PEMBINAAN RUMAH PENGASIH WARGA PRIHATIN & PROGRAM PENGISIAN MINGGUAN BERKONSEPKAN ANAK PERMATA NEGARA
Alhamdulillah’ R&D melihat tiada siapa yang akan membangun hasil kajian jika tidak penyelidik sendiri membuktikan kebenaran hasil kajiannya. Oleh itu program tersebut telah dijalankan secara mingguan sejak 2006 tanpa henti. Perkembangan Pendidikan keluarga jelas dapat diukur dari pembentukan akhlak dan peningkatan pencapaian akademik anak-anak ahli, peningkatan tahap kasih-sayang & kebahgiaan keluarga-keluarga ahli dan kejayaan program pembinaan dan pembesaran (3 tingkat) Rumah Pengasih dengan biaya sendiri.
Program mingguan ini disertai oleh para bapa (gotong-royong pembinaan), kaum ibu (memasak & pendidikan) serta anak-anak (pendidikan akademik, akhlak & apresiasi kesenian).
Dalam merealisasikan missi kebajikan dan dakwah berasaskan Amar Makruf Nahyil Mungkar ini, maka Unit R&D telah mengambil langkah menubuhkan cawangan PEMADAM yang selari dengan matlamat RUMAH PENGASIH di Kompleks R&D Sg Ramal sebagai saluran Khidmat Masyarakat melalui Pendidikan dan kebajikan Keluarga sepertimana dalam lapuran berikut.
LAPURAN AKTIVITI TAHUNAN RUMAH PENGASIH, UNIT R&D PEKIDA W.P. DAN PEMADAM UNIT SG RAMAL BARU
- Penganjuran majlis atau event khusus
- Program Mingguan melibatkan ahli dan seluruh keluarga Ahli.
- Ketetapan zon larangan merokok
- Khidmat masyarakat Biro Kaunseling sebagai usaha pemulihan mangsa dadah, gejala sosial anak-anak dan khidmat nasihat kepada keluarga yang terlibat.
- Perkhidmatan masyarakat terhadap Golongan kurang bernasib baik seperti Mangsa bencana alam, OKU, anak yatim, warga emas, fakir miskin, ibu tunggal dll.
Senarai Program / Event Khusus Tarikh
Tersenarai hanya sehingga April 2008.
- Program Berbasikal Remaja Benci Dadah 31/12/2006
- Majlis keluarga Aidil Adha 2006 01/01/2007
- Gotong Royong Bersama Penduduk Sg Ramal 13/01/2007
- Majlis Perpisahan Meraikan Pegawai Daerah Lama & Baru 13/01/2007
- Forum Maal Hijrah 1428 H bersama JAKIM 20/01/2007
- Majlis Pecah Tanah Rumah Pengasih 20/01/2007
- Sambutan Harijadi Datuk Dr Ujang 17/03/2007
- Penganjuran Maulidurrasul Peringkat Daerah Hulu Langat 01/04/2007
- Mesyuarat Agung PEMADAM Hulu Langat 14/04/2007
- Majlis Keraian Urusetia Maulidurrasul 21/04/2007
- Majlis Keluarga Aidilfitri 2007 13/10/2007
- Program Ziarah Ke Rumah-Rumah & Marhaban Aidilfitri Okt 2007
- Lawatan Pelajar Jurusan Undang-Undang USIM 23/11/2007
- Lawatan Persatuan Pelajar Pre-sience UIAM 16/12/2007
- Majlis Keluarga Malam AidilAdha 2007 20/12/2007
- Perkampungan Motivasi Keluarga – Perak 23/12/2007
- Charity Dinner di UIAM 16/02/2008
- Mesyuarat Agung Tahunan Unit Sg Ramal 2007/2008 20/02/2008
- Perarakan Maulidurrasul Putrajaya Anjuran KEMAS WP 20/03/2008
- Lawatan BIRO Hal Ehwal Wanita PEMADAM Ulu Langat 13/04/2008
1. Program Berbasikal Remaja Benci Dadah
Majlis telah diadakan di perkarangan masjid Kajang dan telah dirasmikan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Langat, diketuai oleh Y.Bhg Datuk Dr Ujang bin Bagong, J.P. Anggota unit yang berpakaian lengkap turut dijemput untuk menyampaikan bacaan doa, nyanyian nasyid, marhaban, takbir raya, kompang dan sebagainya.
