlaku di RPWP ini.

Menceritakan kebimbangan tentang gejala sosial yang telah keterlaluan, khususnya di kalangan anak-anak  dewasa ini, beliau menjelaskan semua 20 keluarga pendokong sepakat untuk berusaha keras mewujudkan sampel atau prototaip masyarakat penyayang di kalangan keluarga dan anak-anak sebagai contoh kepada masyarakat dunia. Apa yang ingin ditonjolkan ialah betapa penting menyediakan masyarakat yang selamat untuk menjadi tempat anak-anak bergaul, hidup bekerjasama, tolong menolong dan berkasih sayang, tanpa mengira agama dan warna kulit.

Inilah amalan konsep 1Malaysia yang telah dijadikan prinsip asas oleh RPWP sejak awal penubuhannya. Alhamdulillah konsep 1Malaysia yang diamalkan telah diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu. Ini dibuktikan melalui mesej yang diterima, dan komen-komen di facebook, lawatan keluarga, Persatuan, Sekolah-sekolah bukan Melayu bahkan syarikat-syarikat persendirian bukan Melayu ke RPWP atau menjemput RPWP ke tempat mereka.

Anak-anak yang terdidik dengan ilmu pengetahuan dan sahsiah yang mantap tidak akan mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial, gangguan anasir jahat seperti polemik perkauman, perbezaan agama, perbezaan fahaman politik, pelbagai ajaran sesat dan sebagainya. Generasi yang berilmu dan berprinsip dalam hidup akan sentiasa tenang dan yakin, tidak mudah terpengaruh untuk melakukan keganasan, melakukan demonstrasi, adu domba dan menambahkan kekalutan atau huru hara dalam masyarakat.

Anak Permata Negara

Anak Permata Negara

Beliau turut menampakkan contoh paling ketara dalam majlis itu, bagaimana anak-anak mengikut jejak ibu bapa yang dilihat sentiasa berkorban masa, wang ringgit, bergotong royong seperti sebuah keluarga dalam kerja-kerja kebajikan.

Beliau mengambil contoh seorang anak RPWP yang mewakafkan hadiah kemenangan tempat pertama di Peraduan Seni Khat Seluruh Nusantara anjuran Utusan Malaysia berjumlah RM2000 kepada RPWP baru baru ini. Anak yang sama turut dijemput oleh pihak Utusan mengetuai 4 anak Prihatin dalam pertandingan Agro-Race di Melaka dan memenangi tempat kedua. Sekali lagi mereka berempat sepakat untuk menyerahkan hadiah tunai RM1500 kepada RPWP secara spontan. Kedua-dua contoh ini memberikan kejutan kepada pihak WP, pihak Utusan, pihak Sekolah dan Skill-tech Institute yang menjadi penganjur pertandingan.

 

Sumbangan dan Peranan Kerajaan

Ditanya mengapa tidak meminta peruntukan dari geran kebajikan yang disediakan kerajaan, Dr masjuki menjawab, RPWP harus akur dengan persyaratan kerajaan yang hanya akan mendaftarkan Rumah Kebajikan seumpama ini setelah prasarananya sempurna sedangkan RPWP masih dalam proses pembesaran yang memakan masa agak lama. Walaupun setuju dengan alasan itu, tetamu VIP berpendapat kerajaan, khususnya YAB Perdana Menteri melalui isterinya yang juga penaung PUSPANITA dan Dato’ Seri Shahrizat selaku Menteri yang berkenaan seharusnya dimaklumkan tentang usaha murni dan kejayaan RPWP yang telah dicapai setakat ini. Mereka turut bertekat akan menyampaikan berita ini kepada pihak-pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

Sumbangan Dihulur Kkepada RPWP

Sumbangan Dihulur Kkepada RPWP

Sebelum majlis berakhir, pihak PUSPANITA turut menyampaikan sumbangan berupa tunai dan Cek dari wakil jabatan-jabatan yang hadir. Semua tetamu yang hadir di jamu dengan makan tengahari ala kampung dan mengambil peluang melawat seluruh kompleks RPWP dalam 2 kumpulan sebelum berangkat pulang.

Kepiluan tidak dapat ditahan apabila ada di kalangan tetamu yang hadir menitiskan airmata semasa lawatan di sekitar kompleks RPWP. Perasaan sayu dan pilu menyelubungi seluruh warga RPWP ketika menyaksikan kepulangan mereka. Jalinan kasih sayang dan kesyahduan tidak dapat digambarkan, khasnya sewaktu melaungkan selawat mengiringi keberangkatan pulang kumpulan terakhir yang menaiki bas jabatan. Dua pegawai keturunan Cina yang turut hadir turut tidak dapat menyembunyikan kepiluan dan berulangkali berjanji untuk datang semula bersama keluarga mereka.

Hanya tuhan saja yang tahu betapa besarnya kegembiraan dan kesyukuran yang terbit dari lawatan ini. Apa pun seperti biasa, sama-sama kita serahkan kepada Allah segala pujian dan menerima hakikat masih banyak yang harus di perbaiki, dari kelemahan peribadi masing-masing. “Tak dapat saya fikir masih ada insan yang sanggup menyerahkan seluruh harta mereka dan berkorban sebegini rupa untuk kerja kebajikan seperti ini..” adalah antara ungkapan yang tidak putus-putus keluar dari bibir beberapa dari kalangan tetamu dan VIP yang hadir.

Lapuran ini tidak sekali-kali akan dapat menggambarkan suasana sebenar sehingga anda melihat sendiri album gambar yang dimuatkan di Facebook WP atau di album gambar web www.prihatin.net.my

Alhamdulillah.

 

WARGA PRIHATIN – prihatin@live.com

Comments (9) Dec 22 2009





>

Login






Lost password?

Calendar

September 2010
M T W T F S S
« Jun    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Categories


Recent Posts


Recent Comments


Archives


Blogroll


StatPress

Visits today: 129

  • Log in
  • Valid XHTML
  • XFN
  • WordPress