2. Majlis keluarga Aidil Adha 2006 01/01/2007
Datuk Ujang yang merasa terharu atas persiapan dan perjalanan majlis ini dengan sukacita menyumbang RM 1000 sebagai menampung kos majlis serta bantuan kepada fakir miskin di bawah naungan Unit ini.
3. Gotong Royong Bersama Penduduk Sg Ramal 13/01/2007
4. Majlis Perpisahan Meraikan Pegawai Daerah Lama & Baru 13/01/2007
Majlis yang dihadiri oleh sekitar 100 orang tetamu itu turut di hadiri oleh Y.Bhg Datuk Dr Ujang Bin Bagong selaku pengucaptama dan tuan rumah.
5. Forum Maal Hijrah – 1428 H bersama JAKIM, 20/01/2007
Forum yang diadakan pada jam 10.30 pagi hingga jam 12.30 pagi itu dihadiri oleh anggota–anggota dan keluarga Unit Pemadam Cawangan Sg Ramal Baru serta beberapa ahli PEMADAM dari luar kawasan.
Dalam ceramahnya Ustaz Haji Mat Radzi dari JAKIM menyeru agar umat Islam di Malaysia mendokong pendekatan Islam Hadhari yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan telah mula menjadi tumpuan dan diterima pakai oleh negara Islam sedunia. Beliau yang turut membacakan 10 prinsip-prinsip Islam Hadhari kepada hadirin kelihatan amat berpuashati dengan sambutan hangat dan sangat berdisiplin dari para hadirin.
Sementara itu, Dr Hj Masjuki menambah seruan dengan tegas dan jelas agar umat Islam tidak lagi merasa was-was untuk menyokong usaha kerajaan membangun masyarakat melalui pendekatan Islam Hadhari. Menurut beliau, sesiapa yang menolak atau menidakkan usaha YAB Perdana Menteri untuk menjayakan Islam Hadhari adalah orang yang jahil dan tidak peka terhadap kejatuhan Islam masa kini.
Dr Hj Masjuki menyatakan bahawa Islam Hadhari adalah tamadun Islam sebenar yang telah semakin hilang dan perlu dihadhirkan atau ditamadunkan semula. Umat Islam telah berpecah belah, bermula dari peringkat keluarga, kampung, negeri dan seluruh dunia. Umat Islam adalah juara kepada keruntuhan akhlak di Malaysia seperti dadah, lepak, judi, rempit, sumbang mahram dan sebagainya. Umat Islam juga jahil tentang agamanya sendiri, tidak bersungguh-sungguh membaca dan memahami kitab suci agamanya sendiri, hidup beragama dalam keadaan ikut-ikut semata-mata. Akhirnya mereka mudah terpesong dan dipesongkan, termasuk gejala keluar agama yang agak serius melanda umat Islam masa kini.
6. Majlis Perasmian PEMADAM Unit Sungai Ramal Baru dan Majlis Pecah Tanah Rumah Pengasih Datuk Dr. Ujang B. Bagong, J.P. – 20/01/2007
Dalam majlis itu Datuk Dr Ujang turut menyampaikan ucapan dan menyampaikan cek sumbangan sebanyak RM 11,111.11 kepada mangsa banjir kepada TV3, serta RM 6,666 untuk pembinaan Rumah Pengasih. Beliau yang kelihatan sangat berpuashati dengan aturcara majlis turut mengajak semua ahli PEMADAM bersatuhati dan saling membantu dalam usaha pembasmian Dadah.
Tuan Pegawai Daerah yang mewakili YB Datuk Dr Amran Kasimin turut mengumumkan peruntukan sumbangan kerajaan sebanyak RM 1,500 sewaktu menyampaikan ucapan perasmiannya. Beliau turut berbangga dengan kesungguhan penyusunan dan perlaksanaan aktiviti unit yang baru dilahirkan ini.
YB Datuk Hoe He Lee yang turut berucap menyatakan rasa kagum dengan disiplin ahli yang dapat dilihat dari cara berpakaian, cara kerja dalam pengurusan majlis dan persembahan pentas yang dilaksanakan. Beliau turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM 2.000 sebagai menyatakan sokongan peribadi terhadap program jangkapanjang Rumah Pengasih Datuk Dr Ujang ini.
7. Sambutan Harijadi Datuk Dr Ujang – 17/03/2007
Keseluruhan tetamu yang hadir adalah sekitar 200 orang, termasuk Tuan Pengerusi PEMADAM Daerah Hulu Langat, Tuan Hj Zainal Abidin bin Aala, YB Hoe Hee Lee, YB Lau Lee Leng dan ramai lagi.
8. Penganjuran Maulidurrasul 1428H Peringkat Daerah Hulu Langat – 01/04/2007
Majlis yang dirasmikan oleh Y.Bhg Tuan Pegawai Daerah ini turut diserikan dengan kehadiran Orang Besar Daerah, Tuan Kadi Daerah, Ketua Polis Daerah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Pengarah Pembangunan Wilayah, Jabatan Perdana Menteri, ketua-ketua jabatan Kerajaan dan wakil-wakil NGO. Penceramah agama telah disampaikan oleh wakil Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.
Keunikan program ini adalah di mana pihak penganjur berjaya menonjolkan pendekatan dakwah melalui event dengan cetakan buku manual dan juga penglibatan golongan belia utk turut sama menguruskan dan mengikuti majlis ini sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari. Datuk Dr Ujang bin Bagong J.P juga telah berjaya mencatatkan sejarah apabila menjadi satu-satunya dermawan yang menyumbang secara besar-besaran dan terlibat secara terus dengan program ini.
Tidak ketinggalan layanan baik urusetia kepada pihak media dan juru gambar yang sentiasa dipayungi daripada panas dan hujan serta diiringi oleh pasukan penyambut tetamu sepanjang masa menjalankan tugas.
9. Mesyuarat Agung PEMADAM Hulu Langat – 14/04/2007
Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr Hj Mat Yasir Bin Hj Ikhsan selaku Pengerusi PEMADAM Negeri Selangor. Turut hadir adalah Datuk Dr Ujang Bin Bagong, J.P selaku Timbalan Pengerusi, YB Datuk Lau Lee Leng selaku Bendahari serta para AJK PEMADAM Daerah Hulu Langat. Datuk Dr Ujang Bin Bagong dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah serta penghargaan di atas kerja keras unit PEMADAM Sg Ramal Baru demi memastikan kejayaan program Maulidurrasul 1428 H yang lalu. Ia menurut beliau telah benar-benar mengharumkan nama PEMADAM dan nama Tuan Pegawai Daerah selaku Pengerusi PEMADAM Daerah ini.
10. Majlis Keraian Urusetia Maulidurrasul – 21/04/2007
Majlis makan malam itu telah dirasmikan dan disempurnakan penyampaian sijil penyertaannya oleh Y.Bhg Datuk Zaidi selaku Naib Pengerusi PEMADAM Daerah Hulu Langat dan dihadiri oleh kira-kira 100 orang urusetia termasuk para jurugambar profesional dari anggota Sekolah Fotografi Maya dan Candid Syndrome – The Colours of Asia, para pelajar UPM dan wakil-wakil urusetia dari pihak kerajaan, Swasta dan badan NGO.
11. Majlis keluarga Aidilfitri 2007 – 13/10/2007
12. Program Ziarah Rumah Ke Rumah & Marhaban Aidilfitri – Okt 2007
Sepanjang program ini jemaah dapat mengenali situasi rumah dan kekeluargaan setiap anggota untuk menambah rasa kekitaan dan kemesraan sesama ahli.
13. Lawatan Persatuan Pelajar Pre-sains UIAM – 16/12/2007
Setelah selesai bersarapan bersama, rombongan pelawat telah dijemput untuk sama-sama bergotong-royong menyiapkan kerja-kerja pembinaan Rumah Pengasih yang masih lagi dalam peringkat awal pembinaan. Walaupun berada dalam terik matahari, tetamu-tetamu telah menunjukkan semangat yang sungguh memberangsangkan. Sebahagian pelajar-pelajar ada yang ditugaskan untuk menghiburkan anak-anak warga Rumah Pengasih.
Selepas makan tengahari dan solat zuhur bersama-sama, satu majlis alu-aluan telah diadakan yang diserikan dengan hiburan dalam bentuk ‘live band’ dan nasyid oleh anak-anak ahli pemadam Sg Ramal Baru serta ucapan Pengurus Rumah Pengasih Datuk Dr Ujang merangkap Ketua Unit Pemadam Sg Ramal Baru, Dr. Hj Masjuki B. Mohd Musuri.
Hasil dari lawatan dan taklimat tersebut, pelajar-pelajar UIAM telah memahami aspek penghindaran penyalahgunaan najis dadah serta memberikan ulasan yang sangat baik terhadap perlaksanaan Rumah Pengasih ini.
14. Lawatan Pelajar Jurusan Undang-undang USIM – 23/11/2007
Hasil dari pertemuan tersebut, tetamu-tetamu yang berlatarbelakangkan pendidikan agama tersentuh dengan kaedah mendidik anak-anak melalui program motivasi mingguan yang diterapkan di Rumah Pengasih ini dalam usaha memberi pendidikan moral dan kesedaran sosial yang menjurus kepada pencegahan dari gejala najis dadah secara total.
15. Majlis keluarga Malam AidilAdha 2007 – 20/12/2007
16. Perkampungan Motivasi Keluarga – K.Kangsar, Perak – 23/12/2007
17. Charity Dinner di UIAM Gombak – 16/02/2008
Pihak penganjur telah memberi sumbangan kewangan sebanyak RM 1000.00 untuk tujuan pembinaan Rumah Pengasih dan juga sumbangan berbentuk pakaian terpakai, buku-buku bacaan umum, makanan dan juga cenderahati sebagai tanda ingatan. Sebagai membalas budi atas jemputan dan sumbangan tersebut, anak-anak Unit PEMADAM Sg Ramal Baru telah berkenan untuk memenuhi permintaan penganjur dengan mengadakan persembahan yang memukau para hadirin berbentuk nasyid, pidato / sajak yang membawa mesej kehidupan dan pencegahan dadah di hadapan lebih kurang 100 orang tetamu yang hadir. Tetamu juga telah disajikan dengan hidangan makan malam yang enak dan persembahan nasyid oleh kumpulan Brothers serta persembahan pelajar UIAM.
18. Mesyuarat Agung Unit Sg Ramal 2007/2008 20/02/2008
Seramai 52 ahli termasuk Pengerusi dan seluruh AJK Unit telah hadir dalam mesyuarat tersebut yang telah berjalan dalam suasana penuh kekeluargaan dan harmoni. Datuk Dr Ujang juga telah dengan bermurah hati memberikan sumbangan RM200 untuk menampung kos perbelanjaan mesyuarat tersebut.
Datuk Ujang dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan bersyukur di atas usaha gigih semua ahli-ahli Unit ini yang jelas menunjukkan komitmen mendalam dalam menjayakan segala aktiviti Unit yang menampakkan keunikkan yang tersendiri, khususnya dalam usaha pembinaan dan pengendalian Rumah Pengasih Datuk Dr Ujang ini. Aktiviti unit ini sepatutnya menjadi contoh dan ikutan kepada unit-unit lain. Beliau menyeru agar aktiviti mulia serta kemuafakatan yang mantap dalam unit ini diteruskan walau apa pun rintangan yang harus dilalui.
19. Perarakan Maulidurrasul Putrajaya Anjuran KEMAS WP 20/03/2008
Perarakan telah disertai oleh kira-kira 5 ribu orang dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Mulia Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang telah menunjukkan rasa kagum dengan keseragaman pakaian jemaah, keunikkan serta kesungguhan laungan selawat dan beliau telah bermurah hati untuk bergambar ramai bersama jemaah sebelum bersurai.
20. Lawatan BIRO Hal Ehwal Wanita PEMADAM Hulu Langat 13/04/2008
Rombongan telah disertai oleh 10 orang wakil dan tiba jam 3 petang, disambut meriah oleh ahli-ahli PEMADAM Unit Sg Ramal Baru, penghuni Rumah Pengasih serta anak-anak. Taklimat dan lawatan kawasan telah dilakukan oleh En. Khairuddin selaku Timbalan Pengerusi Unit PEMADAM Sg Ramal Baru. Sementara itu perkongsian taklimat telah disempurnakan melalui ucapan oleh Dr Hj Masjuki Hj Mohd Musuri, selaku Pengerusi Unit serta Pengetua Rumah Pengasih Datuk Dr Ujang Bin Bagong, J.P.
Tetamu turut terpukau dengan persembahan pentas oleh anak-anak yang bersama-sama meraikan tetamu yang hadir. Turut berucap dalam majlis itu ialah En. Azman selaku Setiausaha Kehurmat PEMADAM Daerah Hulu Langat serta ketua Biro Wanita Puan Hajah Haslinda yang rata-rata menyatakan kekaguman terhadap keberkesanan seluruh program yang diadakan di unit ini. Mereka turut menyatakan harapan agar apa yang dilaksanakan di unit ini dapat diteruskan untuk dijadikan model atau proto-type bagi merangka perlaksanaan program unit-unit lain dan berharap Unit ini bersedia untuk berkongsi ilmu serta pengalaman yang ada.
Para tetamu di sajikan dengan Hi-tea sebelum bersurai kira-kira jam 6 petang.
PROGRAM-PROGRAM MINGGUAN MELIBATKAN AHLI, SELURUH KELUARGA DAN GOLONGAN SASARAN DI KALANGAN ANGGOTA MASYARAKAT.
• Perjumpaan Ibubapa – setiap hari Rabu
Hasilnya didapati setiap bapa amat memerlukan bimbingan untuk dapat berperanan dalam keluarga masing-masing dengan berkesan. Perkongsian pengalaman melalui program ini dapat meluaskan lagi pengalaman dan pelajaran dalam mengendalikan segala permasalahan keluarga dengan lebih berkesan.
• Perjumpaan kaum ibu – setiap hari Jumaat
Dalam program ini, anak-anak yang telah berakal (sekitar 12 tahun ke atas) turut dijemput untuk menimba ilmu secara istiqomah (berterusan) untuk memahami kesungguhan ibu-bapa dalam usaha pencegahan Najis DADAH. Fakta saintifik dan kesan negetif jangkapanjang yang disampaikan secara berterusan turut memberikan kesedaran kepada mereka, bukan saja untuk kesedaran diri sendiri, malah untuk membantu keluarga membimbing adik-adik ke arah yang sama.
• Gotong Royong Pembinaan Rumah Pengasih & Perjumpaan Keluarga Besar Warga Prihatin – Setiap Ahad
Dalam program yang bermula sekitar jam 10 pagi – 6 petang ini, para bapa diminta turut menunjukkan kesedaran yang mendalam dengan amal diri berupa sumbangan tenaga dan wang ringgit untuk membantu pembinaan dan pembesaran Rumah Pengasih melalui konsep gotong royong.
Para ibu pula dibahagikan kepada beberapa kumpulan di mana sebahgian mereka akan bersama-sama memasak untuk menyediakan juadah, sebahgian lagi menguruskan kelas akademik serta pembangunan akhlak anak-anak mengikut kemahiran masing-masing, bermula dari kelas tadika, sekolah rendah dan menengah.
Sepanjang hari mereka akan makan tengahari dan minum petang bersama. Sebelum pulang, mereka akan berhimpun untuk mendengar luahan hati anak-anak serta menikmati persembahan pentas mingguan anak-anak.
Dengan program ini, seluruh isi keluarga yang hadir akan membentuk semangat berkerjasama, bersuaikenal dan menjalin hubungan kekeluarga dalam skala keluarga yang lebih besar sebagai satu program PEMBANGUNAN MODAL INSAN yang menyeluruh. Setiap anak akan saling diperhatikan dan menerima teguran dan pendidikan dari mana-mana ayah atau ibu-ibu yang hadir tanpa batas.
KETETAPAN ZON LARANGAN MEROKOK
KHIDMAT MASYARAKAT RUMAH PENGASIH
- USAHA PEMULIHAN MANGSA DADAH, KERUNTUHAN AKHLAK SERTA KHIDMAT NASIHAT KEPADA KELUARGA MANGSA.
- BANTUAN BENCANA ALAM
- PEMELIHARAAN ANAK YATIM, OKU, FAKIR MISKIN, IBU TUNGGAL & WARGA EMAS
Alhamdulillah. Berkat hidayah Allah, program yang kami lakukan banyak memberikan kesan positif dan berkekalan. Semuga semua yang terlibat mendapat redo Allah selamanya.
_______________________________________________________________

Rumah diperteguh falsafah
HAMZAH ABDUL HAMID
hamzahabdulhamid@kosmo.com.my

Rumah Pengasih Warga Prihatin bukan sahaja menyediakan tempat perlindungan
anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU), malah mementingkan perkembangan
sahsiah, jati diri dan survival kehidupan kesemua penghuninya.
SEJARAH kewujudannya bermula dengan sebuah kediaman setingkat. Terletak di atas
sebuah tanah persendirian seluas 0.273 ekar, apa yang boleh dilihat
kini adalah fizikalnya yang sedang mengalami transisi.
Rumah di Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor ini sedang diperbesar menjadi
sebuah kediaman tiga tingkat termasuk penyambungan beberapa binaan fungsi di
sekelilingnya.
Biarpun kerja ubah elok masih jauh daripada sempurna, lebih-lebih lagi melihatkan
timbunan kayu dan rangka keluli di halamannya yang berdebu pasir, tiada langsung
ada petanda bahawa ia bakal menjadi projek yang tidak terbela.
Kalau dinilai tentang material binaannya, ia seolah-olah mencabar syarat minimum
kualiti pembinaan.
Lalu terlintas di fikiran, mengapakah rumah ini begitu istimewa? Apakah pula
tujuan pembinaannya?
“Rumah adalah unit asas yang menempatkan penghuni di dalamnya sekali
gus menterjemah kepimpinan sebuah keluarga,” kata seorang lelaki yang
duduk di kerusi roda di hadapan penulis.
Difahamkan bahawa tulang paha kirinya telah patah akibat terjatuh dari pelantar
ketika sedang sibuk membuat kerja-kerja pembinaan rumah tersebut pada subuh
26 Oktober lalu.

Sesekali memperbetulkan letak duduk kakinya saat dirasakan kurang selesa, Dr.
Masjuki Mohd. Musuri terus ramah berkongsi cerita.
Menurut pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin itu, bangunan kediamannya yang
sudah ‘diwakafkan’ menjadi pusat aktiviti kumpulan tersebut begitu
unik. Ini kerana kerana keseluruhan proses pembinaannya adalah hasil pengorbanan
dan kerja tangan pendokong-pendokongnya sendiri.
“Kami berhempas pulas membanting tenaga membangunkannya dengan dana yang
sangat terhad. Ada juga menerima tajaan ikhlas pihak tertentu, tetapi selebihnya
adalah sumbangan sebahagian pendapatan daripada 20 keluarga asal Warga Prihatin,”
ujarnya yang mesra menyambut sapaan isi rumah yang memanggilnya dengan gelaran
‘ayahanda’.
Tanpa bantuan kerajaan, rumah yang dijangka dapat menampung kehadiran lebih
200 orang keluarga besar Warga Prihatin ini dibangunkan secara berperingkat
dengan memanfaatkan bahan terpakai dan terbuang, seperti kayu dan keluli yang
diguna semula
“Sumber kewangan juga dikumpulkan daripada pengamalan konsep puasa secara
hakikat. Konsep yang dimaksudkan itu adalah dengan mengoptimum perbelanjaan,”
jelasnya.


PERHATIKAN pada wajah anak-anak muda ini. Siapakah idola yang mereka contohi
untuk menjadi insan yang indah pekerti, tinggi pencapaian hidup, seterusnya
kenal erti mencurah bakti?
Kata Masjuki, antara konsep puasa adalah dengan membelanjakan perkara yang perlu
sahaja. Misalnya, warga Prihatin yang dahulunya membelanjakan sehingga RM200
sebulan untuk rokok, berjaya berfikir secara realistik untuk menyalurkan belanja
itu ke dalam tabung pembinaan Rumah Pengasih.
Semua itu berkat pemahaman dan muafakat mereka dalam mendasari konsep kebajikan
dan kebaktian, sebagaimana yang dianjurkan dalam pelbagai aktiviti komuniti
mereka setiap minggu.
“Selain menjadi tempat berteduh dan makan minum golongan tersebut, rumah
sudah pun memberi ruang memadani untuk mereka belajar tentang akhlak dan moral,
ilmu dan amal, konsep keluarga Imran (surah Ali-Imran) serta banyak lagi,”
ujarnya yang mengingatkan kalau rumah tanpa disertai didikan sedemikian, kesannya
umpama membunuh generasi.
Tanpa disedari, setiap soalan tentang aktiviti yang dijalankan di rumah tersebut
disulam falsafah yang indah dan berteraskan kemurnian Islam.
“Cuba lihat pada kualiti kayu yang dijadikan lantai aras dan dinding
di tingkat dua dan tiga. Sekali pandang ia tidak sempurna bukan?” tanya
Khalinan Mohd Tahar, salah seorang ketua keluarga Warga Prihatin yang bertanggungjawab
dalam selok-belok pertukangan di Rumah Pengasih.
Khalinan menerangkan, setiap kayu yang lemah ada kaedah tersendiri untuk menguatkannya.
Kayu yang bengkok boleh diapit supaya lurus, yang kasar boleh diketam, yang
meleding boleh diragum dan diratakan, manakala yang rapuh boleh disokong dan
dipasak dengan kayu lain. Akhirnya setiap kayu menjadi lebih kuat dan berguna.
“Bukankah itu juga ibaratnya sikap dan sifat manusia? Kalau seseorang
itu sesat haluannya, dia perlu dirapati untuk membimbingnya ke jalan yang lurus.
“Kalau peribadinya tidak elok, seseorang boleh menasihati dan membantu
menghaluskannya. Kalau dia lemah bersendirian, jemaah di sekelilingnya boleh
menyokongnya dan memberi kekuatan,” kata seorang lagi ketua keluarga,
Johari Ibrahim.
Kagum dengan penjelasan itu, penulis kembali meliarkan mata memandang ke sekeliling
kawasan. Tatkala terlihat sebuah takungan konkrit yang berbentuk linear, seperti
tab mandi yang panjang, penulis bertanya: “Bagaimana dengan kolam itu?”
Masjuki cermat berhujah: “Kolam renang itu bukan sekadar untuk anak-anak
berekreasi dan berseronok semata-mata. Di sebalik latihan pernafasan dan renang,
kemahiran itu sendiri sebenarnya suatu yang relevan dengan realiti kehidupan.”

Menurutnya, dalam anak-anak itu membesar dan mengenal dunia, mereka perlu ‘berenang’
dalam lautan manusia yang penuh cabaran.
“Setiap daripada mereka juga perlu ‘mengapungkan’ diri kewujudan
mereka dilihat,” terang Masjuki yang menyifatkan orang yang gagal dalam
kehidupan adalah sama seperti mangsa lemas di air.
Mengadaptasi konsep itu, antara aktiviti yang dianjurkan untuk kanak-kanak
di Rumah Pengasih adalah bersangkut-paut dengan skil personaliti, seperti pengucapan
awam dan komunikasi berkumpulan.
Nah! Sampai begitu sekali perincian teladan dan iktibar bagi setiap sudut fizikal
Rumah Pengasih dan aktiviti yang dijalankan di dalamnya.
Itu membuatkan apa sahaja pertanyaan berikutnya menjadi lebih asyik untuk didengar
dan ditelusuri. Mungkin tidak ramai yang pernah memikirkan bagaimana setiap
suatu yang dipandang, dilafaz, didengar dan dilakukan itu adalah sekecil-kecil
hinggalah sebesar-besar pemahaman ibadah.
Di Rumah Pengasih ini, difahamkan bahawa ibu bapa dan anak-anak sering disyorkan
untuk bersama-sama dalam majlis ilmu dan aktiviti gotong-royong. Tanpa diasingkan,
setiap anggota keluarga berpeluang memahami sisi peribadi masing-masing seterusnya
mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
“Masalah wanita dan para ibu, pasangan suami isteri, anak remaja, hinggalah
kepada golongan fakir dan golongan kurang upaya, mereka ada tempat dan peranan
masing-masing di rumah ini. Mereka memiliki antara satu sama lain untuk berkongsi
masalah dan mencari penyelesaian,” kata Masjuki.
Besar harapan Masjuki serta himpunan orang kepercayaannya agar Rumah Pengasih
Warga Prihatin berjaya sebagai wadah pembentuk konsep keluarga contoh.
“Falsafah kami adalah Al-Quran sebagai sumber rujukan dan makanan harian
untuk menyelesaikan masalah keluarga, manakala sunah Rasul pula sebagai panduan
khususnya dalam pendidikan keluarga,” ujarnya.
“Kami tidak memandang dari mana mereka datang atau siapa mereka sebelum
ini. Lebih penting adalah dengan hasil asuhan di sini, mudah-mudahan mereka
berubah menjadi insan yang lebih baik,” terangnya.
Apa yang dimaksudkan adalah anak-anak yang tinggi sahsiah, institusi keluarga
yang murni arah tujunya, serta semangat kemuafakatan yang kukuh dan kekal. Semua
itu demi menjalani kehidupan yang senantiasa diberkati dengan pesan-pesan ke
arah kebaikan.


DR. MASJUKI MOHD. MUSURI
HASRAT jemaah Warga Prihatin terhadap fungsi dan bakti rumah ini begitu
tinggi hinggakan mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk membangunkannya.
Sesungguhnya setiap sen yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah Warga Prihatin
ini tidak pernah sesekali diminta pulangan dalam nilai mata wang. Kepuasan matlamatnya
adalah apa yang disebutkan tadi.
Barangkali di dalam rumah ini, tiada yang menyesali akan setiap kudrat yang
diperah, titik keringat yang tumpah, ataupun tulang paha yang patah. (HAMZAH ABDUL HAMID
-
hamzahabdulhamid@kosmo.com.my)
Sila Klik untuk melayari Web Rasmi Rumah





